Cina India Kaum Pendatang

Isnin, 28 Mac 2011

Suruhanjaya Diberitahu Dakwaan Teoh Dalam Nota 'Selamat Tinggal' Tidak Benar...

SURUHANJAYA untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu dakwaan Teoh menerusi nota 'selamat tinggal' bahawa kenyataannya telah ditukar adalah tidak benar.

Pegawai Perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nazri Ibrahim berkata beliau adalah orang terakhir (secara rasmi) bersama Teoh pada 16 Julai 2009 dan beliau tidak melakukan perkara sepertimana yang ditulis oleh setiausaha politik itu di dalam notanya.

Katanya, dakwaan Teoh bahawa kenyataannya "mendapat kelulusan YB" ditaip kepada "mengikut arahan YB" adalah tidak benar kerana dokumen kenyataan Teoh tidak menunjukkan sedemikian.

Mohd Nazri juga berkata, di dalam dokumen setebal 10 muka surat itu hanya terdapat satu perkataan "mendapat kelulusan YB" dan ia masih kekal begitu sepertimana beliau taip dan ditandatangan Teoh.

Mohd Nazri turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyalahkan majikan Teoh, Ean Yong Hian Wah, dan berkata apa-apa bagi menunjukkan perkara itu (marahkan Ean) di hadapan Teoh.

Katanya, ketika merakam percakapan Teoh juga tidak menunjukkan tanda beliau tidak mengerti apa yang ditaipkan di komputer.

Nota yang dijumpai di dalam beg sandangnya oleh Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal mencatatkan:
"Ou Yang "Dalam keadaan tidak menyalin fail dalam komputer saya, mereka telah mengambil semua komputer itu. Mereka asyik menyalahkan kamu.
"Minta maaf.
"Tidak mengerti tapi pura-pura mengerti, akhirnya menyusahkan kamu.
Saya kata, "mendapat kelulusan YB" mereka berdegil menaip jadi "mengikut arahan YB."
"Saya tidak dapat membantu kamu, maaf.
"Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal."

Menceritakan keadaan beliau merakam percakapan Teoh, Mohd Nazri berkata ia tamat pada pukul 3.30 pagi dan Teoh mengambil masa kira-kira lima hingga 10 minit untuk mengkaji semula apa yang ditaipnya.

Sepanjang sesi itu, katanya, Teoh kelihatan penat dan kerap menguap tetapi apabila diminta berehat, Teoh enggan dan ingin menyelesaikannya pada malam itu juga.

Mohd Nazri menambah kata, beliau ada cuba melawak dengan Teoh tetapi tidak diendahkan malah senyumannya pun tidak berbalas.

Katanya, sepanjang sesi itu juga Teoh dilihat tidak mengalami kecederaan dan tidak dipukul.

Di akhir prosiding ketika ditanya Pakar Perunding Psikiatri Forensik Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom adakah beliau berasa bersalah di atas kematian Teoh dan apa yang akan dilakukan bagi mengelak keadaan ini (kematian Teoh) berlaku, Mohd Nazri berkata:
"Saya tidak bersalah.

"Saya ada fikir kalaulah dia tidak penat dan minta berehat di pejabat benda ini tidak akan berlaku. Saya akan suruh dia balik dan tidak tinggal di situ (pejabat SPRM) atau jika saya tidak bertimbang rasa saya akan berkeras supaya dia keluar dari situ."

Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan selain Mohamed Hatta ia turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.
Teoh, 30, pembantu politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor itu, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding disambung esok (Selasa) untuk mendengar keterangan bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim dan pakar pathologi Profesor Dr Peter Vanezis.
- mStarOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog