Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 23 Julai 2011

Polis siasat lakonan Shuhardi

PESERTA perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Shuhardi Md. Isa yang 'berlakon' meninggal dunia kerana sesak nafas adalah di antara individu yang sedang disiasat polis kerana terbabit dalam demonstrasi haram pada 9 Julai lalu.

Selain Shuhardi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat mereka yang dikaitkan membuat laporan palsu kononnya dikasari sewaktu menyertai perhimpunan haram itu.

Individu yang sedang disiasat termasuk Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa dia dilanggar oleh kenderaan polis sedangkan pendedahan rakaman video oleh polis semalam jelas menunjukkan motosikal diboncengnya terjatuh sendiri selepas membuat pusingan U.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya menjalankan tugas sebagai sebuah agensi keselamatan secara profesional dengan menyiarkan video yang memaparkan situasi sebenar perhimpunan tersebut.

"Pengarah KDNKA (Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid telah memberi gambaran sebenar apa yang berlaku pada perhimpunan itu semalam.

"Justeru, kita yakin rakyat sendiri boleh menilai perkara tersebut. Kita juga sedang siasat semua individu yang dikaitkan dalam tayangan sebenar semalam," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Liga Balai Polis siri pertama 2011 di sebuah hotel di ibu negara, Jumaat.

PDRM semalam mendedahkan rakaman video situasi sebenar perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu bagi menangkis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap pasukan tersebut.

Antaranya tohmahan melibatkan Mohamad Sabu yang mendakwa dia dilanggar kenderaan polis, tindakan provokasi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua terhadap pihak polis dan kejadian tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin.

Turut ditayangkan adalah situasi Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia kerana sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata dan rakaman tindakan Shuhardi yang berlakon sebagai Baharudin.
Berita: Utusan

SATU MELAYU:
Siasat jangan tak siasat. Pembohongan puak ‘pengkhianat negara’ itu dah melampau. Perkhidmatan pasukan polis diperlekeh sesuka hati dengan teruk sekali.
Jangan beri muka kepada puak ini dan ajar mereka secukupnya.
Langkah berlembut pihak berkuasa selama ini telah disalah anggap sebagai takut.

Jumaat, 22 Julai 2011

Revolusi Apa Yang Anwar Mahu Bawa? Kalau dah revolusi, apa perlunya pilihan raya bersih?

PERHIMPUNAN haram 9 Julai dianggap gagal jika faktor yang digembar-gemburkan oleh penganjur bahawa mereka boleh mengumpul 100,000 peserta diambil kira.

Oleh sebab perhimpunan itu hanya dihadiri 6,000 orang, maka pemerhati melihat ketua pembangkang Anwar Ibrahim, kini mencari jalan baru pula dengan menyatakan bahawa Malaysia sudah dekat kepada revolusi.

Sejarah menunjukkan bahawa melalui revolusi, beberapa kerajaan tumbang, umpamnya Revolusi Iran pada 1979 yang menjatuhkan Shah Iran dan seterusnya menjadikan negara itu sebuah republik, dan revolusi di Nepal, yang menyebabkan negara itu kini hilang sistem pemerintahan beraja.

Revolusi bermakna menumbangkan kerajaan dengan kekerasan, pertumpahan darah dan penggunaan senjata, dan jika itu yang dimahukan, apa perlunya lagi tuntutan pilihan raya yang adil?

Penganalisis dan pemerhati politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata revolusi adalah sekadar satu slogan Anwar bertujuan mahu mempengaruhi persepsi rakyat untuk mengubah kerajaan dengan cepat.

"Apabila revolusi dilaksanakan ia akan mengubah sistem politik negara menuju republik. Di dalam sistem republik, ketua dan eksekutif negara adalah presiden, jadi jika seseorang itu menjadi presiden kuasanya lebih tinggi daripada hanya Perdana Menteri.

"Ini seperti yang berlaku di Nepal, Libya dan Mesir. Kita perlu berfikir apakah sistem ini sesuai untuk diterima. Kalau revolusi mental yang hebah diperkatakan sekitar tahun 1970-an supaya rakyat berubah dari segi pemikiran tidak mengapa, tetapi bukan revolusi sebegini," kata Ahmad Atory.

Beliau berkata kemungkinan apabila revolusi berjaya dan negara bertukar menjadi republik, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi akan tergugat.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Che Hamdan Mohd Razali, berkata Anwar tidak seharusnya meletakkan rakyat dalam keadaan resah gelisah dengan kenyataan-kenyataan sebegitu pada masa rakyat menghadapi kenaikan harga beberapa barang keperluan.

"Sepatutnya pembangkang bekerjasama membantu menyelesaikan masalah demi kepentingan rakyat terbanyak, bukannya dengan memberikan kenyataan-kenyataan yang menggelisahkan seperti ini," katanya.

Che Hamdan berkata sejak dari awal lagi, perhimpunan haram itu dianggapnya satu tindakan politik walaupun penganjurnya menafikan pembabitan parti-parti politik bersekongkol dengan penganjurnya iaitu sebuah kumpulan haram dikenali ‘Bersih’.

"Saya tidak nampak apa perlunya revolusi seperti yang diperkatakan. Bolehkah dengan revolusi seperti itu memberikan keadaan lebih baik dari sekarang?

"Sekarang kita hidup aman damai, dan jika revolusi berlaku, pastinya negara akan kucar-kacir.

"Kita tak menganggap semua kerajaan sempurna tetapi bukan dengan cara ini menukar kerajaan yang ada. Platform pilihan raya sudah disediakan sesuai dengan amalan demokrasi," katanya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah berkata Malaysia tidak dapat menerima revolusi yang mengakibatkan pertumpahan darah, yang membawa pelbagai perubahan kepada banyak pihak termasuk kedudukan Raja-raja Melayu, hak adat istiadat, Islam, institusi Diraja dan dan institusi Parlimen.

Senator Mohamed Ezam Mohamed Noor pula berkata Anwar sudah hilang kewarasan kerana terdesak untuk berkuasa.

Oleh Ahmad Shukran Shaharudin
- Bernama

SATU MELAYU:
Ini pun revolusi juga kerrrrr?
Anwar Ibrahim memang dah tak betul. Dia mungkin hanya layak dipulihkan di Tanjung Rambutan atau Tampoi.
Cakap dia bukan cakap seorang pemimpin. Dia cakap ikut sedap mulut untuk disesuaikan dengan segala auta dan temberang yang dihamburkan selama ini.
Kerana autanya dah tak mampu lagi mempengaruhi pengikut yang dulunya ramai, maka sakit meroyanlah dia. Dan meroyan adalah penyakit mental.

Najib Jelas Niat Sebenar Bersih Kepada Cameron

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalam dengan orang ramai setibanya di Komplek Bunga Raya, Sepang, hari ini dari lawatan kerja ke luar negara. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah menjelaskan kepada rakan sejawatannya di Britain, David Cameron mengenai niat sebenar perhimpunan haram di ibu negara 9 Julai lepas, semasa beliau melakukan lawatan rasmi empat hari ke United Kingdom baru-baru ini.

Dalam pertemuan di No. 10 Downing Street Khamis lalu, Najib berkata Cameron banyak bertanyakan soalan kepada beliau termasuklah berkaitan perhimpunan yang dianjurkan badan tidak berdaftar itu ketika lawatan itu berlangsung.

"Saya beritahu kepada Perdana Menteri United Kingdom "that we have room for dissent" (kami memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati) di Malaysia," katanya ketika berkongsi pengalamannya kepada hampir 3,000 orang yang menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang setelah mengakhiri lawatan ke tiga negara iaitu Turkmenistan, United Kingdom dan Itali selama lapan hari.

Hadir sama menyambut beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ialah timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman. Najib berkata sebagai kerajaan, soal ketenteraman awam harus dijaga dan pada masa sama memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati.

"Saya beritahu beliau kita tawar sebuah stadium tetapi mereka tolak. Mereka mahu Stadium Merdeka kerana tujuannya hanya mahu berarak. Selepas itu lakukan provokasi terhadap polis. Biar polis naik berang. Apabila polis bertindak, mereka ambil gambar masuk laman YouTube dan mereka katakan kekejaman polis," kata Najib.

Perdana Menteri berkata Cameron juga dimaklumkan bahawa perhimpunan oleh badan tidak berdaftar itu bukanlah sebenarnya bertujuan menuntut ‘pembaharuan pilihan raya’.

"Mereka lebih ingin tunjukkan kerajaan Malaysia seperti di Asia Barat. Mereka gambarkan kerajaan Malaysia autokratik. Sebenarnya mereka hendak ambil kuasa daripada kita (kerajaan) yang dipilih oleh rakyat," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Britain itu turut diberitahu kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang sentiasa menegakkan prinsip demokrasi.

"Saya kata pilihan raya di Malaysia, kita tidak pernah menipu. Pilihan raya di Malaysia adalah pilihan raya yang bersih," kata Najib.
- Berita: BernamaOnline

SATU MELAYU:
Kalau di Loh Mahfuz dah tak ada tertulis nama Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia, buat apa pun tak akan berjaya. Percayalah....
Jangan cakap saja berserah diri kepada Allah SWT, tapi dalam masa sama macam tak yakin dan tak percaya dengan ketentuan Allah.

Tuduhan Palsu Mat Sabu: Polis nak ambil tindakan tapi Mat Sabu yang nak saman polis....

PENDEDAHAN pihak polis mengenai pembohongan dan penipuan Mat Sabu yang mendakwa dirinya dilanggar Land Rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu menerima tindak balas daripada Timbalan Presiden Pas itu apabila beliau berhasrat menyaman polis kerana pendedahan itu.

Mat Sabu mahu mengemukakan saman terhadap Polis Diraja Malaysia kerana mendakwanya membuat tuduhan palsu dilanggar oleh kenderaan polis.

Beliau juga menuntut pihak polis memohon maaf atas dakwaan berkenaan. “Jika mereka masih mahu meneruskan penipuan ini... Saya tidak teragak-agak untuk saman pihak polis.

“Setelah mendapatkan nasihat daripada peguam saya, Hanipa Maidin. Saya lihat ini adalah keputusan terbaik.

"Dia (Hanipa) akan hantar notis kepada mereka (polis)," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Macam mana niii? Polis kata Mat Sabu menipu, sementara Mat Sabu pula kata polis yang menipu? Ini sudah jadi satu cerita beru yang sangat menarik.

Selain daripada memohon maaf secara terbuka, Mat Sabu juga mahu polis menarik balik kenyataan yang mendakwa dia membuat tuduhan palsu polis telah melanggar motosikal yang dinaikinya pada 9 Julai lalu itu.

Pada Khamis, polis memaparkan rakaman video yang menunjukkan pasukan keselamatan itu tidak melakukan sebarang kekerasan ketika meleraikan perhimpunan haram 9 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid berkata adalah tidak benar apabila Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa kenderaan polis telah melanggar motosikal yang dinaiki pemimpin PAS itu.

Sebaliknya daripada rakaman video yang dipaparkan itu menunjukkan motosikal yang dibonceng oleh Mat Sabu tidak dilanggar Pajero polis seperti didakwa tetapi ketika melakukan pusingan U motosikal itu terkena 'fender' Pajero polis di kawasan Perumahan Seri Persekutuan, yang akhirnya menyebabkan motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

Justeru, Salleh berkata pihak polis juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan terhadap Mohamad kerana didakwa membuat tuduhan palsu.

Cerdik juga Mat Sabu ni main putar belit. Setelah juak-juak yang menyokongnya terkedu dengan paparan video dan penjelasan pihak polis, Mat Sabu mendahului tindakan polis dengan pengumuman akan menyaman polis jika pihak polis tidak meminta maaf kepadanya.

Ini sudah jadi dua kali tipu. Pertama tipu kata dilanggar Land Rover polis. Kedua tipu sekali lagi dengan tuduhan polis menipu demi menutup penipuan pertama.

Jangan ada yang panggil Mat Sabu sebagai Mat Tipu, sudahlahhhh!

Sama-sama kita nantikan apa pula ulasan pihak berkuasa polis dengan berita ini....

Perhimpunan 9 Julai: Bersih Tak Menang, BN Tak Rugi, Tapi Rakyat Meluat


BEBERAPA penganalisis politik membuat kesimpulan bahawa setelah berlalunya perhimpunan haram pada 9 Julai, penganjurnya tidak mendapat sebarang keuntungan dan kerajaan Barisan Nasional pula tidak rugi apa-apa.

Mereka berpendapat perhimpunan haram berkenaan gagal memenuhi impian penganjurnya, iaitu satu badan tidak berdaftar dikenali Bersih, untuk melemahkan kedudukan BN atau meningkatkan sokongan terhadap pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS.

Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata asas bagi kesimpulan yang dibuat itu mudah sahaja iaitu biar betapa hebatpun pakatan pembangkang memainkan isu perhimpunan haram berkenaan, pengundi Melayu di luar bandar tetap akan memberi sokongan kepada BN berikutan kejayaan parti gabungan itu membawa kemakmuran, keamanan dan keharmonian kepada negara.

"Begitu juga halnya, biar apa jua label yang diberikan, penyokong tegar Pakatan Rakyat akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, kata beliau, persoalan yang masih wujud ialah sama ada perhimpunan haram 9 Julai itu memberi kesan terhadap pendirian golongan atas pagar memandangkan penyokong Bersih lantang mendakwa mereka meraih kejayaan daripada kegiatan itu.

Sivamurugan berkata di peringkat lapangan pula, kempen politik akan berterusan dengan satu pihak cuba memberi gambaran positif tentang apa yang mereka sifatkan sebagai pencapaian perhimpunan haram itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata majoriti rakyat Malaysia terutama di ibu negara dan Lembah Klang tidak menyokong perhimpunan haram itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula mengkritik perhimpunan haram itu kerana telah mencetuskan kekacauan, manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan haram itu hanya disertai 5,000 atau 6,000 orang, walaupun pembangkang menyifatkannya sebagai suatu kejayaan dengan mendakwa ia disertai 50,000 orang.

Sivamurugan berkata BN berharap sokongan penduduk di luar Lembah Klang terhadapnya tidak terjejas berikutan demonstrasi haram itu, manakala pembangkang pula menaruh harapan agar ia mewujudkan gelombang sebelum barlangsungnya pilihan raya umum akan datang, seperti momentum yang telah mereka raih daripada perhimpunan haram Bersih 2007.

"Secara umumnya, mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan Selangor tidak begitu peduli tentang perhimpunan itu, manakala sejumlah anggota pembangkang yang menyertai perhimpunan haram itu masih tidak pasti mengenainya. Oleh itu, ada orang berkata perhimpunan haram itu akan membawa kepada perubahan selera pengundi dan ada pula yang menolaknya," kata beliau.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berpendapat sesetengah orang bersifat mudah lupa dan sekiranya pilihan raya umum diadakan beberapa bulan akan datang atau tahun depan, semuanya mungkin terhapus daripada ingatan mereka, lebih-lebih lagi sekiranya kerajaan BN mengumumkan pelbagai dasar bersifat mesra rakyat untuk meluputkan kesan daripada perhimpunan haram itu.

Pensyarah, Azli Abdullah berkata walau apapun dakwaan penganjur perhimpunan haram itu, perubahan selera pengundi boleh berlaku secara dua hala lebih-lebih lagi apabila ramai pengundi dapat melihat dengan jelas dan menghargai keberkesanan kerajaan dalam menanganinya.

"Walaupun begitu teruk dicabar, pihak berkuasa tetap bertindak dalam lingkungan bidang kuasa mereka dan berjaya mencegah berlakunya kejadian tidak diingini. Hakikat bahawa polis berjaya mematahkannya menjadi berterusan, amat dihargai oleh majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya.

Azli berkata setelah sekian lama tergolong dalam kalangan berjuta-juta majoriti senyap, kini beliau berasa terpanggil untuk menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau tidak lagi mempunyai sebarang simpati terhadap pembangkang, lebih-lebih lagi kumpulan pengacau, yang dengan jelas telah menghumban sepenuhnya perasaan cintakan negara.

"Rakyat Malaysia jenis apakah mereka ini? Mereka sanggup bersekongkol dengan media asing semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia dengan memberi gambaran seolah-olah negara bertuah ini akan terjerumus ke lembah kekacauan selepas Mesir dan sebagainya," kata beliau.

Tetapi, yang pasti, pembangkang akan terus melaungkan lapan perkara yang dituntut oleh Bersih dengan harapan ia mengganggu kelancaran rancangan Najib untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pas berkata ia akan mengadakan satu lagi perhimpunan sebelum pilihan raya umum akan datang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan perubahan seperti yang dituntut, walaupun SPR telah memberi penjelasan bahawa sesetengah tuntutan itu hanya boleh dilaksanakan oleh Parlimen.

Ramai pemerhati berpendapat perhimpunan haram 9 Julai itu membawa kerugian ekonomi kepada negara dan golongan tertentu.

"Selain masa dan petrol yang dibazirkan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya, perniagaan kecil dan sederhana di Lembah Klang mengalami kerugian besar. Orang dan barangan dihalang daripada memasuki bandar raya ini, manakala berjuta-juta ringgit menjadi beku dan terhalang daripada memasuki pasaran.

"Kecergasan ekonomi bergantung kepada pengaliran dana. Wang berjuta-juta ringgit yang tersekat itu mungkin mengakibatkan kerugian sekali atau dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlahnya, terutama pada hujung minggu. Kepada siapa peniaga kecil hendak menuntut pampasan?" kata seorang penganalisis dari sebuah syarikat broker saham yang enggan dikenali.

Kerajaan pula terpaksa menanggung kos yang tinggi termasuk untuk mengerahkan anggota polis dari negeri lain ke ibu negara bagi mengawal keadaan dan memelihara ketenteraman awam.

Sekiranya kesemua 1,667 penujuk perasaan yang ditahan semasa perhimpunan haram itu dibawa ke muka pengadilan, mahkamah perlu menggunakan banyak sumber untuk mengendalikannya, dan ini melibatkan kos dan masa.

Pakatan pembangkang menganggarkan mereka membelanjakan RM150,000 untuk mengadakan perhimpunan haram itu, termasuk membayar wang ikat jamin penunjuk perasaan yang ditangkap, manakala kerajaan pula menganggarkan jumlah yang terpaksa ditanggungnya 10 kali lebih tinggi daripada itu.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah berkata ekonomi dunia telah telah menurun dan ini mungkin menyebabkan Eropah mengalami krisis ekonomi, yang akhirnya akan memberi kesan kepada negara lain di seluruh dunia.

"Berikutan keadaan ini, kerajaan yang memerintah sekarang perlu diberi peluang untuk menumpukan terhadap usaha mencergaskan semula ekonomi dan pihak-pihak yang bertelagah perlu mengetepikan perbalahan politik sesama mereka demi kebaikan negara. Masa yang ada sepatutnya digunakan untuk memajukan negara," kata Pheng.

Memang tepat kata-kata beliau itu kerana biar betapa lantang atau berapa kerap sesuatu pihak itu memenuhi jalan raya untuk mengadakan tunjuk perasaan, dalam sistem demokrasi, setiap pemilih hanya mempunyai satu undi.

Oleh Alan Ting
- Bernama

SATU MELAYU:
Seperrata yang rakyat harus ingat ialah untuk apa tujuk perasaan atau perhimpunan itu diadakan. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana dan untuk Anwar Ibrahim yang telah tidak ada cara lain lagi untuk menagih simpati dan sokongan rakyat sepertimana yang pernah diterimanya sejak zaman jadi pemimpin pelajar dulu.

Sebagaimana yang diketahui umum, Anwar Ibrahim hanya tahu menganjurkan tunjuk perasaan dan perhimpunan haram. Itulah satu-satunya kepakaran yang beliau ada.

Justeru, dalam keadaan terdesak kerana merosotnya sokongan rakyat akibat salahlaku seks beliau sendiri, peluang erakhir yang ada bagi Anwar ialah menganjurkan tunjuk perasaan. Malangnya, Bersih 2.0 tidak berhasil dan rakyat umum tahu ianya satu tindakan sia-sia dan menyusahkan ramai orang.

Khamis, 21 Julai 2011

Video Bukti Polis Tidak Guna Kekerasan Leraikan Perhimpunan Haram Ditayang

TIADA kekerasan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika meleraikan perhimpunan haram 9 Julai lepas berdasarkan rakaman video yang ditayangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada wakil media dan awam di Bukit Aman, Khamis.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata selain tiada babak-babak kekerasan yang didakwa dilakukan PDRM ketika menyuraikan perhimpunan tersebut, rakaman video itu juga membuktikan beberapa tohmahan yang dilemparkan sesetengah pihak mengenai perhimpunan itu juga tidak benar.

Rakaman video selama kira-kira satu jam yang disaksikan kira-kira 200 orang termasuk wakil media dan awam di Bukit Aman di sini, dimulakan dengan penjelasan slaid mengenai tohmahan beberapa pihak terhadap polis, seterusnya penayangan beberapa babak perhimpunan itu dan berakhir dengan sidang media.

"Terdapat enam tohmahan yang dilemparkan beberapa pihak antaranya berkisar kepada isu semburan gas pemedih mata di KLCC, sehingga menyebabkan kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad," katanya.

Rakaman CCTV yang ditayangkan kepada media jelas membuktikan tiada semburan pemedih mata yang mengenai Burhanuddin ketika Allahyarham berada di dalam Avenue K.

"Hasil siasatan kita, ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam Avenue K dan ia membuktikan tidak ada langsung gas pemedih mata dikeluarkan polis, ia sekaligus menepis dakawaan itu. Allahyarham rebah selepas berlari bersama orang ramai di dalam Avenue K, dan kenyataan itu juga disokong oleh beberapa saksi awam yang telah diambil keterangan," katanya.

Datuk Salleh Mat Rasid
Beliau berkata dakwaan bahawa Burhanuddin telah dipukul serta cedera dengan patah tiga batang tulang rusuk dan luka di bibir juga tidak benar kerana hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuhnya dan Burhanuddin disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung.

"Dakwaan bahawa ambulans tiba lewat, sehingga sejam untuk menyelamatkan Burhanuddin juga tidak benar kerana jangka masa yang terdapat di CCTV itu menunjukkan bahawa ambulan tiba kira-kira 17 minit kemudian selepas menerima panggilan 999," katanya.

Rakaman video tersebut juga menunjukkan tiada kekerasan yang dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang antaranya presiden perhimpunan haram itu, S.Ambiga, Mat Sabu, Nurul Izzah, Datuk Awang Hadi dan Tian Chua.

Ketika menayangkan video tersebut, memang tidak terdapat kekerasan dilakukan ke atas kesemua mereka yang telah melakukan provokasi terhadap polis antaranya babak di mana Ambiga kelihatan tenang dan duduk dalam keadaan selesa sambil sempat minum air ketika ditahan polis di KL Sentral.

Ada juga babak di mana polis memakaikan topeng penutup hidung dan mulut kepada Nurul Izzah dan dalam video itu itu turut menayangkan keterangan ikhlas Hadi Awang di Lapangan Terbang Terengganu bahawa beliau mengaku menerima layanan yang baik daripada polis kepada penyokong-penyokongnya.

Dalam video tersebut juga menggambarkan tindakan provokasi yang dimulakan dahulu oleh Tian Chua dengan menyerang Light Strike Force (ISF) sebelum memaksa polis menyemburkan gas pemedih mata kepada beliau dan sekumpulan penyokong di KL Sentral.

"Kalau kita lihat polis tidak memulakan apa-apa. Kita menggunakan Standard Operation Procedure (SOP) kita sebelum tindakan diambil. Kita beri amaran sehingga sembilan kali dan mereka masih berdegil meneruskan perhimpunan, itu yang memaksa kita semburkan gas pemedih mata," katanya.

Rakaman video itu juga menunjukkan motosikal yang dibonceng oleh Mat Sabu tidak dilanggar Pajero polis seperti didakwa tetapi ketika melakukan pusingan U motosikal itu terkena 'fender' Pajero polis di kawasan Perumahan Seri Persekutuan, yang akhirnya menyebabkan motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

"Tidak terdapat sebarang perlanggaran di sini... Ini dibuktikan melalui CCTV yang terdapat di kawasan tersebut. Rakaman itu menyaksikan motosikal yang dibonceng Mat Sabu terbabas ketika melakukan pusingan U dan terlanggar pajero polis," katanya.


Video itu turut menayangkan bagaimana orang ramai ditahan dengan cara baik, diminta menunjukkan kad pengenalan diri dan beg, orang tua yang mengalami sakit pinggang dibantu polis untuk naik di atas kereta polis dan pertanyaan kepada tahanan dengan berhemah.

"Mereka juga tidak digari...Malah, mereka diberi kebenaran untuk menghubungi ahli keluarga...Kesemua yang ditahan juga dihantar ke pusat tahanan sementara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dengan pelbagai persediaan dilakukan antaranya tempat menunggu (untuk proses dokumentasi) yang selesa, makanan dan minuman, tempat bersolat dan berwuduk," katanya.

Salleh berkata di Pulapol juga, terdapat pegawai perubatan di sediakan dengan katil yang selesa untuk rawatan dan terdapat juga pemeriksaan kesihatan.

Katanya, tidak cukup dengan itu, demi menjaga keselamatan tahanan juga polis menyediakan bas untuk menghantar kesemua tahanan itu pulang ke lokasi yang memudahkan mereka menggunakan pengangkutan awam.

Video itu turut menayangkan perusuh yang melakukan provokasi terlebih dahulu sehingga memaksa polis bertindak menyemburkan gas pemedih mata.

Antara babak tersebut adalah di mana perusuh terlebih dahulu menyerang, memanjat kereta polis serta dan membaling objek seperti botol dan membaling semula gas ke arah polis serta menolak pegawai kanan polis.

Dalam video itu turut menayangkan tindakan polis menyembur gas pemedih mata di lorong berdekatan Hospital Tung Shien yang dijadikan isu sesetengah pihak.

"Kita akui kita ada sembur gas pemedih mata berdekatan hospital tersebut.. tapi semburan itu adalah di luar hospital terbabit. Ini kerana ada perusuh di situ.

"Namun kita masih lagi menyiasat kes ini. Jika hasil siasatan kita mendapati terdapat kesalahan atau perlanggaran tatacara tugasan oleh pihak kita, kita akan ambil tindakan," katanya.

Salleh berkata kesimpulan yang boleh dibuat badan penguatkuasa itu adalah PDRM bertindak secara profesional dengan mengikut SOP, dapat menenangkan keadaan dalam masa tiga jam, tiada kematian mahupun kerosakan harta benda berlaku dan walaupun apa pun tohmahan yang dilemparkan, ianya tidak melunturkan semangat PDRM.

"Langkah-langkah awal kita juga dapat mengekang jumlah peserta perhimpunan haram itu. Tidak sampai 300,000 yang hadir, tetapi tidak lebih daripada 10,000 orang pada perhimpunan haram itu," katanya.

Sementara itu Presiden Pengguna Islam Malasyia (PPIM) Datuk Ma'mor Osman yang turut hadir pada penyangan video itu berkata polis telah membuktikan bahawa ia telah melakukan tugas dengan baik, iaitu menjaga ketenteraman awam dan tidak bertindak keras dengan perusuh.

"Namun, saya harap selepas ini, polis akan adakan lagi sidang media dan penayangan video lagi.Saya difahamkan bahawa ada lagi bahagian yang belum ditunjukkan polis.

Apa yang ditayangkan hari ini adalah apa yang polis ada setakat ini...Ini penting bagi memuaskan hati semua pihak. Polis juga perlu mengambil video -video yang diambil di dalam laman-laman blog untuk dibuat perbandingan," katanya.
- Berita: BernamaOnline

SATU MELAYU:
Nampaknya juak-juak ‘pengkhianat negara’ yang begitu bermaha-
rajalela menyiarkan berita, video dan gambar yang membuktikan polis bertindak kasar, kejam dan ganas dengan pelbagai tipu helah, kini terkedu dan kantoi se kantoi-kantoinya.

Mereka ingat mereka pandai sangat. Mereka juga sangka hanya mereka sahaja yang ada kamera.

Sama-sama kita nanti dan tinjau-tinjau apa komen ‘lembu-lembu’ pengkhianat negara dengan pendedahan polis itu.

Teoh Alami Perubahan Minda Kerana Ragu-ragu, Konflik Dan Beremosi

SURUHANJAYA Diraja yang memutuskan Teoh Beng Hock membunuh diri mendapati Setiausaha Politik itu mengalami perubahan pada mindanya berikutan keraguan, konflik dan emosi keterlaluan yang disumbangkan oleh beberapa faktor.

Faktor penyumbang kepada tekanan yang dialaminya adalah kerana cubaan untuk mengkhianati ketuanya Ean Yong Hian Wah, dinafikan hak untuk tidur, persekitaran yang tidak selesa dan asing serta berada dalam tahanan bagi jangka masa yang panjang.

"Setelah diseksa dengan kesukaran ini, Teoh mengalami perubahan pada keadaan mindanya. Dalam beberapa jam, perubahan ini mengubahnya daripada berada dalam kumpulan berisiko rendah untuk membunuh diri kepada kumpulan berisiko tinggi.

"Keraguan, konflik emosi yang keterlaluan, rasa bersalah yang mendalam semuanya tidak dapat diubah yang ditanggungnya. Akhirnya faktor pencetus krisis tidak dapat diubah yang berlaku kepadanya antara 3.30 pagi dengan 7 pagi pada 16 Julai 2009 telah menyebabkan keadaannya bertambah parah.

"Apabila dia tidak menemui strategi yang berkesan untuk mengatasi tuduhan-tuduhan yang dilontarkan kepadanya, dia mendapati dirinya tidak dapat keluar lagi dari keadaan dahsyat yang membelenggunya.

"Apabila dia putus harapan, Teoh berasa terjebak dan tewas kepada kekecewaan. Disebabkan tingkap di tingkat 14 telah terbuka ataupun mudah dibuka, dan ia adalah jelas dan boleh diakses dari sofa di mana dia berada di luar bilik Nadzri (Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor, Mohd Nadzri Ibrahim), Teoh mendapati bahawa satu-satunya cara untuk melepaskan dirinya daripada kesengsaraan yang dilaluinya adalah dengan melompat keluar dari tingkap itu, biarpun ini bermakna mengambil nyawanya sendiri," kata lima anggota suruhanjaya sebulat suara di dalam laporan setebal 124 muka surat.

Teoh, 30, setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Ean, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Suruhanjaya yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen merumuskan pendapat tersebut dengan mengambil kira keterangan saksi-saksi dan tiga pendapat pakar psikiatri forensik iaitu Prof Paul Edward Mullen yang mewakili Majlis Peguam dan Dr Badi'ah Yahya dan Dr Nor Hayati Ali mewakili SPRM.

Dalam laporan suruhanjaya itu, Dr Badi'ah dan Dr Nor Hayati menjelaskan bahawa sepanjang beberapa minggu sebelum Teoh disoal oleh SPRM, Teoh perlu berhadapan dan berurusan dengan dua kejadian yang boleh meninggalkan kesan dalam kehidupan yang mungkin menambah tekanan kepada kehidupannya.

Perkara tersebut ialah tarikh pernikahannya yang dibawa ke hadapan dari tarikh asal yang ditetapkan dalam 2010 ke 13 Oktober 2009 setelah mengetahui tunangnya mengandung dan pengumpulan dokumen oleh SPRM Selangor daripada Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah yang membayangkan bahawa ketuanya Ean tidak mengendalikan peruntukan dengan betul.

Menurut Dr Badi'ah dan Dr Nor Hayati, keadaan tersebut boleh mengubah tabiat dan tingkah laku Teoh serta berkemungkinan dianggap oleh Teoh sebagai situasi yang berpotensi menimbulkan ancaman.

Laporan suruhanjaya itu turut memetik pandangan Prof Mullen : "Manusia tidak membunuh diri mereka kerana mereka mempunyai suatu kaedah untuk digunakan, mereka menggunakan kaedah yang jelas dan mudah diperoleh sekiranya mereka berhasrat untuk membunuh diri.

"Tingkap dari mana Teoh Beng Hock jatuh menunjukkan suatu kaedah yang jelas dan mudah diakses. Bahawa terdapat suatu tingkap yang besar yang mudah dibuka di tingkat 14 mana-mana pejabat, apatah lagi pusat soal siasat yang pada saya merupakan sesuatu yang luar biasa."

Suruhanjaya juga berpendapat dari segi psikologi Teoh, walaupun pernikahan dan persediaan baginya merupakan peristiwa hidup yang positif bagi Teoh, namun ia boleh juga membawa tekanan kepadanya dan berkemungkinan menjadi teruk apabila ditambah kepada peristiwa hidup negatif.

Suruhanjaya juga berpendapat walaupun SPRM Selangor memulakan penyiasatan pada Jun 2009 dan ketika itu Teoh dilihat mampu mengawal tekanan namun apabila SPRM menyerbu pejabat Ean dan memulakan pengeledahan di situ, Teoh didorong oleh perasaan takut di mana ia dijelaskan melalui pola panggilan telefon yang dibuat Teoh kepada peguamnya M. Manoharan.

Satu lagi faktor yang mempunyai implikasi yang serius ke atas Teoh ialah penyerahan komputer peribadinya kepada pegawai SPRM dan lebih buruk lagi ialah pendedahan kata laluan akaun e-mel kepada pegawai SPRM.

"Memandangkan ini merupakan kunci kepada perkara yang menyentuh hal peribadinya, Teoh berkemungkinan merasakan yang privasinya dilanggar secara paksaan dan rahsia kehidupannya terdedah.

"Ini merupakan suatu perlanggaran hak diri Teoh yang serius yang menambahkan lagi kebimbangan dan kerisauannya," laporan itu menyebut.

Bagi melengkapkan laporan patologi, suruhanjaya telah memanggil Pegawai Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Mohamed Noor, Pakar Perunding Perubatan Jabatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim dan Pensyarah Kanan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Prashant Naresh Samberkar serta dua pakar patologi asing iaitu Dr Pornthip Rojanasunand (Thailand) dan Professor Dr Peter Vanezis (United Kingdom) memberi keterangan.

Suruhanjaya turut bersetuju dengan anggaran masa kematian Teoh antara 7.15 pagi dengan 11.15 pagi pada 16 Julai 2009 yang diberikan kesemua pakar patologi forensik kecuali Dr Pornthip dan berpendapat Teoh jatuh dari tingkap di tingkat 14 Plaza Masalam bertepatan di atas tempat di mana mayatnya dijumpai.

Anggota suruhanjaya turut menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan beberapa pendapat yang dikemukakan Pornthip dan mendapati beliau amat spekulatif.

"Pada pendapat kami kesan merah jambu cerah pada tengkuk sebenarnya disebabkan oleh kesan post mortem. Kesan itu tidak mungkin disebabkan oleh lebam sebagaimana yang didakwa oleh Dr Pornthip (Pornthip mendakwa ia kesan cekikan dengan tangan) kerana ini tidak ditemui oleh Dr Prashant dan Dr Khairul semasa pemeriksaan post mortem pertama.

"Kesan tersebut disebabkan oleh darah daripada keretakan tulang rahang yang menyerap ke dalam bahagian tengkuk, yang seakan-akan lebam selepas kematian Teoh," menurut laporan itu.

Mengenai keretakan linear pada tengkorak dan pendarahan pada permukaan otak, suruhanjaya memutuskan bahawa ia adalah impak sekunder akibat daripada jatuh dan menolak dakwaan Dr Pornthip bahawa Teoh telah dipukul oleh objek tumpul sebelum dia jatuh.

Suruhanjaya berkata sekiranya Teoh telah dipukul dengan objek tumpul dan mengalami kecederaan kepala yang teruk, beliau tidak mungkin dalam keadaan sedar berjalan ke tingkap untuk keluar darinya dan tidak mungkin mendarat dengan kakinya dahulu.
- Berita: BernamaOnline

SATU MELAYU:
Demikian berakhirnya sebuah kisah ‘membunuh diri’ yang melibatkan politik.
Dan politiknya pula adalah politik puak pembangkang DAP.
Kerana kepentingan politik – seperti mahu menyembunyikan sesuatu, isu kematian Teoh telah dipolitikkan oleh puak pembangkang hinggakan ada ketikanya pemimpin Melayu puak pembangkang sanggup mencemar kesucian Islam.

Maka terkedulah 'Melayu-Melayu bangang' yang pernah beriya-iya menyokong dakwaan puak DAP yang ada muslihat disebalik tuduhan terhadap SPRM.

Suruhanjaya Diraja Kemuka Cadangan Baiki Sistem Perlindungan Saksi SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta meningkatkan infrastruktur di premis dan pejabatnya termasuk menyediakan kamera pengawasan untuk merekod pergerakan dan perlakuan setiap orang yang memasuki atau meninggalkan pejabat atau mana-mana biliknya.

Itu antara cadangan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock dalam laporannya bagi menambah baik aspek perlindungan saksi yang sedang dalam siasatan SPRM bagi mengelak sebarang kontroversi seumpama kes kematian Teoh berulang.

Cadangan yang dikemukakan itu merupakan pendapat kesemua ahli panel Suruhanjaya Diraja itu berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan semasa perjalanan siasatan kes berkenaan.

Selain penambahbaikan infrastruktur, Suruhanjaya Diraja itu turut mengusulkan supaya SPRM meneliti prosedur sedia ada supaya lebih mantap dan berkesan dan menilai semula kelayakan masuk perkhidmatan dan latihan pegawainya.

Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.S.Nathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh; Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim selaku setiausaha suruhanjaya.

Bagi meningkatkan aspek infrastruktur, Suruhanjaya Diraja itu berpendapat SPRM perlu mengadakan bilik menunggu yang ditetapkan untuk menempatkan saksi sementara menunggu ditemubual atau pernyataannya direkod.

Para pegawai perlu menunggu bersama dengan saksi untuk menghalang apa-apa perkara yang tidak diingini dan juga untuk menghalang saksi yang terlibat dalam siasatan yang sama daripada berhubungan antara satu sama lain.

Saksi pula tidak boleh dikehendaki menunggu lebih daripada 30 minit kecuali ada alasan yang baik, demikian menurut laporan itu.

"Kami tidak perlu menekankan lagi keperluan perkara ini memandangkan terdapat kejadian yang menunjukkan bahawa apabila saksi atau orang yang disyaki dibiarkan merayau-rayau tanpa diawasi di pejabat SPRM, perkara yang tidak diingini mungkin berlaku," katanya.

SPRM turut disarankan mewujudkan bilik khas untuk menemubual dan merekod pernyataan saksi.

Bilik temubual itu perlu ditempatkan di tingkat bawah pejabat SPRM dan tidak boleh dikunci semasa sesi temubual atau sesi merekod pernyataan.

Ini akan membolehkan pegawai atasan kepada pegawai yang menemubual atau yang merekod pernyataan memeriksa pegawai tersebut dari masa ke masa untuk memastikan sesi itu dijalankan dengan sepatutnya dan mengikut undang-undang.

Bagi mewujudkan ketelusan dalam proses temubual dan mengelak tuduhan menggunakan kekerasan, bilik itu perlu dilengkapi cermin kaca sekala selain semua prosiding di pejabat SPRM dirakam dalam CCTV.

SPRM turut disaran mewujudkan bilik rehat atau bermalam untuk pegawainya sekiranya tugas memerlukan mereka berada lebih lama di pejabat bagi membolehkan mereka berehat dengan lebih selesa bagi membolehkan pegawai berkenaan menguruskan saksi dengan lebih baik.

Mengenai tindakan merekod pernyataan di luar waktu pejabat, Suruhanjaya Diraja itu berpendapat, jika perberhentian tugas merekod pernyataan saksi mendatangkan kesan buruk terhadap siasatan, maka tugas itu hendaklah diteruskan melewati waktu pejabat dengan syarat saksi diberikan waktu rehat yang mencukupi dan perhatian kepada keadaan dan kesihatan fizikal dan mental saksi diambil kira.

Turut ditekankan oleh Suruhanjaya Diraja itu berkenaan layanan kepada saksi semasa tempoh soal siasat dijalankan di pejabat SPRM, termasuk penggunaan bahasa yang baik selain memberikan hak kepada saksi untuk berhubung dengan keluarga.

Mengenai kelayakan pegawai SPRM, Suruhanjaya Diraja itu berpendapat, mereka hendaklah sekurang-kurangnya tamat pendidikan tinggi, telah menjalani latihan yang komprehensif dan memenuhi standard yang dikehendaki termasuk penilaian dan kaunseling psikologi.
- Berita: Bernama

Kematian Teoh Beng Hock Akibat Bunuh Diri - Suruhanjaya Diraja


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menunjukkan buku Laporan Penuh Bagi Menyiasat Kemation Teoh Beng Hock di Lobi Parlimen pada Khamis.
SURUHANJAYA Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock mendapati kematian pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009 adalah akibat membunuh diri.

Keputusan itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya itu telah bersidang selama 50 hari mulai 14 Feb sehingga 10 Mei dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Suruhanjaya itu dalam laporannya mendapati Teoh membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.

Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan membabitkan Yong.
Berita: BernamaOnline
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog