Cina India Kaum Pendatang

Rabu, 1 September 2010

RASULULLAH PUN BUAT SILAP

NABI MUHAMMAD SAW pun kadang-kadang melakukan kesilapan tetapi, kesilapan yang dilakukan baginda bukanlah kesilapan yang boleh menyebabkan baginda berdosa. Kerana jika baginda melakukan sebarang kesilapan, Allah akan segera menurunkan ayat al-Quran sebagai teguran supaya baginda membaiki kesilapannya itu.

Salah satu kisah kesilapan terjadi pada suatu hari, itu ketika baginda sedang mengajar agama Islam kepada tokoh-tokoh kaum Quraisy. Tiba-tiba datang seorang buta bernama Ibnu Ummi Maktum, mendekati Rasulullah sambil berkata, “Wahai Rasul Allah, ajarkanlah kepadaku apa yang diajar oleh Allah kepada engkau.”

Kata-kata orang buta itu tidak dilayan oleh Rasulullah. Baginda tidak mempedulikan kata-kata orang buta itu kerana baginda berharap, para pembesar Quraisy itulah yang berkata sedemikian. Pada pendapat baginda, jika orang-orang kenamaan kaum Quraisy itu memeluk Islam, sudah tentu rakyat bawahan akan ikut serta.

Justeru itulah, baginda bertindak tidak mengendahkan permintaan orang buta itu. Sikap baginda itu menyebabkan Allah SWT murka, sehingga Allah menurunkan ayat al-Quran kepada Rasullah. Ayat itu bermaksud supaya baginda menukar sikapnya itu.

Antara maksud firman Allah berkenaan ialah: “Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling kerana datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa) atau dia ingin mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan dirinya serba cukup, maka kamu melayannya. Pada hal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan dirinya (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran) sedang dia takut kepada Allah, maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (demikian). Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah satu peringatan.” – (Surah ‘Abasa: 1-11).

Selepas turunnya ayat al-Quran itu, Nabi Muhammad telah berubah sikap terhadap Ibnu Ummi Maktum. Setiap kali berjumpa dengan orang buta itu, baginda selalu mengucapkan “Marhaban biman atabani Rabbi” bermaksud ‘Selamat datang untuk orang yang olehnya aku mendapat teguran Allah’.

Maka Rasulullah telah mengajar kepadanya akan ajaran agama Islam sebagaimana baginda mengajar sahabat-sahabatnya yang lain. Rasulullah juga menunjukkan simpati terhadap nasib Ibnu Ummi Maktum yang tidak dapat melihat itu. Untuk itu Rasulullah menyampaikan hadis yang bermaksud: “Bila aku (Allah) ambil yang dimuliakan hambaku, gantinya ialah syurga (kalau dia bersabar).

Selain layanan yang mesra, Rasulullah SAW telah melantik Ibnu Ummi Maktum menjadi Gabenor tentera Madinah. Beliau menjadi pemimpin sepenuhnya terhadap segala urusan tentera. Di samping itu, beliau juga membaca khutbah ketika solat Jumaat.

Walau bagaimanapun, Ibnu Ummi Maktum tahu diri. Dia tidak menjadikan mimbar yang diguna oleh Rasulullah semasa berkhutbah tetapi, sekadar berdiri di samping mambar Rasulullah sahaja. Begitu mulianya hati Ibnu Ummi Maktum. Dia tidak lupa daratan atas kepercayaan Rasulullah terhadap dirinya.

Beliau juga dilantik sebagai ‘tukang azan’. Beliau melaksanakan tugas itu bersama-sama petugas lain seperti Bilal. Rasulullah SAW telah menentukan waktu untuk mereka melakukan tugas mengumandangkan azan. Bilal pada waktu malam, manakala Ibnu Ummi Maktum menjalankan tugasnya pada waktu siang hari.

Begitulah kisah kesilapan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Kisah ini memberi pengajaran supaya jangan memandang rendah atau acuh tak acuh kepada orang cacat atau orang kurang upaya, kerana mereka juga adalah hamba Allah. Terbukti dari kisah ini bahawa orang buta bernama Ibnu Ummi Maktum itu jauh lebih baik daripada pembesar-pembesar Quraisy berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog