Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 10 November 2011

Pembunuhan Banting: Doktor Sahkan Gigi Milik Manusia

SEORANG Pegawai Pergigian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Khamis, mengesahkan bahawa tujuh sampel yang diperoleh daripada Sungai Panchau, Banting, dekat sini adalah gigi manusia.

Doktor Norhayati Jaffar, 38, yang merupakan saksi pendakwaan ke-69 pada perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain membuat keputusan itu setelah melakukan ujian morfologi, anatomi, saiz dan imej x-ray yang diperoleh daripada sampel tersebut.

"Saya membuat keputusan ini adalah gigi manusia berdasarkan akar gigi yang terdapat pada sampel tersebut. Ada juga sampel yang mempunyai tisu gigi yang terdapat pada gigi manusia.

"Jika dibandingkan dengan haiwan, persamaan yang paling dekat adalah dengan mawas, tetapi saiznya akan lebih besar," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada prosiding sama, Norhayati juga memberitahu, tiga lagi sampel gigi yang diserahkan kepada beliau untuk tujuan pemeriksaan didapati adalah bukan gigi manusia. Tiga sampel berkenaan berlabel 'T' iaitu tapak yang membawa maksud ia ditemui di ladang tempat pembunuhan tersebut didakwa berlaku.

Pemeriksaan terhadap sampel-sampel itu dibuat pada 17 September 2010 di bilik mayat HKL selepas diminta untuk berbuat demikian oleh Pakar Perubatan Forensik, Doktorr Nurliza Abdullah, 46, yang menemui spesimen dipercayai gigi semasa menjalankan pemeriksaan kepada semua 2,040 spesimen yang dikumpulkan dalam siasatan kes itu.

Daripada jumlah itu, Nurliza yang merupakan saksi pendakwaan ke-63 berpendapat 2,030 spesimen adalah berkemungkinan besar tulang manusia.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, Norhayati bersetuju bahawa terdapat percanggahan dalam laporan yang disediakan oleh beliau dan Nurliza, yang mana saksi menggunakan perkataan 'manusia' dengan jelas manakala Nurliza lebih cenderung menggunakan perkataan 'berkemungkinan'.

Berhubung tiga sampel yang disahkan sebagai bukan gigi manusia, Norhayati berkata, beliau berpendapat gigi tersebut mungkin datang daripada lembu, kambing atau biri-biri.

"Ia hanya sebagai contoh kerana saya tidak boleh memberikan jawapan dengan pasti melainkan jika ada melakukan ujian seperti asid deoksiribonukleik (DNA) atau jika sampel itu dirujuk kepada pakar veterinar.

"Pada pendapat saya, pakar veterinar perlu dipanggil bagaimanapun ia bukan keputusan saya untuk berbuat demikian," katanya.

Norhayati seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Manjeet bahawa Nurliza telah memberitahu apa yang mahu diperolehnya semasa menyerahkan sampel-sampel berkenaan pada 17 September tahun lalu.
Manjeet: Adakah Nurliza ada beritahu kamu bahawa dia telah pergi ke ladang?
Norhayati: Tidak (saksi menjawab dalam nada yang agak perlahan)

Manjeet : Kamu teragak-agak dalam jawapan kamu. Jawapan 'tidak' lebih perlahan dan lebih panjang daripada biasa. Kamu seorang pegawai pergigian, tetapi saya adalah peguam. Saya memerhatikan pelakuan manusia.

Menerangkan perkara itu, Norhayati berkata, beliau tidak dapat mengingati jika perkara itu ada diberitahu oleh Nurliza, tetapi saksi pasti bahawa beliau pernah membaca mengenai perkara itu di dalam suratkhabar.

Prosiding yang masuk hari ke-48 juga menyaksikan Manjeet 'diusik' kerana keadaan fizikalnya yang kelihatan lebih muda daripada usianya yang telah mencecah 69 tahun.

Apabila Hakim Datuk Akhtar Tahir bertanyakan apakah petua yang diamalkan oleh Manjeet, peguam itu secara berseloroh menjawab: "Berlawan dengan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang menyebabkan saya kelihatan lebih muda."

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathma-
nabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R.Matan, 21, dan R.Kathava-
rayan, 31, sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul antara 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di ladang lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori.

Perbicaraan akan bersambung Jumaat.
- Laporan: mStarOnline
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog