Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 2 April 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Pornthip Mengaku Disiasat Majlis Perubatan Thailand Kerana Masalah Disiplin

PAKAR patologi Dr Pornthip Rojanasunand yang pernah memberi keterangan kontroversi berhubung kematian Teoh Beng Hock, mengaku beliau kini disiasat Majlis Perubatan Thailand kerana masalah disiplin.

Pornthip, yang disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah pada prosiding Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh hari ini, turut mengaku beliau adalah aktivis kontroversi di negaranya dan tidak disukai polis.

Peguam yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata prosiding tersebut masih berjalan dan Pornthip didakwa mengadakan bukti sintetik.

Merujuk kes kematian seorang jutawan di Thailand, Muhammad Shafee berkata Pornthip pernah memberi pandangan yang salah berhubung autopsi kedua sehingga adik si mati didakwa membunuh, sedangkan autopsi pertama mendapati mangsa membunuh diri.

Muhammad Shafee berkata Pornthip dan kumpulannya menjalankan autopsi kedua dan menyatakan jutawan itu dibunuh, namun autopsi ketiga yang dijalankan 11 pakar pathologi pelbagai negara mendapati si mati membunuh diri, sama seperti keputusan autopsi pertama.

Pornthip yang kelihatan 'berang' dengan dakwaan Muhammad Shafee, enggan menjawab soalan itu dan mendakwa peguam tersebut tidak mengetahui apa-apa mengenai kes berkenaan.

Bagaimanapun, Muhammed Shafee berkata laporan mengenai kes kematian jutawan itu tersebar secara meluas di Internet.

Prosiding yang berlangsung dalam keadaan tegang itu turut menyentuh kenyataan Pornthip dalam inkues berhubung kematian Teoh di Mahkamah Koroner sebelum ini dan Muhammad Shafee berkata teori pakar patologi tersebut telah menyebabkan imej SPRM tercemar.

Bagaimanapun, Pornthip berkata beliau tidak boleh menjawab perkara itu kerana hanya memberi pandangan namun mengakui telah memberi kenyataan bahawa terdapat tusukan pada dubur mangsa bagi mendapatkan kebenaran melakukan autopsi kedua.

Beliau berkata autopsi kedua mendapati kecederaan itu disebabkan tulang yang patah dan masuk semula ke dalam tubuh. Selain itu, Porthip berkata beliau mendapati Teoh mati disebabkan jatuh dan bukan dicekik manakala kecederaan dada mangsa adalah akibat hentakan ketika jatuh.

Beliau berkata kecederaan yang dialami Teoh adalah konsisten dengan keadaan seseorang yang jatuh dari bangunan setinggi 30 meter, dan bersetuju bahawa autopsi pertama dalam tempoh 24 jam selepas kematian lebih baik berbanding autopsi kedua empat bulan kemudian.

Pornthip yang kerap menjawab pandangannya adalah berlandaskan pembacaan dan pengalaman, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa pendapat beliau berhubung kematian Teoh bergantung kepada kes-kes terhad yang dikendalikan.

Katanya, beliau mengendalikan pelbagai kes di Thailand dan apa yang dimaklumkan kepada mahkamah merupakan pandangan tanpa mendapat arahan mana-mana pihak.

Sementara itu, selepas Pornthip memberi keterangan, Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen memaklumkan bahawa penyiasat persendirian Michael Leslie Squires telah selesai menyiasat komputer dan telefon milik enam pegawai SPRM yang berkaitan.

Beliau berkata siasatan mendapati tidak ada SMS atau panggilan serta e-eml berkaitan kes ini ditemui dalam telefon dan komputer mereka.

Selain Foong, Suruhanjaya Siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik, yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding bersambung Isnin.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog