Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 8 April 2011

Ketua PKR Cabang Rantau Panjang Didakwa Subahat Rasuah RM50,000

KETUACabang PKR Rantau Panjang, Datuk Mohammad Agos Mohd Noor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas pertuduhan bersubahat dengan seorang ibu tunggal untuk menipu seorang lelaki berhubung penganugerahan Dato' D'Raja dari sebuah persatuan kerabat, tahun lalu.

Pengakuan Mohammad Agos, 51, yang merupakan seorang ahli perniagaan direkodkan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa bersubahat dengan Nor Azimah Jamaludin, 31, untuk menerima sekeping cek Public Bank bernilai RM50,000 bertarikh 7 Disember 2010 daripada Izuldin Hani Mohd Noor pada 8 Disember di Restoran McDonalds, Taman Melawati, Setapak, Kuala Lumpur.

Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk Nor Azimah melakukan suatu transaksi yang dicadangkan iaitu mendapatkan anugerah Dato' D'Raja dari Persatuan Kerabat Yang Maha Mulia Long Yunus Negeri Kelantan.

Bagi kesalahan itu, Mohammad Agos didakwa mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16 (a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen 24 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohammad Agos ditangkap pada 15 Disember lalu.

Selain itu, Mohammad Agos juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu telah bersubahat dengan Nor Azimah untuk menipu Izuldin Hani bagi mempercayai bahawa wanita itu boleh mendapatkan anugerah tersebut sedangkan ia tidak sah mengikut Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.

Penipuan tersebut didakwa telah mendorong Izuldin Hani untuk menyerahkan cek tersebut yang mana dia tidak akan berbuat demikian, jika tidak diperdayakan.

Pertuduhan pilihan ditawarkan oleh Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.

Abdul Razak menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 atas alasan ia satu jumlah yang berpatutan dengan nilai kesalahan yang dipertuduhkan.

"Kesalahan yang dilakukan juga adalah serius dan tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk beberapa pertuduhan. Untuk memudahkan urusan pentadbiran, kami berhasrat untuk mengenakan satu jaminan sahaja," katanya.

Bagaimanapun, peguam Wan Helmi Wan Hasan membantah jumlah tersebut kerana berpandangan jumlah jaminan hendaklah satu jumlah yang munasabah yang dapat memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

"Jika jumlah yang tinggi dkenakan, tertuduh tidak akan mampu untuk menjelaskan jaminan dan dia akan dihantar ke lokap. Ini baru pertuduhan dan tertuduh belum disabitkan bersalah," katanya.

Rozilah kemudiannya mengekalkan jaminan pada jumlah RM30,000 selepas berpuas hati jumlah tersebut adalah satu jumlah yang berpatutan dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mei depan.

Sementara itu, Nor Azimah didakwa di Mahkamah Sesyen berlainan atas pertuduhan menerima cek tersebut daripada Izuldin Hani di tempat, masa dan untuk tujuan yang sama.

Wanita bertubuh sederhana itu juga ditawarkan pertuduhan pilihan menipu Izuldin Hani sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan cek terbabit.

Nor Azimah yang beralamat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur ditangkap pada 7 April lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam memberitahu Hakim Rosbiahanin Arifin bahawa dia hanya menurut arahan yang diberikan oleh Mohammad Agos.

"Saya tidak salah. Saya hanya mengikut arahan yang diberikan oleh Agos. Dia yang beri arahan pada saya...," katanya.

Percakapan itu dipotong oleh Rosbiahanin yang memberitahu perkara tersebut perlu dikemukakan pada perbicaraan kelak.

Rosbiahanin membenarkan Nor Azimah dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dan sebutan kes akan diadakan pada 9 Mei depan.

Difahamkan, Mohammad Agos mendapat gelaran sebagai Datuk Paduka di dalam persatuan kerabat itu dan menggalas jawatan sebagai setiausaha majlis penganugerahan terbabit.
- mStarOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog