Cina India Kaum Pendatang

Rabu, 3 Ogos 2011

Pembunuhan Banting: Rakaman Percakapan Saksi Utama Tidak Boleh Diterima - Manjeet

BARISAN pembelaan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik,Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya menghujahkan bahawa MahkamahTinggi Shah Alam, tidak seharusnya menerima masuk rakaman percakapanyang didakwa diberikan oleh saksi utama kes itu.

Isu mengenai rakaman percakapan daripada seorang pekerja ladang, U.Suresh, 27, timbul selepas dia menafikan keterangan di dalam dokumen setebal 24 halaman itu diberikan olehnya selain mendakwa dia dipaksa semasa proses rakaman percakapan itu dibuat.

Justeru itu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan agar satu bicara dalam perbicaraan (TWT) diadakan bagi mengesahkan kesahihan rakaman percakapan itu dan pihak pendakwaan telah mengemukakan empat saksi, iaitu pegawai perakam, Asisten Superintendan (ASP) Ong Seng Keong dan jurubahasa Tamil, Detektif Koperal Kamaluddeen Abd Kareem.

Turut dipanggil ialah juruvideo, Detektif Sarjan Abdul Hadi Ismail dan Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Ishak Yaakob.

Pada prosiding Selasa, peguam Manjeet Singh Dhillon menghujahkan bahawa rakaman percakapan yang dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah tidak boleh diterima ekoran Ong telah menggunakan komputer riba dan peranti storan media (USB) semasa membuat rakaman itu pada 26 Oktober 2010.

"Tiada sesiapa yang mengetahui apa yang ditaip oleh Ong pada komputer riba tersebut dan beliau juga tidak menyatakan apa-apa sekiranya kandungan pada komputer riba telah dipindahkan ke dalam USB," kata Manjeet.

Selain itu, beliau juga menambah, Ong juga telah meninggalkan bilik dimana rakaman percakapan dibuat dan kembali semula dengan membawa dokumen bercetak yang didakwa merupakan rakaman percakapan daripada Suresh.

Sementara itu, peguam Gurbachan Singh pula menghujahkan bahawa rakaman percakapan tersebut tidak dibacakan kembali kepada Suresh dalam BahasaTamil, menyebabkan berlaku kesilapan berhubung tempat lahir saksi.

"Di halaman pertama rakaman percakapan, dinyatakan bahawa Suresh dilahirkan di Telok Intan, Perak bagaimanapun di bahagian halaman belakang dinyatakan sebagai Taiping. Jika dokumen ini dibacakan semula, sudah pasti kesilapan ini dapat diperbetulkan," katanya.

Peguam Amer Hamzah Arshad pula menghujahkan bahawa pihak polis seharusnya menggunakan seorang jurubahasa yang bebas dalam proses tersebut dan bukannya mengambil seorang anggota polis yang fasih berbahasa Tamil untuk melakukan tugasan tersebut.

"Pada masa kini, wujud dakwaan bahawa jawapan yang diberikan oleh Suresh telah diganggu gugat, itu sebabnya kita memerlukan seorang jurubahasa yang bebas," katanya dan menambah soalan-soalan yang diajukan juga 'memandu' saksi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff membalas hujahan itu dengan menyatakan adalah mustahil untuk seorang jurubahasa menjadi benar-benar bebas memandangkan kes tersebut mendapat liputan meluas oleh media.

Tambah beliau, tugas seorang jurubahasa juga sekadar menterjemahkan apa yang ditanya oleh Ong kepada saksi dalam Bahasa Tamil yang mudah, dan sekiranya saksi boleh memahami soalan itu, dia juga akan memberikan jawapan secara terus kepada pegawai perakam dalam Bahasa Melayu.

Ishak juga menghujahkan, tiada peruntukkan yang melarang pegawai perakam untuk menggunakan soalan-soalan yang memandu kepada saksi kerana kedudukannya dalam kes itu bukan sebagai seorang tertuduh.

"TWT diadakan kerana Suresh mendakwa dia diugut sehingga menyebabkan dia tertekan semasa memberikan rakaman percakapan tersebut. Maka, beban untuk membuktikan dakwaan itu adalah terletak di bahu saksi," ujar Ishak.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin pula menghujahkan bahawa Suresh yang kini menjalani hukuman penjara selama 20 tahun di Penjara Sungai Undang, Melaka kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan tersebut telah menandatangani setiap helaian rakaman percakapan tersebut.

Selepas mendengar hujahan tersebut, Akhtar memutuskan bahawa beliau memerlukan masa untuk meneliti hujahan dan nas-nas undang-undang berhubung perkara itu sebelum membuat keputusan.

Beliau juga menetapkan agar satu lagi TWT dimulakan pada Rabu, berhubung dakwaan bahawa tertuduh kedua dalam dalam perbicaraan itu, T. Thilaiyalagan telah memberikan kenyataan yang membawa kepada penemuan barang kes di beberapa lokasi di Banting.

Thilaiyalagan, 20, didakwa bersama bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan pekerja ladang, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Oktober 2010.

Semua mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB, NoorhishamMohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu,Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Jika disabitkan bersalah, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Laporan: mStarOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog