Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Kes Bunuh Sosilawati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kes Bunuh Sosilawati. Papar semua catatan

Khamis, 10 November 2011

Pembunuhan Banting: Doktor Sahkan Gigi Milik Manusia

SEORANG Pegawai Pergigian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Khamis, mengesahkan bahawa tujuh sampel yang diperoleh daripada Sungai Panchau, Banting, dekat sini adalah gigi manusia.

Doktor Norhayati Jaffar, 38, yang merupakan saksi pendakwaan ke-69 pada perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain membuat keputusan itu setelah melakukan ujian morfologi, anatomi, saiz dan imej x-ray yang diperoleh daripada sampel tersebut.

"Saya membuat keputusan ini adalah gigi manusia berdasarkan akar gigi yang terdapat pada sampel tersebut. Ada juga sampel yang mempunyai tisu gigi yang terdapat pada gigi manusia.

"Jika dibandingkan dengan haiwan, persamaan yang paling dekat adalah dengan mawas, tetapi saiznya akan lebih besar," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada prosiding sama, Norhayati juga memberitahu, tiga lagi sampel gigi yang diserahkan kepada beliau untuk tujuan pemeriksaan didapati adalah bukan gigi manusia. Tiga sampel berkenaan berlabel 'T' iaitu tapak yang membawa maksud ia ditemui di ladang tempat pembunuhan tersebut didakwa berlaku.

Pemeriksaan terhadap sampel-sampel itu dibuat pada 17 September 2010 di bilik mayat HKL selepas diminta untuk berbuat demikian oleh Pakar Perubatan Forensik, Doktorr Nurliza Abdullah, 46, yang menemui spesimen dipercayai gigi semasa menjalankan pemeriksaan kepada semua 2,040 spesimen yang dikumpulkan dalam siasatan kes itu.

Daripada jumlah itu, Nurliza yang merupakan saksi pendakwaan ke-63 berpendapat 2,030 spesimen adalah berkemungkinan besar tulang manusia.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, Norhayati bersetuju bahawa terdapat percanggahan dalam laporan yang disediakan oleh beliau dan Nurliza, yang mana saksi menggunakan perkataan 'manusia' dengan jelas manakala Nurliza lebih cenderung menggunakan perkataan 'berkemungkinan'.

Berhubung tiga sampel yang disahkan sebagai bukan gigi manusia, Norhayati berkata, beliau berpendapat gigi tersebut mungkin datang daripada lembu, kambing atau biri-biri.

"Ia hanya sebagai contoh kerana saya tidak boleh memberikan jawapan dengan pasti melainkan jika ada melakukan ujian seperti asid deoksiribonukleik (DNA) atau jika sampel itu dirujuk kepada pakar veterinar.

"Pada pendapat saya, pakar veterinar perlu dipanggil bagaimanapun ia bukan keputusan saya untuk berbuat demikian," katanya.

Norhayati seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Manjeet bahawa Nurliza telah memberitahu apa yang mahu diperolehnya semasa menyerahkan sampel-sampel berkenaan pada 17 September tahun lalu.
Manjeet: Adakah Nurliza ada beritahu kamu bahawa dia telah pergi ke ladang?
Norhayati: Tidak (saksi menjawab dalam nada yang agak perlahan)

Manjeet : Kamu teragak-agak dalam jawapan kamu. Jawapan 'tidak' lebih perlahan dan lebih panjang daripada biasa. Kamu seorang pegawai pergigian, tetapi saya adalah peguam. Saya memerhatikan pelakuan manusia.

Menerangkan perkara itu, Norhayati berkata, beliau tidak dapat mengingati jika perkara itu ada diberitahu oleh Nurliza, tetapi saksi pasti bahawa beliau pernah membaca mengenai perkara itu di dalam suratkhabar.

Prosiding yang masuk hari ke-48 juga menyaksikan Manjeet 'diusik' kerana keadaan fizikalnya yang kelihatan lebih muda daripada usianya yang telah mencecah 69 tahun.

Apabila Hakim Datuk Akhtar Tahir bertanyakan apakah petua yang diamalkan oleh Manjeet, peguam itu secara berseloroh menjawab: "Berlawan dengan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang menyebabkan saya kelihatan lebih muda."

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathma-
nabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R.Matan, 21, dan R.Kathava-
rayan, 31, sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul antara 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di ladang lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori.

Perbicaraan akan bersambung Jumaat.
- Laporan: mStarOnline

Kes Sosilawati: Gobalakrishnan diberi amaran

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Rabu memberi amaran kepada Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobala-
krishnan berhubung kenyataan beliau yang dikatakan mengkritik peribadi seorang peguam bela dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya pada pada Ogos lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berbuat demikian atas alasan kenyataan yang dikeluarkan terhadap Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan boleh menimbulkan subjudis (kacau ganggu kes-kes yang belum selesai) selain ia tidak tepat.

''Saya tidak panggil awak bagi pihak Manjeet. Apa yang saya prihatin ialah tindakan awak melibatkan mahkamah dan memanipulasikannya untuk kepentingan politik.

''Hakim-hakim di Malaysia lebih bebas daripada yang awak sangka. Kami bukan bodoh dengan hanya duduk dan membiarkan pihak pendakwaan dan pembelaan berbuat sesuka hati. Kami bertindak mengikut undang-undang.

''Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan hari ini kerana saya lebih suka memberi peluang kedua. Saya cuma ingin memberi amaran dan ia adalah amaran terakhir,'' katanya.

Ketika ditanya sama ada Gobalakrishnan ingin mengatakan sesuatu, Ahli Parlimen itu memberitahu, beliau tidak ingat apa yang dikatakan kepada wartawan.

Sebelum sempat beliau menghabiskan ayatnya, Hakim Akhtar menghalang ahli politik itu daripada memberi penjelasan lanjut memandangkan wartawan yang dipanggil oleh mahkamah sebelum ini memaklumkan artikel itu ditulis berdasarkan kenyataan olehnya.

Sebelum membenarkan Gobalakrishnan meninggalkan bilik bicara, Hakim Akhtar sempat menempelak dengan berkata: ''Kalau awak benar-benar seorang lelaki, awak akan minta maaf. Jangan ulangi perbuatan ini. Saya tidak mahu membuang masa, awak boleh beredar sekarang jika mahu.''

Gobalakrishnan hanya didengari berkata 'Ok' dan terus bertindak meninggalkan mahkamah.

Utusan Malaysia pada 17 Ogos lalu menyiarkan artikel bertajuk Manjeet selalu burukkan kerajaan dengan memetik kritikan Gobalakrishnan terhadap Manjeet, manakala TV3 turut menyiarkan komen yang sama pada malam 16 Ogos lepas.

Berikutan itu, Manjeet pada 26 September lalu telah memfailkan saman terhadap Gobalakrishnan bagi menuntut ganti rugi RM2.5 juta berikutan penyiaran artikel dan berita yang didakwa memfitnahnya itu.

Selain Gobalakrishnan, beliau turut menamakan wartawan Utusan, Raja Syahrir Abu Bakar, Utusan Melayu (M) Bhd. dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. sebagai defendan-defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Manjeet mendakwa berita yang disiarkan itu telah merosakkan reputasi dan kredibiliti beliau sebagai seorang peguam mahupun sebagai seorang individu.

Manjeet semasa ditemui di luar mahkamah pula memaklumkan beliau telah menyerahkan salinan saman tersebut kepada Gobalakrishnan walaupun Ahli Parlimen Bebas itu enggan menerima dan bertindak mencampakkan dokumen berkenaan.

Sementara pada prosiding hari ini, Dr. Amir Saad Abdul Rahim, 40, memberitahu, sampel darah isteri Noorhisham Mohamad, Suzana Radin Pangat dan tiga anak mereka, Muhammad Faiz Ridzmi, Muhammad Azri Shahzan dan Nor Neesa Salbiah diambil pada 19 September 2010 bagi membolehkan ujian perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Turut memberi keterangan hari ini ialah jurutera utama dari DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi), Chong Chee Wah serta penolong pegawai penyiasat, Sarjan Syed Mohd. Nazri Syed Darus.

Perbicaraan yang masuk hari ke-47 bersambung Khamis.
- Laporan: UtusanOnline

Selasa, 8 November 2011

Pembunuhan Banting: Saksi Pakar Nafi Berpihak Pada Pendakwaan

PEGUAM yang mewakili barisan pembelaan tertuduh yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang didakwa hilang bersamanya cuba mencabar kredibiliti seorang saksi pakar apabila mengatakan beliau berpihak kepada barisan pendakwaan.

Bagaimanapun, saksi terbabit, Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Doktor Nurliza Abdullah, 46, yang sedang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan tenang menafikan kenyataan tersebut.

Perkara itu pada awalnya ditimbulkan peguam Manjeet Singh Dhillon yang mengatakan saksi berpihak kepada pihak pendakwaan kerana tidak memberikan jawapan secara objektif, sebaliknya memberikan jawapan subjektif kepada soalan yang diajukan oleh peguam.

Sebelum ini, Manjeet juga pernah mengingatkan Nurliza bahawa kehadirannya di mahkamah adalah sebagai seorang saksi bebas yang membantu mahkamah dalam membuat keputusan dan bukannya untuk pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timabalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Peguam Amer Hamzah Arshad seterusnya 'menyokong' kenyataan Manjeet apabila mendakwa saksi yang pakar dalam bidang forensik anthropology (tulang manusia) mempunyai pengetahuan awal yang dapat memprejudiskan kedudukan tertuduh.

Justeru itu, Amer Hamzah menambah, keterangan saksi pada Selasa, banyak berpihak kepada pendakwaan dan saksi juga menggunakan perkataan bahawa spesimen yang ditemui berkemungkinan besar adalah tulang manusia supaya ia selari dengan apa yang telah dinyatakan oleh pihak polis kepadanya.

"Saya tidak bersetuju," kata Nurliza yang merupakan saksi pendakwaan ke-63.

Amer Hamzah seterusnya meminta Nurliza memberikan peratusan bagi menggantikan penggunaan perkataan 'kemungkinan besar tulang manusia', bagaimanapun saksi menjawab, beliau tidak boleh berbuat demikian.

"Saya hanya boleh memberikan jawapan secara subjektif, iaitu berkemungkinan besar tulang manusia tidak secara peratusan," tambahnya.

Nurliza juga mengakui bahawa beliau tidak boleh menentukan sama ada semua tulang tersebut yang ditemui di ladang tempat pembunuhan itu didakwa berlaku dan di Sungai Panchau, Banting, dekat sini dibakar pada waktu yang sama.

Amer Hamzah: Pernah tak kamu menjalankan ujian di mana tulang ditanam dan berlaku pembakaran di atas tanah itu?
Nurliza: Tidak.

Amer Hamzah: Kamu tahu atau tidak bahawa jika berlaku pembakaran di atas tanah ia boleh menyebabkan perubahan warna pada tulang tersebut?
Nurliza: Saya berpendapat perkara itu boleh berlaku jika ia melibatkan suhu yang tinggi sehingga sampai kepada tulang.

Amer Hamzah: Setuju jika saya katakan kamu tidak mempunyai kepakaran untuk menentukan ciri-ciri yang ada pada tulang haiwan yang telah dibakar?
Nurliza: Saya bukan pakar dalam bidang tulang haiwan.

Pada keterangannya, Nurliza yang pernah terlibat dalam siasatan sembilan individu terbakar akibat perlanggaran kapal tangki juga mengakui bahawa beliau tidak boleh mengesahkan jika pembakaran tersebut disebabkan oleh ritual kematian sesuatu agama.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, dekat sini, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Jika disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan pada Selasa hanya dihadiri oleh tiga tertuduh kerana Kathavarayan masih tidak sihat selepas dijangkiti batuk kering.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Rabu.

Jumaat, 4 November 2011

Pembunuhan Banting: Spesimen Tulang Tiada DNA?

PERBICARAAN kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat, dikejutkan dengan persoalan bahawa spesimen yang berkemungkinan besar tulang manusia yang dijumpai dalam siasatan kes tersebut tidak mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA).

Perkara itu ditimbulkan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon kepada saksi pendakwaan ke-63, Dr Nurliza Abdullah, 46, berdasarkan keterangan Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terdahulu mengesahkan bahawa 30 daripada 2,030 spesimen yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mendapatkan DNA.

Tambah saksi, bagi tujuan tersebut, Pengarah Bahagian Forensik, jabatan terbabit, Lim Kong Boon telah mengambil 18 spesimen pada 15 September 2010 manakala baki 12 spesimen lagi diambil pada 21 September tahun yang sama oleh ahli kimia, Nor Aidora Saedon.

Manjeet: Adakah kamu tahu hasil ujian DNA yang dijalankan terhadap spesimen-spesimen yang diambil?
Nurliza: Saya tidak tahu.

Manjeet: Saya beritahu kamu bahawa mereka (Jabatan Kimia Malaysia) tidak menjumpai apa-apa DNA dalam semua 30 spesimen tersebut?
Nurliza: Saya tidak tahu.

Manjeet: Adakah kamu terkejut mendengar perkara ini?
Nurliza: Saya tidak terkejut.

Semasa disoal balas oleh Manjeet, saksi itu juga mengakui bahawa beliau tidak boleh memastikan sama ada spesimen tersebut datang daripada individu berbangsa India, Cina, Melayu atau Caucasian.

Nurliza yang merupakan pakar dalam bidang anthropology (tulang dan rangka manusia) juga mengakui bahawa beliau tidak boleh mengesahkan tempoh berapa lama spesimen tulang tersebut telah berada di tempat ia dijumpai.

Pada prosiding itu, Manjeet juga bertanyakan saksi sekiranya beliau mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam bidang tulang haiwan, seperti lembu, kambing dan anjing yang dikatakan terdapat di ladang tempat pembunuhan tersebut didakwa berlaku.

Nurliza memberitahu, beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut tetapi memiliki pengetahuan asas berhubung perkara berkenaan, selain turut mengesahkan spesimen tersebut tidak dihantar untuk rujukan pakar di dalam bidang haiwan.

Manjeet menambah, rangka tulang manusia dan haiwan-haiwan tersebut berkongsi istilah-istilah yang sama dan cadangan tersebut diakui oleh pakar yang bertubuh kecil molek tersebut.

Berhubung penggunaan istilah 'non-human bones' (bukan tulang manusia) yang digunakan Nurliza dalam laporannya, saksi menjelaskan beliau tidak dapat memastikan secara tepat apakah bahan spesimen terbabit.

"Saya tidak tahu ia tulang apa kerana saya hanya boleh mengenal pasti tulang-tulang manusia berdasarkan sifat-sifatnya. Maka apa yang tidak saya ketahui, akan dikategorikan sebagai non-human bones," tambah beliau.

Nurliza juga bersetuju dengan cadangan Manjeet bahawa beliau tidak menggunakan perkataan 'tulang manusia' di dalam laporan tersebut, sebaliknya diletakkan sebagai 'berkemungkinan besar tulang manusia.'

Terdahulu, dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, saksi memberitahu berat kesemua 2,030 gram spesimen tulang tersebut adalah berjumlah 2,505 gram.

"Pada kebiasannya, berat serpihan tulang seorang individu yang terdedah pada suhu haba yang tinggi adalah antara 2,300 gram ke 2,400 gram dan dalam kes ini jumlahnya telah melebihi kelaziman.

Terdapat juga perbezaan antara berat serpihan tulang wanita dengan lelaki kerana serpihan tulang wanita yang didedahkan pada suhu haba yang tinggi beratnya akan kurang daripada 2,000 gram," tambahnya.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, dekat sini, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang turut dilaporkan hilang selepas mengikuti Sosilawati ke Banting.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Selasa depan.
- Laporan: mStarOnline

Khamis, 3 November 2011

Pembunuhan Banting: Kemungkinan Besar Spesimen Adalah Tulang Manusia

SEORANG Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan bahawa 2,030 spesimen termasuk 19 yang dijumpai di tapak tempat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dipercayai dibunuh bersama tiga individu yang lain, kemungkinan besar adalah tulang manusia.

Dr Nurliza Abdullah, 46, yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang forensik anthropology (tulang atau rangka manusia) juga memberitahu, spesimen tersebut turut menunjukkan kesan-kesan pembakaran atau pendedahan kepada suhu haba yang amat tinggi.

Menjelaskan keadaan itu, Nurliza yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-63 berkata, pendapat itu dibuat berdasarkan perubahan warna daripada coklat kegelapan sehingga kehitaman dan kelabu kebiruan kepada warna putih.

"Untuk mendapat perubahan warna sehingga menjadi keputihan, iaitu proses yang dipanggil sebagai calcination, ia memerlukan haba yang sekurang-kurangnya setinggi 800 darjah celcius yang menyebabkan hanya tinggal mineral yang sudah tersedia ada pada tulang," tambahnya.

Selain itu, Nurliza juga memberitahu, pemeriksaan yang dilakukan pada spesimen tersebut mendapati terdapat kesan retakan, rekahan dan belahan secara melintang serta melengkung selain berlaku perubahan bentuk struktur tulang.

"Ini menunjukkan bahawa semasa tulang-tulang ini didedahkan kepada suhu yang tinggi ia adalah tulang yang berdaging, iaitu jasad yang berdaging.

"Apabila tulang berdaging didedahkan pada suhu yang amat tinggi, perubahan akan berlaku pada tulang berkenaan yang boleh membengkok, berpintal dan menunjukkan kesan-kesan rekahan atau belahan," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Selain itu, semasa ditanya sama ada spesimen tersebut dapat membantu dalam mengenal pasti bilangan individu yang terlibat, Nurliza berkata, beliau berpendapat sekurang-kurangnya ia melibatkan dua individu.

Pendapat itu disokong dengan penemuan dua tulang odontoid, iaitu tulang yang terdapat di bahagian belakang leher manusia yang membantu untuk menunduk atau menggelengkan kepala.

"Seorang manusia hanya mempunyai satu sahaja odontoid," katanya dan bagi memberikan pemahaman yang lebih baik, saksi menggunakan rangka manusia yang difahamkan berharga belasan ribu bagi menunjukkan kedudukan tulang tersebut.

Bagaimanapun, Nurliza mengakui bahawa beliau tidak dapat memastikan jantina, umur atau keturunan pemilik tulang terbabit memandangkan serpihan tersebut sangat pecah dan tidak boleh dicantumkan.

Ketika ditanya mengapa saksi kerap menggunakan perkataan kemungkinan besar tulang manusia semasa merujuk kepada spesimen berkenaan, Nurliza berkata, beliau hanya boleh memberi kebarangkalian secara subjektif berdasarkan hasil pemeriksaan kepada struktur anatomi manusia.

Berhubung penemuan beberapa spesimen dipercayai berkemungkinan besar adalah gigi, Nurliza memberitahu, beliau telah merujuk perkara itu kepada pakar gigi.

Pada keterangan-
nya, Nurliza memberitahu pemeriksaan kepada semua spesimen berjumlah 2.040 yang ditemui di tapak dan di Sungai Panchau di Banting, dekat sini dilakukan pada 15 hingga 18 September 2010.

Semua spesimen terbabit akan dimasukkan semula ke dalam beg plastik dan disimpan di dalam peti sejuk mayat yang berkunci sebelum sebahagiannya di hantar ke Jabatan Kimia Malaysia menerusi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Ishak Yaakob.

Nurliza juga memberitahu beliau bersama tujuh lagi doktor dari HKL, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dan Hospital Melaka telah mengikuti lawatan ke tapak berkenaan pada 14 September 2010 bagi membantu polis melakukan pencarian tulang.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathma-
nabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, dekat sini, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang turut dilaporkan hilang selepas mengikuti Sosilawati ke Banting.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Jumaat.
- Laporan: mStarOnline

Khamis, 13 Oktober 2011

Kes Bunuh Sosilawati: Pathmanabhan lewat jumpa rakan pada malam kejadian bunuh....

MAHKAMAH Tinggi di sini Khamis diberitahu bahawa bekas peguam N Pathmanabhan sepatutnya menemui seorang rakan pada malam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain didakwa dibunuh, tetapi gagal berbuat demikian dengan alasan "mahu menyelesaikan satu urusan".

Bekas pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berpangkat ACP, Mohamad Jamil Mohamad Hassan, 79, berkata Pathmanabhan menghubunginya pada 1.30 petang pada 30 Ogos tahun lepas dan mengajak beliau berbuka puasa di Subang Jaya.

Katanya Pathmanabhan berjanji akan menghubunginya semula apabila bekas peguam itu tiba di sana pada 7 malam hari sama.

"Apabila Pathmanabhan masih tidak hubungi saya pada 7 malam, saya rasa tidak sedap hati dan hubungi dia kira-kira empat ke lima minit selepas itu. Pathmanabhan jawab panggilan saya dan dia kata tidak dapat hadir kerana dia dikehendaki selesaikan urusan-urusan yang belum diselesaikan.

"Tetapi dia juga beritahu dia akan datang jumpa saya malam itu juga dan suruh saya tunggu lagi. Oleh kerana saya pun tidak ada urusan lain saya bersetuju untuk tunggu dia," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Mohamad Jamil, saksi ke-61, memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan serta R. Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos tahun lepas.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Jamil, yang mengenali Pathmanabhan kira-kira tiga tahun lepas, berkata Pathmanabhan kemudian menghubunginya pada 10 malam dan menyatakan bahawa dia telah sampai di kawasan Hotel Dorsett di Subang Jaya dan memintanya menemui beliau.

"Apabila tiba di hotel itu kira-kira 10.20 malam, saya nampak dia (Pathmanabhan) tunggu di kaunter joki hotel seorang diri. Saya tanya dia datang dengan siapa dan dia jawab dengan adiknya. Bila saya tanya mana adiknya, dia cakap adiknya tinggalkannya di situ dan pergi jumpa rakan.

"Saya kemudian ajak Pathmanabhan ke bandar Subang Jaya dan dia setuju. Saya bawa dia naik kereta saya dan kami pergi ke Classic Cafe di SS15, Subang Jaya di mana kami pesan teh tarik serta roti nan tandoori," katanya.

Saksi itu berkata sepanjang berada di sana, mereka tidak berbincang tentang perkara lain tetapi hanya berbual-bual sambil makan sehingga 12 tengah malam dan beliau kemudian mengajak Pathmanabhan pulang kerana perlu bangun sahur pada keesokannya.

Mohamad Jamil berkata Pathmanabhan meminta beliau menghantarnya semula ke hotel selepas memberitahu bahawa adiknya akan menjemputnya di sana dan pulang ke Banting.

Menurutnya kira-kira tiga hari selepas pertemuan mereka, Pathmanabhan menghubunginya dan memberitahu bahawa terdapat banyak aktiviti siasatan dilakukan pihak media dan polis di kawasan Banting berhubung kes bunuh.

"Pathmanabhan beritahu saya bahaawa akhbar tidak berlaku adil terhadapnya dan saya cakap dia boleh selesaikan perkara itu sendiri. Saya juga cakap tunggu dan lihat apa akan berlaku," katanya yang memanggil Pathmanabhan dengan gelaran 'Datuk'.

Ditanya Ishak sama ada Pathmanabhan ada memberitahu beliau dari mana dia mendapat gelaran 'Datuk', Mohamad Jamil berkata Pathmanabhan ada memberitahu beliau bahawa dia dianugerahkan gelaran 'Datuk' oleh Sultan Kelantan.

Ishak : "Sepanjang mengenali Pathmanabhan, berapa kali awak jumpa dan keluar makan?"
Mohamad Jamil : "Jumpa lebih dari dua kali tetapi keluar makan dua kali."

Ishak : "Pernah atau tidak Pathmanabhan tidak tepati janji seperti yang dilakukannya pada 30 Ogos 2010?"
Mohamad Jamil: "Tidak pernah, dia akan tunaikan bila sudah berjanji."

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan untuk tidak membenarkan rakaman percakapan saksi ke-59 pendakwaan, K.Sarawanan, 19, di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah digunakan oleh pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

Beliau memutuskan sedemikian selepas selesai mendengar prosiding perbicaraan dalam perbicaraan yang diadakan bagi menentukan sama ada saksi itu ada memberi kenyataan kepada polis berhubung kes itu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-41 itu disambung pada 1 Nov.
- Laporan: BernamaOnline

Selasa, 11 Oktober 2011

Kes Bunuh Sosilawati: Satu lagi 'perbicaraan dalam perbicaraan' diadakan....


PERBICARAAN hari ke-41 kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menyaksikan prosiding ‘perbicaraan dalam perbicaraan’ ketiga dijalankan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir mengarahkan prosiding itu diadakan bagi menentukan sama ada saksi ke-59 pendakwaan, K Sarawanan, ada memberi kenyataan kepada polis berhubung kes itu berikutan kenyataan pihak pendakwaan bahawa saksi berkenaan memberi lima keterangan bercanggah di mahkamah dan mahu mencabar kebolehpercayaannya.

Sarawanan, 19, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Sebelum ini, prosiding perbicaraan dalam perbicaraan pertama diadakan bagi menentukan kebolehterimaan isi kandungan rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah milik saksi ke-29 pendakwaan, U Suresh, yang juga sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana kesalahan serupa.

Prosiding perbicaraan dalam perbicaraan kedua diadakan bagi menentukan kebolehterimaan maklumat yang membawa kepada penemuan eksibit-eksibit dalam kes itu oleh tertuduh kedua dan ketiga, T Thilaiyalagan dan R Kathavarayan, kepada pihak polis.

Sarawanan dan Suresh memberi keterangan pada perbicaraan bekas peguam N. Pathma-
nabhan bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, R. Matan dan Kathavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai Bank Noorhisham Mohamad, 38, di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Saksi pertama perbicaraan dalam perbicaraan ketiga, pegawai penyiasat kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, ASP Wan Aeidil Wan Abdullah, 32, berkata beliau telah merakam percakapan Sarawanan di bilik reman Penjara Sungai Udang pada 26 Oktober tahun lalu.

Beliau berkata rakaman percakapan Sarawanan dibuat dari 3 petang sehingga 6.20 petang hari sama dengan menggunakan khidmat seorang jurubahasa Tamil yang juga anggota polis, Koperal K. Singgaram.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, saksi itu berkata beliau mencatatkan percakapan Sarawanan menggunakan aplikasi 'Word' dalam komputer riba milik pegawai penyiasat ASP Mohd Ishak Yaakob.

"Sebelum cetak, saya, jurubahasa dan Sarawanan semak semula rakaman percakapan itu. Selepas mencetaknya saya bacakan semula dengan diterjemahkan oleh jurubahasa dan selepas (Sarawanan) setuju, kami turunkan tanda tangan," katanya.

"Adakah awak tanya sama ada Sarawanan nak buat pindaan terhadap statement itu," soal Ishak.

"Ya, tetapi dia (Sarawanan) setuju dan berpuas hati dengan apa yang dirakamkan pada masa itu. Tanda tangan diturunkan selepas saya memberikan penjelasan kepadanya," kata Wan Aeidil.

Perbicaraan disambung Khamis ini.
- Laporan: Bernama

Isnin, 10 Oktober 2011

Kes Sosilawati: Pathmanabhan Ialah Pemilik Ladang Gadong

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam diberitahu bahawa Ladang Gadong di Tanjung Sepat, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain adalah milik tertuduh pertama, N Pathmanabhan yang dibeli tidak lama sebelum kejadian.

Saksi ke-58 pendakwaan, K. Sree Ganashan, 39, seorang jurutera berkata hartanah seluas 0.12 hektar itu dijual oleh ibu saudaranya yang bernama Dhanam kepada bekas peguam itu pada Ogos tahun lepas.

Beliau yang bertanggujawab ke atas urusan pembelian hartanah itu berkata Pathmanabhan membeli ladang berkenaan dengan harga RM300,000.

"Selepas makcik beritahu nak jual tanah, saya telah beritahu kawan-kawan. Mungkin ada kawan yang beritahu Pathmanabhan dan dia (Pathmanabhan) kemudian hubungi saya bertanyakan perkara itu serta ingin melihat tanah itu.

"Saya tunjukkan tanah itu kepada Pathmanabhan pada bulan Ogos tahun lepas dan dia kemudian bersetuju nak beli. Pathmanabhan bayar deposit RM100,000 seminggu selepas itu dan dua minggu seterusnya dia bayar baki RM200,000. Kesemua bayaran dibuat melalui cek," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Sree Ganashan memberi keterangan pada perbicaraan Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan serta R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Saksi itu berkata sepanjang menguruskan pembelian tanah itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pathmanabhan sebanyak empat kali iaitu di kedai makan, pejabat tertuduh dan ladang berkenaan.

"Ada buat perjanjian jual beli dengan tertuduh?" soal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan Sree Ganashan menjawab "ya".

"Saya menjadi saksi ketika perjanjian ditandatangani oleh makcik saya dan Pathmanabhan. Bagaimanapun salinan perjanjian itu sudah hilang," katanya sambil menambah kata tertuduh tidak memberitahu beliau apa yang ingin dilakukan ke atas tanah itu.

Saksi ke-59 pendakwaan, K Sarawanan, 19, diasak soalan bertubi-tubi oleh Saiful Edris dan Ishak selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi mereka sendiri.

Ketika disoal Saiful Edris, saksi itu menafikan bahawa dia ada melihat Kathavarayan menggunakan parang dan mengugut kesemua mangsa supaya mereka menyerahkan telefon bimbit, jam tangan, dompet, serta membuka baju dan seluar masing-masing ketika berada di ladang itu pada 30 Ogos tahun lepas.

Sarawanan yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya itu bahawa beliau ada melihat Matan mengikat tangan keempat-empat mangsa dari belakang menggunakan dawai.

"Saya katakan kepada kamu bahawa Ravi (Kathavarayan) ada minta abang lawyer (peguam) (Pathmanabhan) untuk beritahu keempat-empat mangsa supaya call family (menghubungi keluarga) dan beritahu bahawa mereka akan pulang selepas tiga hari kerana ada urusan di Genting," kata Saiful Edris dan saksi itu menjawab tidak setuju.

"Saya katakan keempat-empat mangsa enggan menghubungi keluarga menyebabkan kemarahan pada abang lawyer," kata Saiful Edris dan Sarawanan menjawab tidak setuju.

"Saya katakan abang lawyer kemudian tanya pada Sosilawati siapa antara tiga lelaki yang ditangkap disukainya dan Sosilawati cakap banker (pegawai bank). Sekali lagi ditanya pada Sosilawati dan kali ini Sosilawati tunjuk ke arah pemandunya," kata Saiful Edris dan saksi itu menjawab tidak setuju.

Sarawanan yang mengaku mengenali Pathmanabhan sejak dua tahun lepas seterusnya menafikan cadangan timbalan pendakwa raya itu bahawa dia kemudian diarahkan oleh Pathmanabhan untuk memukul pemandu Sosilawati menggunakan kayu kriket di kedua-dua kakinya sebanyak tiga kali.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa dia telah diarahkan oleh bekas peguam itu untuk 'menghabiskan' atau bunuh semua mangsa.

"Saya katakan pada kamu bahawa keempat-empat mangsa telah dibunuh oleh Thilaiyalagan dengan kerjasama kamu, U Suresh (saksi pendakwaan yang juga dipenjarakan 20 tahun bersama Sarawanan), Matan dan Pathmanabhan," kata Saiful Edris.

Pada peringkat itu, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan mengemukakan bantahan atas alasan kesemua soalan yang ditanyakan oleh pihak pendakwaan sangat memprejudiskan kesemua tertuduh.

"Kami lihat pihak pendakwaan mempunyai objektif dan tujuan untuk menyoal balas saksi ini dan ia adalah salah serta sangat memprejudiskan tertuduh. Saya ingin berhujah berhubung skop soal balas oleh pihak pendakwaan ini," katanya.

Saiful Edris berkata soal balas dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan berikutan terdapat percanggahan pada keterangan Sarawanan.

Hakim Akhtar kemudian menetapkan esok untuk mendengar hujahan lanjut daripada kedua-dua pihak berhubung kaedah soal balas yang sepatutnya dibuat pihak pendakwaan terhadap saksi mereka sendiri seperti yang diperuntukkan mengikut seksyen itu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-40 bersambung esok.
- BernamaOnline

Jumaat, 30 September 2011

Pembunuhan Banting: Peguam Pertikai Ketepatan Dokumen

PERBICARAAN kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada Jumaat, menyaksikan peguam utama mempertikaikan ketepatan dokumen yang dicetak oleh seorang pegawai kanan syarikat komunikasi, DiGi Telecommunication Sdn Bhd.

Peguam Manjeet Singh Dhillon membangkitkan isu tersebut semasa menyoal balas saksi pendakwaan ke-55, Mohd Feisal Zakaria, 43, berhubung kewujudan tanda soal pada satu rekod panggilan bernombor 016-68***78 yang tidak diketahui pemiliknya.

Mohd Feisal juga masih memberikan jawapan yang sama apabila disoal kali kedua oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir dan menambah, tanda soal tersebut dicetak melalui komputer.

Manjeet: Tengok pada rekod panggilan, ia menunjukkan talian tersebut telah diaktifkan sejak tahun 1900. Syarikat kamu dah bermula sejak itu? Akta Syarikat juga masih belum wujud pada masa itu.
Akhtar: Komputer juga masih belum wujud.

Manjeet: Saya tidak menyalahkan kamu. Adakah ia adalah satu kesilapan?
Mohd Feisal: Saya tidak pasti bila kesilapan tersebut berlaku.

Pada keterangannya, saksi juga mengakui bahawa beliau tidak dapat memastikan sekiranya dokumen yang dicetak daripada komputer yang terdapat di tempat kerjanya adalah tepat atau sebaliknya.

Perkara itu dibangkitkan oleh Manjeet yang merujuk kepada dua rekod panggilan yang dicetak menggunakan dua komputer berbeza mempunyai dua nama pemilik berbeza, sedangkan ia adalah satu nombor yang sama.

Manjeet: Mengapa maklumat tersebut tidak sama di kedua-dua komputer?
Mohd Feisal: Saya tidak tahu.

Manjeet: Setuju bahawa kamu tidak tahu jika terdapat kesilapan pada komputer?
Mohd Feisal: Ya.

Manjeet: Jika dokumen yang dicetak salah, kamu juga tidak akan tahu?
Mohd Feisal: Ya.

Terdahulu, saksi memberitahu penglibatannya di dalam siasatan kes bermula apabila beliau menerima permohonan daripada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Ishak Yaakob untuk mencetak rekod panggilan terhadap talian yang digunakan oleh tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azama Muhammad Nor, saksi berkata permohonan tersebut diterima pada 29 Jun lalu dan melibatkan talian 010-24***27 yang menggunakan talian prepaid dan didaftarkan atas nama Thilaiyalagan.

Mohd Feisal sedang memberi keterangan terhadap bekas peguam, N. Pathma-
nabhan, 42, dan tiga pekerja ladang termasuk Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan bersambung pada 10 Oktober ini.
- Laporan: mStarOnline
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog