Cina India Kaum Pendatang

Ahad, 13 Mac 2011

Gempa Bumi dan tsunami di Jepun: Loji nuklear meletup


EMPAT orang cedera dalam satu letupan di loji tenaga nuklear Fukushima I yang rosak akibat gempa bumi, semalam (Sabtu). Bumbung sebuah bangunan yang menempatkan reaktor di loji tersebut dipercayai runtuh dalam letupan itu, lapor stesen penyiaran NHK.

Seorang jurucakap kerajaan menggambarkan situasi itu sebagai 'berkemungkinan menjadi sangat serius' tetapi menggesa penduduk supaya bertenang, lapor NHK.

Pengendali loji nuklear tersebut, Tokyo Electric Power (Tepco) berkata, empat pekerja cedera dalam kejadian tersebut.

Sepasukan juruteknik telah bertungkus lumus untuk melepaskan tekanan suhu dari reaktor di loji itu untuk mengelakkan kecairan reaktor.

Bahan radioaktif caesium yang biasanya menandakan kecairan reaktor telah dikesan di kawasan sekitar loji tersebut di Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo.

Paras radiasi yang meningkat dikesan di kawasan loji Fukushima I dan ukuran radiasi di dalam loji itu didapati 1,000 kali lebih tinggi daripada biasa berikutan gempa bumi semalam.

Kerajaan Jepun sebelum itu memberi amaran mengenai kebocoran bahan radioaktif di reaktor nuklear yang rosak apabila gempa bumi kuat dan tsunami melanda kawasan pantai di timur laut negara ini, tetapi menyifatkan risiko pencemaran radiasi sebagai kecil.

Pakar berkata, ancaman berlakunya kebocoran radiasi yang meluas akan dapat dibendung selagi binaan luar reaktor itu masih utuh.

Penduduk dalam lingkungan tiga kilometer dari loji tenaga nuklear Fukushima II diarah berpindah hari ini dan pihak berkuasa meluaskan arahan perpindahan kepada penduduk yang tinggal di sekitar 10 kilometer dari reaktor Fukushima I yang mula mengalami kerosakan sistem pendingin semalam.

Agensi berita Jiji memetik pihak berkuasa nuklear sebagai berkata, kemungkinan besar batang sumber tenaga nuklear di reaktor Fukushima I sedang mencair atau telah cair sama sekali.

Menurut pakar, jika kecairan berlaku, itu bermakna reaktor tersebut semakin panas dan sekiranya peningkatan suhu tidak disekat, termasuk dengan melepaskan stim yang mengeluarkan sejumlah kecil radiasi, kemungkinan kebuk tekanan reaktor akan retak.

Namun risiko pencemaran dapat diminimumkan selagi struktur luar reaktor masih utuh, kata pakar, tetapi perkara yang dikhuatiri ialah sama ada gempa bumi telah melemahkan struktur luar itu.

Pegawai dan pakar Jepun memberi jaminan, kebocoran radiasi yang berlaku adalah sangat kecil dan mereka menolak kemungkinan berulangnya malapetaka nuklear seperti Chernobyl di Rusia.

"Bencana seperti Chernobyl tidak mungkin berlaku di sebuah reaktor air ringan. Kerosakan sistem pendingin menyebabkan peningkatan suhu tetapi ini juga akan menghentikan reaktor," kata profesor di Universiti Tokyo, Naoto Sekimura.
- dpa/Reuters/Utusan

SATU MELAYU:
Sesungguhnya, kecanggihan ciptaan manusia tidak mampu berdepan dengan bencana alam yang tidak terduga kemampuan dan kekuatannya.
Allahhuakbar....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog