Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 10 November 2011

Kes Sosilawati: Gobalakrishnan diberi amaran

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Rabu memberi amaran kepada Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobala-
krishnan berhubung kenyataan beliau yang dikatakan mengkritik peribadi seorang peguam bela dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya pada pada Ogos lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berbuat demikian atas alasan kenyataan yang dikeluarkan terhadap Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan boleh menimbulkan subjudis (kacau ganggu kes-kes yang belum selesai) selain ia tidak tepat.

''Saya tidak panggil awak bagi pihak Manjeet. Apa yang saya prihatin ialah tindakan awak melibatkan mahkamah dan memanipulasikannya untuk kepentingan politik.

''Hakim-hakim di Malaysia lebih bebas daripada yang awak sangka. Kami bukan bodoh dengan hanya duduk dan membiarkan pihak pendakwaan dan pembelaan berbuat sesuka hati. Kami bertindak mengikut undang-undang.

''Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan hari ini kerana saya lebih suka memberi peluang kedua. Saya cuma ingin memberi amaran dan ia adalah amaran terakhir,'' katanya.

Ketika ditanya sama ada Gobalakrishnan ingin mengatakan sesuatu, Ahli Parlimen itu memberitahu, beliau tidak ingat apa yang dikatakan kepada wartawan.

Sebelum sempat beliau menghabiskan ayatnya, Hakim Akhtar menghalang ahli politik itu daripada memberi penjelasan lanjut memandangkan wartawan yang dipanggil oleh mahkamah sebelum ini memaklumkan artikel itu ditulis berdasarkan kenyataan olehnya.

Sebelum membenarkan Gobalakrishnan meninggalkan bilik bicara, Hakim Akhtar sempat menempelak dengan berkata: ''Kalau awak benar-benar seorang lelaki, awak akan minta maaf. Jangan ulangi perbuatan ini. Saya tidak mahu membuang masa, awak boleh beredar sekarang jika mahu.''

Gobalakrishnan hanya didengari berkata 'Ok' dan terus bertindak meninggalkan mahkamah.

Utusan Malaysia pada 17 Ogos lalu menyiarkan artikel bertajuk Manjeet selalu burukkan kerajaan dengan memetik kritikan Gobalakrishnan terhadap Manjeet, manakala TV3 turut menyiarkan komen yang sama pada malam 16 Ogos lepas.

Berikutan itu, Manjeet pada 26 September lalu telah memfailkan saman terhadap Gobalakrishnan bagi menuntut ganti rugi RM2.5 juta berikutan penyiaran artikel dan berita yang didakwa memfitnahnya itu.

Selain Gobalakrishnan, beliau turut menamakan wartawan Utusan, Raja Syahrir Abu Bakar, Utusan Melayu (M) Bhd. dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. sebagai defendan-defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Manjeet mendakwa berita yang disiarkan itu telah merosakkan reputasi dan kredibiliti beliau sebagai seorang peguam mahupun sebagai seorang individu.

Manjeet semasa ditemui di luar mahkamah pula memaklumkan beliau telah menyerahkan salinan saman tersebut kepada Gobalakrishnan walaupun Ahli Parlimen Bebas itu enggan menerima dan bertindak mencampakkan dokumen berkenaan.

Sementara pada prosiding hari ini, Dr. Amir Saad Abdul Rahim, 40, memberitahu, sampel darah isteri Noorhisham Mohamad, Suzana Radin Pangat dan tiga anak mereka, Muhammad Faiz Ridzmi, Muhammad Azri Shahzan dan Nor Neesa Salbiah diambil pada 19 September 2010 bagi membolehkan ujian perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Turut memberi keterangan hari ini ialah jurutera utama dari DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi), Chong Chee Wah serta penolong pegawai penyiasat, Sarjan Syed Mohd. Nazri Syed Darus.

Perbicaraan yang masuk hari ke-47 bersambung Khamis.
- Laporan: UtusanOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog