Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Bencana Loji Nuklear. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana Loji Nuklear. Papar semua catatan

Jumaat, 8 April 2011

Negara Asia makin gusar ancaman radiasi nuklear



PELAJAR sekolah rendah Midong, Korea Selatan membawa payung ketika wujud kebimbangan hujan mungkin membawa bahan radioaktif dari Fukushima.
BEBERAPA jiran Jepun semakin menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pencemaran radiasi di wilayah masing-masing akibat kebocoran loji nuklear Fukushima sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jepun beberapa minggu lalu.

Di Korea Selatan, beberapa sekolah ditutup kerana ibu bapa pelajar risau anak mereka kena radiasi ketika hujan.

“Kami juga menghantar risalah rasmi kepada pihak sekolah supaya tidak mengadakan aktiviti di luar darjah,” kata pegawai kementerian berkenaan di Seoul.

Agensi keselamatan nuklear Korea Selatan melaporkan kehadiran bahan radioaktif rendah iodin dan caesium dalam hujan di selatan negara itu meskipun parasnya tidak mengancam nyawa.

Tetapi, ramai penduduk Korea Selatan kini memakai topeng muka ketika keluar rumah. Kesesakan lebih ketara di jalan menuju sekolah kerana mereka tidak membenarkan anak berjalan ke sekolah.

“Kami dekat dengan Jepun berbanding Amerika atau Eropah. Penduduk kami tentunya lebih risau,” kata Presiden Lee Myung-bak yang membentuk jawatankuasa khas bagi memantau kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan China pula mengesan bahan radioaktif di tiga wilayahnya manakala India berhenti mengimport makanan Jepun selama tiga bulan dan Singapura mengharamkan pengimportan sayur dan buah.
Di Vienna, pegawai nuklear Jepun disoal siasat rakan mereka dari negara lain, khususnya Russia.

“Rakan mereka meminta lebih banyak maklumat terutama Russia,” kata sumber diplomatik. Malah, pegawai Russia memberitahu pegawai Jepun supaya meningkatkan usaha menangani pencemaran radioaktif.
– Reuters/BH

Khamis, 31 Mac 2011

BENCANA BERGANDA DI JEPUN: Presiden loji nuklear masuk hospital

LOJI Fukushima Dai-ichi di Okumamachi, Fukushima musnah teruk akibat tsunami 11 Mac lalu.
BACAAN tahap radiasi dalam air laut berhampiran loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, mencatatkan paras tertinggi semalam ketika presiden syarikat pengendali loji itu dimasukkan ke hospital.

Presiden Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Masataka Shimizu, tidak kelihatan hampir dua minggu selepas muncul dalam satu sidang media di sini, dua hari selepas gempa bumi yang merosakkan sistem penyejukan loji Fukushima Dai-ichi dan menyebabkan kebocoran radiasi.

Shimizu, 66, dibawa ke sebuah hospital di sini, kelmarin selepas mengadu pening dan mengalami tekanan darah tinggi, kata jurucakap TEPCO, Naoki Tsunoda.

Sebelum ini terdapat banyak spekulasi berhubung kesihatan Shimizu sejak beliau menghilangkan diri dari pandangan umum, dengan Naib Presiden syarikat Sakae Muto muncul menggantikannya dalam taklimat berita.

Pihak berkuasa TEPCO sebelum ini tidak banyak menjawab soalan berhubung kesihatan Shimizu, hanya menyatakan beliau sedang ‘berehat’ di ibu pejabat syarikat.

Ia adalah krisis terbaru yang menimpa TEPCO yang masih bertungkus lumus menstabilkan loji jana kuasa yang terlebih panas dan membendung radiasi menyusup dari kompleks loji ke laut dan tanah berhampiran.

Gempa dengan magnitud 9.0 menghasilkan tsunami yang memutuskan bekalan elektrik dan sistem sokongan penting untuk memastikan suhu turun di dalam loji reaktor.

Penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji dipindahkan dua minggu lalu, sementara mereka yang tinggal 30 kilometer digesa berpindah secara sukarela sejak beberapa hari lalu.

Paras radiasi meningkat di sekitar loji, sayuran, susu mentah dan air.

Minggu lalu, air paip sejauh Tokyo ini terletak 220 kilometer ke selatan dikesan mengandungi paras iodin-131 penyebab kanser dianggap tidak selamat untuk bayi.

Semalam, pegawai keselamatan nuklear berkata air laut di luar loji didapati mengandungi 3,335 kali paras biasa iodin radioaktif iaitu kadar tertinggi setakat ini dan ia satu tanda bahawa lebih banyak air tercemar memasuki laut.

Jumlah iodin-131 ditemui di tepi pantai 300 meter selatan loji itu tidak memberi satu ancaman segera kesihatan manusia namun ia satu ‘kebimbangan’, kata pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Hidehiko Nishiyama, semalam.

Katanya kegiatan menangkap ikan tidak berlaku di kawasan itu.

“Kami akan menamatkan punca dan melakukan sedaya upaya untuk menghalangnya daripada terus meningkat,” katanya.

Nishiyama sebelum ini mengakui sesetengah air tercemar dari loji itu menyusup ke dalam laut, namun tidak jelas bahagian loji mana yang bocor.

Plutonium yang amat toksik turut ditemui menyusup ke dalam tanah di luar loji, kata TEPCO.

Pegawai keselamatan berkata, jumlah itu tidak memberi risiko kepada manusia, namun beberapa penemuan menyokong perasaan curiga bahawa air radioaktif berbahaya bocor dari rod bahan api nuklear yang rosak.
– AP/BHOnline

Selasa, 29 Mac 2011

Pekerja loji nuklear Jepun cabut lari: Tidak sedar bacaan radioaktif 10 juta adalah silap


PENGENDALI loji nuklear Daiichi di Fukushima, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) semalam memohon maaf berikutan kesilapan bacaan tahap radiasi berikutan kebocoran di loji terbabit yang dikatakan 10 juta kali lebih tinggi sedangkan parasnya 100,000.

Jurucakap TEPCO Takashi Kurita berkata seorang pekerja di loji itu mengukur bacaan dari sistem pendingin di reaktor nombor 2 lari selepas melihat kadar terlalu tinggi hingga tidak mengambil bacaan kedua.

“Angka itu tidak tepat dan kami amat kesal kesilapan ini,” katanya. Laporan mengelirukan itu menyebabkan kegemparan dan meningkatkan kebimbangan di wilayah yang belum pulih daripada bencana gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu.

Terbaru, TEPCO mengakui cecair raioaktif sudah bocor dari reaktor Fukushima manakala pertubuhan Greenpeace menyatakan ia sudah mengesan paras tinggi radiasi di luar zon keselamatan manakala China menjadi negara terbaru mendedahkan pencemaran radiasi di wilayah utaranya, Heilongjiang, selepas Amerika dan Iceland.

Berikutan itu, pakar memberi amaran bahawa Jepun menghadapi masalah berpanjangan menyekat pencemaran radiasi itu.

“Sebuah negara tidak mampu menguruskannya. Ia memerlukan campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kasut wanita turut diperiksa kemungkinan terkena bahan radioaktif 
“Pada pandangan saya, perkara ini lebih penting daripada zon larangan terbang Libya,” kata Najmedin Meshkati dari Universiti Southern California.

Turut menambah kebimbangan, satu lagi gempa bumi melanda lewat semalam pada kekuatan 6.5 skala Richter meskipun tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan.

Timbalan Presiden TEPCO, Sakae Muto yang memaklumkan bacaan radiasi dalam satu taklimat juga memohon maaf berikutan kesilapan bacaan itu.

TEPCO melaporkan paras radiasi melebihi 1,000 millisieverts sejam ditemui di permukaan air di kawasan luar reaktor dan bacaan ini adalah sama dengan tahap yang ditemui kelmarin.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika menyatakan satu dos 1,000 millisievert sudah cukup untuk menyebabkan pendarahan.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kabinet dan jurucakap kerajaan Jepun, Yukio Edano, berkata kesilapan bacaan yang dinyatakan di loji berkenaan ‘benar-benar tidak boleh dimaafkan’.

“Walaupun saya mengetahui pekerja di loji itu mungkin keletihan, ujian paras radiasi ini amat penting kerana ia akan digunakan sebagai landasan kepada langkah keselamatan yang akan diambil. Kesilapan ini tidak boleh dimaafkan,” katanya.
– Reuters/Agensi/BH

Khamis, 17 Mac 2011

Ancaman radiasi meningkat: Reaktor nuklear semakin panas, 140,000 penduduk tak boleh keluar rumah



GAMBAR yang dikeluarkan Tokyo Electric Power Co (TEPCO) menunjukkan reaktor ketiga dan keempat Loji Nuklear Fukushima rosak dan terbakar hari ini. - Foto AFP
JEPUN belum dapat menyelesaikan masalah loji nuklearnya di Fukushima selepas pekerja diarahkan meninggalkan seketika tempat itu semalam kerana tahap radiasi meningkat.

Pihak berkuasa berkata, tahap radiasi di ibu negara itu 10 kali tinggi daripada normal tetapi tidak membahayakan kesihatan manusia di bandar yang mempunyai 13 juta penduduk.

Pencemaran radiasi dilaporkan melanda Tokyo sejak 24 jam lalu meskipun pada tahap rendah dan kebakaran di loji nuklear berkenaan awal daripada itu meningkatkan lagi kebimbangan, lapor agensi berita Kyodo.

Pakar nuklear dan ahli akademik berkata, penyelesaian sedang dicari untuk mengawal kebocoran radiasi di loji Daiichi, wilayah Fukushima bagi mengelakkannya menjadi bencana nuklear paling teruk dalam sejarah.

“Ini adalah mimpi buruk yang berlaku perlahan-lahan,” kata pakar penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Institut Teknologi Massachusetts, Dr Thomas Neff.

Pekerja loji itu cuba membina laluan bagi membolehkan jentera bomba masuk ke rektor nombor 4 yang terbakar. Stesen televisyen NHK menunjukkan asap atau wap kelihatan naik di kemudahan itu kira-kira jam 1 tengah hari (waktu tempatan).

Helikopter angkut air laut
Bimbang dengan krisis yang dihadapi pekerja loji yang bekerja termasuk keletihan selepas bekerja berhari-hari sejak gempa bumi melanda, pihak berkuasa mengarahkan 750 pekerja untuk pulang dan hanya tinggal 50.

Mereka yang tinggal diarahkan keluar sejam selepas itu kerana tahap radiasi terlalu tinggi tetapi kemudian dibenarkan kembali, kata pegawai rasmi.

Pihak berkuasa menghabiskan beberapa hari terdesak untuk mengelakkan air yang digunakan untuk menyejukkan radioaktif daripada mendidih yang boleh menyebabkan kepanasan dan membebaskan bahan radiasi berbahaya di atmosfera.

Tahap 400 millisievert sejam direkodkan berdekatan rektor nombor 4, kata kerajaan. Pendedahan kepada lebih 100 millisieverts setahun boleh membawa kepada kanser, kata Persatuan Nuklear Dunia.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan meminta 140,000 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.

Jepun bimbang kebocoran serius bermakna ia akan sama dengan insiden nuklear paling teruk sejak Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jumaat lalu, empat letupan berlaku di loji nuklear yang rosak itu, terbaru letupan di reaktor nombor 2 dan 4.

Angka kematian rasmi kerana gempa dan tsunami mencecah 4,000 manakala lebih 7,000 lagi senaraikan sebagai hilang.

Salji menjejaskan lagi keadaan ribuan mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa dan tsunami kerana terpaksa bermalam dengan kesejukan akibat bekalan elektrik terputus.

Kebimbangan terus menyelubungi kerana radiasi dikhuatiri sampai kepada penduduk di barat laut Amerika Syarikat dan Kanada.

Pihak berkuasa memberi amaran orang ramai yang terdedah kepada radiasi supaya mengambil pottasium iodin bagi melindungi daripada kanser.

Radiasi nuklear menjadi isu sensitif bagi Jepun selepas kejadian paling teruk melanda negara itu ketika pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945.
– Reuters/BHOnline
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog