Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 2 April 2011

RASUAH: 62 Pegawai Kastam Ditahan Setakat Ini – SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi Operasi 3b setakat ini kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata mereka membabitkan 53 pegawai lelaki serta sembilan perempuan berusia antara 24 dan 56 tahun.

Daripada jumlah itu, seramai 17 pegawai termasuk seorang berjawatan pengarah ditahan reman, katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Datuk Mustafar Ali, Pengarah Bhgn. Siasatan SPRM.
"Kes yang disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganas 2001 adalah berjumlah RM1.2 bilion. Selain itu, sejumlah RM602 juta dibekukan, RM382 juta (disita) sementara RM31.2 juta lagi dilucutkan hak sebagai harta," katanya.

Mengulas mengenai tangkapan itu, Mustafar berkata operasi membabitkan lima pelabuhan utama negara termasuk Pelabuhan Klang yang menyaksikan tangkapan teramai iaitu 48 orang.

Pelabuhan lain ialah Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, katanya.

"Antara penemuan daripada operasi itu ialah simpanan dalam akaun bank sehingga hampir setengah juta, RM850,000 di dalam akaun amanah saham dan kereta mewah.

"Semalam, tiga beg dijumpai di rumah pegawai yang mengandungi wang tunai berjumlah RM625,250, lima ketul jongkong emas bernilai kira-kira RM50,000 dan dua pucuk pistol tiruan bersama 241 butir peluru," katanya.

Mustafar juga mendedahkan terdapat pegawai yang mengaku menerima suapan antara RM100 hingga RM500 untuk setiap borang K1 iaitu borang pengisytiharan Kastam sejak lima bulan lalu.

"Kita juga mengesan sejumlah RM10,000 setiap bulan dimasukkan ke dalam akaun dan terdapat tujuh transaksi sudah dijalankan.

"Malah, kami turut menemui wang yang banyak dalam akaun pegawai, pelaburan amanah saham bernilai RM200,000 termasuk jam tangan berjenama mewah daripada emas," katanya.

Katanya di rumah Pengarah Kastam yang ditahan dan masih direman ketika ini, pihaknya menemui wang tunai berjumlah RM65,000, mercun dan bunga api serta rokok kretek.

"Kita masih menyiasat harta yang dimiliki pengarah berkenaan kerana dalam beberapa akaun miliknya mempunyai ribuan malahan jutaan ringgit, ada yang berjumlah sehingga RM2.1 juta manakala satu akaun lagi RM500,000, itu masih dalam siasatan," katanya.

Mustafar berkata fokus utama pelaksanaan operasi itu ialah bagi mendapatkan kembali hasil pendapatan kerajaan dan membersihkan amalan rasuah pada kalangan warga Kastam.

Katanya siasatan pasukan petugas khas yang diketuai SPRM itu juga mendapati secara keseluruhannya lebih RM10 bilion telah diseludup keluar menerusi penghantaran wang secara tidak sah.
- Bernama

SATU MELAYU:
Tidak ada lain yang harus diucapkan rakyat kepada SPRM selain TAHNIAH dan TERIMA KASIH.
Rakyat sentiasa menyokong kerja baik SPRM dalam membanteras jenayah rasuah yang menjahanamkan negara.
Teruskan usaha murni ini dan jangan berhenti kerana ugutan penjenayah dan pengkhianat negara.

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Pornthip Mengaku Disiasat Majlis Perubatan Thailand Kerana Masalah Disiplin

PAKAR patologi Dr Pornthip Rojanasunand yang pernah memberi keterangan kontroversi berhubung kematian Teoh Beng Hock, mengaku beliau kini disiasat Majlis Perubatan Thailand kerana masalah disiplin.

Pornthip, yang disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah pada prosiding Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh hari ini, turut mengaku beliau adalah aktivis kontroversi di negaranya dan tidak disukai polis.

Peguam yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata prosiding tersebut masih berjalan dan Pornthip didakwa mengadakan bukti sintetik.

Merujuk kes kematian seorang jutawan di Thailand, Muhammad Shafee berkata Pornthip pernah memberi pandangan yang salah berhubung autopsi kedua sehingga adik si mati didakwa membunuh, sedangkan autopsi pertama mendapati mangsa membunuh diri.

Muhammad Shafee berkata Pornthip dan kumpulannya menjalankan autopsi kedua dan menyatakan jutawan itu dibunuh, namun autopsi ketiga yang dijalankan 11 pakar pathologi pelbagai negara mendapati si mati membunuh diri, sama seperti keputusan autopsi pertama.

Pornthip yang kelihatan 'berang' dengan dakwaan Muhammad Shafee, enggan menjawab soalan itu dan mendakwa peguam tersebut tidak mengetahui apa-apa mengenai kes berkenaan.

Bagaimanapun, Muhammed Shafee berkata laporan mengenai kes kematian jutawan itu tersebar secara meluas di Internet.

Prosiding yang berlangsung dalam keadaan tegang itu turut menyentuh kenyataan Pornthip dalam inkues berhubung kematian Teoh di Mahkamah Koroner sebelum ini dan Muhammad Shafee berkata teori pakar patologi tersebut telah menyebabkan imej SPRM tercemar.

Bagaimanapun, Pornthip berkata beliau tidak boleh menjawab perkara itu kerana hanya memberi pandangan namun mengakui telah memberi kenyataan bahawa terdapat tusukan pada dubur mangsa bagi mendapatkan kebenaran melakukan autopsi kedua.

Beliau berkata autopsi kedua mendapati kecederaan itu disebabkan tulang yang patah dan masuk semula ke dalam tubuh. Selain itu, Porthip berkata beliau mendapati Teoh mati disebabkan jatuh dan bukan dicekik manakala kecederaan dada mangsa adalah akibat hentakan ketika jatuh.

Beliau berkata kecederaan yang dialami Teoh adalah konsisten dengan keadaan seseorang yang jatuh dari bangunan setinggi 30 meter, dan bersetuju bahawa autopsi pertama dalam tempoh 24 jam selepas kematian lebih baik berbanding autopsi kedua empat bulan kemudian.

Pornthip yang kerap menjawab pandangannya adalah berlandaskan pembacaan dan pengalaman, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa pendapat beliau berhubung kematian Teoh bergantung kepada kes-kes terhad yang dikendalikan.

Katanya, beliau mengendalikan pelbagai kes di Thailand dan apa yang dimaklumkan kepada mahkamah merupakan pandangan tanpa mendapat arahan mana-mana pihak.

Sementara itu, selepas Pornthip memberi keterangan, Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen memaklumkan bahawa penyiasat persendirian Michael Leslie Squires telah selesai menyiasat komputer dan telefon milik enam pegawai SPRM yang berkaitan.

Beliau berkata siasatan mendapati tidak ada SMS atau panggilan serta e-eml berkaitan kes ini ditemui dalam telefon dan komputer mereka.

Selain Foong, Suruhanjaya Siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik, yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding bersambung Isnin.
- Bernama

TU DIA: Najib Yakin Rampas Kembali P.Pinang

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bermesra dengan penduduk Taman Tun Sardon semasa bersarapan dengan mereka di astaka Tun Sardon dalam program sesi Tinjauan Mesra di Georgetown, hari ini. - Foto Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.

Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang pada Sabtu, banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.

"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menghadiri Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang, Balik Pulau pada Sabtu.

Najib berkata ketika beliau turun padang, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku ketika negeri di bawah pentadbiran BN.

Katanya selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.

"Ada juga pihak pembangkang yang mendakwa kononnya krisis kepimpinan yang berlaku di negara Timur Tengah akan berlaku di Malaysia, dan saya ingin beri jawapan, bahawa dalam keadaan krisis di sana, majoriti BN terus bertambah baik pada pilihan raya kecil sebelum ini," katanya.

Perdana Menteri berkata pemimpin BN tidak harus kecewa dengan beberapa keputusan pilihan raya lepas, malah mereka perlu menganggapnya sebagai asam garam dalam politik.

"Ia asam garam dalam politik, ada masanya berada diatas dan ada masanya berada dibawah, kita harus bangun dan mencari faktor-faktor yang boleh mendorong kita naik diatas dan jangan begitu kecewa," katanya.

Beliau berkata untuk bangkit semula, semua pemimpin dan anggota BN hendaklah menggunakan anologi semangat gotong royang iaitu bermuafakat dengan satu matlamat dan hanya dengan memberi fokus kepada usaha mencapai satu matlamat yang sama, dan ia menjadi asas kepada kejayaan untuk merampas kembali Pulau Pinang.

"Jangan ada masalah dalam keluarga BN, sepatutnya tolak perselisihan dan juruskan kerjasama, dan lakukan yang terbaik barulah kita boleh bangun," katanya.

Perdana Menteri seterusnya menyelar pihak tertentu yang mendakwa kononnya kerajaan pusat menganaktirikan Pulau Pinang sedangkan hakikatnya pulau mutiara itu terus dimajukan oleh kerajaan BN sejak dahulu hingga sekarang, termasuk dalam usaha meningkatkan pelaburan asing.

"Bukan tidak mahu bekerjasama (dengan kerajaan negeri) tetapi ada pihak yang ingin bermain politik ibarat pepatah, ‘lembu punya susu sapi dapat nama’," katanya.

Sehubungan itu Najib menggesa rakyat Pulau Pinang supaya tidak memperjudikan masa depan mereka, dan mereka perlu memastikan BN kembali memerintah negeri.
- Bernama

SATU MELAYU:
Cayalah DS Najib! Kalau BN mampu merampas kembali Pulau Pinang dari tangan DAP durjana, ianya adalah satu kejayaan terbesar yang dicapai oleh kepimpinan BN di bawah DS Najib Tunh Razak.

Ramai rakyat negara ini berpendapat bahawa BN tidak akan dapat merampas kembali Pulau Pinang kerana jumlah DUN yang bermajoritikan kaum Cina melebih separuh jumlah kerusi negeri itu.

Berdasarkan bahawa majoriti kaum Cina di negara ini tidak akan menyokong BN atau akan sentiasa menghidupkan pembangkang – DAP, bagi tujuan menunjukkan kuasa mereka, maka kejayaan BN menumbangkan DAP di Pulau Pinang adalah satu kejayaan besar kepimpinan DS Najib.

Britain pujuk 10 lagi sekutu Gaddafi, Utusan PBB, ahli majlis pemberontak bincang di Benghazi



KOMBINASI gambar menunjukkan antara orang kanan Libya yang mungkin belot (dari kiri) ketua perisikan luar, Abuzeid Durda; Speaker Kongres, Mohamed Abdul Qasim al-Zwai dan Pengerusi Pertubuhan Minyak Kebangsaan, Shokri Ghanem.
KERAJAAN Britain mengadakan perbincangan sulit dengan kira-kira 10 orang kanan Muammar Gaddafi mengenai kemungkinan mereka berpaling tadah, selepas Menteri Luar, Mussa Kussa berbuat demikian.

Mussa dilaporkan ‘berbincang secara sukarela’ dengan pegawai Britain dan menyatakan pemimpin Libya itu sedang berusaha mengurangkan kesan tindakannya dengan menyifatkan beliau letih dan ada masalah mental.

Bagaimanapun, Gaddafi sukar menghalang lebih ramai pegawai kanan belot dan pegawai Britain kini mengadakan perbincangan dengan kira-kira 10 anggota kanan kerajaan Libya yang mahu berpaling tadah, lapor akhbar The Independent.

Sementara itu, spekulasi makin merebak di Tripoli bahawa ramai lagi pegawai kanan mahu berpaling tadah dan ia disahkan bekas Menteri Luar dan duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ali Abdessalam Treki.

Walaupun pegawai kerajaan menafikannya, laporan stesen televisyen al-Jazeera menyatakan ketua perkhidmatan perisikan luar Mohamed Abdul Qasim al-Zwai dan Timbalan Menteri Luar Abdulati Al Obeidi yang mengiringi yang mengiringi Mussa sehingga ke Tunis berkemungkinan besar akan mengambil tindakan sama.

Pada masa sama, pertempuran sengit dilaporkan terus berlaku di Brega antara tentera kerajaan dan pemberontak yang mahu menguasai semula bandar minyak strategik itu.

Pemberontak menghalang orang awam dan wartawan meninggalkan bandar Ajdabiya untuk menuju ke Brega kira-kira 80 kilometer ke bahagian barat.

Beberapa hari sebelum ini, pasukan pemberontak dihujani bedilan meriam pasukan tentera Gaddafi apabila mereka melancarkan serangan balas di Brega untuk meneruskan kemaraan ke Tripoli.

Tanpa sokongan serangan udara tentera pakatan, tentera pemberontak dengan kelengkapan senjata yang lemah terpaksa berundur kira-kira 200 kilometer dari sebuah lagi bandar minyak Ras Lanuf di timur Brega.
– AFP/Reuters/BH

SATU MELAYU:
Pemberontak yang tidak sedar mereka diperalatkan Zionis
Sejarah politik dunia membuktikan bahawa sebahagian besar punca kejatuhan sesebuah negara atau pemimpin adalah kerana ada antara orang kuat atau rakyat yang belot menyebelahi musuh.

Itulah yang sedang diusahakan oleh zionis dalam usahanya memecahbelahkan perpaduan rakyat dalam negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat, dulu kini dan selamanya.

Tanpa adanya pembelot dan serangan dari dalam, agak susah untuk zionis menguasai dan memecahbelahkan mana-mana kepimpinan negara berdaulat di dunia ini.

RASUAH: Lebih 50 pegawai kastam ditahan, lebih RM500 ribu wang tunai ditemui....


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 50 lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara hasil operasi susulan suruhanjaya itu yang memasuki hari keempat, bermula Isnin lalu.

Penahanan semua pegawai pelbagai pangkat dan jawatan itu diperoleh dalam serbuan SPRM di pelabuhan utama negara di Selangor, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.

Dalam operasi itu, SPRM turut menemui wang tunai lebih RM500,000 di salah sebuah rumah pegawai kastam berkenaan.

Menurut sumber, modus operandi mereka terlibat adalah memudahkan barang-barang diimport masuk ke dalam negara tanpa pemeriksaan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Lokasi operasi pula tertumpu di pelabuhan-pelabuhan utama negara dan tangkapan tertinggi adalah di Pelabuhan Klang.

“Jadi apa sahaja jenis barang ‘dihalalkan’ masuk ke sempadan dengan bayaran suapan tertentu yang dikenakan,” kata sumber tersebut di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dibantu lima agensi lain membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis JKDM di seluruh negara dalam operasi besar-besaran tersebut.

Dalam satu serbuan di Pahang, dua pegawai JKDM yang juga pasangan suami-isteri ditahan selain ratusan ribu ringgit ditemui berselerakan di rumah mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf meminta semua pegawai di jabatannya terus fokus terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing seperti yang diamanahkan.

“Pegawai-pegawai agensi itu perlu mengekalkan khidmat terbaik kepada pelanggan jabatan iaitu masyarakat,” katanya mengulas penahanan ke atas pegawai JKDM yang dilakukan SPRM, sejak Isnin lalu.

Menurutnya, penahanan tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Hasil operasi itu, beberapa pegawai JKDM telah disiasat lanjut. JKDM percaya di atas kewibawaan SPRM dalam menjalankan siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat JKDM Putrajaya, Jumaat.
- Utusan

SATU MELAYU:
Rasuah adalah salah satu daripada tumpuan dalam NKRA yang diperkenalkan pentadbiran DS Najib Tun Razak. Dan semua rakyat sedar bahawa rasuah adalah barah dalam pentadbiran negara yang boleh meruntuh dan menggagalkan segala usaha membangunkan negara ke arah sebuah negara maju.

Setelah jabatan kastam, jabatan mana pula yang akan jadi sasaran SPRM?

Diperingkat pentadbiran kerajaan negeri, jabatan yang ada kaitan dengan urusan tanah juga tidak kurang hebantnya dengan kisah-kisah rasuah yang ketara diketahui umum.

KES VIDEO SEKS: Wahai Karpal!, ‘Apa beza antara kes video seks D. P. Vijandra dengan kes serupa yang dikaitkan pemimpin utama pembangkang sekarang?’


PELBAGAI pihak hari ini mengecam Karpal Singh (gambar) kerana mengamalkan sikap ‘pilih bulu’ dalam isu video seks yang dipercayai melibatkan seorang pemimpin pembangkang apabila pengerusi DAP itu hanya menggesa polis menahan trio ‘Datuk T’.

Karpal bukan sahaja mahu trio Datuk T ditahan kerana melanggar Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan tetapi juga menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat video berkenaan serta menyifatkan pendedahan itu bertentangan dengan nilai moral.

Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap ‘pilih bulu’ Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu membuktikan Karpal terperangkap dalam jerat ciptaannya sendiri akibat gagal membezakan antara kepentingan politik dan profesion selaku peguam.

“Saya suka mengingatkan Karpal, dalam isu bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, D. P. Vijandran, dia bukan sahaja memiliki dan mendedahkan video seks itu pada 1989 tetapi turut menyimpannya selama beberapa tahun. Kalau tidak silap video itu hanya diserah pada 1992.

“Kenapa pula pada masa itu tindakannya tidak salah di sisi undang-undang dan kenapa pula kami tidak boleh mencari kebenaran dengan menonton video itu. Sedangkan dahulu, dia sendiri menggesa pemimpin BN menonton video Vijandran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim memberitahu, beliau tidak terkejut dengan sikap Karpal kerana dakwanya, itulah cara seorang pemimpin murahan DAP dan peguam yang gemar memutar-belit bertindak.

Sebagai contoh, katanya, pada tahun 1997 Karpal mendakwa mempunyai bukti Anwar Ibrahim meliwat Azizan Abu Bakar dan Sukma Dermawan tetapi kemudian bertindak menjadi peguam bela kepada ketua pembangkang itu.

“Kalau dia bermaruah dan berprinsip, maka dia juga perlu bersetuju agar video seks yang dikatakan mirip Anwar itu ditayangkan kepada umum dan Anwar perlu bersara daripada politik,” jelasnya.

Bagi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, Karpal adalah sebahagian daripada kelompok penyokong Anwar yang sanggup memperalatkan apa sahaja undang-undang jika ia mampu memberi kepentingan politik kepada pembangkang.

Menurutnya, Pengerusi DAP itu menyokong Anwar secara membuta-tuli sehingga sanggup menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja meskipun sedar langkah tersebut merupakan jalan penyelesaian terbaik bagi merungkai kebenaran.

“Dulu, kalau timbul apa sahaja berkait dengan isu yang mampu memberi keuntungan politik, Karpal dan puak-puak pembangkang inilah yang menyalak menuntut suruhanjaya diraja tetapi kenapa takut apabila video ini dikaitkan dengan Anwar,” soalnya.

Sementara itu, Bendahari Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Mohamed Aziz berkata, sikap hipokrit Karpal itu adalah manifestasi pembangkang yang bukan sahaja tidak bermoral malah prinsip perjuangan mereka sudah terkubur.

“Itulah sikap pembangkang, demi kepentingan politik meskipun bukti semakin jelas bahawa video seks tersebut adalah pemimpin pembangkang, semua kunci mulut. Inilah gaya politik lidah bercadang yang sanggup membunuh kebenaran,” katanya.
- Utusan

SATU MELAYU:
Itulah kehebatan peguam bernama Karpal Singh. Putar belit dan kepentingan politik puaknya menjadi tugas utama yang mengangkatnya sebagai seorang peguam tersohor.

Yang peliknya, pihak persatuan peguam tidak pulak bersuara mengenai sikap memihak dan pilih bulu peguam terkenal itu. Langsung tak bersuara. Tak berani atau persatuan itu pun sama seperjuangan dengan Karpal dari segi politik menentang kerajaan?

VIDEO SEKS: KPN sahkan video seks tulen

KETUA Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) hari ini mengesahkan rakaman video seks didakwa melibatkan seorang pemimpin parti pembangkang yang didedahkan baru-baru ini adalah tulen.

Katanya, pengesahan itu dibuat oleh pakar profesional yang dilantik oleh pihak polis minggu lalu untuk membuat kajian terperinci.

Menurutnya, hasil siasatan rakaman video itu yang kini di peringkat akhir akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.

"Saya telah mengarahkan pasukan penyiasat yang ditubuhkan itu agar menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terbuka," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini.

Pihak polis, tegas beliau, akan memanggil sesiapa sahaja bagi membantu siasatan dan setakat ini tiga individu ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, Ismail berkata, pihaknya menimbang menghantar rakaman video tersebut ke luar negara untuk dianalisis pakar asing.
- Utusan

SATU MELAYU:
Maka sahlah video itu tulin, bukannya super impose untuk kenakan seseorang yang heboh diperkatakan sebagai pelakunya dalam konteks konspirasi.

Soal perut buncit ke tidak itu soal pendapat. Berkemungkinan orang yang memberitahu Anwar bahawa perut pelaku dalam video itu perutnya agak buncit sedikit adalah satu cerita ‘penyedap hati’ kerana mahu menutup kesalahan sendiri yang tercetus secara tidak langsung daripada kisah penayangan video berkenaan kepada orang tertentu.

Kerana nak tutup kisah tuntut menuntut wang, maka ada yang memberitahu Anwar kisah perut buncit untuk dijadikan alasan.

Apapun, satu bab dah selesai. Video itu tulen....

Jumaat, 1 April 2011

Keputusan Pilihan Raya Sarawak Penentu Tarikh Pilihan Raya Umum - DS Najib


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

"Kami lihat Sarawak (pilihan raya negeri) dulu dan selepas tu barulah kami putuskan bilakah waktu terbaik untuknya (mengadakan pilihan raya umum ke-13). Kami ikut sistem British dan kami boleh putuskan bila hendak mengadakannya, asalkan tidak melebihi tempoh lima tahun," kata beliau.

Dalam wawancara dengan Bloomberg mengenai pencapaian beliau setelah dua tahun menerajui negara yang disiarkan Jumaat, Najib ditanya sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya awal sekiranya Barisan Nasional (BN) mencapai keputusan cemerlang pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.


Apabila diminta memberi bayangan bilakah pilihan raya umum akan diadakan, beliau berkata, "Ramai yang ingin tahu tentang perkara itu, jadi biarlah saya tidak beri jawapannya sekarang."

Najib yang juga pengerusi BN, berkata parti gabungan itu telah mencatat keputusan cemerlang pada beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

"Sebenarnya, kami mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang daripada segi pilihan raya kecil. Beberapa pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini mempamerkan keputusan yang amat positif bagi kerajaan BN," katanya.

BN menang lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008, termasuk lima yang dimenanginya dengan majoriti lebih besar pada 2010.

Ditanya sama ada beliau merasakan perlu mendapatkan mandat baru untuk melaksanakan program transformasinya dengan lebih selesa memandangkan beliau mengambil alih jawatan perdana menteri pada pertengahan penggal, Najib berkata jika diambil kira tentang perubahan yang dilaksanakannya, ia memang mendapat sokongan rakyat.

"Kami sudah buat banyak tinjauan dan setelah melalui beberapa pilihan raya kecil, ternyata rakyat menyukai apa yang dilakukan oleh kerajaan, kalau tidak, tak kan kami mendapat keputusan demikian.

"Mandat yang kami terima pada 2008 adalah untuk lima tahun. Oleh itu, saya tidak berasa perlu mendapatkan mandat untuk diri saya sebagai perdana menteri. Apabila tepat masanya, saya akan serahkan kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru untuk parti," katanya.


Ditanya sejauh mana BN yakin akan memenangi pilihan raya negeri Sarawak, Najib berkata rakyat di negeri itu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka dan dalam konteks ini, mereka dapati hanya kerajaan BN yang mampu berbuat demikian.

"Setiap rakyat tentu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka. Saya rasa perkara ini paling penting bagi Sarawak kerana negeri itu memerlukan lebih banyak pembangunan prasarana dan kemudahan asas. Saya rasa rakyat Sarawak akan melihat Barisan Nasional sebagai satu-satunya kerajaan yang mampu berkhidmat untuk negeri itu," katanya.

Najib berkata beliau tidak fikir BN menghadapi risiko kehilangan kuasa (di peringkat persekutuan) memandangkan dalam tempoh beberapa tahun lepas, semakin ramai rakyat yang memberi sokongan kepada BN.

"Mereka yang meninggalkan kami pada pilihan raya lepas kini kembali menunjukkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional. Ini tidak bererti kami boleh mengambil mudah. Pada setiap pilihan raya, pasti ada cabarannya," kata beliau.

Najib berkata beliau berpendapat pilihan raya umum akan datang pasti sengit dan BN perlu bersiap sedia untuk menghadapinya.

Ditanya sejauh mana beliau yakin BN akan mendapat majoriti dua pertiga untuk membolehkan parti itu meluluskan sesuatu undang-undang dengan mudah, perdana menteri berkata perkara paling penting ialah mendapat kemenangan besar untuk memudahkan kerajaan bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

"Di negara demokrasi yang sudah matang, memang sukar untuk memperoleh majoriti besar. Lihat saja Australia dan kebanyakan negara lain. Oleh itu, persoalannya ialah sama ada majoriti dua pertiga merupakan objektif yang realistik memandangkan Malaysia juga sebuah negara demokrasi yang sudah matang. Kami akan melakukan yang terbaik dan sudah tentulah kami juga mengharapkan akan mendapat majoriti dua pertiga," katanya.

Ditanya apakah ukuran beliau tentang keputusan pilihan raya yang baik, Najib berkata di Malaysia, secara tradisi, tanda arasnya ialah kemenangan dengan majoriti dua pertiga.

"Jika mahu membuat perubahan struktur dan dilihat pada negara demokrasi di seluruh dunia, sesetengah orang menyifatkan kemenangan dengan majorti selesa sebagai keputusan pilihan raya yang baik," kata beliau.

Najib berkata BN, yang kembali berkuasa tetapi kehilangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008, yakin akan menawan semula negeri yang telah dirampas pakatan pembangkang daripadanya dan perkara ini sememangnya menjadi matlamat parti gabungan itu.

"Kami telah tetapkan sasaran, tapi tidak mahu mengumumkannya sekarang. Kami yakin akan dapat menawan kembali negeri-negeri itu dan ada beberapa perkara yang perlu kami lakukan terlebih dulu kerana apabila berdepan dengan rakyat nanti, kami perlu pastikan semuanya berada dalam keadaan tersusun," katanya.

BN mencatat kekalahan di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak pada pilihan raya umum 2008. Bagaimanapun, kini Perak kembali menjadi miliknya.
- Bernama

SATU MELAYU:
Sekarang BN berada pada tahap selesa dalam meneruskan pentadbiran negara. Sokongan majoriti rakyat dan kembalinya sokongan kepada BN setelah dilanda tsunami politik pada 2008, seharusnya dimanfaatkan untuk tidak mengadakan PRU sebelum tempoh empat tahun.

Dalam masa sama, persempadanan baru kawasan pilihan raya perlu diadakan terlebih dahulu. Sekarang pun semua komponen parti dalam BN telah menangguhkan pemilihan kepimpinan parti.

Justeru, elok sangatlah kalau kerajaan dan SPR melakukan persempadanan baru berdasar kepada apa yang dibolehkan oleh perlembagaan.

InsyaAllah, persempadanan baru kawasan pilihan raya mempu menyelesaikan banyak masalah.

Rasuah: ADUN Lenggeng Dipenjara Tiga Tahun Dan Denda RM20,000

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim (tengah) dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana bersalah menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan mengorek pasir dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Seremban, Jumaat.

ANGGOTA Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Mustafa Salim, dipenjara 3 tahun dan denda RM20,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada seorang kontraktor pada 2008.

Bagaimanapun, Hakim Amran Jantan membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi.

Mustafa, 53, didakwa menerima suapan RM2,000 daripada M. Manimaran sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan projek pasir di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, dekat Seremban pada 5 petang, 31 Ogos 2008.

ADUN Barisan Nasional itu didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau minimum RM10,000.

Mustafa yang berpakaian kemas kelihatan sugul ketika hakim menjatuhi hukuman itu dalam mahkamah yang dipenuhi oleh kaum keluarga tertuduh dan pengadu kes itu, Manimaran yang turut hadir.

Pada 3 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan tertuduh membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Rayuan itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan selepas tertuduh dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas semua pertuduhan pada 14 April tahun lepas tanpa diarah membela diri di akhir kes pendakwaan.

Pada 4 Mac lepas, Amran memutuskan Mustafa didapati bersalah atas satu tuduhan rasuah iaitu menerima RM2,000 daripada Manimaran dan membebaskannya dari dua lagi pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan RM3,000 daripada pengadu melalui Mustafa Pendek di Lot 1321, Mukim Pantai, Seremban, pada 11 pagi, 28 Ogos 2008.

Tertuduh juga bebas dari dakwaan meminta suapan sebanyak RM2,000 daripada kontraktor yang sama di pejabat SPRM negeri di Jalan Datuk Klana Ma'amor di sini pada 9.05 malam, 30 Ogos 2008.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) negeri, Feza Fazlin Fandi sementara Mustafa diwakili peguam Feisal Mustapha dan Datuk Taqiyuddin Yahya.
- Bernama

SATU MELAYU:
ADUN Barisan nasional pun kena hukum penjara jugak? Ingatkan kalau orang BN tak kena hukum dan segala kesalahan yang dilakukan akan disorok oleh pihak berkuasa, sepertimana Nik Aziz selamatkan Mat Sabu dalam kes khalwatnya dulu.

ISU VIDEO SEKS: Shazryl Eskay tidak mahu layan Sivarasa

DATUK Shazryl Eskay Abdullah yang sebelum ini melontarkan lima soalan 'maut' kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, beliau tidak berminat untuk melayan amaran peguam ketua pembangkang itu, R. Sivarasa.

Ini kerana individu yang patut menjawab 'soalan maut' tersebut adalah Anwar sendiri memandangkan, soalan tersebut berhubung kait dengan apa yang berlaku di Thailand yang hanya diketahui dan difahami oleh ketua pembangkang itu

"Maklumkan kepada semua sahabat-sahabat, saya tidak perlu melayan kenyataan itu," katanya seperti dipetik dari blog http://kickdefella.wordpress.com, pada Khamis.

Semalam, Sivarasa memberi amaran supaya Shazryl Eskay berhenti membuat kenyataan 'bodoh' mengenai perjalanan Anwar ke Thailand atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Kenyataan itu dibuat Sivarasa ekoran lima soalan 'maut' bekas Konsul Kehormat Malaysia di Thailand itu kepada Anwar, selepas ketua pembangkang tersebut menyerang peribadinya rentetan pendedahan video seks.

Lima soalan itu adalah sejak dua tahun lalu berapa kali Anwar ke Thailand; siapa yang menyambutnya di Thailand; di hotel mana beliau menginap; apa ketua pembangkang itu buat di hotel tersebut dan siapa yang bayar semua bil.

Dalam pada itu, Shazryl Eskay sekali lagi membuat Anwar 'panas punggung' apabila mendedahkan, ketua pembangkang tersebut menghubunginya pada hari rakaman video seks didedahkan kepada sekumpulan wartawan baru-baru ini.

Pendedahan itu sekaligus bertentangan dengan dakwaan Anwar bahawa beliau tidak mengenali siapa 'Datuk T' ketika diasak oleh wartawan pada hari yang sama, iaitu selang beberapa jam selepas video seks tersebut didedahkan.

"Dia call dan tanya Eskay, where are you? (Eskay, kamu di mana)," katanya.

Mengulas lanjut, ahli perniagaan itu juga mengakui hubungannya dengan Anwar selaku rakan berhibur cukup akrab mengatasi hubungan ketua pembangkang berkenaan dengan Datuk S. Nallakarupan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Shazryl Eskay memberitahu, dia terpaksa mengambil masa lama sebelum mendedahkan moral ketua pembangkang itu disebabkan tiada bukti.

"Apa bukti nak sokong dakwaan saya? Tapi bila saya dapat video ini, bukti itu diberi kepada saya," katanya.
- Utusan

SATU MELAYU:
Rupa-rupanya si Nuar ni selalu ke Siam? Agaknya di sana dia tubuh cabang dan ranting PKR?
Wan Azizah tentu tahu nama-nama cabang dan ranting PKR di Siam tu.

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Surat layang satu fitnah – Saksi

BEKAS Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Hishamuddin Hashim (gambar) hari ini menjawab lima tohmahan dalam surat layang bertarikh 5 Ogos 2009 yang ditujukan kepada beliau dengan menyifatkannya sebagai satu fitnah.

Beliau semasa memberi keterangan menafikan mempunyai hubungan rapat dengan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan hanya mengenali bekas Menteri Besar Selangor itu kerana sering menjemput beliau bagi merasmikan program anjuran SPRM ketika memegang jawatan sebagai Ketua Unit Pendidikan Masyarakat.

Hishamuddin yang kini merupakan Pengarah SPRM Negeri Sembilan juga menjelaskan bahawa asid deoksiribonukleik (DNA) beliau tidak diambil di biliknya, sebaliknya kedua-dua proses yang dilakukan oleh ahli kimia dibuat di bilik mesyuarat dengan kehadiran semua pegawai yang terlibat.

‘‘Itu fitnah. Semua tuduhan bersifat fitnah. Pihak polis beri dua hari untuk pegawai-pegawai SPRM hadir di bilik mesyuarat untuk beri DNA. Saya hadir hari kedua sebab hari pertama saya sibuk dengan urusan di ibu pejabat. Bukan saya seorang, ada pegawai-pegawai lain pada hari kedua.

‘‘DNA juga diambil kali kedua atas arahan Koroner di bilik mesyuarat yang sama di tingkat 14 dengan turut dihadiri oleh peguam-peguam daripada pelbagai pihak,’’ jelas beliau.

Berhubung tohmahan kononnya beliau menggunakan teknik soal siasat dengan memegang tali pinggang dan menggoncang saksi, Hishamuddin menafikan sama sekali serta mencadangkan agar saksi-saksi yang pernah diambil keterangan oleh beliau dipanggil dan ditanya mengenai dakwaan tersebut.

‘‘Ketika itu saya timbalan pengarah, rakaman percakapan dan temu bual dibuat oleh pegawai. Saya tidak pernah periksa saksi atau temu bual mereka. Saya cuma beri arahan sahaja.

‘‘Menjadi kebiasaan, saya jarang punch out (merakamkan waktu keluar) dan ia boleh dirujuk pada kad-kad perakam waktu saya. Saya tidak punch out pada 16 Julai 2009 kerana saya keluar untuk menghantar anak ke sekolah dan akan datang balik ke pejabat,’’ katanya.

Surat layang yang diterima oleh peguam yang mewakili keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo pada 17 Ogos 2009 mendakwa Hishamudin sengaja tidak berada di pejabat pada hari pertama dan hanya memberi sampel DNA pada hari kedua di biliknya.

Hishamuddin juga dikatakan sengaja tidak mengetip kad perakam semasa keluar pada pagi 16 Julai 2009 iaitu pada hari Setiausaha Politik Exco Selangor itu ditemui mati, mempunyai teknik siasatan tertentu dan ada hubungan rapat dengan Mohamad Khir.

Dalam prosiding hari ini, Hishamuddin juga mengaku tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kematian Beng Hock kerana polis telah pun menjalankan siasatan bermula pada hari kejadian selain ada laporan telah dibuat oleh orang awam berhubung penemuan mayat itu.

Semasa memberi respons kepada soalan-soalan daripada peguam mahupun anggota panel suruhanjaya, suasana menjadi agak tegang apabila Hishamuddin kerap menjawab dengan agak kasar sehingga Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen menegur agar saksi bertenang serta tidak terlalu emosi.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung Sabtu ini dengan keterangan oleh Pakar Patologi Forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand.
- Utusan
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog