Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 26 Mac 2011

ISU VIDEO SEKS: Umno Tidak Terlibat, Serah Kerajaan Putuskan Suruhanjaya Diraja


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Umno tidak terlibat dalam rakaman video seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang.

"Soalnya sama ada rakaman itu benar atau tidak, sebab kalau benar maknanya ada satu perbuatan mungkar yang berlaku. Itu perkara utama yang perlu ditentukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur.

"...sebab ada pihak condong untuk bangkitkan soal konspirasi dan sebagainya jadi ini mengalih dari soal pokok sama ada berlaku atau tidak perbuatan yang mungkar itu dan dirakamkan atau tidak," tambahnya.

Najib yang juga Presiden Umno berkata apa yang penting adalah untuk menyiasat kesahihan dan ketulenan video itu kerana parti berpegang kepada prinsip kebenaran sama ada perbuatan itu benar-benar berlaku dan dirakamkan.

Mengenai desakan pihak tertentu agar suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat video tersebut, Najib berkata perkara itu terpulang kepada kerajaan.

Beliau berkata polis perlu membuat siasatan rapi dan profesional bagi menentukan ketulenan video itu agar rakyat yakin dengan laporan hasil siasatan yang akan dibentangkan kepada kerajaan nanti.

"Kebenaran dan kesahihan yang mesti ditentukan terutama oleh polis melalui siasatan rapi lagi profesional, dan kalau ada mereka yang pakar dalam hal ini, tentu (ia) boleh ditentukan oleh pihak polis bagi menyokong siasatan mereka," katanya.

Ketika ditanya mengenai persepsi yang mengatakan bahawa polis tidak adil dalam menjalankan siasatan, Najib berkata polis perlu bertindak secara profesional dan menggunakan khidmat pakar bagi menyiasat sama ada video itu diubah secara teknikal atau tidak.

"Kalau ada perbuatan untuk mengubah video itu secara teknikal, perkara ini amat mudah dikesan. Kalau nak 'ubahsuai' video ini ia cukup mudah dikesan dan dapat ditentukan," katanya.

Khamis, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan seorang ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah tampil memberi keterangan mengenai video itu di Ibu pejabat Polis Bukit Aman serta menyerahkan rakaman video itu serta seutas jam tangan Omega kepada pihak polis.

Dalam pada itu Najib berkata mesyuarat juga berbincang mengenai jumlah keanggotaan terkini Umno yang mencapai 3,233,586 orang.

Mengenai hukuman penggantungan yang dikenakan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan di Sabah, Datuk Japlin Akim pada 2009 kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang, Najib berkata Majlis Tertinggi bersetuju melepaskan Japlin daripada hukuman itu.

"Mulai hari ini, beliau boleh kembali kepada Umno dengan hak sepenuhnya sebagai anggota," katanya.

Selain itu, Najib berkata Majlis Tertinggi bersetuju untuk mengadakan sambutan Ulangtahun ke-65 Umno pada 11 Mei ini.

"Majlis akan dimulakan dengan Solat Maghrib, bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Solat Isyak seterusnya Umno akan mengadakan satu majlis makan malam serta upacara menaikkan bendera," katanya.
- Bernama

SATU MELAYU:
Si polan tu memanglah suka sangat mengaitkan Umno/BN dan pemimpinnya dalam apa jua pendedahan mengenai salahlakunya sendiri. Kes liwat sampai dua kali pun dia kata konspirasi Umno/BN, kini isu video seks pula dikaitkannya juga dengan kepimpinan Umno/BN.

Jangan-jangan hubungannya dengan isteri seseorang rakan karibnya sendiri hingga termengandung dan termelahirkan seorang anak perempuan - seperti yang didedahkan Ummi Hafilda, itupun kerana Umno/BN juga kerrrr...?

Masa depan Pas terancam akibat tindakan Hadi


TINDAKAN Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan pembangkang, boleh menyebabkan masa depan parti itu terancam.

Malah, cita-cita Pas untuk menggantikan UMNO sebagai sebuah parti nasionalis Islamik juga semakin kabur dan tidak menentu kerana, pemimpin mereka sendiri tidak berminat untuk mengetahui kebenaran, walaupun skandal itu menggoncang keyakinan rakyat terhadap Pas.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, tindak-tanduk Abdul Hadi merupakan manifestasi krisis keyakinan diri akibat terlalu terpesona dengan karakter dan karisma hebat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Islam yang dinamik.

Katanya, Abdul Hadi secara tidak langsung mengulangi kesilapan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang gagal menduga sikap sebenar Anwar ketika membawanya masuk UMNO suatu ketika dahulu, dengan harapan untuk melumpuhkan Pas tetapi akhirnya UMNO yang hampir dilumpuhkan.

“Maka sebab itu, orang ramai tidak seharusnya merasa hairan bila pemimpin Pas seperti Abdul Hadi dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am) juga terpengaruh dan terus mempercayai Anwar dalam apa juga keadaan.

“Sedangkan Tun Mahathir dan Daim (Tun Daim Zainuddin) yang begitu pintar juga boleh terpesona dan terlalai dengan perwatakan serta karisma hebat yang dimiliki Anwar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut tindakan Abdul Hadi itu, Zainuddin berkata, beliau percaya Pas kini sudah mula merasai kesan akibat kesilapan besar mereka bekerjasama dengan Anwar, walaupun perkara itu tidak mahu diakui oleh pucuk pimpinan parti.

Jelasnya, ini terbukti apabila terdapat beberapa bahagian seperti Pas Bahagian Batu yang menyokong dan mendesak agar Suruhanjaya Diraja diwujudkan bagi membolehkan ketulenan rakaman video seks tersebut dikenal pasti.
- Utusan

SATU MELAYU:
Maka semakin teruklah Pas di mata orang Melayu yang berfikiran waras.
Kalau sebelum ini Nik Aziz sering terheret dalam banyak isu kontiversi kerana Anwar Ibrahim, kini Abdul Hadi Awang pula terjebak sama.

Apakah Anwar merasakan kelibat dan komentar ‘memakan diri’ oleh Nik Aziz selama ini sudah tidak mampan lagi, maka dalam isu terbaru – isu video seks, Haji Hadi pula yang diheretnya secara terpaksa untuk menunjukkan bahawa dia masih mendapat sokongan pemimpin Pas?
Atau apakah kini Hadi mahu menonjolkan dirinya sebagai presiden parti yang benar-benar seperjuangan dengan Anwar setelah sekian lama dimonopoli oleh Nik Aziz?

Entahlah! Yang pasti kepimpinan Pas semakin kalut kerana membela Anwar Ibrahim, yang semakin hari semakin banyak keburukannya didedahkan oleh bekas kawan dan rakan beliau sendiri.

Sampai bila kelentong Anwar Ibrahim akan terus menjadi?

Gempa bumi di Myanmar, 75 dilapor maut


Sebuah rumah ranap dalam gempa bumi di Tarlay, timur Myanmar, semalam. Sekurang-kurangnya 75 maut, manakala 111 lagi cedera dalam bencana gempa berukuran 6.8 pada skala Richter itu. - REUTERS
SEKURANG-kurangnya 75 orang maut apabila satu gempa bumi kuat menggegarkan timur Myanmar malam tadi, dengan angka korban dijangka meningkat apabila laporan diterima dari kawasan-kawasan terpencil yang masih terputus hubungan.

Gegaran dirasai sejauh Bangkok, hampir 800 kilometer dari pusat gempa di kawasan pergunungan Myanmar, serta Hanoi di Vietnam dan beberapa bahagian China apabila gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter itu berlaku pada 8.25 malam tadi – Khamis (9.55 malam waktu Malaysia).

Pegawai Myanmar berkata, 74 orang terbunuh dan 111 lagi cedera di lima kawasan berdekatan pusat gempa, manakala lebih 240 bangunan runtuh.

"Kami masih cuba masuk ke kawasan terpencil, dengan tentera, polis dan pihak berkuasa tempatan berusaha untuk mencari mangsa yang cedera di kawasan bencana, tetapi jalan masih ditutup," katanya.

Di seberang sempadan, pihak berkuasa Thailand berkata, seorang wanita berusia 52 tahun maut di daerah Mae Sai ditimpa dinding rumahnya yang roboh.

Utara Thailand turut digegarkan dengan gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter pada 7 pagi ini (8 pagi waktu Malaysia), tetapi pihak berkuasa melaporkan tiada kerosakan besar berlaku.

Penduduk yang ketakutan di wilayah itu keluar rumah dan bangunan tinggi bergoyang, manakala hospital dan sekolah dikosongkan, semasa gempa bumi malam tadi.

Di Yangon, pengarah badan kebajikan World Vision bagi Myanmar, Chris Herink berkata, kerosakan infrastruktur yang besar tidak berlaku di kawasan Kengtung dan Tachileik yang terjejas, walaupun bangunan retak dan bekalan air terputus di sesetengah tempat.

"Namun paling membimbangkan ialah kawasan luar bandar kerana saya khuatir, maklumat tidak menggembirakan akan diterima dari sana sepanjang hari ini," katanya.

Gempa bumi itu berpusat 90 kilometer ke utara Chiang Rai dan 235 kilometer ke timur timur laut Chiang Mai, destinasi popular pelancong di Thailand.
- AFP/Utusan

SATU MELAYU:
Syukur negara kitatidak pernah terlibat dengan sebarang gempa bumi seperti itu. Bagaimanapun kejadian bencana alam di sempadan Myanmar-Thailand itu tidaklah jauh sangat dari negara kita.

ISU VIDEO SEKS: Zaid Ibrahim sedia beri keterangan jika dipanggil


KETUA Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim bersedia memberi kerjasama jika dipanggil polis untuk merekodkan keterangannya berhubung rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk berbuat demikian memandangkan isu tersebut kini melibatkan kepentingan rakyat dan kredibiliti pemimpin politik negara.

“Kalau polis panggil berlandaskan undang-undang, kita kena jawab. Saya terpaksalah memberikan keterangan tentang apa yang saya lihat daripada video itu.

“Tetapi kalau polis panggil, janganlah saya seorang, kena panggil juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul dan rakan-rakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KITA cawangan Kedah di Sungai Petani, pada hari Jumaat.

Zaid berkata, beliau sebenarnya menonton rakaman video tersebut untuk mendapatkan gambaran lebih jelas sebelum membuat sebarang ulasan kepada umum.

“Datuk T tidak jemput, tetapi saya sendiri minta untuk melihat. Ini penting kerana sebelum saya buka mulut, saya perlu lihat dahulu. Bukan seperti kebanyakan pemimpin yang hanya bercakap dahulu dan fikir kemudian.

“Daripada apa yang saya lihat, saya memang tiada keraguan tentang rakaman itu,” katanya.

Ditanya sama ada menonton rakaman video tersebut merupakan satu kesalahan, Zaid berkata, sebagai pengamal undang-undang beliau bersedia menerima hukuman.

“Namun pada saya, ia bukan kesalahan kerana bukan bahan lucah, ia lebih kepada dokumentari. Kalaulah mereka yang dikatakan menonton itu salah, apa pula dengan pemimpin politik yang melakukan perbuatan dalam video itu, apakah dia tidak bersalah,” soalnya.

Zaid seterusnya mengulangi pendiriannya agar kerajaan dapat menyegerakan proses siasatan termasuk mewujudkan suruhanjaya bebas atau melantik pakar forensik asing.

“Ini satu isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan rakyat berhak tahu kebenaran. Mungkin boleh muat naik ke dalam Youtube untuk membolehkan rakyat tahu, tetapi kerajaan kena pastikan video itu tulen terlebih dahulu atau sebaliknya,” jelasnya.
- Utusan

SATU MELAYU:
Begitulah caranya seorang pemimpin bercakap. Rela dan redha jika dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara sedia ada. Bukannya melenting tak tentu hala dan menuduh pelbagai pihak dengan bermacam tuduhan konspirasi dan sebagainya.

Walhal Zaid Ibrahim adalah seorang pengamal undang-undang. Dia tahu dan faham sangat selok-belok undang-undang. Bagaimanapun dia tak melenting dan berkata dengan berhemah.

SM bukan ahli KITA. SM bukan sokong Zaid kerana kepartian. SM sokong dan puji kerana pendirian dan sikapnya yang tidak melenting dan berkata-kata dengan penuh ego sebagai mana sesetengah puak yang jumud dan fanatik terhadap seseorang.

ISU VIDEO SEKS: Di manakah Anwar Ibrahim ketika itu?


Imej paparan tweet dari blog http://novandri.blogspot.com.
DI MANA Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim di antara pukul 9.20 malam sehingga 11.38 malam pada 21 Februari apabila satu video seks yang didakwa melibatkan pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur dari China dirakamkan?

Itu antara persoalan yang timbul apabila Anwar yang mengadakan sidang akhbar pada 22 Mac lalu menolak dakwaan yang menyatakan beliau terbabit dalam aksi video seks tersebut.

Menurut laporan akhbar Nanyang Siangpau, Anwar pada sidang akhbar itu telah mengemukakan dua fakta yang membuktikan beliau tidak berada di tempat video seks tersebut dikatakan dirakamkan, sebaliknya bersama keluarga serta sedang mengemas kini laman sosial Facebook dan Twitter.

Selain Nanyang Siangpau, beberapa portal berita dan blog turut melaporkan mengenai Anwar yang tidak men'tweet' pada waktu berkenaan.

Penulis blog Minda Intelek Melayu (M.I.M), Dr. Novandri Hasan Basri menimbulkan persoalan yang mana pada sidang akhbar itu, tidak ada seorang pun mengaku berada bersama Anwar ketika tarikh dan waktu video seks itu dikatakan dirakamkan.

"Malah isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail hanya menjawab ringkas dengan menyatakan rasa terkejut dengan skandal terbaru suami beliau," katanya di dalam blog http://novandri.blogspot.com.

Katanya, Wan Azizah sendiri tidak menyatakan sama ada beliau bersama Anwar ketika itu malah kenyataan Anwar yang menyatakan bahawa dirinya sedang mengakses laman sosial Twitter pada hari dan waktu itu juga menimbulkan persoalan besar.

Dr. Novandri turut mempersoalkan kebenaran Anwar menggunakan Twitternya pada waktu video seks tersebut dirakam berdasarkan pada akaun Twitternya yang didapati 'senyap' kira-kira dua jam iaitu dari pukul 9.20 malam sehingga 11.39 malam pada tarikh berkenaan.

"Jika kita perhatikan Twitter Anwar, beliau adalah pengguna Twitter yang aktif dan seringkali men'tweet' serta menjawab soalan-soalan pengikutnya. Jika Twitter yang dimaksudkan adalah pada tahun ini, yang menimbulkan tanda tanya besar ialah ke manakah 'hilangnya' Anwar selepas pukul 9.20 malam sehingga 11.38 malam daripada Twitter pada 21 Februari?," katanya.

Dr. Novandri turut menyiarkan chat di antara Anwar dan pengikutnya itu yang menunjukkan kali terakhir Anwar menulis di laman sosial itu adalah pada pukul 9.20 malam yang berbunyi: "Blog: Kabinet bayangan "PM tak faham Istilah-Tian Chua:Dari TV Selangor Cabaran Datuk Seri Najib Razak..."

Anwar didapati hanya menjawab semula pertanyaan yang diajukan oleh rakan Twitternya bermula pukul 11.39 malam selepas itu yang berbunyi:Inshaallah @a_sufi DS, bila nk mai #Guar Chempedak ni...lama sangat dah sy rasa DS x mai..."
- Utusan

SATU MELAYU:
Sebagaimana kata YB Dato’ Zulkifli dalam satu program di TV1 malam tadi, Anwar ni kelentong semua orang dengan pelbagai kelentongan. Dia menyangka rakyat masa kini semuanya bodoh.

Apa yang didedahkan oleh blog ‘Minda Intelek Melayu’ ini membuktikan bahawa rakyat bukannya bodoh dan bukan pula mudah untuk dikelentong sesuka hati. Ya tak ya! Penulis blog ini seorang doktor perubatan pulak, Anwar apa sangatlah kelulusannya yerrrr?

Jumaat, 25 Mac 2011

SURUHANJAYA SIASATAN TBH: Teoh Muram Dan Resah Ketika Percakapan Dirakam


SURUHANJAYA yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu pada Jumaat bahawa setiausaha politik kepada seorang anggota exco kerajaan Selangor itu kelihatan muram dan banyak mengeluh ketika pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula merakam percakapannya pada 16 Julai 2009.

Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor, Mohd Nadzri Ibrahim, berkata Teoh merupakan saksi siasatan penyalahgunaan wang peruntukan membabitkan kawasan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang juga anggota exco berkenaan.

Mohd Nadzri, yang bertanggungjawab untuk merakam percakapan Teoh, berkata mendiang dilihat resah dan banyak mengeluh ketika rakaman itu dijalankan hampir dua jam bermula 1.30 pagi.

"Sesekali terdengar beliau menarik nafas panjang," katanya.

Ketika disoal pegawai pengendali yang membantu suruhanjaya siasatan itu, Awang Armadajaya Awang Mahmud, sama ada Teoh berasa tertekan dengan keadaan itu, Mohd Nadzri berkata: "Apabila melihat keadaan Teoh yang agak resah dan muram, saya bertanyakan sama ada dia boleh atau tidak memberi kenyataan, tetapi beliau meminta saya meneruskannya."

Mohd Nadzri, saksi ke-24 siasatan oleh suruhanjaya itu, berkata bahawa pada pertengahan rakaman percakapan dilakukan, beliau ada bertanyakan sama ada Teoh ingin berehat sebentar sebelum menyambung kembali rakaman percakapan itu tetapi tidak memberitahunya supaya pulang ke rumah.

"Teoh hanya berkata kepada saya, "Ok, tak apa kita boleh teruskan dan kita habiskan malam ini juga," kata Mohd Nadzri.

Beliau berkata bahawa ketika penghujung proses rakaman itu, Teoh dilihat kurang mengeluh tetapi lebih banyak menguap.

Ketika disoal pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen sekiranya Teoh penat adakah dia akan dibenarkan pulang ke rumah dan menyambung kembali rakaman itu keesokan hari, Mohd Nadzri berkata: "Saya akan merujuk kepada pegawai penyiasat Mohd Anuar Ismail terlebih dahulu."

Ketika ditanya oleh Foong adakah soal siasat digunakan ketika merakam percakapan, Mohd Nadzri berkata:" Ya,kebiasaannya soal siasat dilakukan semasa proses rakaman dijalankan."

Foong mempertikaikan cara layanan Mohd Nadzri yang tidak profesional ketika menjemput Teoh masuk ke biliknya untuk merakam percakapan kerana Mohd Nadzri berkata beliau hanya melaung sambil menggamit tangan untuk memanggil Teoh.

Foong: "Kenapa kamu tidak datang dekat kepada Teoh untuk menjemput dia masuk ke dalam bilik kamu? Adakah disebabkan kamu adalah seorang pegawai maka kamu panggil dia dengan suara yang kuat untuk bagi dia rasa takut?
Mohd Nadzri: "Bukan itu tujuan saya".

Ketika disoal oleh Awang Armadajaya ama ada beliau pernah meninggikan suara kepada Teoh ketika rakaman percakapan dibuat?

Mohd Nadzri berkata: "Ada, hanya sekali sahaja sebab saya lihat Teoh menandatangani di tempat yang tidak sepatutnya bagi pihak Ean dan saya tanya kenapa dia tandatangan pada cop yang ada nama Ean".

Mohd Nadzri berkata Teoh turut melihat pada paparan skrin komputer mengenai maklumat yang beliau (Mohd Nadzri) masukkan ke dalam borang merakam percakapan saksi yang terdapat dalam komputer untuk membolehkan Teoh membuat pembetulan jika terdapat kesilapan mengenai maklumat berkenaan.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, yang antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh, selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung Isnin ini.
- Bernama

KES VIDEO SEKS: Polis Periksa Lokasi Kejadian Rakaman Video Seks


SIASATAN polis terhadap rakaman video aksi seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang mendapat petunjuk awal apabila bilik sebuah hotel di ibu negara yang dikatakan menjadi lokasi rakaman video itu diperiksa.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Ghazali Md Amin berkata siasatan di tempat kejadian itu dijalankan bersama unit forensik PDRM selepas memperoleh maklumat.

"Dua individu telah ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan dengan jaminanpolis... kita turut memperoleh beberapa bahan bukti daripada mereka.

"Salah seorang daripada individu yang terbabit telah mendedahkan tempat di mana rakaman perlakuan seks itu berlaku," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.

Pada Khamis, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, disoal siasat selama lima jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Mereka turut menyerahkan video aksi seks seorang lelaki dengan seorang wanita serta seutas jam tangan Omega.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis sedang mengenal pasti identiti individu yang kelihatan dalam rakaman video aksi seks tersebut.

Beliau berkata siasatan kes itu masuk hari ketiga dan pasukan khas menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana rakaman video itu boleh wujud.

"Kita sendiri hendak tahu apa yang telah berlaku dan banyak isu lagi, justeru hentikan semua spekulasi dan beri peluang kepada pasukan polis untuk jalankan siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Peringatan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Ismail berkata beliau percaya maklumat dan fakta baru akan diperoleh dalam masa terdekat hasil penyiasatan yang dijalankan.

"Siasatan mungkin akan berkembang terus dari fakta-fakta yang kita akan jumpa nanti," katanya.

Ketika ditanya sebab trio yang mendedahkan video tersebut tidak ditahan, beliau menjawab, "Atas kesalahan apa? Kalau sampai masa sudah cukup bukti dan sudah disahkan kesalahan mereka, barulah kita akan bertindak ikut undang-undang.

"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya.
- Bernama

SATU MELAYU:
Isu video seks berkenaan baru tiga hari menjadi kes polis ekoran laporan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Dan pihak polis nampaknya sedang berusaha keras menyelesaikan kes ini demi keadilan pihak yang membuat laporan.

PRN SARAWAK: BN mampu tawan kembali empat kerusi DUN di Kuching


BEBERAPA penganalisis politik berpendapat Barisan Nasional (BN) Sarawak mampu menawan semula empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan bandaraya Kuching yang dikuasai pembangkang melalui pendekatan mesra rakyat.

Kerusi Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa dipegang DAP manakala kerusi bagi DUN Pandungan pula dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, bagi merealisasikannya, BN Sarawak perlu lebih kerap turun padang bagi menyelami permasalahan pengundi di empat DUN itu yang majoritinya kaum Cina.

Dengan lebih kerap mendampingi rakyat yang sebelum ini merasakan kerajaan kurang memberi tumpuan kepada mereka, ia dilihat usaha paling baik untuk ‘memujuk’ mereka.

Katanya, isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan isu ekonomi perlu diberi tumpuan sewajarnya.

Penganalisis politik bebas, Norizan Shariff pula berkata, dalam usaha memenangi undi kaum Cina, SUPP harus memainkan peranan lebih besar di samping berusaha menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu.

Norizan, yang turut dikenali sebagai Nobisha dalam laman blognya Nobisha.com berkata, kedudukan SUPP sebagai parti yang mewakili suara kaum Cina dalam BN, perlu menyelesaikan masalah dalaman dengan segera bagi mengukuhkan kedudukan parti itu dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 16 April ini.

"SUPP kena tentukan masalah dalam parti dapat diatasi, jangan ada kelompok atau berpuak-puak walaupun berpayungkan parti yang sama," katanya.

Namun begitu, Norizan berpendapat, BN harus menggunakan kemelut yang melanda pakatan pembangkang terutamanya dalam perkongsian kerusi di antara DAP, PKR dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) untuk menarik kembali kepercayaan pengundi kepada parti komponen itu.

"Sebagai contoh, pertelingkahan merebut kerusi Padungan yang dipegang oleh wakil PKR, Dominique Ng Kim Ho. DAP seperti mahu mengambil kembali kerusi terbabit tetapi mendapat reaksi negatif dari PKR dan ini boleh dilihat sebagai peluang kepada BN," katanya.

Norizan juga mendakwa antara isu di kalangan pembangkang ialah sikap keras kepala PKR yang cuba hendak menjadi jaguh di tempat orang dengan usaha menempatkan calon-calonnya untuk bertanding di 42 daripada 71 kerusi DUN negeri.

Katanya, SNAP yang mendakwa mereka adalah parti asal di negeri yang majoritinya dianggotai oleh kaum Dayak, berkeras mahukan lebih kerusi untuk bertanding memandangkan mereka mewakili suara kaum itu serta lebih memahami masalah dan isutempatan.

Penyandang kursi Tun Abdul Ghafar Baba Universiti Perguruan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Zainal Kling pula berkata, BN terutamanya SUPP harus menjelaskan kepada pengundi Cina bahawa isu-isu yang cuba dibangkitkan oleh kaum kedua terbesar di Sarawak itu tidak mungkin boleh diselesaikan dengan cubaan menukar pemerintah.

"Seharusnya parti pemerintah meyakinkan pengundi-pengundi ini bahawa segala agenda demi kemajuan yang dirancang hanya akan berhasil jika ia dibawa bersama tanpa mengira kaum selaras dengan aspirasi 1Malaysia," katanya.

Pensyarah bidang politik dan pengajian antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, hanya ada satu cara sahaja untuk BN merampas kembali kerusi pembangkang di kawasan bandar iaitu dengan membuktikan mereka sahaja yang dapat menjuarai dan mengendalikan isu-isu ini.

"Kerajaan harus selesaikan isu rakyat secara ikhlas, jangan nampak hanya waktu pilihan raya saja mereka nak prihatin, janji macam-macam," katanya.

Pada pilihan raya negeri 2006 BN memenangi 63 kerusi, DAP enam kerusi, PKR dan Parti Cinta Malaysia melalui calon bebas, masing-masing memenangi satukerusi.
- Bernama

SATU MELAYU:
Apapun yang mahu diperkatakan mengenai pilihan raya negeri Sarawak ke-10 ini, yang penting ialah keputusannya nanti akan memberi gambaran kepada berjaya atau tidaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diterima oleh rakyat sebagai peneraju kepimpinan negara pada PRU-13 yang tak jauh lagi masanya.

Di masa sama, ianya juga menjadi ‘kayu pengukur’ kepada penerimaan rakyat atas segala dasar dan transformasi kerajaan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia ke enam itu.

Berdasarkan kecelaruan yang semakin ketara dalam pakatan pembangkang setelah mendapat sedikit kuasa melalui PRU 2008, memungkinkan kemenagnan besar BN bukan sahaja akan berlaku di Sarawak, tetapi juga pada PRU ke-13 nanti. InsyaAllah!

KES VIDEO SEKS: Polis tahan dua lelaki


DUA lelaki telah ditahan polis berhubung siasatan seks video di mana seorang lelaki yang dikatakan mirip seorang ahli politik terkenal mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur asing.

The Star Online yang memetik setiausaha PDRM, Bukit Aman, Datuk Ghazali Md Amin berkata beberapa barangan yang mungkin boleh digunakan sebagai bahan bukti juga dirampas daripada kedua-dua mereka.

Katanya, seorang daripada mereka juga memaklumkan kepada polis, lokasi di mana video seks itu dirakamkan dan pihak polis telah menghantar pasukan forensik bagi menyiasat lokasi tersebut.

Ghazali juga berkata kedua-dua lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan indentiti kedua-dua lelaki tersebut.

Semalam, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata beliau telah menyerahkan rakaman asal video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang, untuk siasatan polis di Bukit Aman.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai disoal siasat, Rahim berkata beliau juga menyerahkan kepada polis seutas jam tangan, yang dikatakan diambil dari bilik hotel di mana adegan seks itu dirakam.

Selain Rahim, turut memberi keterangan berhubung video seks tersebut semalam ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Rabu lalu, Rahim dan Eskay mendakwa mereka bersama bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim, adalah 'Datuk T' yang di sebalik tayangan video seks tersebut.

Mereka telah menayangkan video lucah itu kepada beberapa wartawan tertentu di hotel Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Sehari kemudian, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim membuat laporan polis selepas menafikan beliau adalah lelaki yang didakwa dalam video tersebut.

Rahim dijadual mengadakan sidang akhbar di bangunan Risda, Jalan Ampang pada jam 3 petang ini. Beliau adalah pengerusi agensi kerajaan itu.

SATU MELAYU:
Hubaya!.... hubaya! Isu yang telah jadi kes polis ini semakin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Dalan mengikuti rapat kes dan isu ini, teringat SM kepada peristiwa 13 tahun lalu dimana buku 50 Dalil jadi kes polis dan juga perhatian umum.
Apakah sejarah akan berulang?
Kalau dulu dengan buku, kini dengan video pulak. Maklumlah! Rakyat Malaysia ni dah semakin canggih....

ISU VIDEO SEKS: KITA persoal sikap Pas dalam isu video seks


PARTI Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) mempersoalkan sikap Pas yang tidak bersungguh-sungguh untuk mengetahui kebenaran di sebalik pendedahan rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Ketua KITA, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pendirian pasif parti itu terhadap isu berkenaan bertentangan dengan moral, etika dan agama yang selama ini dikatakan menjadi asas perjuangan Pas.

Menurutnya, beliau faham jika pendirian sedemikian diambil oleh DAP yang jelas tidak kisah mengenai skandal melibatkan moral pemimpin pembangkang kerana bagi parti itu yang lebih penting ialah soal menghadapi pilihan raya.

"Saya anggap sikap Pas yang tidak mahu mencari jawapan sebenar adalah tindakan politik yang merugikan. Ia berbeza sama sekali jika skandal sebegini membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN), Pas pasti mendesak siasatan menyeluruh dibuat.

"Sebagai parti yang dikatakan berteraskan moral, etika dan agama, Pas sepatutnya meminta siasatan yang objektif, bukan membuat keputusan secara sambil lewa semata-mata demi kepentingan politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut menyelar sikap pemimpin Pas yang mudah menuduh pihak lain terlibat dalam isu tanpa berusaha menyelidiki ketulenan serta 'aktor' sebenar yang aksi seksnya bersama seorang pelacur dikatakan dari China dirakam dalam video tersebut.

Katanya, pemimpin Pas patut melihat sendiri rakaman tersebut kerana individu yang dikaitkan dalam video berkenaan didakwa adalah tokoh pembangkang di peringkat nasional.

"Saya sendiri sudah menonton video berkenaan Selasa lalu dan bagi saya tiada sebarang keraguan mengenai ketulenan dan siapa pemimpin pembangkang tersebut," jelasnya.

Zaid seterusnya menasihatkan pihak berkuasa supaya menjemput pakar forensik asing seperti pasukan Scortland Yard untuk membantu penyiasatan mereka dalam isu video berkenaan.

Katanya, ia bertujuan memastikan pembangkang tidak berterusan menuduh kononnya pendedahan video tersebut adalah konspirasi kerajaan.
- Utusan

SATU MELAYU:

PAS harapkan duit Anwar!
Mana ada pemimpin Pas yang berani menyanggah atau menentang Anwar Ibrahim yang jadi ‘Tokpehkong’ mereka sejak Pas menyertai pakatan haram? Nak mampooossss!

PRU-13 dah semakin hampir. Mana Pas nak cekau duit untuk belanja kempen pilihan raya kalau tidak datang daripada Anwar Ibrahim sepertimana PRU 2008 lalu?

Justeru, apa sahaja yang Anwar kata dan suruh kenalah ikut, walaupun di hati kecil mereka tidak setuju dan tidak sependapat. Kerana kemenangan politik, Pas bukan sahaja sanggup gadai maruah malahan sanggup bersekongkol dengan ‘syaitan gondol’ hinggakan ramai penyokong parti itu ‘gulung tikar’.

Pemimpin Pas yang ada masa kini tidak mampu menyisihkan sokongan kewangan Anwar Ibrahim. Harapan mereka hanya kepadanya. Tanpa Anwar, Pas akan bertanding sebagai parti ‘pokai’ pada PRU-13 nanti.

Belenggu ini hanya boleh di bereskan sekiranya barisan kepimpinan Pas yang ada sekarang ditukar baru. Selagi Hadi Awang tidak berani menyanggah Nik Aziz dalam banyak hal yang melemahkan parti, selagi itulah Pas akan dilihat terkontang-kanting bagaikan ‘jembalang tak bertuan’.

VIDEO SEKS: ‘Jangan kata palsu’ - Hishammuddin


Dengan cakap orang, makan buah belolok, dengar cakap Anwar, terjun masuk lubuk.....
SEMUA pihak termasuk pembangkang tidak berhak mengeluarkan kenyataan bahawa rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang adalah palsu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, adalah menjadi satu kesalahan mengeluarkan kenyataan awal seperti itu kerana mereka tidak tahu kesahihannya. “Mereka tidak berhak mengeluarkan kenyataan untuk menentukan kesahihan video tersebut kerana ketulenannya hanya dapat ditentukan selepas pihak polis selesai melakukan siasatan.

“Mengapa hendak menghakimi kes ini, sedangkan orang yang mengeluarkan kenyataan itu sendiri berkemungkinan besar belum tengok lagi rakaman itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-59, di Kuala Lumpuri, Khamis.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.

Hishammuddin diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti pembangkang yang mendakwa rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel yang didedahkan kepada pihak media, Isnin lalu sebagai palsu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan polis kerana bimbang akan dituduh sebagai konspirasi.

“Saya tidak berminat mengulas panjang mengenainya kerana saya hanya berminat untuk mencari kebenaran dan mahu polis melakukan siasatan secara telus dan penuh berintegriti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kekesalan barisan kepimpinan MCA terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan MCA ketika ini umpama isteri yang tidak mempunyai suami tidak akan menjejaskan hubungan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Perbezaan pandangan dalam komponen BN memang berlaku tetapi akan ada cara untuk kita menyelesaikannya,” katanya.
- Utusan

SATU MELAYU:
Ketika sidang media ini adakah Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Wan Azizah telah menonton video seks berkenaan? Kalau belum kenapa beriya-iya join Anwar menafikan dirinya terlibat? Berdasarkan kelentong Anwar jerrrr?
Itulah kejayaan besar Anwar Ibrahim dalam mempengaruhi dan memperdaya para pengikut setianya yang masih setia. Sikap terlalu bencikan pemimpin kerajaan dan Umno/BN, berjaya ditanam sehinggakan apa jua yang dikatakan oleh Anwar Ibrahim menyalah pemimpin dan pihak berkuasa kerajaan semuanya benar belaka. Tidak ada yang tidak benar melainkan bena belaka.

Sebab itulah apabila isu video seks ini meletoooppp, Anwar terus menafikannya walaupun tidak ada tuduhan jelas mengaitkan atau menyebut namanya. Dan sebaik dia nafi, maka para penyokong yang masih setia terus menyokongnya turut menafikan aksinya dalam video seks berkenaan, walaupun mereka sendiri belum lihat apa yang diperkatakan itu.

Kes aksi video seks ini samalah dengan isu DNAnya yang tidak berani diserahkan secara sukarela bagi membuktikan penafiannya dalam kes liwat II. Dia tidak mengaku meliwat Saiful Bukhari tetapi tidak mahu serah DNA untuk dibuktikan dia tidak meliwat.

Kes video seks ini pun serupa. Belum apa-apa dah melenting menafikannya dengan alasan ‘rupa macam saya, tapi perut pelakunya agak lebih buncit daripada perut saya...bla...bla....’

Tak tahulah apa pula kelentong Anwar nanti apabila jam tangan jenama Omega yang turut dibabitkan itu (kini berada pada polis untuk siasatan kes) jika DNAnya sama dengan ‘lelaki Y’ dalam kes liwat II seperti yang dibicarakan di mahkamah.

Tunggggguuuuuuu!

Ezam Minta Pihak Berkuasa Rampas Pasport Antarabangsa Anwar

BEKAS Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Senator Ezam Mohd Nor meminta pihak berkuasa merampas pasport antarabangsa Anwar Ibrahim bagi menghalang ketua pembangkang itu daripada terus memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara.

"Saya mohon pihak berkuasa merampas pasport antarabangsa Anwar dengan kadar segera. Dia (Anwar) akan terus berusaha untuk menghancurkan politik dan ekonomi negara.

"Ini bagi mengelakkan Anwar daripada terus menjaja kes liwat yang sedang dihadapinya itu di luar negara serta memburuk-burukan nama Malaysia," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari Khamis.

Ezam berkata sebagai individu yang telah lama mengenali Anggota Parlimen Permatang Pauh itu, beliau sama sekali tidak akan percaya terhadap Anwar walaupun bekas ketuanya itu bersumpah menggunakan al-Quran.

"Saya yakin bahawa Anwar akan bersumpah jika beliau diletak di dalam suatu suasana terdesak dan jika beliau sudah tidak ada jalan keluar (berhubung dakwaan yang dihadapinya)," katanya.

Selain berhadapan dengan kes liwat membabitkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan, Anwar juga berhadapan dengan isu terbaru apabila dikaitkan dengan video aksi seks dengan seorang wanita.

Anwar telah menafikan penglibatannya dalam video itu.
- Bernama

SATU MELAYU:
Isu penahanan pasport antarabangsa Anwar Ibrahim ini memang telah terlalu ramai yang mempertikaikannya dan pihak berkuasa masih buat tak tahu sahaja. Kenapa dan mengapa hanya mereka sahaja yang tahu.

Yang pasti kes Anwar ini agak istimewa jika dibandingkan dengan kes-kes rakyat Malaysia yang lain.

Kalau seseorang itu didapati tidak menjelaskan cukai pendapatan, maka dia akan diistihar muflis dan tidak akan dibenar keluar negara. Begitu juga kalau seseorang itu diistiharkan muflis oleh mahkamah atas urusan hutang yang tidak terbayar.

Justeru, kes liwat dan tindakan memburuk-burukkan negara oleh Anwar Ibrahim di luar negara mungkin dianggap lebih kecil daripada kes seorang rakyat yang diistihar muflis kerana tidak mampu membayar hutang kerana menjamin pinjaman seseorang.
Wallahhualam.....

PERBICARAAN KES LIWAT II: Pihak pendakwaan tutup kes dan akan kemuka 71 saksi apabila perlu


PADA saat-saat akhir sebelum pihak pendakwaan menutup kesnya, Anwar Ibrahim semakin terdesak untuk mengetepikan tuala kecil Good Morning, berus gigi dan satu botol minuman mineral daripada dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan kes liwat yang dihadapinya.

Ia dapat dilihat apabila Ketua Pembangkang itu memfailkan permohonan pada pagi Khamis, supaya Mahkamah Tinggi di sini menyemak semula keputusannya semalam yang menerima ketiga-tiga barang diperoleh dari lokap yang menempatkannya semalaman pada 16 Julai 2008 sebagai bahan bukti.

Bagaimanapun usahanya gagal apabila permohonan itu ditolak oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah selepas selesai mendengar hujah peguam bela utamanya, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim itu dengan tegas menyatakan bahawa tiada alasan untuk beliau mengubah semula keputusan yang dibuatnya semalam.

Anwar mengemukakan permohonan itu dengan alasan keputusan mahkamah semalam tidak berdasarkan hujah berhubung pelanggaran peraturan yang tidak membenarkan tahanan lokap dibawa keluar antara pukul 6 petang hingga 6 pagi dan keterangan petugas lokap yang mendakwa mereka dilarang menyentuh barang-barang dalam lokap yang menempatkan Anwar.

Mohd. Yusof dalam hujah balasnya menyatakan bahawa permohonan itu tidak berasas kerana peraturan lokap tidak menetapkan bahawa setiap tahanan perlu sentiasa berada dalam lokap dalam tempoh tersebut dan barang-barang terbabit bukan diperoleh daripada Anwar tetapi diambil dari lokap tersebut.

Hakim Mohamad Zabidin pada 8 Mac lalu menolak ketiga-tiga barang tersebut dijadikan bahan bukti semasa bicara dalam perbicaraan (TWT) setelah mendapati bahawa ia diperoleh dengan cara yang tidak sah.

Beliau bagaimanapun dalam keputusannya semalam menjelaskan bahawa keputusan pada TWT itu dibuat bersandarkan keterangan pada masa itu dan tanpa keterangan pegawai penyiasat yang tidak dipanggil sebagai saksi dalam prosiding tersebut.

Sebaik sahaja permohonan itu ditolak, perbicaraan diteruskan dengan dua saksi pendakwaan dipanggil semula iaitu bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan dan ahli kimia, Nor Aidora Saedon bagi mengesahkan ketiga-tiga barang itu untuk ditanda sebagai bahan bukti.

Satu laporan kimia yang dikemukakan oleh Nor Aidora yang sebelum ini ditanda sebagai ‘ID’ (bahan yang belum dijadikan bukti) turut ditukar menjadi bahan bukti.

Nor Aidora dalam keterangannya pada 23 Februari lalu memberitahu bahawa profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui pada ketiga-tiga barang itu adalah sepadan dengan profil DNA Lelaki Y yang ditemui di bahagian dalam dubur pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Selesai kedua-dua saksi itu memberi keterangan, Mohd. Yusof memaklumkan bahawa pihaknya menutup kes pendakwaan dan menawarkan 71 saksi kepada pasukan pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri.

Hakim Mohamad Zabidin kemudian menetapkan 18 April ini untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujah di akhir kes pendakwaan sebelum menentukan sama ada Anwar akan diperintah membela diri atau dibebaskan.

Anwar, 64, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu yang berusia 26 tahun di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas permohonan pihak pendakwaan.

Pada peringkat awal, kes berprofil tinggi itu kerap tertangguh ekoran pelbagai permohonan dikemukakan oleh Anwar sebelum perbicaraan bermula pada 3 Februari tahun lalu.
Sepanjang perbicaraan selama 57 hari di Mahkamah Tinggi, sebanyak 26 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dengan saksi pertama dan utamanya ialah Mohd. Saiful Bukhari.

Turut dipanggil memberi keterangan ialah ketiga-tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari pada 28 Jun 2008; ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong; dan pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira.

Supritendan Ahmad Taufek Abdullah yang menangkap Anwar pada 16 Julai 2008 merupakan saksi pendakwaan terakhir yang selesai memberi keterangan pada 11 Mac lepas.

71 saksi ditawarkan terhadap pihak pembelaan

SEKIRANYA kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim memasuki peringkat bela diri, perbicaraan itu dijangka menjadi lebih hangat daripada kebiasaannya.

Ini kerana, antara 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada barisan pembelaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Senarai nama saksi itu diberikan kepada pasukan pembelaan selepas pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal menutup kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Bagaimanapun, menurut peguam bela utama, Karpal Singh ketika ditemui di luar mahkamah, pihaknya perlu menemuramah kedua-dua individu terbabit dan beberapa lagi saksi yang akan disenarai pendekkan dalam tempoh terdekat.

Ini bagi memastikan keterangan yang akan diberikan nanti akan memihak kepada kes barisan pembelaan dan bukannya sebaliknya, jelas beliau.

Selain dua nama itu, barisan pembelaan berkemungkinan besar memanggil salah seorang doktor yang bertugas di Hospital Pusrawi, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid sebagai saksi.

Saksi utama kes itu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam keterangannya sebelum ini menyatakan bahawa dia telah pergi ke hospital tersebut dan diperiksa oleh doktor terbabit sebelum ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Doktor itu juga dikatakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan laporan perubatan kontroversi yang menyebut mengenai kemasukan objek plastik ke dalam dubur mangsa.
- UtusanOnline.


Khamis, 24 Mac 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Siasatan Terhadap Dua Adun Ditutup Selepas Teoh Mati


SURUHANJAYA untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock pada Khamis diberitahu bahawa kes siasatan penyelewengan wang peruntukan oleh dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor terpaksa ditutup ekoran kematian Teoh.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Penyiasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Mohd Anuar Ismail berkata kematian Teoh membantutkan siasatan dan merugikan SPRM kerana ia tidak boleh diteruskan tanpa Teoh.

Katanya penutupan kes itu diberitahu oleh pegawai penyiasat bernama Syafik, yang mengambil alih kes itu daripadanya.

Dua kes itu membabitkan siasatan dakwaan penyelewengan di kawasan Seri Kembangan dan Kampung Tunku bagi tahun 2008 hingga 2009.

Selain itu Anuar yang dipanggil sebagai saksi ke-24 turut memberitahu bahawa beliau berasa marah dengan tindakan Teoh yang terjun dari bangunan pejabat SPRM kerana kematian itu menyusahkan dirinya.

Ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah adakah beliau yang menyebabkan tindakan Teoh (terjun), Mohd Anuar berkata: "Saya tidak rasa begitu. Saya tidak sebabkan kematian (Teoh)."

Tambahnya sepanjang bekerja di SPRM beliau menyoal beribu saksi dengan cara yang sama seperti mana menyoal Teoh, dan kejadian yang menimpa Teoh adalah pertama kali berlaku.

"Saya tidak rasa tindakan saya membawa dia ke pejabat menyebabkan dia terjun ke bawah," katanya.

Mohd Anuar berkata keputusan Teoh untuk tidak pulang pada pukul 3.30 pagi pada 16 Julai 2009 selepas rakaman percakapan mungkin disebabkan beliau tidak mahu berjumpa dengan ketuanya atau orang berkaitan kes penyelewengan itu.

Selain itu Mohd Anuar juga memberitahu ketika pertama kali berjumpa dengan Teoh di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) beliau dilihat mundar-mandir dan kerap menelefon.

Kelakuan yang sama juga dilihat sejurus sampai di pejabat SPRM dan disebabkan itu Mohd Anuar meminta beliau duduk bersama beberapa pegawai SPRM untuk berbual.

Di akhir prosiding Mohd Anuar bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa pihak SPRM perlu menyediakan perkhidmatan penghantaran saksi menggunakan teksi sekiranya sudah lewat malam atau saksi tidak mempunyai kenderaan.

Beliau yang menamatkan keterangannya hari ini sempat memberitahu suruhanjaya bahawa beliau kini berasa lega dan berharap prosiding dipercepatkan.

"Jika salah, salahlah, kalau betul, betullah," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya Siasatan ini dipengerusi Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, yang antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung Jumaat.
- Bernama
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog