Cina India Kaum Pendatang

Ahad, 5 September 2010

KISAH PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK

AL-KISAH, pada suatu hari sepasang suami isteri yang hidup mewah didatangi seorang pengmis ketika mereka sedang enak menjamu selera di rumahnya. Pengemis yang berpakaian lusuh dan kelihatan tidak bersih itu merayu diberikan sedikit makan untuknya.
“Tolonglah encik, saya sangat lapar. Sejak kelmarin saya tidak menjamah sebarang makanan.”

Dengan muka bengis dan marah, si suami menjeling ke arah isterinya yang cantik sambil menghalau dan mengherdik lelaki meminta sedekah itu.
“Aku membina perniagaan hingga berjaya seperti sekarang ini bukan untuk orang lain melainkan untuk diriku dan keluargaku sahaja. Segalanya adalah kerana usahaku. Aku tidak malas seperti engkau yang hanya tahu meminta-minta. Pergi kau dari rumahku ini.”

Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa terhadap tindakan suaminya itu, walaupun di dalam hatinya ada rasa kasihan dan ada niat untuk bersedekah kepada lelaki ini. Dia takut dimarahi oleh suaminya jika memberikan makanan kepada lelaki itu.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami merosot dan dia jatuh muflis. Kehidupan keluarga itu jadi miskin. Kerana amat tertekan dengan kemiskinan yang menimpanya, si suami menceraikan isterinya yang cantik dan sangat dikashihinya itu kerana tidak mahu isterinya menderita sebab dirinya miskin.

Pada suatu hari, ketika si isteri bersama suami barunya sedang menghadap makanan di rumahnya, tiba-tiba datang seorang pengemis mengetuk pintu sambil bersuara meminta belas kasihan. Mendengarkan rayuan itu, si suami mempersilakan si pengemis masuk dan menyuruh si isteri menyediakan makanan yang sama seperti apa yang sedang mereka makan.

Setelah memberikan makanan kepada pengemis itu, si isteri menekup mukanya sambil menangis teresak-esak. Si suami berasa hairan. Belum pun sempat dia bertanya, si isteri mengadu kepada suami barunya bahawa lelaki peminta sedekah itu adalah bekas suaminya yang dahulu pernah menengking seorang pengemis.

Mendengarkan penjelasan isterinya, si suami dengan tenang berkata, “Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengkingnya dahulu.”

Kisah ini memberikan pengajaran bahawa kehidupan manusia di muka bumi ini bagaikan putaran roda. Ada masanya kita turun dan ada ketikanya kita akan naik semula.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “ Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan.”

Sementara hadis yang diriwayatkan Anas pula, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaanmu, barangsiapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barangsiapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya.”

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cerita yang benar-benar menyentuh perasaan. Amat mengesankan.

Hidup benar-benar umpama roda!

Panglima Perang Cyber berkata...

DULU PERNAH BACA KISAH MACAM NI..SANGAT BAGUS UTK DIJADIKAN IKTIBAR.

JEMPUT KE BLOG PANGLIMA.

SALAM RAMADHAN!

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog