Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 6 Ogos 2011

Mampukah Anwar tarik kuasa asing untuk lanyak Malaysia seperti yang berlaku di Libya?

KELENTONG dan temberang Anwar Ibrahim di Malaysia telah basi. Ianya dah tak laku. Usahkan untuk menerimanya, mendengarnya pun orang dah tak mahu. Dah meluat, benci dan getek. Keadaan ini menyebabkan Anwar terpaksa berkelana menjual temberangnya ke luar negara. Dan setakat ini, negara yang boleh dikoyoknya ialah Indonesia dan terbaru di Filipina lerrr pulak.

Sebagaimana biasa temberang dan kelentong yang dijualnya ialah memburuk-burukkan kerajaan Malaysia dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang sangat tidak disenangi oleh Anwar.

Semua orang tahu, sama ada di dalam mahupun di luar negara yang mengikuti perkembangan politik hamba Allah bernama Anwar Ibrahim ini bahawa dia kini sangat tersepit dengan kes liwat yang terpaksa dijawabnya di mahkamah pada 8 Ogos nanti dan juga isu video seksnya dengan China Doll yang menjijikkan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), cuba memberi gambaran buruk tentang Malaysia di luar negara apabila membuat kenyataan kepada media di Filipina bahawa demokrasi di Malaysia semakin terhakis. Kenyataan Anwar itu dilaporkan akhbar The Philippine Star pada Jumaat ketika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu melawat ibu pejabat akhbar itu di Manila.

Anwar berada di Filipina bagi menyampaikan satu syarahan mengenai pengaruh Dr. Jose Rizal dan Ninoy Aquino serta kepimpinan ASEAN di University of the Philippines di Diliman, Quezon City.

Menurut laporan akhbar yang disiarkan melalui blog http://anwaribrahimblog.com itu, Anwar berkata, beliau amat menghargai sokongan rakyat Filipina kerana terus menyokong perjuangan demokrasi di Malaysia.

"Terima kasih kerana menyokong kebebasan dan demokrasi, ia amat bermakna," kata Anwar kepada pengarang-pengarang dan kolumnis ketika melawat ibu pejabat akhbar itu.

Dalam kenyataannya kepada akhbar itu juga, Anwar berkata, demokrasi di Malaysia semakin terhakis dan rakyat negara ini tidak mendapat pilihan raya umum yang bebas selain media yang juga tidak bebas dalam melaporkan berita.

Anwar turut mendakwa kes liwat keduanya yang akan bermula semula pada Isnin ini berkemungkinan akan dilengah-lengahkan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga mendakwa pihak berkuasa Malaysia berkemungkinan akan melakukan penipuan bagi membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali berkuasa selepas pilihan raya umum nanti.

Anwar berkata, pihaknya menerima laporan bahawa terdapat 200,000 warganegara Indonesia yang telah didaftarkan sebagai pengundi pada pilihan raya umum di Malaysia.

SM agak tertarik dengan dakwaannya bahawa kes liwat keduanya akan dilengah-lengahkan sehingga pilihan raya umum akan datang, sedangkan kita semua tahu tertangguhnya kes liwat II sebanyak 65 kali dalam masa tiga tahun itu adalah kerana karenah yang beliau sendiri timbulkan melalui peguamnya.

Rakyat Malaysia tahu dan makhluk seluruh dunia pun tahu. Mungkin segelintir manusia seperti yang terdapat di Filipina dan Indonesia sahaja yang tak tahu kerana mereka tak mahu tahu.

Kepada SM ada dua perkara yang mungkin boleh diambilkira dalam menilai sebab si Nuar ni memburuk-burukkan negara dan DS Najib di Indonesia dan Filipina itu.

Pertama, mungkin kerana dah tersangat frust dengan kedudukan kes liwatnya yang semakin hari semakin hampir untuk bertapa di Sungai Buloh, maka dia mengambil jalan berkelana di negara-negara jiran sambil memujuk hati dengan menjual kelentong yang hanya menyedapkan dirinya sendiri. Orang mendengarnya tak ambil pot pun.

Kira macam ‘memujuk hati dan diri sendiri’ sebelum ditimpa bala yang dia sendiri tahu bila akan berlakunya.

Kedua, ada kemungkinan Anwar sedang merancang satu kuasa besar asing akan melanyak Malaysia atas dakwaan pilhan rayanya tidak telus dan menipu. Ada kemungkinan seperti apa yang sedang dilakukan Nato di Libya.

Segala dakwaan bahawa pilihan raya di Malaysia tidak bersih sengaja diuar-uarkan awal-awal lagi sebelum PRU sebenar berlaku. Bermakna Anwar sedang memberitahu dunia bahawa pilihan raya umum ke-13 yang bakal di adakan nanti adalah tidak sah dan penuh dengan penipuan.

Justeru itu, satu gerakan rakyat mestilah diusahakan bagi menentang keputusan PRU-13 nanti sebagaimana yang telah diuji melalui perhimpunan haram Bersih 2.0.

Biasanya, kuasa asing akan hanya masuk campur setelah sesebuah negara itu berlaku huru-hara dan rakyat bangun memberontak.

Sebagaimana kita semua sedar, kejayaan pembangkang pada PRU 2008 tidak mungkin akan berulang atau menjadi lebih memihak kepada mereka. Mereka tahu mereka akan kalah teruk setelah rakyat sedar siapa mereka dan apa kerja yang mereka telah lakukan setelah mendapat sedikit kuasa di beberapa buah negeri.

Lagi pun PRU-13 bukan macam PRU 2008. Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional serta Presiden UMNO di kedua-dua pilihan raya itu berlainan orangnya. Bukan sama. Dulu lain, sekarang lain.

Oleh itu, apabila mereka kalah teruk, alasan telah diberinya sekarang iaitu pilihan raya tidak adil dan tidak bersih. Dia dah sediakan jawapan sebelum pilihan raya yang benar-benar menumbangkan pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS nanti.

Kerana menyokong pemberontak, Nato serang Libya....
Persoalannya, akan adakah rakyat negara ini yang mahu menyertai perarakan atau bantahan atau apa jua tunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya akan datang itu nanti? Kalau tidak ada huru-hara, walaupun Ketua Pemberontaknya ada, masakan kuasa asing seperti Nato yang melanyak Libya masakini boleh datang? Kena cetuskan huru-hara dan bantahan besar-besaran rakyat dahulu, barulah bolehhhhh!

Walaupun ini sesuatu yang bersifat andaian, tetapi kemungkinan tetap ada dan perhatian untuk mencegahnya parti juga telah tersedia. Sediakan payung sebelum hujan.

Bagaimanapun berdasarkan rekod, khanya rekod peristiwa ‘Anwar Dengan Projek 16 September 2008’ yang kantoi itu, besar kemungkinan apa yang ada dalam kepala hotak Anwar sekarang pun bertaraf sama. Meracau macam orang gila meroyan.

Anwar Ibrahim benar-benar telah gila.... gila kuasa dan gilakan jawapan PM hinggakan dia benar-benar jadi gila....

SKANDAL PKFZ: Kementerian Kewangan Putuskan Ambil Balik Tanah Di Pulau Indah


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat diberitahu bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tetap mengadakan mesyuarat bagi membeli tanah di Pulau Indah walaupun Kementerian Kewangan memutuskan supaya tanah itu diperoleh melalui pengambilan balik oleh kerajaan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pengangkutan Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata menerusi satu surat bertarikh 27 Dis 2001, LPK didapati bermesyuarat dengan pihak penjual tanah Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan dipengerusikan Pengurus Besar LPK O C Phang.

Katanya, keputusan Kementerian Kewangan supaya pengambilan balik tanah kawasan seluas 400 hektar telah dibuat pada kira-kira enam bulan sebelum itu iaitu pada 12 Jun 2001.

Abdul Rahman yang merupakan saksi keempat pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, berkata berdasarkan surat tersebut didapati terma yang ditawarkan adalah mengikut terma yang berlainan dengan cadangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), antaranya tempoh bayaran balik 15 tahun yang sepatutnya 10 tahun sahaja.

Beliau berkata menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, Kementerian Kewangan membuat keputusan supaya tanah seluas tidak lebih daripada 400 hektar di Pulau Indah diperoleh melalui tindakan pengambilan balik tanah oleh kerajaan dan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, kementerian itu juga memutuskan tanah berkenaan kemudian disewa pajak kepada LPK untuk dibangunkan dan kadar sewa pajakan akan ditentukan kemudian dan kos pembangunan projek ini bolehlah dibiayai melalui terbitan bon jangka panjang oleh LPK yang dijamin oleh kerajaan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Syarat-syarat itu adalah bon itu perlu diterbitkan mengikut keperluan dan hasil terbitan bon dan hasil projek hendaklah dikredit ke dalam satu 'designated account' dengan kerajaan sebagai 'joint signatory', lebihan, akan digunakan bagi membuat bayaran balik awal bon dan jika perlu sewa pajakan.

Sementara itu, kos pembangunan perlu diteliti dengan terperinci dan keperluan keluasan ditetapkan, manakala kontrak kerja-kerja pembangunan hendaklah dibuat secara tender terbuka.

Abdul Rahman berkata keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan itu telah dimaklumkan kepada Dr Ling dan ketika ditanya apakah tujuannya memberitahu, beliau berkata: "Untuk memberitahu keputusan yang dibuat Jemaah Menteri tidak selari dengan Kementerian Kewangan."

"Ia untuk membantu Menteri Pengangkutan dan beri maklum terhadap Jemaah Menteri, tetapi dalam ingatan saya Dr Ling memberi keputusan supaya teruskan mengikut arahan Perbendaharaan. Jadi kita ikut arahan Perbendaharaan (ambil balik tanah). Jadi kita mohon Zaharah memainkan peranan aktif dalam usaha ini."

Ketika ditanya mengenai reaksi KDSB terhadap keputusan Kementerian Kewangan, Abdul Rahman yang merujuk kepada surat daripada KDSB berkata syarikat itu melahirkan perasaan tidak berpuas hati dengan cadangan untuk pengambilan balik tanah dan memohon Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, membantu mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata menerusi beberapa mesyuarat yang dilakukan sekitar awal 2002 didapati usaha pengambilan tanah menemui jalan buntu kerana terdapat beberapa masalah termasuk kerajaan negeri Selangor yang tidak bersetuju dengan menimbulkan masalah kos serta tempoh masa pengambilan yang panjang.

Abdul Rahman berkata pada 8 Januari 2002, O C Phang telah menulis surat kepada Dr Ling bahawa LPK membuat keputusan untuk membeli tanah melalui perbelanjaan LPK sendiri.

Beliau berkata selepas itu, iaitu pada 23 Jan 2002, dalam mesyuarat yang membincangkan pengambilan 400 hektar tanah tersebut, beberapa keputusan telah dibuat iaitu memandangkan LPK memerlukan tanah di Pulau Indah dalam keadaan segera, mesyuarat memutuskan supaya cadangan untuk membeli terus daripada pemilik tanah akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.

Selain itu, turut diputuskan ialah semasa perolehan tanah tersebut ia perlu bebas daripada sebarang 'encumbrances' dan 'title' diperolehi sebelum memulakan pembangunan di atas tanah tersebut serta pembangunan tanah dilaksanakan secara berasingan dan tidak termasuk dengan kos perolehan tanah tersebut.

"Bagi tujuan itu (pembangunan tanah) Kementerian Kewangan akan menilai sama ada melantik pemilik tanah sebagai kontraktor untuk melaksanakan pembinaan kemudahan-kemudahan asas di atas tanah tersebut," katanya.

Terdahulu Abdul Rahman menyatakan bahawa keputusan LPK untuk membeli tanah daripada pemilik sebenarnya melangkaui keputusan Kementerian Kewangan.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov ember2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Isnin.
- Laporan: BernamaOnline

Jumaat, 5 Ogos 2011

Tiga Kesan Cap Jari Ditemui Dalam Kereta BMW Milik Ahmad Kamil


 SEORANG pegawai forensik memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat bahawa tiga kesan cap jari ditemui di dalam kereta jenis BMW milik Ahmad Kamil Abdul Karim, peguam yang mati dibunuh bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang ditinggalkan di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya pada tahun lepas.

Pegawai Turus Siasatan Tempat Kejadian (CSI), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur DSP Sheikh Zainal Abidin Sheikh Omar, 55, berkata dua kesan cap jari diperoleh pada sekeping kad Touch N Go yang ditemui di dalam ruangan pintu sebelah kiri pemandu manakala satu kesan cap jari diperoleh pada sebotol pewangi yang ditemui di sebelah pintu pemandu.

Saksi ke-34 pendakwaan itu berkata beliau dan pasukannya juga menemui 'Smart Tag' yang juga berada bersama kad Touch N Go itu, sebuah diari di dalam bonet, sekeping iklan sebuah syarikat komunikasi di bahagian luar cermin kereta dan senaskhah surat khabar berbahasa Inggeris di bahagian belakang kereta berkenaan.

Sheikh Zainal Abidin berkata pada pemeriksaan kira-kira pukul 10.55 malam, 6 Sept tahun lepas itu, pasukannya turut membuat calitan pada stereng dan tombol gear kereta bernombor pendaftaran AAJ 5 itu bagi mengesan kehadiran Asid Deoksiribonukleik (DNA).

"Semua eksibit saya bungkus dalam sampul surat dan seal sampul surat itu menggunakan seal Forensik serta saya tandakan dengan nombor tag masing-masing, nombor kes, tarikh, dan IO (pegawai penyiasat) kes. Kesemua eksibit kemudian diserahkan kepada IO ASP Mohd Ishak Yaakob untuk siasatan lanjut," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Sheikh Zainal Abidin memberi keterangan pada hari ke-18 perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, R Matan dan R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; Ahmad Kamil, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, isteri Ahmad Kamil, Sabrina Adnan dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa suaminya meninggalkan rumah dengan menaiki sebuah kereta BMW hitam bernombor pendaftaran AAJ 5.

Sheikh Zainal Abidin berkata beliau dan pasukannya kemudian diarahkan membantu siasatan di sebuah sungai di Kampung Kelanang, Banting pada 14 Sept 2010.

"Sampai di sana, saya jumpa Cif Insp N Govindan dari Bukit Aman yang berada di tebing sungai bersama dua suspek dan dia (Govindan) tunjuk pada saya bahawa tiga anggota penyelam Marin berada dalam sungai sedang cari zink yang dibuang. Dia (Govindan) kemudian beritahu saya bila jumpa zink saya akan ambil alih tugas.

"Selepas itu saya nampak tiga anggota penyelam cari sesuatu dalam sungai dan mereka dapat keluarkan satu persatu zink dari sungai dan tiap-tiap satu diletakkan di tebing sungai sehingga berjumlah enam keping," katanya.

Saksi itu berkata beliau mengarahkan anggota-anggota pasukannya menyusun serta membuat label di atas zink-zink tersebut dan beliau kemudian membuat tandaan di atasnya sebelum mengarahkan empat anggota pasukannya membalut semua zink menggunakan kertas minyak.

Sheikh Zainal Abidin berkata keenam-enam keping zink itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting, dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan bahawa tiada keputusan positif diperoleh daripada calitan DNA pada kad Touch N Go yang diambil dari kereta BMW itu.

Pada suatu ketika, Sheikh Zainal Abidin kelihatan kurang senang apabila diasak bertubi-tubi oleh Manjeet Singh sehingga meminta peguam itu tidak menekannya dengan soalan-soalan yang tidak relevan.


Manjeet Singh
"Saya cadang pada you, you tengok rancangan televisyen CSI, jadi you boleh belajar dengan lebih baik," kata Manjeet dan saksi itu kelihatan keliru sambil meminta peguam tersebut menjelaskan soalannya semula.

Permintaan Sheikh Zainal Abidin menyebabkan Manjeet tergelak dan menarik balik kenyatannya itu.

Peguam tersebut kemudian meminta maaf kepada Sheikh Zainal Abidin sambil menjelaskan bahawa beliau hanya menjalankan tugasnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung Isnin ini.
- Laporan: BernamaOnline

Pertemuan Nik Aziz-Ku Li: Pas nafi kerana nak jaga ‘muka’ Anwar dan DAP?

PECAHNYA tembelang Nik Aziz mempelawa Tengku Razaleigh menyertai Pas dan seterusnya mengetuai Pakatan PAS-DAP-PKR secara rahsia menyebabkan kepimpinan Pas tertekan untuk menafi dan melabelkan apa yang didedahkan YB Zahrain itu sebagai satu serkap jarang.

Sebagai ayam tambatan pakatan yang sering dipergunakan untuk kedepan dalam apa jua masalah serta strategi politik, Pas sudah tentu diarahkan oleh DAP melalui Anwar Ibrahim supaya membersihkan isu itu.

Maka terpaksalah satu kenyataan resmi dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali setelah beberapa hari ianya diperkatakan media secara meluas.

Kata Datuk Mustafa: "Saya sudah melakukan pemeriksaan dan saya dapati tidak ada pertemuan seperti yang diperkatakan. Mungkin ia hanya serkap jarang. Tambahan pula Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membuat penafian tetapi ia masih ditimbulkan.

"Anwar tetap berperanan sebagai Ketua Pembangkang. Mahkamah sehingga kini belum membuat sebarang keputusan dan dari sudut itu, isu ini tidak seharusnya berbangkit,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur, Khamis.

Akhirnya ente jadi beban kpd pakatan lahhhh.....
Nampak sangat kenyataan itu sebagai sesuatu yang terpaksa dilakukan bagi menjaga nama baik Anwar Ibrahim dan keberkesanan pakatan yang semakin hari semakin goyah gara-gara ‘mendukung seekor biawak hidup’ yang banyak memberikan masalah kepada pakatan tiga parti yang tak sehaluan itu.

Sekadar nak jaga ‘muka’ Anwar Ibrahim dan DAP.

Kalau dah dikatakan ‘pertemuan sulit’, takkanlah ianya diberitahu kepada semua pemimpin pakatan termasuk Anwar Ibrahim sendiri? Apa punya bangang kenyataan yang dikeluarkan niiiiii!

Lagipun pertemuan sulit itu merupakan satu pertemuan ‘anak Kelantan’ dalam merencanakan politik tanah air terutamanya politik pembangkang di Kelantan yang mula kelihatan semakin goyah dan merudum. Dan sudah tentulah yang menjadi keutamaan kepada pertemuan itu ialah mengenai masa depan politik negeri Kelantan dan kepimpinan anak negerinya.

Sebenarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berkira-kira mencari pengganti kerana beliau sedar namanya tidak lagi mampu meraih sokongan untuk Pas Kelantan seperti dahulu.

Tidak ada kena mengena dengan Pas pusat, apatah lagi pakatan dengan DAP dan PKR yang pada perkiraan Nik Aziz tidak lagi mempunyai masa depan kerana masalah peribadi Anwar Ibrahim yang bertimpa-timpa dan penolakan penyokong Pas terhadap tindakan Hadi mencampakkan perjuangan Islam daripada parti berkenaan.

Sebagaimana diketahui umum, kepimpinan Nik Aziz Nik Mat di Kelantan setelah lebih 20 tahun berkuasa mula menemui jalan buntu. Kebosanan rakyat kerana gagalnya Pas dan Nik Aziz membangunkan negeri itu hinggakan menjadi negeri termundur di negara ini, menampakkan riak bahawa Pas Kelantan akan tewas pada PRU akan datang.

Asakan Umno/BN semakin hebat dan disambut baik oleh rakyat negeri Kelantan. DS Najib bukannya Pak Lah. Komitmen Najib diterima baik oleh orang Kelantan. Dan Umno Kelantan juga semakin mantap.

Inilah yang menggusarkan Nik Aziz. Tambahan pula keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau bergerak aktif seperti dulu, menjadikan Nik Aziz dan Pas semakin lemah, selain beberapa isu kepentingan dan kebajikan rakyat yang gagal diselesaikan.

Sebagai orang politik, Nik Aziz tentulah mencari pengganti dirinya untuk mengekalkan kuasa Pas pada PRU akan datang. Dan tokoh anak Kelantan yang difikirkannya sangat sesuai ialah Tengku Razaleigh. Lagi pun Ku Li sejak akhir-akhir ini dilihat oleh Nik Aziz tidak berapa ngam dengan DS Najib Tun Razak.

Logiknya, maka secara senyap Nik Aziz mengadakan pertemuan sulit dengan Ku Li bagi menzahirkan hasratnya untuk menyerahkan Kelantan termasuk kepimpinan Pas negeri itu kepadanya. Dan di masa sama sudah tentu Nik Aziz meyakinkan Ku Li bahawa Ketua Pembangkang pun boleh diberikan kepada anak raja itu kalau beliau sudi meninggalkan Umno dan menyertai Pas.

Itu dan begitulah yang telah terjadi. Memang kepimpinan Pas pusat, terutamanya anak negeri Terengganu tidak diberitahu mengenai pertemuan peribadi itu.

Lu pikir sendili la lu punya plobelem....
Justeru itu, adalah tidak munasabah kenyataan menafikan pertemuan itu didatangkan oleh orang lain selain daripada Nik Aziz Nik Mat sendiri atau seorang dua lagi yang mungkin ada bersama atau mengetahui mengenai pertemuan sulit itu.

Lagipun, setakat ini Nik Aziz tidak serius dalam menafikan pertemuan itu sebagaimana yang sering dilakukannya apabila berdepan dengan sesuatu isu. Beliau hanya menafikan melalui facebook, itupun tidak serius, sekadar mengatakan ianya satu ‘lawak jenaka’ sahaja.

Manakalah pada kenyataan berikutnya Nik Aziz sekali tidak menafikannya. Sebaliknya beliau hanya melabelkan YB Zahrin sebagai ‘sampah’. Lain yang ditanya, lain yang dijawabnya.

Justeru, berkemungkinan besar kenyataan Pas menafikan pertemuan dua tokoh anak Kelantan itu sekadar memenuhi permintaan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang untuk jaga ‘muka’.
Wallahhua’lam.

LPK didakwa tidak mampu beli tanah KDSB

LEMBAGA Pelabuhan Klang (LPK) didakwa berada dalam keadaan defisit kewangan dan tidak mampu membeli 335.8 hektar tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang walaupun kerajaan memberikan 50 peratus subsidi.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan di Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor, 63, berkata, disebabkan kedudukan kewangan LPK tidak begitu kukuh, kerajaan bercadang membeli tanah tersebut dan menyewakan kembali kepada lembaga berkenaan.

Menurut beliau, KDSB dalam tawaran pertamanya mengesyorkan tanah seluas 161.87 hektar namun tidak diterima kerana ia terlalu kecil untuk dijadikan hub pemindahan kapal utama bagi menjana penambahan lebih 300,000 unit kontena setahun.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, kerajaan hendak menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama negara agar semua kargo dari Malaysia dapat dimuatkan di situ.

''Berdasarkan ingatan saya, ekoran daripada itu pihak Kementerian Pengangkutan telah menerima tawaran daripada KDSB untuk menjual tanah 335.89 hektar.

''Untuk itu, saya telah meminta Bahagian Maritim di kementerian untuk membuat kajian ringkas sama ada tanah seluas itu sesuai dijadikan hub untuk membantu pelabuhan,'' katanya pada perbicaraan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang masuk hari keempat hari ini.

Disoal mengenai harga tanah yang tertera dalam surat bekas Pengurus Besar LPK, O.C. Phang bertarikh 10 Mac 1999, kata saksi, pihak beliau tiada halangan untuk mempertimbangkan penambahan tanah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah bertanya adakah isu pembelian tanah itu dibawa ke Kabinet, jawab saksi:
''Saya rasa ia telah dibawa dan Kabinet membuat keputusan supaya memberi pertimbangan untuk membeli tanah itu.''

Menjawab soalan mengenai surat tersebut, menurut Abdul Rahman, ia disertakan dengan ulasan dan justifikasi (kewajaran) KDSB serta kesan kedudukan kewangan LPK.

Berikutan itu, saksi tersebut menyatakan, beliau telah menghantar memorandum bertarikh 6 November 2000 kepada Liong Sik.

Liong Sik didakwa atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan iaitu menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Jumaat.
- Laporan: UtusanOnline

Kes Sosilawati: Saksi Nampak Empat Lelaki Buang Barang Di Beberapa Lokasi Di Banting

SEORANG saksi perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis bahawa dia nampak empat orang lelaki membuang barang di beberapa lokasi di Banting pada September tahun lepas.

U.Suresh, 27, berkata dia melihat perbuatan itu semasa lori yang dipandunya mengekori sebuah pacuan empat roda berwarna biru yang dinaiki oleh empat orang lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia pada pagi 4 Sept tahun lepas.

Sebelum itu, saksi ke-29 pendakwaan tersebut berkata seorang lelaki telah menahan lori yang dipandunya di simpang masuk menghala ke tempat kerjanya, iaitu sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dan bertanyakan sama ada boleh menyewa lorinya.

Suresh, yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan tersebut, berkata lelaki terbabit memberitahu bahawa lori itu diperlukan untuk membuang barang sembahyang dan bersedia membayar upah sebanyak RM250.

"Selepas bersetuju untuk menyewakan lori, ada seorang lelaki Indonesia turun dari jip (pacuan empat roda) itu dan naik lori saya serta duduk di bahagian tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki Indonesia itu suruh saya mengekori jip itu.

"Jip itu kemudian bergerak dan berhenti di sebuah sungai yang saya tidak tahu nama. Pemandu jip tidak turun dari jip, saya nampak dua lelaki lagi turun dari jip dan buang satu karung (sack) warna putih ke dalam alur (drain).

"Lepas buang mereka naik semula ke dalam jip dan sambung perjalanan," katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N.Pathmanabhan pada perbicaraan hari ke-17.

Suresh memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Khatavarayan, 31; yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Suresh berkata pacuan empat roda itu seterusnya berhenti di sebuah jambatan kecil kira-kira empat hingga enam kilometer dari lokasi pertama kenderaan itu berhenti.

Suresh ketika keluar dari mahkamah
"Di sana dia nampak seorang lelaki dari pacuan empat roda itu membuang barang ke dalam sungai.

"Selepas itu saya masih ikut jip dan bila sampai di satu kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang dan jip itu berhenti, saya nampak sebuah kereta warna hitam berada dalam jarak kira-kira 20 meter dari lori saya. Saya tidak nampak siapa dan berapa orang dalam kereta hitam kerana cerminnya "tinted".

"Selepas itu saya turun dan buka bahagian belakang lori sebelum naik semula (ke dalam lori). Kemudian saya nampak lelaki Indonesia dan seorang lelaki isi barang dalam lori saya kira-kira 10 minit. Selepas loading barang kereta hitam bergerak di hadapan kemudian diikuti jip dan lori saya," katanya.

Saksi itu berkata kira-kira lima hingga 10 minit kemudian ketiga-tiga kenderaan berhenti di tepi sebuah sungai di mana dia melihat lelaki Indonesia serta dua lelaki dari pacuan empat roda itu mengeluarkan barang dari lorinya dan membuangnya ke dalam sungai.

Suresh berkata ketika itu, dia yang masih berada di tempat duduk pemandu turut mendengar seperti bunyi zink dipijak.

"Saya kemudian nampak pemandu jip minta bayaran dari kereta hitam dan driver kereta hitam ada buka cermin kereta tetapi saya tidak nampak siapa. Pemandu jip beri saya wang RM300 dan bila saya beritahu bayarannya hanya RM250 lelaki itu cakap tidak apa, saya simpan baki duit," katanya.

Manjeet: "Selepas itu adakah awak terus ke Puchong?"
Suresh: "Tidak saya ada berhenti di satu tempat. Lelaki Indonesia itu cakap dia nak turun di Subang Jaya dan dia beritahu itu dalam perjalanan jadi bolehlah turunkan dia (di Subang Jaya)."

Suresh berkata apabila tiba di sebuah kawasan kilang dan flat di Subang Jaya, lelaki Indonesia itu memberitahu dia ingin berjumpa seseorang.

Kira-kira 10 minit kemudian saksi itu nampak lelaki Indonesia terbabit membuang sebuah kotak rokok ke dalam sebatang alur semasa sedang berjalan ke arah lorinya.

"Sebelum lelaki Indonesia beredar dari situ, dia ada beri dua buah telefon bimbit kepada saya dan saya tolak tetapi lelaki Indonesia itu mendesak saya mengambilnya," katanya.

"Bila balik semula ke ladang, saya beritahu majikan saya Ravi," kata beliau.

Manjeet: "Ravi ambil ke telefon bimbit itu?"
Suresh: "Ravi marah saya sebab barang-barang yang dibuang ialah barang sembahyang...dia suruh saya buangnya."

Saksi itu berkata dia kemudian membuang kedua-dua telefon bimbit tersebut ke dalam sebuah alur kecil berhampiran sungai di Pasar Besar Banting.

Kepada soalan lain, Suresh berkata dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan atau melakukan pembunuhan pada malam 30 Ogos 2010 (tarikh kejadian) dan dia juga tidak mengenali Pathmanabhan sehinggalah dia ditangkap polis pada 9 Sept 2010.

Saksi itu juga mendakwa dia telah dipukul oleh pegawai polis bernama Govindan dan anggota-anggota polis lain serta diacukan pistol di kepala bagi mengaitkan (implicate) Pathmanabhan dengan kes pembunuhan tersebut.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk membenarkan rakaman percakapan Suresh digunakan dalam prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan (impeach) keterangannya di mahkamah.

Akhtar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa percakapan saksi itu yang dirakam oleh pihak polis memenuhi keperluan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Beliau bagaimanapun tidak menerima rakaman percakapan Suresh dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Ini kerana, katanya, Suresh merupakan saksi dalam kes pembunuhan itu dan bukan orang yang dituduh.

Akhtar kemudiannya meneruskan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu dengan meminta Suresh menjelaskan 22 percanggahan dalam keterangannya.

Setelah mendengar penjelasan Suresh, Akhtar berkata beliau akan memutuskan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu di akhir kes pendakwaan kelak.

Perbicaraan bersambung Jumaat.
- Laporan: BernamaOnline

Khamis, 4 Ogos 2011

Percubaan Memurtadkan Umat Islam: Hasan Ali Pertahan Tindakan JAIS Periksa Program Di Gereja

PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mempertahankan tindakan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama Petaling Jaya, malam Rabu.

Beliau menegaskan, pemeriksaan itu dilakukan selepas JAIS memperoleh bukti wujudnya percubaan memurtadkan umat Islam di negeri ini pada majlis berkenaan.

Menurut beliau, maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

“Terdapat seramai 12 orang Islam telah menghadiri majlis tersebut namun iada serbuan dan tiada tangkapan dibuat.

“Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan,” kata Dr Hasan (kiri) dalam satu kenyataan di Petaling Jaya, Khamis.

Beliau mengulas serbuan oleh polis dan penguatkuasa JAIS selepas dikatakan mendapat laporan bahawa terdapat usaha memurtadkan umat Islam pada majlis makan malam di gereja berkenaan.

Gereja Methodist Damansara Utama
Menurut Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam didapati terbabit dengan majlis itu dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Katanya, seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

"Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Semua 12 mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di bahagian penguakuasaan Jais untuk siasatan lanjut," jelasnya.

Dalam pada itu, Hasan menjelaskan anggota penguat kuasa JAIS bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur.

“Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai,” katanya.

Beliau berkata pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “Quran” dan “pray” diselitkan pada ucapan di majlis itu.

“Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

“Pegawai penguat kuasa JAIS dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang,” katanya.
- Berita: mStarOnline

SATU MELAYU:
Apakah Selepas ini Hassan Ali akan dipecat pula daripada jawatan Exco?
Nasib lerrr Hassan! Apa nak buat! Dah nasib anda jadi Exco di negeri yang dikuasai musuh-musuh Islam dan Melayu....

Ramadhan sebagai bulan pengampunan dosa....

PADA bulan yang mulia ini, Allah swt membukakan pintu taubat dan keampunan. Sebanyak mana pun dosa kita, sama ada disedari atau tidak pada bulan-bulan lain, maka di bulan Ramadhan inilah waktunya segala dosa itu dicuci dan dibersihkan.

Sebagaimana yang diajarkan Rasulullah saw, sepuluh malam terakhir Ramadhan adalah untuk keampunan daripada Allah swt.

Bagaimanapun, ada syaratnya iaitu kita hendaklah bertaubat terlebih dahulu iaitu menyedari dan menyesali segala perbuatan dosa yang telah kita lakukan itu serta berjanji bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi.

Bagaimanapun, itu bukannya satu kebenaran atau peluang terbuka untuk kita berbuat dosa pada bulan lainnya dan nanti di bulan Ramadhan dosa-dosa itu akan diampun atau dihapuskan. Soalnya, apakah kita boleh menjamin bahawa hayat kita boleh sampai untuk bulan mulia itu? Bagaimana kalau Allah swt menjemput kita kembali sebelum Ramadhan menjelang?

Dan dosa-dosa itu pula tidak semestinya yang besar seperti zina atau membunuh, sebaliknya dosa-dosa kecil juga dianggap dosa.

Justeru, kita hendaklah memperbanyakkan istighfar di bulan yang suci ini. Selain itu kita juga perlu memperbanyakkan sujud memohon keampunan di malam hari.

Jika sebelum ini kita sanggup bersengkang mata untuk menonton siaran bola sepak piala dunia, kenapa kita tidak sanggup bersengkang mata untuk mendekatkan diri dengan Allah swt dengan memohon keampunan daripada-Nya? Dan peluang ini hanya datang setahun sekali dengan tempoh selama sebulan sahaja.

Sesungguhnya telah terlalu banyak kita mendengar kebaikan mengenai amalan malam atau solat malam yang kita dengar dan baca melalui pelbagai media sebelum ini.

Justeru itu, dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini kuatkanlah hati dan semangat untuk melakukan amalan di malam hari yang dikatakan tersangat banyak kebaikannya untuk dunia dan akhirat. Bukannya untuk orang lain, tapi untuk diri kita sendiri.

Siapa lagi yang harus kita harapkan untuk memelihara diri kita di dunia dan akhirat kalau tidak kita sendiri? Dan sebagaimana yang kita sedia maklum, apa yang ada di dunia ini hanya sementara. Tidak kekal dan tidak mampu membantu kita di alam akhirat kecuali beberapa perkara yang sering diajarkan oleh para tok guru kepada kita.
Wallahhualam....

Pembunuhan Banting: Saksi Dengar Wanita Menjerit Malam Sosilawati Dibunuh

SEORANG bekas pembantu rumah kepada bekas peguam, N. Pathmanabahan memberitahu bahawa, dia mendengar suara wanita menjerit pada malam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakanya dilaporkan dibunuh di sebuah ladang, tahun lalu.

Siti Hamidah Karnax, 18, menambah, jeritan tersebut didengar pada pukul 9 malam, 30 Ogos lalu, semasa dia sedang mengisar tepung untuk dibuat tosai di salah sebuah rumah yang terdapat di Ladang Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

"Saya mendengar bunyi perempuan teriak sebanyak dua kali yang berselang antara satu dan dua saat," katanya semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-33 di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani apa reaksi saksi apabila mendengar jeritan itu, saksi menjawab, dia hanya 'buat seperti biasa' manakala individu lain yang berada di dalam rumah sama menonton televisyen.

Siti Hamidah yang berasal dari Sunda, Indonesia adalah bekas pembantu rumah kepada bekas peguam, N.Pathmanabhan, 42, dan R.Kathavarayan, 31, yang sedang dibicarakan bersama T.Thilaiyalagan, 20, dan R. Matan, 21, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dalam kejadian yang berlaku antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Kesalahan itu didakwa berlaku di ladang Lot 2001, Ladang Tanjung Layang, Banting.

Pada keterangan lain, saksi yang diletakkan di bawah program perlindungan saksi memberitahu, Kathavarayan atau lebih dikenali sebagai Ravi memintanya untuk mengambil dua bilah parang dan sebilah pisau yang diletakkan ke dalam kereta jenis Isuzu D-Max.

Mengimbas kejadian itu lagi, Siti Hamidah berkata, dia melihat Pathmanabhan yang dipanggil sebagai 'Datuk Pathma' datang ke ladang dan keluar semula dengan menaiki kereta bersama Ravi dalam keadaan cemas.

Tidak lama selepas itu, tambah saksi, isteri kepada Ravi, Jacintha mendapat panggilan telefon dan dalam keadaan cemas telah mengarahkan semua orang yang ada di ladang itu untuk masuk ke dalam rumah, dan tingkap serta pintu rumah ditutup.

"Kira-kira pukul 7 malam, saya nampak seorang wanita dan tiga lelaki. Saya tidak biasa melihat mereka. Saya lihat dari arah belakang semasa saya intai menerusi tingkap," tambahnya.

Wanita bertubuh kecil molek itu seterusnya menambah, Jacintha sekali lagi mendapat panggilan telefon dan mengarahkan dia untuk menyediakan baldi, baju, seluar sukan, syampu, tuala, kunyit dan bedak untuk ditinggalkan di belakang pintu rumah.

Pada tengah malamnya pula, Siti Hamidah menambah, dia melihat api besar sebesar pokok kelapa sawit di bahagian belakang ladang berhampiran dengan rumah Thilaiyalagan.

Idham: Itu kali pertama kamu melihat api seperti itu?
Siti Hamidah: Tidak.

Idham: Sebelum ini, kamu pernah lihat api?
Siti Hamidah: Ya, saya pernah lihat waktu ada orang bernama Raja dari India datang. Jika datang, dia akan tinggal di rumah Datuk Pathma. Waktu itu, api tidak sebesar itu.

Idham: Kali kedua?
Siti Hamidah: Kali kedua waktu saya nampak waktu Shafik. Dia kawan Ravi, selalu datang bersarapan...

Saksi bagaimanapun tidak dapat meneruskan jawapannya kerana dipotong oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mengatakan perkara tersebut tidak berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan.

Idham membalas dengan mengatakan jawapan saksi adalah kesinambungan daripada soalan yang diajukan, namun Hakim Datuk Akhtar Tahir mengingatkan bahawa pihak pendakwaan seharusnya mengawal saksi.

Selain itu, Siti Hamidah juga memberitahu bahawa dia ada melihat sebuah lori dengan muatan kayu yang banyak telah datang ke ladang itu pada petang 29 Ogos 2010, iaitu sehari sebelum kehadiran wanita dan lelaki-lelaki berkenaan.

Pada keterangan lain, saksi memberitahu dia mula bekerja dengan Pathmanabhan selepas diperkenalkan oleh seorang lelaki bernama 'Tengku' yang membawanya ke Kuala Lumpur, selepas dia melarikan diri dari majikan lama di Kelantan.

Saksi menambah, dia datang ke Malaysia pada Mac 2008 dan mula bekerja dengan Pathmanabhan pada Mac 2009 selama sembilan bulan sebelum dihantar ke ladang pada akhir Disember 2009.

"Bila saya mula bekerja, saya diberi arahan untuk tidak memandang muka orang yang datang dan jika hantar air juga perlu tunduk. Saya juga perlu beri salam pada Pahthmanabhan, jika tidak kena hentam," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Manjeet, saksi menafikan bahawa dia dihantar ke ladang kerana ditangkap telah membenarkan seorang lelaki Indonesia masuk ke rumah.

"Itu semua fitnah, saya difitnah," katanya tegas, tetapi mengakui bahawa telah berbohong usianya 23 tahun semasa membuat permohonan untuk bekerja di Malaysia.

Dia menambah, telah dipukul oleh majikan lama menyebabkan dia melarikan diri dan juga mendakwa dirinya dipukul oleh isteri Pathmanabhan, Ravi dan Jacintha.

"Isteri Pathmanabhan memukul saya di ladang dengan menggunakan pelepah kelapa sawit di bahagian kepala. Ravi pukul guna rotan, tangan, pelepah dan ada juga tumbuk. Jacintha pukul guna rotan dan tangan," katanya.

Walaupun dipukul, Siti Hamidah memberitahu, dia sayang akan Jacintha dan hormat kepada Ravi serta tidak berani untuk melarikan diri kerana dimaklumkan bahawa sesiapa yang melarikan diri akan dipukul dengan teruk jika ditangkap.

Peguam Ravi Nekoo pula mencadangkan bahawa Ravi sentiasa mengamalkan mandi air kunyit, yang dinafikan oleh saksi.

"Kalau ada kebakaran, dia akan mandi kunyit," tambahnya.

Dia juga menafikan bahawa dia mempunyai motif untuk memberi keterangan di mahkamah dan juga tidak bersetuju bahawa telah dilatih dan diajar cara-cara untuk memberi keterangan di mahkamah.

Perbicaraan akan bersambung Khamis.
- Laporan: mStarOnline
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog