Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 9 April 2011

PM sedia bertemu Persatuan Kastam

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerangkan sesuatu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengenai model Taman Automotif Pekan selepas melancarkannya di Kompleks Pemasaran Setempat, Pekan, Sabtu - Foto Halim Mat Ali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata beliau bersedia bertemu dengan Persatuan Pegawai Kanan Kastam dalam usaha merungkai segala isu yang sedang dihadapi Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) ketika ini.

"Tidak ada masalah, saya boleh jumpa, pada masa yang sesuai..," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat persatuan itu berikutan laporan-laporan buruk berkaitan KDRM sejak kebelakangan ini.

Semalam, Presiden persatuan itu Ibrahim Ahmad berkata moral dan kredibiliti pegawai dan anggota KDRM kini terjejas berikutan laporan media berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM108 bilion.

Ditanya berkenaan perkara berkenaan, Perdana Menteri berkata sekiranya semua pegawai KDRM ‘mengikut peraturan’, maka tidak akan ‘timbul apa-apa masalah’ lagi.

"Kalau kita ikut peraturan (dalam urusan kerja), tidak ada masalah, kalau (urusan) import apa-apa produk contohnya, kita isytihar produk itu pada harga berpatutan atau harga sebenarnya, tidak ada masalah.

"Kalau kita tak nak isytihar atau mengisytihar kurang dari nilai, itu yang jadi masalah.

"Kalau ikut pada peraturan, sepatutnya tidak timbul apa-apa masalah (seperti apa yang berlaku ketika ini)," kata Perdana Menteri.

Semalam, Ibrahim ketika bercakap kepada pemberita berkata: "Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kami berharap Datuk Seri Najib dapat memberikan nasihat yang boleh membersihkan maruah dan imej Kastam yang kini terjejas akibat laporan media yang tidak tepat.

Ibrahim berkata laporan media yang mengaitkan pegawai KDRM terlibat dengan rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM108 bilion adalah tidak logik kerana agensi itu menjana pendapatan sebanyak RM28.3 bilion pada tahun lepas.
- Bernama/BH

SATU MELAYU:
Kutipan hasil sebanyak RM28.3 bilion bukan satu alasan pihak berkenaan telah menjalankan tugas dengan baik atau bukti tidak berlakunya penyelewengan. Takkan jabatan berkenaan ada target tertentu dari segi jumlah kutipan hasil? Dan apabila dah sampai target, maka iu dah dikira cukup buat kerajaan sementara yang lebihnya untuk di....

Terimalah hakikat apa yang telah dan sedang berlaku. Rakyat selaku pengguna atau pelanggan kepada khidmat Jabatan Kastam ada ramai. Ada banyak cerita yang rakyat tahu dan dengar.

Selain itu rakyat juga ramai yang duduk berjiran dengan pegawai kastam. Rakyat tahu berapa pendapatan halal mereka dan boleh nampak kemewahan yang pada mata umum sememangnya melebihi pendapatan.

Kesemua info itu dikumpul oleh pihak yang bertangguhjawab membantaers rasuah.

Biasalah, pelanduk selalunya lupakan jeras, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Justeru, apabila jerat dipasang, pelanduk yang mua dan lupa daratan mudah terjebak.

Cuma yang kurang menyenangkan dalam isu ini ialah pihak yang memberi rasuah terlepas dan tidak didakwa atau disiasat.

Pi mai, pi mai, kaum Melayu juga yang kena tangkap dan kena penjara. Sedangkan pihak yang memberi rasuah bebas lepas dan kebanyakan mereka bukannya kaum Melayu.

Dalam banyak hal dan perkara buruk yang berlaku di negara ini, kaum Melayulah yang sering terlihat banyak buat salah dan terperangkap kerana kesalahannya. Sedangkan kaum lain yang menjadi dalang dan puncanya tidak jadi apa-apa malah mereka yang bertambah kaya.

Tendang terajang, tolak campur, apabila dinilai peningkatan ekonomi mengikut kaum, maka kaum Melayu tetap berada ditakok lama sedangkan kaum lain semakin berkembang.

Melayu hanya dapat kuah sampai bila-bila... Lagi banyak kuah yang Melayu dapat, maka lebih banyaklah isi yang diperolehi oleh kaum bukan Melayu.

Sisa Tsunami Terapung di Pasifik: Sampah, kereta, rumah dan mangsa ombak gergasi menuju Pantai Barat AS



SEBUAH rumah warga Jepun terapung di Lautan Pasifik.
SISA kemusnahan yang dihanyutkan ke laut berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun dilaporkan terapung di Lautan Pasifik dan boleh sampai ke Pantai Barat Amerika Syarikat.

Lebih 200,000 bangunan dihanyutkan gelombang kuat berikutan gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter pada 11 Mac lalu.

Ada laporan menyebut, ada kereta, traktor, kapal yang karam malah seluruh bangunan rumah terapung di laut.

Lebih memeranjatkan ialah ramalan pakar laut Amerika, Curtis Ebbesmeyer yang percaya kaki manusia lengkap berkasut turut dihanyutkan ke Pantai Barat Amerika dalam masa tiga tahun.

“Saya meramalkan rumah, bot dan kaki yang masih memakai kasut kini terapung,” kata Ebbesmeyer yang menghabiskan masa selama berdekad menjejaki barangan terapung.

Beberapa ribu mayat dihanyutkan ke laut berikutan bencana terbabit dan ketika kebanyakan anggota badan akan putus dan pecah dalam air, kaki yang masih berkasut akan meneruskan perjalanan, kata Ebbesmeyer.
“Saya menjangkakan sesuatu yang tidak disangka,” katanya.

Krew Armada Tentera Laut ke-7 Amerika yang menemui sampah luar biasa yang terapung mengakui tidak pernah melihat sesuatu seperti ini dan memberi amaran ia memberi ancaman kepada kapal.

“Sampah ini memberi masalah kepada kapal yang cuba lalu kerana kebanyakan bot menggunakan kipas selain pukat dan ia boleh menjadi mengancam pihak yang cuba menanganinya,” kata Ensign Vernon Dennis kepada ABC News.

“Jadi berhadapan dengan halangan ini sebenarnya boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan jika kapal anda terkandas ketika melintasinya.”

Saintis berkata, longgokan sampah pertama dari Jepun dijangka tiba di pantai barat Amerika dalam masa setahun selepas dibawa arus ke arah Washington, Oregon dan California.

Ia kemudian akan ke Hawaii dan balik semula ke Asia dalam apa yang dikenali sebagai putaran Pasifik Utara, kata Ebbesmeyer yang menemui kasut Nike, mainan mandian plastik dan sarung tangan hoki dari kapal kargo Asia serta menjejaki sampah lebih besar bergerak ke seluruh Pasifik dari Jepun.

Beliau bergantung pada ribuan pengunjung pantai untuk melaporkan lokasi dan maklumat lengkap apa yang ditemui.

“Bayangkan keadaan jika anda letak bandar utama dalam pengisar sampah dan taburkan sisanya ke laut,” katanya.

Sebahagian sampah yang sampai di Pantai Barat juga mungkin mengandungi radioaktif berikutan kerosakan loji nuklear Jepun, kata James Hevezi, pengerusi Suruhanjaya Kolej Radiologi Amerika Syarikat mengenai Perubatan Fizikal.

“Tetapi, ia mungkin berisiko rendah,” kata Hevezi. “Jumlah dalam barangan ketika itu mungkin tiba di Pantai Barat dengan kadar yang amat minimum.”

Hanya sebahagian kecil sampah akan dihanyutkan ke laut dan bagaimana cepat ia sampai ke sana dan di mana ia mendarat bergantung kepada apungan, bahan dan faktor lain. 

HELIKOPTER pasukan keselamatan Jepun lalu dekat sampah kesan tsunami di perairan bandar Kesennuma di timur laut negara itu.
– Agensi/BHOnline

Wan Azizah juga berbohong? Isteri dan anak tidak layak buat penafian....


DAKWAAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Azizah Wan Ismail bahawa suaminya, Anwar Ibrahim bersenam semasa di penjara mendedahkan penipuan awal yang dibuat oleh beliau sebelum ini.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, semasa Anwar di penjara antara tahun 1998 sehingga 2004, Wan Azizah sering mendakwa suaminya itu tidak sihat dan mengalami masalah sakit belakang.

“Tetapi kali ini, dia mendakwa pula Anwar sering bersenam di penjara. Ini jelas menunjukkan bahawa Wan Azizah berbohong satu ketika dahulu dan berbohong lagi kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan Wan Azizah bahawa Anwar sering bersenam semasa di penjara sekali gus menafikan bahawa individu di dalam rakaman video seks itu adalah Anwar yang disifatkannya lebih sasa.

Azwanddin menambah, Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah tidak mempunyai hak untuk menafikan individu di dalam rakaman video seks itu ialah Anwar kerana hubungan kekeluargaan antara mereka.

Sebagai isteri dan anak kepada Anwar katanya, sudah semestinya Wan Azizah dan Nurul Izzah akan mempertahankan Anwar biar betapa buruk sekali pun pendedahan berkait dengan Penasihat PKR itu.

“Sebaik-baiknya Wan Azizah dan Nurul Izzah bersetuju supaya suruhanjaya diraja yang dibarisi oleh mereka yang bebas ditubuhkan bagi menyiasat keseluruhan aspek mengenai rakaman video seks itu,” katanya.
- Utusan

SATU MELAYU:
Apabila Wan Azizah Ismali selaku isteri dan Nurrul Izah sebagai anak, menafi atau membela Anwar Ibrahim dalam apa juga tuduhan yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang itu, maka ianya diumpamakan sebagai ‘Bersaksikan lutut’.

Biasanya, mahkamah pun tidak akan menerima kesaksian daripada keluarga sendiri.

Akaun pegawai kastam berjuta ringgit

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mengesan beberapa juta wang dalam akaun pegawai-pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dalam Operasi 3B, termasuk lebih RM2 juta dalam akaun salah seorang bekas pengarah jabatan itu.

Sumber memberitahu, pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu secara terperinci telah mengesan pembabitan sebuah syarikat yang dipercayai berperanan memasukkan wang-wang tersebut ke dalam akaun pengarah berkenaan.

"Tindakan itu dibuat atas arahan pengarah itu ketika beliau masih berkhidmat.

"Pasukan itu turut mengenal pasti beberapa pegawai kastam yang memiliki kemewahan di luar kemampuan berbanding pendapatan mereka sebagai penjawat awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan khas tersebut tidak berputus asa untuk meneruskan siasatan walaupun ada cubaan untuk menghalang tindakan itu berikutan kematian Penolong Pengarah JKDM Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed kelmarin.

"Usaha sedang dijalankan untuk membekukan akaun pegawai-pegawai berkenaan.

"Siasatan SPRM tidak terjejas malah masih giat diteruskan dan mengikut maklumat, ada berbilion ringgit lagi masih berada di luar negara. Siasatan turut melibatkan pegawai-pegawai yang sudah bersara," katanya.

Seramai 62 pegawai JKDM pelbagai pangkat ditahan manakala berjuta-juta wang, akaun dan barangan berharga termasuk rumah dan kereta disita dalam operasi besar-besaran SPRM di Pelabuhan Klang, Kuantan, Johor dan Pulau Pinang sejak Isnin minggu lalu.

SPRM menganggarkan lebih RM10 bilion wang rasuah itu telah dipindahkan secara haram ke luar negara, manakala negara kerugian akibat kehilangan pendapatan sebanyak RM108 bilion akibat tindakan tangan-tangan kotor tersebut.

Dalam operasi baru-baru ini, ada di antara yang ditahan memiliki akaun simpanan berjumlah setengah juta dan kereta mewah, simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM200,000 dan jam tangan mewah diperbuat daripada emas.
- Utusan

SATU MELAYU:
Perbuatan rasuah telah terlalu lama berakar umbi dalam masyarakat di negara ini. Ianya dilakukan oleh golongan peniaga dengan pegawai kerajaan yang melaksanakan kuatkuasa undang-undang dan peraturan tertentu dalam pentadbiran negara. Bukan semua, tetapi disitulah lubuknya. Hendak dilakukan atau tidak bergantung kepada iman mereka yang tergolong dalam urusan berkaitan.

Dan sejak DS Najib melakukan tranformasi pentadbiran, tumpuan kepada pencegahan rasuah menjadi salah satu NKRA yang mula menampakkan kejayaan.

Oleh kerana yang diberikan tanggungjawab mencegah rasuah adalah SPRM, maka segala kejayaannya tidak disenangi oleh pihak yang terlibat dan juga puak pembangkang.

Hukuman penjara dan hilang semua kekayaan haram yang diperolehi selama ini sangat menakutkan pihak yang terlibat.

Manakala pihak pembangkang pula bimbang kejayaan tranformasi kerajaan itu mendapat sokongan rakyat yang menjadi salah satu punca mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno/BN menjelang PRU-13.

Inilah cabaran utama yang terpaksa dihadapi SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan demi kesejahteraan rakyat dan kemantapan ekonomi negara.

Justeru, semangat para pegawai SPRM diharapkan tidak jadi lemah kerana insiden yang berlaku akhir-akhir ini yang dilihat terjejas sedikit.

Jumaat, 8 April 2011

Kematian Ahmad Sarbani Selari Kesan Jatuh Bangunan

POLIS telah mengambil keterangan enam orang setakat ini dalam siasatan kes seorang penolong pengarah kastam Selangor, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata mereka yang diambil keterangan termasuk dua pegawai SPRM yang digantung kerja berhubung kes tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini beliau berkata polis juga telah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan itu untuk dianalisa.

Mengenai bedah siasat atas jenazah pegawai kastam berkenaan, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, beliau berkata bedah siasat mendapati kesan kecederaan pada jenazah Allahyarham konsisten dengan kesan orang jatuh bangunan.

"Kini ujian makmal sedang dilakukan dan keputusannya akan diketahui dalam masa seminggu," katanya.
Kelmarin, mayat Ahmad Sarbani ditemui dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan SPRM Wilayah Persekutuan dengan kesan kecederaan di kepala.

Sebelum itu beliau datang ke pejabat SPRM itu pada kira-kira 8.30 pagi kerana hendak berjumpa pegawai penyiasat.

Selain itu, Zulkifli berkata polis kini sedang mengikuti beberapa petunjuk yang diperolehi bagi meneruskan proses siasat kes terbabit.

"Ada petunjuk tertentu yang kita sedang ikuti, tapi kita tak nak dedahkan sebab kita tak nak wujudkan kebimbangan yang keterlaluan...biarlah pihak polis menyiasat secara terperinci," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata polis memandang serius kes tersebut dan akan menjalankan siasatan daripada semua aspek.

"Dari hari pertama saya ada di tempat kejadian...ini menunjukkan betapa seriusnya kita memandang kes ini. Kita juga wujudkan pasukan penyiasat yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah untuk siasat kes ini.

"Kita akan siasat dari semua aspek dan buat masa ini saya berharap semua pihak bersabar dan saya tidak dapat mendedahkan semua sekali bagi mengelakkan sebarang spekulasi," kata Zulkifli.
- Bernama

SATU MELAYU:
Menanti bagaimana pula puak pembangkang memainkan isu ini dalam usaha mencemar nama baik agensi kerajaan seperti SPRM.

Adakah ianya serupa seperti yang dilakukan dalam kes Teoh Beng Hock dulu atau tidak. Kalau tidak, mengapa? Apakah kerana yang terjatuh itu seorang bangsa Melayu atau apa?

VIDEO SEKS: Kerajaan Tunggu Hasil Siasatan Polis Sebelum Tubuh Suruhanjaya Diraja

KERAJAAN akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mempertimbangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks melibatkan pelaku mirip Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Kabinet hari ini mengambil keputusan untuk menunggu hasil penyiasatan polis dahulu yang bukan sahaja melakukan siasatan tentang ketulenan video itu tetapi mengenal pasti siapakah pelaku di dalam video itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Nazri berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu sekiranya terdapat pertikaian daripada hasil siasatan polis.

Pada Rabu lepas, beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu perlu disegerakan berikutan penafian isteri Anwar, Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang suaminya itu adalah lelaki dalam video berkenaan.

Nazri berkata bahawa setelah penafian itu dibuat, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sama ada benar atau tidak Anwar adalah lelaki dalam video itu.

"Dan penyelesaian terbaik bagi isu itu adalah dengan menubuh suruhanjaya diraja," katanya.

Nazri berkata usul untuk menubuhkan suruhanjaya itu dibuat kerana kerajaan mendengar pandangan rakyat dan juga badan bukan kerajaan termasuk Dewan Pemuda PAS yang menyeru agar sebuah suruhanjaya diwujudkan bagi menangani isu itu.
- Bernama

SATU MELAYU:
Tunggggguuuuuuu! Siasatan polis masih belum selesai.

Ketua PKR Cabang Rantau Panjang Didakwa Subahat Rasuah RM50,000

KETUACabang PKR Rantau Panjang, Datuk Mohammad Agos Mohd Noor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas pertuduhan bersubahat dengan seorang ibu tunggal untuk menipu seorang lelaki berhubung penganugerahan Dato' D'Raja dari sebuah persatuan kerabat, tahun lalu.

Pengakuan Mohammad Agos, 51, yang merupakan seorang ahli perniagaan direkodkan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa bersubahat dengan Nor Azimah Jamaludin, 31, untuk menerima sekeping cek Public Bank bernilai RM50,000 bertarikh 7 Disember 2010 daripada Izuldin Hani Mohd Noor pada 8 Disember di Restoran McDonalds, Taman Melawati, Setapak, Kuala Lumpur.

Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk Nor Azimah melakukan suatu transaksi yang dicadangkan iaitu mendapatkan anugerah Dato' D'Raja dari Persatuan Kerabat Yang Maha Mulia Long Yunus Negeri Kelantan.

Bagi kesalahan itu, Mohammad Agos didakwa mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16 (a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen 24 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohammad Agos ditangkap pada 15 Disember lalu.

Selain itu, Mohammad Agos juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu telah bersubahat dengan Nor Azimah untuk menipu Izuldin Hani bagi mempercayai bahawa wanita itu boleh mendapatkan anugerah tersebut sedangkan ia tidak sah mengikut Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.

Penipuan tersebut didakwa telah mendorong Izuldin Hani untuk menyerahkan cek tersebut yang mana dia tidak akan berbuat demikian, jika tidak diperdayakan.

Pertuduhan pilihan ditawarkan oleh Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.

Abdul Razak menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 atas alasan ia satu jumlah yang berpatutan dengan nilai kesalahan yang dipertuduhkan.

"Kesalahan yang dilakukan juga adalah serius dan tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk beberapa pertuduhan. Untuk memudahkan urusan pentadbiran, kami berhasrat untuk mengenakan satu jaminan sahaja," katanya.

Bagaimanapun, peguam Wan Helmi Wan Hasan membantah jumlah tersebut kerana berpandangan jumlah jaminan hendaklah satu jumlah yang munasabah yang dapat memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

"Jika jumlah yang tinggi dkenakan, tertuduh tidak akan mampu untuk menjelaskan jaminan dan dia akan dihantar ke lokap. Ini baru pertuduhan dan tertuduh belum disabitkan bersalah," katanya.

Rozilah kemudiannya mengekalkan jaminan pada jumlah RM30,000 selepas berpuas hati jumlah tersebut adalah satu jumlah yang berpatutan dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mei depan.

Sementara itu, Nor Azimah didakwa di Mahkamah Sesyen berlainan atas pertuduhan menerima cek tersebut daripada Izuldin Hani di tempat, masa dan untuk tujuan yang sama.

Wanita bertubuh sederhana itu juga ditawarkan pertuduhan pilihan menipu Izuldin Hani sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan cek terbabit.

Nor Azimah yang beralamat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur ditangkap pada 7 April lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam memberitahu Hakim Rosbiahanin Arifin bahawa dia hanya menurut arahan yang diberikan oleh Mohammad Agos.

"Saya tidak salah. Saya hanya mengikut arahan yang diberikan oleh Agos. Dia yang beri arahan pada saya...," katanya.

Percakapan itu dipotong oleh Rosbiahanin yang memberitahu perkara tersebut perlu dikemukakan pada perbicaraan kelak.

Rosbiahanin membenarkan Nor Azimah dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dan sebutan kes akan diadakan pada 9 Mei depan.

Difahamkan, Mohammad Agos mendapat gelaran sebagai Datuk Paduka di dalam persatuan kerabat itu dan menggalas jawatan sebagai setiausaha majlis penganugerahan terbabit.
- mStarOnline

'Sokong tubuh Suruhanjaya Diraja': Naib Presiden PAS pemimpin pembangkang pertama beri respon positif


NAIB Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjadi pemimpin pembangkang pertama menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video seks yang dikatakan membabitkan pelaku mirip Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun persetujuan beliau bergantung kepada terma rujukan dan syarat selain keanggotaan suruhanjaya berkenaan.

“Secara prinsip saya boleh mempertimbangkan cadangan itu dengan syarat saya melihat dulu terma rujukan dan siapakah yang dilantik untuk menganggotainya. Jika suruhanjaya ditubuhkan, perlu dilihat tokoh berwibawa yang tidak mempunyai kepentingan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya sama ada pembangkang perlu menganggotai suruhanjaya berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata ia bergantung kepada terma dan rujukan. 


“Kita akan lihat terma dan rujukan terlebih dulu baru kita putuskan siapa yang patut menganggotainya (di kalangan pembangkang),” katanya yang mahu menunggu keputusan Kabinet hari ini mengenai penubuhan suruhanjaya itu sebelum boleh mengulas lanjut.

Beberapa hari lalu, parti pembangkang sepakat menolak cadangan ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat video seks yang dikaitkan dengan Anwar. Pengerusi DAP, Karpal Singh, dilaporkan berkata ia tidak diperlukan sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada siasatan polis yang sudah dimulakan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, cadangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks itu akan dikemukakan kepada Kabinet hari ini.

Beliau berkata, penubuhan perlu disegerakan berikutan penafian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang suaminya adalah lelaki dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, tidak seperti Salahuddin, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dengan tegas menolak penubuhan suruhanjaya dan yakin rakyat mampu menilai kebenaran selepas melihat Anwar sering menjadi sasaran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah, beliau menyifatkan penubuhan suruhanjaya tidak mampu menyelesaikan masalah.

“Saya yakin individu yang dikaitkan dalam video itu bukan Anwar kerana beliau seorang pemimpin yang baik,” katanya.
- BHOnline

SATU MELAYU:
Kahhh... kahhhh.... huuu...huuuuu....hiiiii....hiiiiii..... Harun Taib kata Anwar seorang pemimpin yang baik.....
Baik punyaaaa!
Betul ke perliiiiii?

Negara Asia makin gusar ancaman radiasi nuklear



PELAJAR sekolah rendah Midong, Korea Selatan membawa payung ketika wujud kebimbangan hujan mungkin membawa bahan radioaktif dari Fukushima.
BEBERAPA jiran Jepun semakin menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pencemaran radiasi di wilayah masing-masing akibat kebocoran loji nuklear Fukushima sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jepun beberapa minggu lalu.

Di Korea Selatan, beberapa sekolah ditutup kerana ibu bapa pelajar risau anak mereka kena radiasi ketika hujan.

“Kami juga menghantar risalah rasmi kepada pihak sekolah supaya tidak mengadakan aktiviti di luar darjah,” kata pegawai kementerian berkenaan di Seoul.

Agensi keselamatan nuklear Korea Selatan melaporkan kehadiran bahan radioaktif rendah iodin dan caesium dalam hujan di selatan negara itu meskipun parasnya tidak mengancam nyawa.

Tetapi, ramai penduduk Korea Selatan kini memakai topeng muka ketika keluar rumah. Kesesakan lebih ketara di jalan menuju sekolah kerana mereka tidak membenarkan anak berjalan ke sekolah.

“Kami dekat dengan Jepun berbanding Amerika atau Eropah. Penduduk kami tentunya lebih risau,” kata Presiden Lee Myung-bak yang membentuk jawatankuasa khas bagi memantau kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan China pula mengesan bahan radioaktif di tiga wilayahnya manakala India berhenti mengimport makanan Jepun selama tiga bulan dan Singapura mengharamkan pengimportan sayur dan buah.
Di Vienna, pegawai nuklear Jepun disoal siasat rakan mereka dari negara lain, khususnya Russia.

“Rakan mereka meminta lebih banyak maklumat terutama Russia,” kata sumber diplomatik. Malah, pegawai Russia memberitahu pegawai Jepun supaya meningkatkan usaha menangani pencemaran radioaktif.
– Reuters/BH

Selangor tak ada dasar bantu peniaga Melayu


DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) menyifatkan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak mempunyai dasar yang jelas bagi membantu peniaga bumiputera meningkatkan ekonomi mereka.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, faktor itu menyebabkan peniaga bumiputera tidak memberikan sokongan terhadap kerajaan negeri, khususnya melibatkan usaha meningkatkan taraf pendapatan dan ekonomi di Selangor.

''Di Selangor tidak ada polisi yang membantu peniaga Melayu, itu yang susah sedikit. Kalau kita lihat Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mewujudkan pelbagai program, transformasi dan pakej-pakej untuk membantu orang Melayu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung DPPMS Ke-24 dan Forum Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di Hotel Concorde, di Shah Alam pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Biro Latihan dan Aduan Usahawan DPMMS, Datuk Sohaimi Shahadan.

Forum sehari itu memberikan penerangan mengenai peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan oleh peniaga Melayu menerusi pelaksanaan ETP Kerajaan Persekutuan.

Rozali mencadangkan agar kerajaan memberi penumpuan terhadap peniaga Melayu kecil-kecilan yang sedia ada sebagai langkah untuk memperkasakan kaum itu dalam bidang perniagaan.

''Sekiranya kerajaan hanya menumpukan usaha mewujudkan peniaga Melayu yang baru, ia tidak banyak membantu ekoran peratusan untuk gagal itu mungkin tinggi,'' ujarnya.

Sebaliknya, beliau berkata, tumpuan perlu dibuat terhadap peniaga kecil-kecilan sedia ada kerana jumlah mereka sebenarnya tinggi.

''Sebilangan besar mereka telah lama menjalankan perniagaan, mempunyai akaun perniagaan yang aktif, ada tempat dan jualan.

''Golongan ini juga dilihat boleh turut sama memainkan peranan untuk manfaat peniaga baru dalam kalangan orang Melayu," katanya.
- Utusan

SATU MELAYU:
Memang kerajaan PKR Selangor tidak mahu menggalakkan kaum Melayu maju dalam melibatkan diri dengan perniaga atau pembangunan ekonomi negeri.

Kerajaan PKR Selangor mungkin hanya menggalakkan secara rahsia mana-mana kaum Melayu yang mahu maju dalam ekonomi dan kaya dengan cepat, mereka hendaklah melakukan kerja-kerja mencuri pasir dari mana-mana kawasan di negeri itu dan menjualkannya kepada agen yang menyeludup pasir ke Singapura.

Perniagaan jenis ini agak mudah dan cepat boleh jadi kaya. Tapi berapa ramai peniaga kaum Melayu yang sanggup dan mampu buat kerja mencuri pasir? Memadailah kaum Melayu sekadar jadi pemadu lori mengangkut pasir dan mesin jengkaut sahaja.

Begitulah perubahan yang mampu dibawa oleh kerajaan pakatan pembangkang kepada orang Melayu melalui PRU 2008 lalu. Untuk terus berkeadaan begitu, orang Melayu Selangor pada PRU akan datang hendaklah meneruskan perubahan dengan mengekalkan kerajaan negeri dikuasai oleh pembangkang.

Kalau pada PRU 2008, Selangor diterajui PKR yang bersekongkol dengan DAP dan PAS, maka untuk PRU akan datang, apa kata rakyat Selangor mencuba pula supaya negeri itu di terajui oleh DAP.

Heroin RM110j dirampas, Polis tahan dua warga Pakistan, temui 158.5 kg dadah disorok celah selimut


TIDAK sampai 24 jam selepas menumpaskan sindiket dadah antarabangsa didalangi warga Iran di Kuala Lumpur, Jabatan Narkotik Bukit Aman mencapai kejayaan berganda dengan menahan dua lelaki Pakistan bersama 158.5 kilogram heroin gred tinggi bernilai RM110 juta di Seri Kembangan, kelmarin.

Heroin itu yang dibawa masuk ke negara ini melalui pelabuhan, ditemui bersama warga Pakistan terbabit selepas polis menyerbu sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat pembungkusan dadah di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

Dadah itu yang ditemui disorok di celah selimut sebelum dimasukkan ke dalam kotak adalah rampasan terbesar Jabatan Narkotik Bukit Aman sepanjang tahun ini.

Selasa lalu, jabatan itu menumpaskan sindiket didalangi warga Iran dengan tertangkapnya sembilan warga negara berkenaan termasuk empat wanita dan merampas 71.4 kilogram syabu bernilai RM17.9 juta.

Polis percaya sindiket yang ditumpaskan, kelmarin yang didalangi dua warga Pakistan berusia 28 dan 30 tahun itu menyeludup dadah terbabit dari negara asal mereka sebelum membungkus semula dan mengedarkannya ke pasaran Asia Tenggara.

Pengarah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati sindiket terbabit mempunyai rangkaian dengan satu sindiket dadah yang ditumpaskan di Australia, awal tahun ini.

Katanya, kedua-dua suspek itu termasuk seorang yang mempunyai perniagaan sah di Malaysia, ditahan dalam serbuan jam 4.30 petang, ketika sedang membungkus dadah berkenaan, dipercayai untuk dihantar ke beberapa lokasi di luar negara.

“Di rumah itu, kami menemui 155 bungkusan seberat 158.47 kilogram mengandungi dadah jenis heroin yang disorok di celah selimut sebelum dimasukkan ke dalam kotak,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, pihaknya percaya sindiket terbabit menjalankan kegiatan itu sejak lima bulan lalu dan pemeriksaan pada pasport kedua-dua lelaki berkenaan mendapati mereka sudah beberapa kali keluar masuk negara ini dalam tempoh itu.

“Anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan menjalankan operasi mereka di rumah sewa untuk memudahkan mereka berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut mempunyai anggota rakyat tempatan, namun siasatan masih dijalankan. Kita juga menyiasat bagaimana dadah itu boleh diseludup melalui pelabuhan negara ini,” katanya.
- BeritaHarian

SATU MELAYU:
Berdasarkan tangkapan-tangkapan yang berjaya dilakukan, seolah-olah negara kita ini menjadi hub pengedar dadah antarabangsa terutamanya dari Iran, Pakistan dan China.

Dalam beberapa kes yang dicekup, warga asing itu didapati menjadikan negara ini juga sebagai tempat memproses dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Kenapa yerrrr?

Kenapa mereka memilih negara ini sebagai hub operasi pengedaran dadah antarabangsa? Apakah kerana undang-undang kita longgar atau kerana negara kita terlalu membuka pintu dan melambai-lambai warga asing supaya masuk sebagai pelancong?

Berbanggakah kita dengan kehadiran pelancong yang ramai kononnya, sedangkan yang datang itu kebanyakannya pengedar dadah, pelacur, GRO dan bermacam manusia yang memudharatkan kesejahteraan negara.

Inikah yang dibanggakan Ng Yen Yen?

Khamis, 7 April 2011

Dua Pegawai SPRM Yang Mengiring Ahmad Sarbani Ditahan Kerja


DUA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang menjadi pengiring Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, yang ditemui mati di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini Rabu ditahan kerja untuk tujuan siasatan.

Mereka ditahan kerja kerana dikatakan melakukan pelanggaran engkar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM.

"Pegawai-pegawai tersebut dikatakan gagal berada bersama saksi atau pelanggan sepanjang masa ketika saksi atau pelanggan berada dalam premis SPRM," menurut SPRM dalam kenyataan di sini Khamis.

Proses tahan kerja itu adalah bagi membantu melicinkan penyiasatan dalaman berhubung perkara ini sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan.

Tindakan tersebut dibuat mengikut Peraturan 43 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 iaitu penahanan kerja bagi maksud penyiasatan.

Kenyataan itu menyebut hasil penyiasatan dalaman ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM yang dianggotai oleh Datuk Mohd Nor Abdullah sebagai Pengerusi, Datuk Muhammad Mohd Noor, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Chooi Mun Sau dan V M Ravindran.

Terma rujukan jawatankuasa aduan itu adalah untuk memantau pengendalian oleh suruhanjaya akan aduan mengenai salah laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai suruhanjaya.

Ia juga untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dalam tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan dan jika difikirkannya sesuai untuk membuat apa-apa syor tentang tatacara kerja suruhanjaya sebagaimana yang difikirkan patut.

Semalam kira-kira pukul 10.15 pagi, Ahmad Sarbani, 56 yang ditahan semalaman pada 1 April lepas bagi membantu siasatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Sebelum itu, Ahmad Sarbani yang datang sendiri ke pejabat itu telah diiringi seorang pegawai untuk bertemu pegawai penyiasat namun pegawai tersebut telah meninggalkan mangsa dan keluar sebentar bagi mendapatkan pegawai penyiasat.

Namun dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut telah kembali ke pejabatnya dan mendapati mangsa tiada dalam bilik berkaitan dan setelah mencari di kawasan itu, terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat berkenaan.
- Bernama

SATU MELAYU:
Tak tahulah apa hikmah disebalik semua kejadian ini. Ketika kes Teoh beng Hock masih dalam siasatan suruhanjaya diraja, tetiba datang pula satu lagi kes yang sama tapi tak serupa.

Lapan Pegawai Imigresen Hadapi 83 Pertuduhan Peroleh Suapan Lebih RM122,000


LAPAN pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis atas 82 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM122,140 sebagai upah bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat, tahun lepas.

Bagaimanapun, Md Shahrizal Che Dan, 26, Nor Shahazlina Sulaiman, 25, Mohamad Izuwanshah Samsuri, 25, Mohamad Huzzail Ahmad, 31, Ahmad Zahed Abd Alim, 28, Mohd Hafiz Zakaria, 27, Mohd Khairul Haqimie Kamarudin, 26, dan Azmir Mahadi, 28, mengaku tidak bersalah.

Md Shahrizal, dari Sungai Udang, Klang yang berdepan 31 pertuduhan melibatkan nilai suapan RM51,760, didakwa melakukan kesalahan itu di empat cawangan Public Bank Pelabuhan Klang, bandar Klang, Taman Sentosa dan Taman Bukit Tinggi, antara 20 April dan 16 Jun tahun lepas.

Rakannya, Nor Shahazlina dari Petaling Jaya, pula didakwa menerima suapan berjumlah RM2,900 pada 29 Ogos lepas, di Maybank Cawangan Pandamaran antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, 29 Ogos lepas.

Hakim Asmadi Hussain membenarkan Md Shahrizal diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan Nor Shahazlina RM6,000 serta menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah lain, Mohamad Izuwanshah, dari Kota Kemuning, yang berdepan 25 pertuduhan membabitkan RM31,690 didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Petronas, Jalan Pandangan, Klang antara 21 April hingga 17 Jun lepas.

Mohamad Huzzail dari Kepala Batas, Kedah, pula didakwa menerima suapan RM500 di depan sebuah di Persiaran Seraya, Taman Palm Grove, Klang, 25 Sept lepas.

Hakim M.Bakri Abdul Majid membenarkan Mohamad Izuwanshah diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan Mohamad Huzzail RM4,000 serta menetapkan 27 April ini untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Di depan Hakim Mat Ghani Abdullah pula, Ahmad Zahed didakwa melakukan 12 kesalahan menerima rasuah berjumlah RM13,590 di Maybank Cawangan Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang antara 26 Julai dan 28 Ogos tahun lepas.

Mohd Hafiz, dari Pelabuhan Klang, didakwa melakukan empat kesalahan menerima suapan membabitkan RM8,640 di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang, Eon Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Kuarters Imigresen di Pandamaran, Klang antara 25 Sept dan 30 Sept tahun lepas.

Di mahkamah sama, Mohd Khairul Haqimie dari Sungai Buloh didakwa melakukan tiga kesalahan membabitkan RM7,350 di Maybank Cawangan Bukit Tinggi dan Restoran Moden Simpang Kudrat, Klang, antara 28 Ogos dan 28 Sept tahun lepas.

Seorang lagi pegawai Imigresen, Azmir dari Melaka, didakwa melakukan enam kesalahan membabitkan nilai suapan RM5,710 di Affin Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Shell Pelabuhan Klang, antara 15 dan 22 Ogos tahun lepas.

Ahmad Zahed dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Hafiz, Mohd Khairul Haqimie dan Azmir RM5,000.

Mat Ghani menetapkan Jumaat untuk sebutan semula kes bagi keempat-empat tertuduh.
- Bernama

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog