PAGI ini – Hari Raya keempat, SM teragak untuk mengunjungi gerai atau warung bagi memenuhi hajat bersarapan pagi. Dah sebulan tak kena roti canai dan bersarapan pagi. Harap-harap adalah gerai yang buka. Cukuplah si tauke gerai beraya sakan.
Ternyata masih banyak para peniaga gerai masih beraya dan belum lagi mahu berniaga. Cari punya cari, akhirnya terjumpa sebuah gerai yang mula membuka perniagaan hari ini. Ternyata perniagaannya sangat laris kerana ramai pengunjung. Gerai si polan ni menjadi tumpuan penduduk sekitar.
Sebaik SM menghampiri gerai berkenaan, kelihatan beberapa orang rakan pun berada di sana sedang duduk menghirup teh tarik sambil menunggu roti canai dihidangkan. Kami bersalaman dan saling mengucapkan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin’.
Dipendekkan cerita berlabunlah kami sepuas-puasnya setelah sebulan tidak bersarapan pagi di gerai seperti hari ini. Macam-macam hal yang kami bualkan.
Selain mengenai kesesakan lebuh raya dan kemalngan jalan raya, isu panas yang dicetuskan Mat Sabu mengenai sejarah tragedi Bukit Kepong menjadi topik serius perbualan kami. Maklumlah, beberapa orang daripada rakan yang SM temui itu adalah bekas anggota polis yang telah bersara. Mereka sedikit sebanyak pernah mengalami penderitaan menentang pengganas komunis semasa dharurat dahulu.
Biasalah, kata-kata kecaman dan marah terhadap Timbalan Presiden Pas itu terluah dengan sendirinya tanpa diminta. Ada yang menepuk meja kerana tersangat marah dengan apa yang dianggap sebagai satu penghinaan terhadap anggota polis.
SM dan seorang lagi rakan – pesara guru, mendengar sahaja segala hujah mereka tanpa masuk campur. Kami berdua sekadar mengiya dan mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.
Setelah agak lama juga mereka meluahkan perasaan dan apa yang dicakapkan mula berulang beberapa kali, si cikgu pencen memecah persoalan dengan berkata: “Kita orang Melayu dah dimainkan Mat Sabu. Bukan kita sahaja, semua pemimpin dan penyokong Umno/kerajaan pun kena main....”
“Apa maksud cikgu?” tanya SM.
“Mat Sabu tu orang politik. Dia pemimpin nombor dua Pas. Partinya kini sedang senak gara-gara ramai ahli dan penyokongnya tawar hati dengan Pas sebab demer dah buang perjuangan Islam kerana ‘mendekot’ undi kaum Cina.
“Tak cukup dengan isu itu, Pas bertambah terdesak kerana isu murtad di Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU), Selangor yang berlaku sebelum Mat Sabu mencetuskan isu barunya itu. Perbalahan dan pertentangan pendapat antara Hasan Ali – Exco Pas, dengan Menteri Besar Khalid Ibrahim – PKR, serta kepentingan DAP Selangor, menambah lagi kemerosotan sokongan orang Melayu/Islam terhadap Pas, khasnya di Selangor.
“Begitu juga dengan kedudukan Nik Aziz di Kelantan. Kedudukannya di kerusi MB Kelantan goyah, hinggakan Pok Nik terpaksa pujuk Tengku Razaleigh untuk join Pas, bertanding atas tiket Pas, jadi MB atau jadi Ketua Pembangkang di Parlimen menggantikan Anwar Ibrahim yang akan beristirehat di Sungai Buloh tak lama lagi.” Jelas cikgu pencen berkenaan dengan panjang lebar.
“Tahu pun miker!”
“Tapi isu mana satu yang nak dialihkannya? Dan tidakkah isu sejarah serangan komunis di Bukit Kepong itu lebih memburukkan Pas dan Mat Sabu sendiri di hati orang Melayu?” tambah SM lagi meminta penjelasan.
“Kepada teman, isu mempertikai sejarah perjuangan kemerdekaan tidak sehebat isu memurtadkan umat Islam oleh pihak tertentu yang disokong oleh pemimpin Pas seperti yang berlaku di Selangor itu. Ianya berkait rapat dengan isu kepimpinan Pas mencampakkan perjuangan Islam dari parti berkenaan.
“Cuba miker bayangkan ketika pilihan raya umum nanti bilamana Umno berkempen mendedahkan sokongan dan peretujuan pemimpin Pas ke atas projek memurtadkan orang Islam seperti yang berlaku di GMDU tu oleh golongan tertentu di negara ini.
“Kepada orang tua di kampung-kampung yang jadi pengundi, terutamanya para makcik dan opah-opah yang berumur lebih 65 tahun, mana yang mereka lebih benci antara isu penafian sejarah perjuangan orang Melayu dengan isu memurtadkan orang Islam?
“Rasa teman, isu memurtadkan orang Islam lebih terkesan dihati mereka berbanding isu serangan komunis di Bukit Kepong. Mungkin sedara mara pihak yang terbunuh di Bukit Kepong atau penduduk sekitar tempat itu sahaja yang merasakan ianya satu penghinaan yang tidak berhati perut. Tapi kepada makcik dan nenek-nenek yang jauh dari tragedi itu beranggapan itu dah takdir.
“Tapi kalau didedahkan bagaimana pemimpin Pas beriya-iya menyokong dan mempertahankan kegiatan memurtadkan umat Islam, tak kira di mana mereka berada, mereka akan geleng kepada dan tidak lagi mahu menyokong Pas yang selama ini tersemat di hati mereka sebagai parti untuk orang Islam.
“Kepada orang Melayu di kampung-kampung, terutamanya yang telah lanjut usia, soal murtad dan memurtadkan jauh lebih terkesan dan lebih ampuh untuk dijadikan senjata kempen pilihan raya.
“Si Mat Sabu yang kini jadi orang nombor dua dalam kepimpinan Pas sedar perkara ini. Dan dia selaku hero celupar yang terkenal sanggup memaki-hamun dan menyumpah-seranah orang Umno, memilih satu isu lama yang diperbaharuinya.
“Ternyata pilihan Mat Tepat dan ianya meletup dengan satu dentuman kuat yang membingit dan menggegar bumi. Semua orang terkejut. Hinggakan Karpal Singh pun tersentak.
Isu ini akan dilupa ramai? |
Kami semua terdiam mendengarkan hujahnya. Ternyata beliau serius dan berpandangan jauh.
“Begitu kisahnya yer cikgu?” celah seorang teman.
“Yalah! Apa lagi alasan politik Mat Sabu dalam menghadapi PRU akan datang? Kalian semua termasuk semua pemimpin dan ahli Umno kena main oleh Mat Sabu. Dia nak selamatkan parti dan kepimpinan baru Pas daripada dicatat sebagai pemusnah atau penjahanam Pas selepas PRU ke-13 nanti. Dia dah tahu Pas akan kalah kali ini. Dia cuba mainkan isu sejarah sebagai pengalih isu yang sangat berat dan diterima ramai oleh orang Melayu/Islam.”
“Cuba lihat apa yang berlaku sekarang. Komer semua sibuk pasal isu Mat Sabu dengan tragedi Bukit Kepong. Isu sejarah. Komer dah lupa dengan isu memurtadkan orang Islam di GMDU. Isu murtad itu dah senyap dan akan dilupakan.” Tambahnya sambil meneguk saki baki teh tarik yang sudah sejuk dalam gelas di hadapannya.
Demikian, sedikit sebanyak yang dapat SM catatkan melalui parlimen kedai kopi untuk tatapan semua selepas sebulan berpuasa.
Wallahhualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan