Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Mahkamah Syariah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mahkamah Syariah. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Oktober 2011

KHALWAT: Razak nafi buat tak senonoh

PELAKON Abdul Razak Ahmad menafikan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Khamis bahawa dia melakukan perbuatan tidak senonoh seperti memeluk, mencium atau menyentuh seorang ahli perniagaan yang ditangkap khalwat bersamanya, lima tahun lalu.

Abdul Razak, 44, menyatakan mustahil dia melakukan perbuatan sedemikian kerana dia pergi ke stor tempat menyimpan pakaian di Seri Kembangan itu dengan niat mencuba pakaian yang ditaja oleh wanita terbabit, Selamah Sahudin, 45.

Menurutnya, dia berada di premis tersebut selama satu jam setengah sebelum diserbu oleh suami wanita itu dan beberapa anggota polis pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.

Menurut Abdul Razak, dari pukul 1 pagi hingga 2.15 pagi, dia mencuba tiga pasang baju dan ketika serbuan dilakukan dia hanya memakai singlet tanpa lengan dan seluar kerana sedang mengeringkan peluh di dalam bilik utama premis itu.

Abdul Razak menyatakan demikian ketika pemeriksaan balas oleh Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli dalam prosiding bela dirinya atas tuduhan khalwat.

Ditanya sama ada tujuannya membuka baju adalah untuk 'bersama' dengan Selamah, Abdul Razak menafikan andaian Shafezan itu.

Pelakon tersebut bagaimanapun mengakui bahawa dia bukan mahram kepada Selamah dan tidak menegah Selamah menutup pintu utama selepas mereka berdua memasuki premis tersebut.

Menurut Abdul Razak, dia dan Selamah berjanji berjumpa di premis itu dan mereka bertolak dari rumah masing-masing.

''Saya bergerak dari Pelabuhan Klang pada pukul 12 tengah malam dan itu kali pertama saya ke sana, jadi saya beberapa kali menelefon Selamah bertanyakan arah dan jalan ke sana,'' katanya.

Abdul Razak sebelum itu mendakwa hubungan dia dan Selamah hanya sebagai penaja dan artis, tetapi selepas disoal beberapa kali oleh Shafezan, dia mengakui telah mengenali Selamah sejak 1982 ketika mereka menuntut di tingkatan tiga di sekolah yang sama.

Abdul Razak yang diwakili peguam syarie, Mohammad Azman Karim didakwa berada bersama Selamah dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.

Ketika pertama kali didakwa pada 14 September tahun yang sama, Abdul Razak memohon dibicarakan tetapi Selamah didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku melakukan perbuatan itu.

Jika sabit kesalahan, Abdul Razak boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung 10 November ini.
- UtusanOnline

Selasa, 9 Ogos 2011

JAIS: Waran Kehadiran Kepada 12 Individu Islam. ‘Ada peguam nasihatkan mereka supaya jangan hadir?’


DUA BELAS (12) individu beragama Islam yang hadir pada majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, Rabu lalu akan dikenakan waran kehadiran ekoran kegagalan mereka tampil membantu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan kes berkenaan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JAIS, Sharom Maarof, waran tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas pihaknya membuat permohonan daripada Mahkamah Syariah.

“Setakat ini, kita telah serahkan surat dan menelefon mereka supaya hadir dan beri keterangan kepada JAIS.

“Bagaimanapun sehingga kini tidak ada seorang pun daripada 12 individu tersebut hadir. Kami difahamkan mereka telah dinasihatkan oleh peguam masing-masing supaya tidak hadir memberi keterangan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini siasatan terhadap 12 individu Islam yang hadir pada majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama minggu lalu.

Mengulas lanjut, Sharom berkata, pihaknya akan tetap memberikan masa kepada individu terbabit untuk hadir dan beri keterangan sebelum waran kehadiran daripada mahkamah dikeluarkan.

"Sepatutnya mereka hadir untuk beri keterangan bermula hari ini. Namun tidak ada seorang pun hadir ke JAIS," katanya.

Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Isu tersebut menjadi kecoh apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dan menggesa JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa jabatan agama itu.

Abdul Khalid yang melahirkan kekesalannya berhubung insiden itu menyatakan kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara itu dan mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat pelbagai agama selain menghargai usaha meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain.

Beliau turut mengeluarkan arahan melarang mana-mana Exco Kerajaan Negeri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut sehingga siasatan berhubung perkara itu siap dijalankan.

Selasa, 19 April 2011

Timbalan KSU Dituduh Berkhalwat

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, (kanan) bersama isterinya (belakang) dan pasangannya Nur Diayana Norslan, 29, (paling belakang) di Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut di George Town, Isnin. Mereka membayar jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang. Salim dan Nur Diayana mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lepas.
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia Dan Sukan, Datuk Salim Parlan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkhalwat di Mahkamah Syariah George Town, Pulau Pinang, Selasa.

Salim, 51, dituduh melakukan kesalahan itu bersama pasangannya Nur Diayana Norslan, 30, yang dipercayai pembantu peribadinya semasa serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) di sebuah bilik di hotel mewah Batu Ferringhi pukul 5 pagi Sabtu lalu.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah 1996 negeri sementara Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27(b) enakmen yang sama. Nur Diayana juga mengaku tak bersalah atas tuduhan itu.

Jika sabit, setiap mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Salin hadir di Mahkamah Syariah Batu Gantong kira-kira pukul 815 pagi berkemeja biru dan berseluar kelabu bersama isterinya. Sementara Nur Diayana tiba berasingan sejam kemudian berbaju kurung dengan corak bunga.

Isteri Salim yang duduk bersama Nur Diayana, memakai cermin mata gelap sambil membuat catatan semasa prosiding. Bagaimanapun pegawai mahkamah mengarahkannya membuka cermin mata hitamnya.

Hakim Syariah Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan 20 Jun bagi sebutan semula dan menetapkan RM2,000 ikat jamin dengan seorang penjamin yang menetap di Pulau Pinang bagi setaip tertuduh.

Peguam kedua-duanya, Wan Faridul­hadi Mohd Yusoff mencadangkan supaya 'isteri pertama' Salim dibenarkan sebagai penjamin.

“Tidak perlu untuk menetapkan penjamin yang menetap di sini.

“Kedua-dua anak guam saya memberikan kerjasama sepenuhnya dan mustahil untuk mereka tidak hadir pada prosiding akan datang. “Dan, ikat jamin tak sepatutnya terlalu tinggi kerana seolah-olah anak guam saya telah bersalah sebelum perbicaraan," ujarnya.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Ketua Pendakwa Syariah negeri, Mohd Zulkhairi Aziz berkata, pihaknya akan memanggil empat saksi.
- mStar

Selasa, 12 April 2011

MAHKAMAH SYARIAH: Bukti forensik diterima

HIASAN: Mahkamah Syariah sedang bersidang....
BAHAN bukti melalui keterangan forensik sama ada ujian asid deoksiribonukleik (DNA), ketulenan video atau gambar dan cap jari masih boleh diterima pakai sebagai bukti sampingan bagi sesuatu kes di mahkamah syariah termasuk yang melibatkan kes zina.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pembuktian melalui cara tersebut dikenali sebagai al-Qarinah yang bermaksud tanda dan ia merupakan sebahagian daripada konsep al-Bayyinah iaitu apa sahaja yang boleh menjelaskan dan menunjukkan kebenaran.

“Seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Bayyinah sebagai keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah.

“Dari sudut pembuktian melalui konsep al-Bayyinah, al-Iqrar (pengakuan) merupakan bukti yang paling tinggi nilainya diikuti oleh al-Shahadah (kesaksian), al-Yamin (sumpah) dan al-Qarinah (tanda),” katanya di dalam blog http://musaawang.blogspot.com.

Namun, kata Musa, kedudukan pembuktian melalui al-Qarinah tidak sama nilainya seperti al-Iqrar, al-Syahadah dan al-Yamin.

“Ia boleh berfungsi untuk membantu pihak pendakwaan atau pembelaan sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-zan atau melampaui alasan munasabah dalam kes takzir (tidak sampai ke tahap berzina),” katanya.

Beliau berkata, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Qarinah sebagai keterangan keadaan (circumstantial evidence) dan fakta yang relevan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan yang termasuk dokumen-dokumen, fakta berkaitan satu sama lain, kenyataan pakar, alat audio dan visual, bukti forensik, kaedah saintifik seperti DNA dan cap jari.

Katanya, pembuktian melalui al-Qarinah memerlukan bukti sampingan dan bukti lain untuk menyokong atau mensabitkannya.

Mengulas mengenai isu sama ada boleh atau tidak seseorang disabitkan dengan kesalahan zina apabila pendakwa tidak dapat mengemukakan empat orang saksi seperti yang ditetapkan hukum syarak, Musa berkata:

“Pada pandangan saya, beban pembuktian untuk mensabitkan kesalahan zina masih memerlukan beban bukti sama ada al-Iqrar atau as-Shahadah dengan empat orang saksi, meskipun hukumannya berupa hukuman takzir.
“Perbuatan masih tetap zina, cuma hukuman sahaja bukan hukuman hudud sebagaimana ditetapkan Islam. Jika pendakwa tidak boleh membuktikan dengan cara al-iqrar atau as-Shahadah, maka si pelaku tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina,” katanya.

Bagaimanapun, si pelaku katanya, mungkin boleh disabitkan dengan kesalahan mukadimah zina atau persediaan melakukan zina ataupun khalwat yang mana hukumannya adalah takzir.
- Utusan
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog