Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 12 April 2011

MAHKAMAH SYARIAH: Bukti forensik diterima

HIASAN: Mahkamah Syariah sedang bersidang....
BAHAN bukti melalui keterangan forensik sama ada ujian asid deoksiribonukleik (DNA), ketulenan video atau gambar dan cap jari masih boleh diterima pakai sebagai bukti sampingan bagi sesuatu kes di mahkamah syariah termasuk yang melibatkan kes zina.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pembuktian melalui cara tersebut dikenali sebagai al-Qarinah yang bermaksud tanda dan ia merupakan sebahagian daripada konsep al-Bayyinah iaitu apa sahaja yang boleh menjelaskan dan menunjukkan kebenaran.

“Seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Bayyinah sebagai keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah.

“Dari sudut pembuktian melalui konsep al-Bayyinah, al-Iqrar (pengakuan) merupakan bukti yang paling tinggi nilainya diikuti oleh al-Shahadah (kesaksian), al-Yamin (sumpah) dan al-Qarinah (tanda),” katanya di dalam blog http://musaawang.blogspot.com.

Namun, kata Musa, kedudukan pembuktian melalui al-Qarinah tidak sama nilainya seperti al-Iqrar, al-Syahadah dan al-Yamin.

“Ia boleh berfungsi untuk membantu pihak pendakwaan atau pembelaan sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-zan atau melampaui alasan munasabah dalam kes takzir (tidak sampai ke tahap berzina),” katanya.

Beliau berkata, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Qarinah sebagai keterangan keadaan (circumstantial evidence) dan fakta yang relevan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan yang termasuk dokumen-dokumen, fakta berkaitan satu sama lain, kenyataan pakar, alat audio dan visual, bukti forensik, kaedah saintifik seperti DNA dan cap jari.

Katanya, pembuktian melalui al-Qarinah memerlukan bukti sampingan dan bukti lain untuk menyokong atau mensabitkannya.

Mengulas mengenai isu sama ada boleh atau tidak seseorang disabitkan dengan kesalahan zina apabila pendakwa tidak dapat mengemukakan empat orang saksi seperti yang ditetapkan hukum syarak, Musa berkata:

“Pada pandangan saya, beban pembuktian untuk mensabitkan kesalahan zina masih memerlukan beban bukti sama ada al-Iqrar atau as-Shahadah dengan empat orang saksi, meskipun hukumannya berupa hukuman takzir.
“Perbuatan masih tetap zina, cuma hukuman sahaja bukan hukuman hudud sebagaimana ditetapkan Islam. Jika pendakwa tidak boleh membuktikan dengan cara al-iqrar atau as-Shahadah, maka si pelaku tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina,” katanya.

Bagaimanapun, si pelaku katanya, mungkin boleh disabitkan dengan kesalahan mukadimah zina atau persediaan melakukan zina ataupun khalwat yang mana hukumannya adalah takzir.
- Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog