Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Pilihan Raya Singapura. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihan Raya Singapura. Papar semua catatan

Selasa, 17 Mei 2011

Pilihan Raya Singapura: Pengajaran Yang Telah Kita Lalui?

WALAUPUN kemenangan lebih dua pertiga yang diperoleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada pilihan raya umum Singapura baru-baru ini memberi mandat kepada parti itu untuk terus memerintah bagi tempoh lebih kurang lima tahun akan datang, namun keputusan itu juga mendedahkan beberapa hakikat menarik, termasuk undi popular PAP telah merosot dan Pembangkang mencatat beberapa kejayaan penting.

Beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan itu mungkin boleh dijadikan renungan serta iktibar oleh parti politik di Malaysia.

Hakikat paling ketara ialah kejayaan Pembangkang memanfaatkan perasaan tidak puas hati sebilangan besar anggota ‘kelas bawahan’ terhadap PAP, walaupun parti itu berjaya menjadikan Singapura sebuah negara yang makmur, bersih, mematuhi undang-undang dan selesa untuk didiami.

PAP dianggap ‘bongkak’ apabila ia tidak lagi prihatin terhadap sungutan golongan kurang berada, termasuk berkaitan kenaikan harga, khususnya kenaikan harga rumah dan ini menyebabkan ramai pengundi tidak memilihnya.

Rumah pangsa Lembaga Pembangunan Perumahan yang sebelum ini dijual pada harga S$80,000 (RM193,600) seunit, kini dijual pada harga S$400,000 (RM968,000). Ramai rakyat Singapura dikatakan terpaksa bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup.

Kemasukan ramai pendatang secara mendadak juga merupakan satu lagi perkara yang menimbulkan kemarahan pengundi. Kebanyakan syarikat lebih suka menggunakan khidmat pekerja asing kerana upah mereka lebih rendah daripada pekerja tempatan, di samping amalan sistem kontrak yang tidak menuntut tanggungjawab sosial yang tinggi.

Pengaliran masuk secara beramai-ramai pekerja luar ini menjadikan rakyat asing kini berjumlah satu perempat daripada lima juta penduduk Singapura.

Berikutan peningkatan kos sara hidup, penurunan kuasa membeli domestik dan pelebaran jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin, maka tidak hairanlah ramai rakyat Singapura kecewa dengan cara PAP mentadbir negara itu dalam tempoh beberapa tahun lepas.

Beberapa penganalisis politik berpendapat, jika tidak kerana kebijaksanaan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong serta sikap merendah diri beliau ketika berkempen, termasuk kesediaannya memohon maaf atas beberapa kesilapan PAP, Pembangkang mungkin meraih jumlah undi yang lebih besar.

Dr Ooi Kee Beng, Felo Kanan di Institut Kajian Asia Tenggara berkata Hsien Loong telah bertindak bijak apabila beliau mengambil langkah untuk mengawal kerosakan setelah PAP terkedu dengan langkah pembangkang pada peringkat awal berkempen.

PAP kemudiannya mengubah rentak dengan mengamalkan pendekatan lembut berbanding pendekatan tegas sebelumnya setelah menyedari bahawa rakyat akan menggunakan ‘status quo untuk membuat perubahan, bukan untuk mengubah status quo’, katanya.

Mungkin, golongan yang terjejas oleh beberapa keputusan kerajaan sebelum ini tiada pilihan selain terpaksa menanggung saja akibatnya, tetapi mereka tidak mahu anak cucu mereka menderita pada masa akan datang dan sebab itulah mereka mengundi Parti Pekerja (WP) dengan harapan nasib anak cucu mereka akan terbela.

Penganalisis politik Ong Kian Ming pula berkata isu yang dihadapi rakyat Singapura agak berbeza dengan di Malaysia apabila semakin ramai generasi mudanya menjadi pengundi.

"Saya rasa rakyat Singapura menumpukan perhatian terhadap Malaysia selepas negara jiran mereka itu mengadakan pilihan raya umumnya pada Mac 2008. Anda dapat melihat betapa pembangkang menjadi lebih kuat dan saya berpendapat rakyat Singapura mendapat ilham dari sana (Malaysia)," katanya.

Ong berkata walaupun kelihatan seolah-oleh wujud persamaan dalam sesetengah isu seperti kenaikan harga rumah, tetapi kerajaan Malaysia telah menangani perkara itu melalui skim ‘Rumah Pertamaku’ untuk pekerja sektor swasta berusia 18 hingga 35 tahun yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Bakal pembeli boleh mendapat hingga 100 peratus pembiayaan untuk dibayar balik hingga selama 30 tahun bagi rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000 di bawah skim itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib berbuat demikian setelah mengambil kira sungutan rakyat selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.

Beberapa pemerhati politik pula berkata WP mencatat prestasi lebih baik berbanding parti pembangkang lain kerana ia begitu ‘rapat dengan kelas bawahan dalam masyarakat’.

WP bukan saja mampu mempertahankan Kawasan Anggota Tunggal (SMC) Hougang, malah membuat kejutan di Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Al-Junied dengan mengalahkan pasukan PAP yang diterajui Menteri Luar, George Yeo.

Bagaimanapun, setiausaha agung WP, Low Thia Khiang berkata beliau percaya kejayaan parti itu lebih berpunca daripada pendekatannya yang bersifat ‘sebuah parti Pembangkang yang rasional, bertanggungjawab dan berwibawa’.

Low dilaporkan berkata WP tidak menentang semata-mata kerana mahu menentang dan ia juga ‘tidak suka berlebih-lebihan untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia perlu mengamalkan sikap berkonfrontasi, semata-mata kerana ia sebuah parti pembangkang’.

WP juga mencatat prestasi lebih baik berbanding parti Pembangkang lain kerana calonnya terus memberi khidmat dan tidak terus hilang, tetapi tetap menampakkan kehadiran mereka di kawasan masing-masing, walaupun kalah pada pilihan raya 2006. 

Oleh Alan Ting
- Bernama

SATU MELAYU:
Perbezaan ketara antara rakyat Singapura dan Malaysia ialah dari segi cara berpolitik. Pembangkang di Malaysia menjadikan perjuangan politik sebagai alat untuk bermusuh dan berdendam sehingga ‘tujuh keturunan’. Tidak ada istilah membangkang untuk menambah kejayaan dan kemantapan negara bangsa.

Kematangan politik rakyat Singapura yang majoritinya kaum Cina itu sangat jauh berbeza dengan kematangan politik orang Melayu di Malaysia.

Di Singapura, pertentangan politik antara pembangkang dan kerajaan sekadar mempertikai dasar-dasar pemerintahan dan pentadbiran semata-mata. Tidak lebih dari itu. Tidak berdendam bagaikan tidak ada ‘esok untukmu’. Mereka benar-benar jadi pembangkang yang waras dan berwawasan demi masa depan generasi akan datang.

Di Malaysia, terutamanya orang Melayu, cara politik mereka lain. Mereka membangkang bukan kerana ada cadangan baru bagaimana mentadbir dan menguruskan negara bangsa, tapi membangkang kerana mereka pembangkang. Tak ada satu usul atau cadangan membina yang dikemukakan.

Begitulah kebangangan ketara kaum Melayu di Malaysia berbanding kaum Cina di Singapura.

Ahad, 15 Mei 2011

Setelah berjaya menjadikan Singapura sebuah negara sendiri, Kuan Yew, Chok Tong bersara

Lee Kuan Yew (kiri) dan Goh Chock Tong mengangkat sumpah semasa pembentukan kerajaan baru di Istana Presiden, Singapura pada 12 Ogos 2004. – REUTERS
MENTERI Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan, Goh Chok Tong pada Sabtu mengumumkan peletakan jawatan mereka dari Kabinet bagi memberi peluang kepada pemimpin generasi muda menentukan masa depan politik republik ini.

Pengumuman mengejut itu dibuat seminggu selepas pihak pembangkang meraih kejayaan paling besar dalam pilihan raya umum negara sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) memerintah lebih 50 tahun lalu.

“Kami telah mengkaji situasi politik masa kini dan memikirkan bagaimana ia akan memberi kesan kepada masa depan.

“Selepas keputusan pilihan raya lalu yang menyaksikan satu titik perubahan, kami memutuskan untuk melepaskan semua jawatan dalam Kabinet dan memberi peluang kepada menteri-menteri lebih muda untuk mendekati golongan muda dalam menentukan hala tuju negara,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dijangka membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat selepas memenangi pilihan raya pada 7 Mei lalu.

Walaupun PAP memenangi 81 daripada 87 kerusi yang dipertandingkan, pihak pembangkang buat pertama kalinya berjaya menggoyahkan kekuatan parti pemerintah dengan mengurangkan majoriti undian.

Kuan Yew, 87, adalah Perdana Menteri Singapura dari tahun 1959 hingga 1990, sebelum digantikan oleh Chok Tong sehingga 2004.

Kedua-dua mereka memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya 7 Mei lalu dengan PAP memenangi 60 peratus undi, merosot berbanding 67 peratus semasa pilihan raya 2006 dan 75 peratus pada pilihan raya 2004.
Parti Pekerja pula memenangi enam kerusi, jumlah paling banyak diperoleh parti pembangkang sejak negara ini merdeka.
– Utusan/AFP/AGENSI

SATU MELAYU:
Apakah kerana pemimpin Melayu di zaman 'Singapura di langgar todak' bersikap zalim dan kejam terhadap Hang Nadim kerana hasad dengki, maka keturunan Melayu di Temasek terus musnah oleh todak-todak daripada negara China?
 Begitulah teraturnya politik kaum imigran Pulau Temasek mengekalkan kuasa. Setelah pengasas Republik Singapura – Lee Kuan Tew, yakin anaknya mampu meneruskan legasi kekuasaan yang diasaskannya dia dan rakannya Goh Chok Tong pun mengundurkan diri dari kabinet selaku Menteri Mentor dan Menteri Kanan.

Walaupun tidak berada dalam kabinet yang bakal ditubuhkan nanti, kedua-dua mereka tetap kekal sebagai wakil rakyat atau ahli perlimen.

Kejayaan Lee mendesiplinkan rakyatnya dalam berpolitik memungkinkan beliau yakin arah tuju republik itu mampu diteruskan mengikut acuan ciptaannya.

Ketertiban berkempen oleh pihak pembangkang menyerlahkan betapa warga imigran Singapura berjaya menjaga kesusilaan berpolitik demi bangsa atau kaum yang menguasai negara berkenaan.

Cina Singapura bukannya macam Melayu di Malaysia. Kalau berpolitik dan kerana fahaman politik, sanggup berpecah-belah sesama kaum bagaikan ‘berpatah arang, berkerat rotan’.

Itulah yang membezakan percaturan dan desiplin politik antara kaum mendatang dari tanah besar China dengan kaum pribumi di Nusantara.

Ahad, 8 Mei 2011

PRU SINGAPURA: PAP Kekal Berkuasa, Pembangkang Curi Perhatian

PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Seng Han Tong (belakang kiri) dijulang penyokongnya bagi meraikan kejayaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi kerusi GRC Ang Mo Kio sempena pilihan raya umum ke-14 Singapura di Stadium Toa Payoh tengah malam tadi. PAP kekal sebagai parti pemerintah Singapura selepas memenangi 81 daripada 87 kerusi. - Foto BERNAMA
PARTI memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan kuasanya tetapi perhatian tertumpu kepada parti pembangkang apabila mencatat keputusan terbaik dalam sejarah pilihan raya umum Singapura.

Walaupun bersaing sengit, PAP yang dipimpin Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kembali memegang tampuk kuasa dalam pilihan raya umum ke-14 dengan memenangi 81 daripada 87 kerusi Parlimen termasuk lima kerusi yang dimenangi tanpa bertanding bagi Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya (GRC) Tanjong Pagar.'

Ini menunjukkan penurunan berbanding 82 daripada 84 kerusi semasa pilihan raya umum pada 2006. Undi PAP menurun kepada 60 peratus berbanding 67 peratus pada pilihan raya umum lepas.

Anggota veteran Parti Pekerja (WP), Low Thia Khiang, memenangi satu GRC buat kali pertama dengan merampas lima kerusi di kawasan GRC Aljunied yang menjadi tumpuan. WP, juga memenangi satu Kawasan Pilihan Raya Keanggotaan Tunggal (SMC) - Hougang.

PAP mendapat 1 GRC dan 11 SMC.

Dengan kekalahan lima anggota GRC Aljunied membawa kepada terkeluarnya Menteri Luarnya George Yeo, anggota pasukan PAP yang bertanding di kawasan itu.

Menteri Kewangan Kedua Lim Hwee Hua, Menteri Kanan Zainul Abidin Rasheed, Cynthia Phua dan muka baru Ong Ye Kung, adalah di antara pasukan PAP yang tewas.

Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP, bukan tandingan bagi pembangkang apabila beliau mengekalkan populariti di GRC Ang Mo Kio dengan memenangi majoriti besar ke atas Parti Reformasi (RP).
Beliau meraih 69.33 peratus undi manakala RP cuma mendapat 30.67 peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas kejayaannya itu, Lee yang masih mendapat tempat di hati rakyat Singapura berkata: “Kita telah berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada pengundi lebih daripada lima tahun kebelakangan ini. Mereka yakin dengan kami."

"Selepas pilihan raya ini, kita akan melihat keputusan itu dan menyemaknya. Ini merupakan perjalanan yang jauh dan kami tidak akan berhenti daripada bekerja lebih kuat," katanya.

Semalam, rakyat Singapura keluar mengundi dalam keadaan lancar.

Sebaik pengundian ditutup 8 malam, jumlah mereka yang mengundi berjumlah 2.058 juta iaitu 93.06 peratus daripada 2.21 juta pemilih berdaftar.

PAP memerintah Singapura sejak 1959.
- Bernama

SATU MELAYU:
Diharapkan selepas pilihan raya tamat, kita semua tidak mendengar berita mengenai pembatalan keputusan sesuatu pilihan raya kerana kesalahan-kesalahan seperti yang di undang-undangkan.

Semoga tidak ada juga berita bagaimana calon-calon pembangkang yang menang dan yang kalah akan menerima hukuman di mahkamah kerana pelbagai kesalahan sebagaimana yang pernah berlaku dahulu.

Sabtu, 23 April 2011

PAP kena hentam melalui kempen siber....

SEORANG pengguna membaca profil Tin Pei Ling, 27, calon termuda PAP bagi pengundian bulan depan.
Pemerintah Singapura pergiat kempen hadapi pembangkang menjelang undi 7 Mei

APABILA Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperkenalkan calon muka baru wanita berusia 27 tahun sebagai seorang daripada calonnya untuk pilihan raya bulan depan, ia sebagai harapan untuk menarik pengundi muda Singapura.

Tetapi, taktik itu tidak menjadi apabila calon itu, perunding pengurusan, Tin Pei Ling dan PAP diserang dalam internet daripada loghat bahasanya hingga gambarnya dalam Facebook menunjukkan beliau bergaya dengan beg tangan mewah.

Adalah jelas, parti pemerintah itu menghadapi kempen pilihan raya paling ‘panas’ menjelang pengundian 7 Mei depan selepas larangan kempen politik secara online ditarik balik ketika ramai penduduknya menggunakan media baru.

Disebabkan pengharaman iklan panjang mengenai pilihan raya di media cetak dan penyiaran, pembangkang yang hanya mempunyai dua daripada 84 kerusi di Parlimen, menggunakan internet untuk mencapai 2.35 juta pengundi.

Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP) yang juga parti pembangkang, Chee Soon Juan, berkata media sosial membantu melangkau akhbar pro PAP dan televisyen.

“Untuk SDP, ia penting bagi kami di Singapura kerana semua dikawal oleh parti pemerintah,” katanya sambil mengakui kesan media sosial hanya dalam jangka pendek.

“Ini adalah kali pertama alat ini digunakan, ia agak baru, mungkin mengambil masa sebelum suasana politik boleh disesuaikan dengan suasana elektronik,” katanya.

Tidak hairanlah, PAP yang memerintah sejak 1959 turut menggunakan internet dan media sosial lain untuk mempertahankan kedudukan dengan menyiarkan lebih 200 video memaparkan menteri bergambar dengan bayi bagi profil Facebook mereka.

Walaupun kempen secara rasmi belum dimulakan, sejak minggu lalu, semua parti politik menggunakan Facebook, Twitter, blog dan laman web sendiri untuk mempromosi diri dan calon lain.

“Orang ramai mendapat maklumat politik secara langsung sama ada menerusi rangkaian sosial, adalah wajar ahli politik menarik pengundi menerusi saluran ini,” kata pengasas bersama firma perniagaan perisikan, Brandtology, Kelly Choo.
– AFP/BHOnline

SATU MELAYU:
Walaupun Singapura dianggap sebagai sebuah negara kota yang maju dan membangun jauh lebih baik daripada negara kita Malaysia, tapi jelas kongkongan politik oleh pemimpin PAP dari segi kebebasan bersuara sangatlah memalukan.

Bayangkan sebagai sebuah negara yang dikatakan maju itu tidak membenarkan kempen pilihan raya disalur melalui media baru. Cuma baru-baru ini sahaja dibenarkan, hinggakan kepada rakyat Singapura berkempen melalui internet dianggap sebagai satu perkara baru.

Mungkinkah pemimpin PAP berasa malu dengan perkembangan politik dan kebebasan bersuara di negara kita yang jauh lebih bebas dan terbuka ketika kempen pilihan raya, maka larangan berkempen melalui internet ditarik balik?

Di Malaysia pembangkang boleh kata apa sahaja dan kutuk pemimpin pemerintah dengan pelbagai fitnah dan kata-kata kesat melalui internet. Bukan sahaja ketika kempen pilihan raya, malah sepanjang masa. Ketika pilihan raya sudah selesai pun pihak penyokong pembangkang boleh kata apa sahaja.
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog