Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 11 Mac 2011

Premium insurans tak masuk akal. Tahniah atas kesepakatan para wakil rakyat menyuarakan masalah rakyat....


KALAU beginilah cara para wakil rakyat di Parlimen berbincang mengenai sesuatu isu demi kepentingan rakyat, alangkah bagus dan menggembirakan semua orang.

Ada yang berpendapat, keadaan itu terjadi setelah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak berada di dalam dewan kerana digantung selama enam bulan. Tanpa Anwar, semua mereka rasa lega dan tidak takut ditekan atau dimarah kerana bersatu dengan penyokong kerajaan dalam membincangkan masalah rakyat.

Entahlah..... Mungkin benar dan mungkin juga tidak. Bagaimanapun segalanya terjadi ketika Anwar Ibrahim tidak berada di Dewan Rakyat. Serba kemungkinan boleh berlaku...

Pada sidang dewan rakyat semalam – Khamis, penyokong kerajaan dan pembangkang 'bersatu' menyelar syarikat-syarikat insurans kerana mengenakan premium yang tidak masuk akal terhadap kenderaan lama berusia lebih 10 tahun dan insurans pihak ketiga sejak dua tahun lalu.

Sambil menyifatkan dua langkah itu sebagai tidak munasabah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, peraturan baru tersebut telah menyusahkan rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula kadar dikenakan itu sejak dua tahun lalu kerana jelas membebankan rakyat ekoran harga premium insurans yang terlalu tinggi.

''Ini isu serius. Oleh itu Kementerian Kewangan dan BNM perlu melihat masalah ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada rakyat di kampung-kampung. Kebanyakan kenderaan mereka adalah kenderaan lama. Peraturan ini langsung tidak munasabah.

''Munasabah ke premium insurans kereta lama lebih tinggi daripada kereta baru. Begitu juga dengan pembelian insurans pihak ketiga, mengapa kadarnya terlalu tinggi?'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Isu mengenakan premium insurans pihak ketiga yang terlalu tinggi pernah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula operasi syarikat-syarikat insurans kerana perjalanan perniagaan mereka adalah secara menipu.

''Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah perniagaan insurans. Berlaku sahaja kes kemalangan berpuluh tahun baru selesai. Saya minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau operasi mereka kerana mereka ini adalah penipu paling besar di negara ini," katanya.

Mohamed dalam pada itu turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu syarikat insurans yang baru sebagai alternatif bagi syarikat insurans sedia ada.

''Kalau masalah ini tidak selesai, apa kata Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans baru yang boleh menjual insurans dengan harga berpatutan. Namakan sahaja insurans ini, insurans 1Malaysia. Jangan terima lagi syarikat-syarikat insurans yang sedia ada sekarang," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee ketika mencelah telah meminta isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu meliputi pembelian insurans hayat.

Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) di dalam perbahasannya juga bersetuju supaya kadar premium insurans pihak ketiga diturunkan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bagaimana syarikat-syarikat insurans ketika ini memaksa pelanggan membeli polisi insurans kemalangan peribadi sebelum dikeluarkan polisi insurans pihak ketiga walaupun kerajaan tidak membenarkan ia berlaku.

''Itu belum dikira caj tambahan (loading) yang turut dikenakan kepada pelanggan. Apabila dicampur kedua-duanya dan ditambahkan dengan bayaran premium insurans pihak ketiga sudah tentu harganya tinggi dan membebankan.

''Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini," katanya.

Akibatnya beliau berkata, harga premium insurans pihak ketiga yang dahulu dibayar sekitar RM70 sehingga RM80 tetapi sekarang harganya antara RM100 hingga RM200.

''Bank Negara ini butakah, takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Mengapa kerajaan tidak ada penyelesaian sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka," katanya.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat trak penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk caj tambahan.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa Bank Negara dalam mengawal syarikat-syarikat berkenaan.

Meskipun katanya, telah ada arahan supaya syarikat-syarikat insurans tidak boleh memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan namun perkara itu masih berleluasa.
- Utusan

SATU MELAYU:
Inilah baru menepati slogan ‘Rakyat Didahulukan’ sebagaimana yang dikehendaki oleh kepimpinan DS Najib.
Rakyat tentu berasa senang hati dan gembira apabila wakil rakyat mereka bersatu dalam membincangkan isu yang menyusah dan membebankan rakyat selaku pengguna.

Kalaulah Dewan Rakyat kita pada setiap persidangannya menimbulkan isu-isu membela nasib rakyat seperti ini, InsyaAllah, persepsi rakyat terhadap wakil-wakil rakyat dan Parlimen akan bertambah padu.
Rakyat akan rasa berbaloi mengundi wakil untuk ditempatkan sebagai wakil mereka di Dewan yang mulia itu.

Itulah maksud persidangan sebenarnya.
Bukannya hanya untuk pemimpin pembangkang dan kerajaan bertegang urat demi kepentingan politik semata-mata.
Namanya pun Dewan Rakyat.
Maka sewajarnyalah semua perbincangan, perdebatan dan usul serta cadangan yang dikemukakan adalah demi kepentingan rakyat yang mengundi wakilnya ke Dewan yang mulia itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog