Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Parlimen M'sia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parlimen M'sia. Papar semua catatan

Selasa, 25 Oktober 2011

Parlimen: Kes Sebar Agama Lain Kepada Umat Islam Boleh Didengar Mahkamah Sivil, Kata Jamil Khir

ORANG bukan Islam yang menyebarkan fahaman agama mereka kepada umat Islam boleh didakwa di mahkamah sivil mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kesalahan yang diperuntukkan di bawah enakmen itu antaranya melibatkan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.

Kesalahan lain ialah menerbit dan menyebarkan terbitan mengenai apa-apa agama selain Islam serta mendedahkan orang belum dewasa beragama Islam kepada pengaruh agama bukan Islam.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 yang berkaitan portfolionya pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

"Sangat ramai yang tidak sedar kewujudan enakmen ini yang sudah dilaksanakan pada tahun 1980, dan ia (mereka yang bersalah) tidak akan didakwa di mahkamah syariah," katanya.

Beliau berkata antara negeri yang menguatkuasakan enakmen itu ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis.

Jamil Khir berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus bekerjasama dengan semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam usaha mengawal dan menyekat perkembangan ajaran agama lain yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

Beliau berkata kerajaan, melalui Jakim selaku badan penyelaras telah menjalankan usaha penyelarasan undang-undang bagi tujuan menyeragamkan undang-undang Islam di setiap negeri.

"Walaupun isu mengenai hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri masing-masing, tetapi kerjasama perlu demi menjamin kehormatan dan kesucian Islam," katanya.

Bagi menangani isu fahaman Syiah di negara ini, beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan berhemah dengan memberi kebebasan pengikut Syiah mengamalkan fahaman itu, tetapi mereka dilarang menyebarkannya kepada umat Islam yang mempunyai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Pemantauan secara turun padang dilakukan bersama-sama. Jakim, majlis agama negeri dan polis sentiasa mengikuti aktiviti dan perkembangan terkini fahaman itu," katanya.
- Bernama


SATU MELAYU:
Hah! Adapun undang-undang sivil mengenai kes memurtadkan umat Islam.
Kenapa selama ini tidak digunapakai?

Khamis, 20 Oktober 2011

Parlimen: Dewan Rakyat Hangat Suami Boleh Liwat Isteri Dalam Hudud Pas

PERSIDANGAN Dewan Rakyat Khamis menjadi hangat apabila seorang wakil Bebas mendakwa undang-undang Hudud yang diluluskan kerajaan PAS semasa memerintah Terengganu, membenarkan suami meliwat isteri.

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011, Datuk Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) berkata jika mengikut Seksyen 14, Enakmen Jenayah Syariah, Qisas dan Takzir yang digazetkan pada 2004, adalah tidak menjadi kesalahan bagi seorang suami berbuat demikian.

Kenyataan Zulkifli itu menyebabkan beberapa anggota pembangkang 'panas telinga' dan menimbulkan kekecohan.

"Paling saya terperanjat, ada berbelas-belas kesilapan yang bercanggah dengan Islam tapi yang saya nak tunjuknya, ini bukan datang dari syariat Islam. Contoh, berkaitan dengan liwat. Disebut dalam ini (enakmen) liwat ialah (dalam) Seksyen 14. Ini enakmen yang telah digazetkan.

"Tafsiran liwat (di dalam enakmen) ialah satu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki...kita faham lah itu... atau di antara lelaki dengan seorang perempuan yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.

"Yang saya terperanjat dia (hukum hudud) kata 'selain daripada isterinya'. Makna kata kalau seorang suami bersetubuh melalui dubur isteri itu (bermakna) tidak liwat dalam hudud PAS ini," kata Zulkifli.

Zulkifli juga mendedahkan di dalam enakmen itu berhubung pelantikan hakim yang turut membenarkan orang bukan Islam dilantik menjadi hakim bagi undang-undang hudud serta perkara berkaitan qazaf yang melibatkan empat saksi bagi zina di mana sekiranya salah seorang saksi menarik diri maka tiga lagi saksi boleh dihukum.

Katanya, pendedahan itu menunjukkan bahawa apa yang disebut oleh PAS sebagai hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh parti itu bukanlah hukum Allah sebaliknya ia adalah hukum yang direka oleh parti itu sendiri.

"Bila saya check (periksa) balik, rupanya betul memang Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dulu tolak kerana ini bukan hudud Islam tetapi ini hudud PAS. Ada percanggahan jelas, isteri diboleh diliwat dan lain-lain lagi," katanya.

Menurut Zulkifli keputusan Dr Mahathir menolak pelaksanaan hudud telah diputar-belit oleh pihak tertentu pada ketika itu.

Pendedahan Zulkifli mengenai liwat itu menyebabkan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mencelah dan mendakwa kenyataan Zulkifli sebagai satu tuduhan lalu meminta supaya beliau dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyokong kenyataan Zulkifli itu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Bung Moktar sebelum itu bangun dan bertanya: "Bolehkah liwat isteri sendiri?", dan Zulkifli menjawab: "Boleh mengikut hudud PAS."

Salahuddin yang mula berang bangun mencelah dan berkata: "Dia (Zulkifli) tidak boleh tuduh macam itu. Tak ada (suami dibenar meliwat isteri) dalam hudud PAS. Saya nak minta Peraturan Mesyuarat merujuk Kulim-Bandar Baharu dan Kinabatangan kerana mereka mengatakan meliwat isteri itu hudud PAS."

Bagaimanapun, usul itu ditolak Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee yang memutuskan tiada pelanggaran terhadap kenyataan Zulkifli itu.

Suasana Dewan Rakyat terus kecoh apabila Salahuddin dan beberapa lagi anggota Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan Timbalan Speaker sehingga menyebabkan Zulkifli tidak dapat menjelaskan kenyataan berhubung enakmen itu.

Zulkifli juga tidak dapat meneruskan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 kerana masa yang diperuntukkan kepada seorang anggota Parlimen untuk berbahas selama 20 minit telah tamat.
- BernamaOnline

SATU MELAYU:
SM pernah menulis sebuah buku kecil bertajuk ‘Hudud: Siapa Khianati Hukum Allah’ pada tahun 2001 atas nama ‘HASNUL RAHMAN’. Buku itu SM tulis berdasarkan ulasan dan komen seorang sahabat - Ustaz Kamal Saidin, mengenai Enekmen Hudud Pas Kelantan yang diwartakan pada tahun 1993.

Memang Hudud Pas adalah hudud politik. Ianya dibuat oleh hamba Allah yang tidak pakar dalam undang-undang dan terlalu banyak kelemahan.

Pendekkata, Hudud Pas memangnya Hudud Politik. Bukannya Hudud Allah. Apapun biarlah Allah swt sahaja yang melaknat mereka kerana mempermainkan hukum Allah di muka bumi ini.

Selasa, 4 Oktober 2011

Apa macam Cikgu Bard? Kastam nafi Rosmah beli cincin AS$24 Juta....

DI MANA cikgu Bard sekarang? Dah tahukah dia bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan tiada sebarang pembelian cincin bernilai AS$24 juta oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata cincin kontroversi berkenaan turut dikembalikan kepada syarikat pemunya cincin itu selepas beberapa hari.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kes berkenaan kepada JKDM dan pihak mereka mengesahkan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin tersebut," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini – Selasa.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin mengetahui status siasatan pihak polis dan SPRM berhubung dakwaan pembelian cincin tersebut.

Bagaimanapun menurut Mohamed Nazri, kes berkenaan tidak berada di bawah bidang kuasa SPRM kerana suruhanjaya itu hanya menjalankan siasatan bagi kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan seperti mana dalam peruntukan Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Rosmah turut menafikan mengenai pembelian cincin berkenaan dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah.

Apa lagi Datin Seri! Tak ingin ke nak saman mereka yang beriya-iya menyiarkan fitnah itu melalui laman blog dan lain-lain media massa ketika isu itu dijadikan isu politik pembangkang satu ketika dulu?

Sudah tentu cikgu Bard dan juak-juak pembangkang kata itu semua bohong kerana Jabatan Kastam adalah agensi kerajaan BN yang diketuai DS Najib. Sudah tentu mereka kan berusaha menutup dan menafikannya. Betul tak?

Justeru, SM persilakan cikgu Bard dan juak-juak baghal yang dahulu begitu yakin dengan bukti yang dikemukakan cikgu Bard supaya menyanggah kenyataan menteri berkenaan di parlimen dengan mengemukakan bukti yang lebih kukuh.

Apa susah! Karpal kan ada! Sila gunakan khidmat Karpal untuk mendakwa mereka yang terlibat menyembunyikan isu pembelian cincin berkenaan. Heret menteri Nazri dan Jabatan Kastam ke mahkamah kerana berbohong.

Ada beraniiiii?

Anwar gagal jadi PM kerana tiada keredaan Allah....


"Kenapa? Kerana tidak berkat... perjuangan Permatang Pauh (Anwar) tidak berkat walaupun dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi Perdana Menteri. Kenapa tidak berkat? Sebab hati dia tak betul, perjuangan Permatang Pauh tak betul.

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berpendapat kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sehingga kini bukan disebabkan penganiayaan, sebaliknya kerana tiada keredaan Allah.

Katanya, walaupun ketua pembangkang itu berusaha bersungguh-sungguh dan pernah satu ketika terlalu hampir untuk memegang tampuk pemerintahan negara, tetapi Allah tetap tidak mengizinkan hajat Anwar menjadi kenyataan.

"Kenapa? Kerana tidak berkat... perjuangan Permatang Pauh (Anwar) tidak berkat walaupun dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi Perdana Menteri. Kenapa tidak berkat? Sebab hati dia tak betul, perjuangan Permatang Pauh tak betul.

"Sebab itu, jangan suka menyalahkan pihak lain. Jangan nak salahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya. Kalah menang dalam pilihan raya ini kuasa Tuhan. Allah yang menentukan segalanya, jangan kita terlalu yakin sangat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa perbahasan bagi membahas usul Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Terdahulu, Anwar semasa membahaskan usul yang sama telah melemparkan pelbagai tuduhan kepada SPR dan menganggap suruhanjaya itu sebagai gagal menyediakan sebuah platform pilihan raya yang bersih dan adil, terutamanya kepada pembangkang.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, tuduhan pembangkang kononnya SPR bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN) bagi menyenaraikan pendatang asing sebagai pengundi baru dalam senarai daftar pemilih adalah syak wasangka yang tidak berasas.

"Semua tuduhan ini tak berasas. Ini semua perangai syak wasangka kerana dalam hati mereka takut. Jangan kita ingat kalau boleh ubah daftar pemilih kita menang dalam pilihan raya. Allah sahaja yang boleh menentukan siapa dan parti mana akan menang," jelasnya.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan usul yang sama turut menempelak pembangkang yang tidak habis-habis menuduh SPR tidak menjalankan proses pilihan raya yang telus dan adil.

"Lihat sahaja Pilihan Raya Umum 2008, Kedah dia (pembangkang) menang, Kelantan dia (pembangkang) lagi menang, Perak dia pernah menang dan Selangor dia sapu. Tidak adil lagikah?" soalnya.
- UtusanOnline

SATU MELAYU:
Selain kerana ‘hati tak betul’, Anwar juga mungkin menerima bala atau laknat dari Allah swt kerana selama ini dia memperalatkan Islam untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang umat yang warak. Sedangkan apa yang beliau lakukan di sebaliknya adalah sangat bertentangan dengan akidah dan ajaran Islam.

Amalan agama bagi Anwar ialah ‘semua agama sama’ – plurelsime.

Gaya hidup seks sangat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar seperti yang diperintahkan Allah swt. Depan belakang dia sapu. Anak bini orang dia tutuh. Lebih dahsyat lagi dia sanggup ‘termengandungkan’ bini sahabat yang sangat setia dengannya sehingga melahirkan.

Apabila dia ada kuasa, perbuatan rasuah yang dilakukannya tersangatlah hebatnya hinggakan Tun Dr. Mahathir terpaksa tarik balik penggunaan wang kertas RM1,000 dan 500 kerana telah dilarikan ke Indonesia sebagai himpunan wang rasuah dan salah guna kuasa semasa jadi Menteri Kewangan.

Pendek kata terlalu banyak yang buruk daripada kebaikan yang Anwar lakukan semasa dia diberikan Allah sedikit kuasa dan kejayaan politik.

Kepada Anwar, segala kejayaannya satu ketika dulu adalah kerana kebijaksanaan dan kepandaiannya semata-mata. Sedangkan sebagai seorang Islam sebenar, dia seharusnya sedar bahawa semua itu adalah ‘ujian’ daripada Pencipta dirinya.

Jumaat, 30 September 2011

Dewan Baru, Bajet PRU-13 dan ISA Antara Yang Menanti Persidangan Dewan Rakyat

Dewan Parlimen Sementara siap untuk digunakan mulai Isnin ini....
PERSIDANGAN Parlimen yang bermula Isnin ini bakal menjadi tumpuan umum dan lebih menarik kerana selain Dewan Rakyat bersidang di premis baru, ramai mengharapkan berita 'luar biasa' pada sesi pembentangan Bajet 2012.

Persidangan Dewan Rakyat itu dianggap penting kerana cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijangka dibahaskan oleh anggota Parlimen selepas 51 tahun akta itu diguna pakai di negara ini.

Mengikut takwim Parlimen, Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Dewan Rakyat akan bersidang mulai Isnin ini sementara Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Okt ini

Mesyuarat Dewan Rakyat itu sehingga pertengahan Disember ini juga berkemungkinan besar merupakan sesi Parlimen terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Penggunaan bangunan dewan serbaguna sedia ada untuk dijadikan Dewan Rakyat yang baru mencipta sejarah kerana ia merupkan julung kali mesyuarat diadakan di premis lain sejak perasmiam dan penyerahan bangunan itu pada 2 Nov 1963.

Terletak bersebelahan bangunan utama Parlimen, dewan sementara itu dinaik taraf dengan kos RM28 juta bagi menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Projek itu dilaksanakan bagi membolehkan bangunan Parlimen yang sudah berusia hampir lima dekad, melalui pengubahsuaian struktur secara menyeluruh, bagi menyelesaikan masalah kerosakan yang sering berlaku sebelum ini.


Projek naik taraf bangunan Dewan Rakyat sedia ada akan dilaksanakan tahun depan dan dijangka siap pada 2014.

Dewan Rakyat akan terus bersidang menggunakkan premis baru itu secara sementara sahaja sebelum dipindahkan semula ke tempat asal selepas kerja-kerja menaiktaraf itu disiapkan.

Menariknya, dewan sementara itu yang lebih kecil dari Dewan Rakyat telah menyebabkan kedudukan kerusi anggota Parlimen lebih dekat, sekali gus memungkinkan suasana perdebatan lebih gamat, terutamanya jika berlaku perang mulut antara anggota dewan.

Di dewan itu juga, sesi pembentangan Bajet 2012 sudah dikaitkan sebagai 'Bajet Pilihan Raya' kerana ada desas-desus yang mengatakan penjawat awam dijangka sekali lagi akan menikmati kenaikan gaji dan imbuhan bonus.

Dari segi isu, perdebatan berhubung pemansuhan ISA dan dua akta baru untuk menggantikannya serta pembentangan beberapa akta lain diramal menarik minat anggota Dewan Rakyat.

Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat ini dewan masih belum dimaklumkan mengenai urusan pemansuhan Akta ISA, namun ia dijangka akan dikemukakan pada persidangan itu.

"Kerajaan mempunyai masa yang lama iaitu sehingga pertengahan Disember ini untuk memaklumkan sebarang urusan kepada dewan, dan pada pandangan saya ia akan dikemukakan pada persidangan kali ini bersekali dengan beberapa lagi rang undang-undang lain," katanya kepada Bernama.

Mengenai pandangan pemansuhan ISA bakal 'menghangatkan dewan', Wan Junaidi berkata, ia bergantung kepada anggota Parlimen, namun beliau sendiri tidak melihat isu itu perlu disensasikan.

"Pengumuman yang dibuat itu adalah untuk kebaikan semua dan demi imej negara, saya tidak nampak perlunya untuk timbulkan kekecohan dalam isu ini," katanya.

Ekoran pemansuhan ISA, kerajaan sedang merangka dua akta baru untuk menggantikannya yang kini sedang diperincikan oleh Peguam Negara.

Selain ISA, kerajaan juga dijangka akan mengemukakan Rang Undang-Undang untuk memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 dan menghapuskan prinsip pembaharuan tahunan bagi permit pencetakan seperti yang termaktub di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Permit pencetakan akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Selain itu, pindaan ke atas Akta Pekerjaan 1955 juga mungkin mencipta kontroversi, lebih-lebih lagi apabila Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bercadang untuk mengadakan piket di perkarangan bangunan Parlimen pada Isnin ini, jika kerajaan meneruskan rancangan meminda undang-undang pekerjaan itu.

Rang undang-undang berkenaan pertama kali dibentangkan di Parlimen pada 8 Julai 2010, tetapi ditarik balik kemudian selepas menerima pandangan dari pelbagai pihak.
- Bernama: BernamaOnline

Khamis, 30 Jun 2011

Jutaan ringgit dilarikan ke Indonesia, Anwar ‘Raja Pengubahan Wang Haram’ - Gobala

AHLI Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan hari ini (Rabu) mendakwa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim adalah ‘raja’ kepada segala aktiviti pengubahan dan pengaliran wang haram di negara ini.

Ia bersandarkan dakwaan bahawa Anwar melalui ‘orang tengah’ telah membawa keluar ratusan juta ringgit dalam not RM500 dan RM1,000 untuk disimpan di Indonesia dengan menggunakan jet peribadi milik syarikat judi.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, Gobalakrishnan berkata, semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu, sebanyak RM13.2 bilion wang dalam not RM500 dan RM1,000 telah dicetak.

Sehubungan itu, beliau menuntut Kementerian Kewangan menyiasat secara terperinci penglibatan Anwar dalam aktiviti tersebut dan berjanji akan membantu siasatan pihak berkuasa jika beliau diberi imuniti (kekebalan).

“Anwar ‘raja’ segala aktiviti penggubahan dan pengaliran wang haram di negara ini. Berbeg-beg wang dalam not RM500 dan RM1,000 diterbangkan ke Indonesia,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan Anwar terbabit dalam aktiviti pengaliran wang haram berjumlah RM888 bilion seperti yang dilaporkan oleh Integriti Kewangan Global (GFI).

Ini kerana, kata Gobalakrishan, Anwar adalah pengamal nepotisme dan kronisme tegar dan beliau percaya, duit tersebut jugalah diguna sewaktu ketua pembangkang itu ‘mengguling’ Allahyarham Tun Ghafar Baba dahulu.

Selain itu, beliau juga mendakwa Anwar bersama Azmin Ali (PKR-Gombak) mengarahkan agar dana RM50 juta untuk Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelidikan Felda di Selangor, dialirkan secara haram kepada pemimpin pembangkang.

Tidak cukup dengan semua pendedahan itu, bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin serta seorang ahli perniagaan berbangsa Cina melaburkan jutaan ringgit dalam syarikat modal, tanpa diketahui dari mana datangnya wang berkenaan.

Sementara itu, bimbang lebih banyak rahsia dalaman mereka ‘dilondehkan’, Azan Ismail (PKR- Indera Mahkota) dan Dr. Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) cuba menghentikan Gobalakrishnan daripada terus membuat pendedahan.

“Padang Serai ini dah makan tengah hari ke belum? Saya kagum dengan keberanian Padang Serai tetapi setuju atau tidak sebelum persidangan setiap ahli Parlimen perlu menjalani ujian air kencing untuk dipastikan dia mabuk atau tidak,” kata Azan.

Kemudian Siti Mariah pula bangkit membantu: “Bila Padang Serai buat tuduhan, kenapa tak lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kalau berlaku salah guna, saya harap begitulah, tolong bawa kepada SPRM.”

Namun, percubaan Azan dan Siti Mariah itu gagal menghentikan tindakan berani Gobalakrishnan apabila beliau secara bersahaja dan sinis berkata: “Saya sudah makan tengah hari dan sekarang sedang makan PKR.”
- Utusan

SATU MELAYU:
Apakah ini satu lagi pendedahan untuk Anwar Ibrahim setelah isu video seks? Ini bukan dilakukan oleh orang Umno atau BN. Ia didedahkan oleh bekas kawan karib dan Ahli Parlimen PKR sendiri, sama sepwerti isu video seks yang didedahkan Datuk Eskay.

Kes liwat II juga serupa. Yang dedah atau buat laporan polis ialah bekas ‘jambu’ yang bekerja dengan Anwar.
Apapun, pendedahan Gobala di Parlimen itu diharap akan ada siasatan susulan oleh pihak berkuasa. Atau Gobala sendiri akan membuat laporan kepada SPRM.

Berdasarkan apa yang diluahkannya itu, beliau ada bukti.

Beranikah Anwar menafikannya dengan menyaman Gobala di mahkamah? Rasanya dia tak akan berani. Nfi mungkin dia akan nafi, tapi untuk bawa ke tengah pengadilan dia ‘kecut’. Samalah macam kes video seks.

Berapa banyak lagi pendedahan mengenai salahlaku dan penyelewengan Anwar Ibrahim akan didedahkan oleh bekas rakan-rakan dan orang kuatnya?

Wang Bernilai RM101 Juta Dalam Not RM500 Dan RM1,000 Tidak Dapat Dikesan

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata sebanyak 177,077 keping wang kertas RM500 dan RM1,000 yang bernilai RM101 juta yang terapung di pasaran serta tidak dapat diimbangkan dengan jumlah cetakan masih tidak dapat dikesan sehingga 30 Jan lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu 150,259 keping adalah wang kertas RM500 yang bernilai RM75 juta, manakala 26,818 keping ialah wang kertas RM1,000 yang bernilai RM26 juta.

"Wang kertas ini bagaimanapun sudah tidak laku selepas 1 Julai 1999 dan tiada cetakan wang dalam dominasi RM500 dan RM1,000 dibuat sejak tahun berkenaan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 di Dewan Rakyat.

Rang Undang-undang yang bertujuan mengawal aktiviti perniagaan pengurupan wang, perniagaan pengiriman wang dan peniagaan mata wang borong kemudiannya diluluskan.

Turut diluluskan ialah Rang Undang-Undang Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) (Pindaan) 2011 dan Rang Undang-Undang Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2010.

Persidangan Dewan disambung Khamis.
- Bernama

SATU MELAYU:
Pada Rabu 25 Mei lalu entri blog ini ada menyiarkan sedutan ucapan Ahli Parlimen Padang Serai yang juga bekas pemimpin setia PKR serta penyokong tegar Anwar Ibrahim, Gobalakrishnan yang mendakwa Anwar Ibrahim telah melarikan not RM500 dan 1000 ke luar negara.

Apakah kenyataan Timbalan Menteri Kewangangan ini ada hubung-kaitnya dengan dakwaan yang dibuat oleh Gobala semasa berceramah di Kelang dalam siri ceramah SSDE itu?

Wallahhualam....

Selasa, 21 Jun 2011

Parlimen: Status Tian Chua Diputuskan Minggu Depan - Pandikar Amin

PARLIMEN akan memutuskan status Anggota Parlimen Batu Tian Chua minggu depan, selepas meneliti semua aspek termasuk keputusan mahkamah dalam kes Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Parlimen juga secara rasmi berhubung dengan penasihat undang-undang negara untuk memberi pandangan kepada kita tentang apa yang perlu kita buat, dan pada minggu depan saya akan buat perintah terhadap perkara ini," katanya selepas sesi soal jawab berakhir pada persidangan Dewan Rakyat Selasa.

Terdahulu, Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menggesa Dewan Rakyat memutuskan dengan segera status Tian Chua, yang didapati bersalah menggigit tangan seorang anggota polis ketika ditangkap dalam satu protes berhampiran Bangunan Parlimen pada 2007.

Tian Chua dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret pada Oktober 2009.

Bagaimanapun, pada Jun tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha, yang menolak rayuan Tian Chua berhubung sabitan itu, meringankan hukumannya kepada penjara dua bulan dan denda RM2,000 bagi mengelak pilihan raya kecil diadakan.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang Anggota Parlimen hilang kelayakan selepas disabitkan atas suatu kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000.
- Bernama


SATU MELAYU:
Untuk mensesuaikan dengan sikap lemah lembut, bertimbang rasa dan tolak ansur kepimpinan negara masa kini, eloklah jangan dipecat si jenglot tu. Bukannya lama lagi pun dia nak jadi MP....

Rabu, 27 April 2011

Waspada kapsul gelatin babi

ORANG ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih produk berkaitan farmaseutikal kerana kajian bioteknologi menunjukkan 15 peratus produk yang dibungkus dengan kapsul gelatin sebenarnya diperoleh daripada sumber babi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam hubungan ini, pihak pembekal dan pengilang perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan produk yang dikeluarkan perlu mempamerkan label kandungan bahan yang digunakan.

Kata beliau, berdasarkan akta sedia ada, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat dan mengambil tindakan terhadap pembekal yang menjual produk seumpama itu.

“Tindakan hanya boleh diambil oleh JAKIM jika produk berkenaan mempunyai logo halal atau apa-apa yang membawa maksud sama. Bagaimanapun, di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, setiap produk perlu mengisytiharkan sumber bahannya pada label.

“Kementerian tetap berusaha untuk menghalang situasi tersebut. Justeru itu, kita akan menggiatkan promosi maklumat kepada orang ramai selain mewujudkan akta halal yang kini dalam proses diperkemaskan sebelum dibentangkan nanti,” katanya ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada sidang Dewan Negara pada Selasa
.
Jamil Khir berkata, sehingga kini sebanyak 141 syarikat farmaseutikal telah mendapatkan sijil halal bagi produk mereka dan orang ramai khususnya umat Islam boleh membuat semakan melalui laman web www.halal.gov.my.

“Kita tahu ramai yang keliru dengan label-label yang ada pada setiap produk kerana ia menggunakan istilah sains seperti porcine.

“Bagi mereka yang tidak tahu, ramai yang tidak mengendahkannya walhal istilah itu sebenarnya menunjukkan ia mengandungi bahan daripada babi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang turut menjawab soalan berkaitan berkata, selain tuntutan agama Islam bahawa kandungan babi adalah bahan yang diharamkan, sumber bahan itu juga boleh mengakibatkan alahan kepada pemakai.

Kata beliau, kementerian boleh menggantung dan membatalkan lesen pembekal atau pengilang yang gagal memberi maklumat tentang kandungan ubat dan yang memberikan maklumat palsu.

Menurutnya, dasar kementerian adalah untuk memastikan produk yang dipasarkan dalam negara adalah produk yang berdaftar dengan kementerian melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan bahagian penguat kuasa farmasi.

“Setakat ini kementerian bersedia untuk mengkaji logo halal bagi semua produk yang dikeluarkan oleh kementerian.

“Dalam pada itu juga, kita menggalakkan masyarakat untuk membuat rujukan terhadap notifikasi produk yang dipasarkan dengan laman web kementerian,” kata beliau.

Rosnah menjawab soalan ahli Dewan Negara, Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg yang menyatakan bahawa produk kesihatan dan kosmetik yang terdapat di pasaran mengandungi bahan yang memudaratkan.
- Utusan

SATU MELAYU:
Sebagai pengguna, rakyat sudah tentu tidak dapat mengenali bahan-bahan ubat yang berunsurkan bahan tidak halal.
Kalau sekadar berharapkan kepada label atau penerangan pihak pengeluar sahaja, besar kemungkinan ada yang melakukan penipuan bagi maksud menghalalkan yang haram.

Oleh itu adalah diharapkan pihak berkuasa kerajaan, khasnya Kementerian Kesihatan atau Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan menggariskan ‘petua’ atau tanda-tanda pasti yang membuktikan bahan ubatan yang dijual adalah dari sumber tidak halal seperti babi, supaya dengan mudah ianya dapat dikenal pasti oleh pengguna.

Khamis, 7 April 2011

PARLIMEN: Usul bincang kematian murid sekolah agama Pas di Perlis ditolak....


DEWAN Rakyat hari ini menolak usul bagi membincangkan kes seorang murid sekolah agama di Perlis yang dipukul teruk oleh gurunya sehingga mati Ahad lalu.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee berkata usul itu ditolak kerana pihak polis sudah mula mengambil tindakan dengan membuat siasatan terperinci terhadap kes itu.

"Perkara ini melibatkan kematian seorang pelajar sekolah agama di Perlis, ia merupakan satu kes yang serius. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ambil tindakan dan kes ini dalam siasatan yang terperinci.

"Oleh itu perkara ini tidak perlu disegerakan. Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1)," katanya.

Terdahulu, Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) membentangkan usul berkenaan yang disifatkan sebagai satu tindakan oleh seorang guru yang kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap seorang anak yatim.

Dalam usulnya, Ismail turut meminta supaya kerajaan memberi tumpuan dan mengadakan satu mekanisme tertentu bagi memantau serta menilai guru di sekolah-sekolah khususnya di sekolah swasta bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

"Guru-guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah persendirian termasuk sekolah agama perlu diperhalusi serta mekanisme penyeliaan oleh pihak kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

"Selain itu (kerajaan) perlu turut beri tumpuan kepada perkara keselamatan dan perlindungan terhadap anak-anak kita di sekolah-sekolah di seluruh negara terutama yang dijalankan oleh pihak swasta dan persendirian," katanya.

Ahad lalu, seorang murid sekolah Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, yang dipukul oleh seorang guru di asrama sekolah agama rakyat itu sehingga koma, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 7 malam Khamis lalu apabila seorang guru lelaki yang berusia 26 tahun dikatakan memukul kanak-kanak itu selama dua jam sehingga pengsan kerana disyaki mencuri wang murid lain di asrama.
- Bernama

SATU MELAYU:
SM menanti-nanti pemimpin pakatan pembangkang seperti Lim Kit Siang, Hadi Awang, Anwar Ibrahim dan Nik Aziz meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara ini sebagaimana mereka mendesak perkara sama ketika mendakwa polis menyiksa seorang warga China dahulu.

Kepada puak-puak Melayu anti kerajaan yang konon tidak mahu menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan kerana pelajaran sekular, insaf dan sedarlah masalah yang bakal dihadapi.

Allah SWT telah menunjukkan kepada kita semua sesuatu yang tersirat.


Selasa, 5 April 2011

DEWAN RAKYAT: Rakaman Video Seks Tidak Akan Ditayang Di Parlimen - Pandikar


RAKAMAN video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang tidak akan ditayang di Parlimen, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Katanya beliau tidak akan membenarkan Dewan Rakyat digunakan oleh mana-mana individu untuk kepentingan peribadi atau agenda politik.

"Pendapat saya mengenai hal ini adalah begini, iaitu sewaktu mesyuarat ahli-ahli Yang Berhormat adalah dilarang untuk menggunakan perkara-perkara yang dilarang oleh Peraturan Mesyuarat seperti 'unparlimentary words' atau tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

"(Jika) yang itu pun tidak dibenarkan mesyuarat, macamana saya boleh membenarkan dalam Parlimen untuk tayangan satu perkara yang pertama melanggar Peraturan Mesyuarat (dan) sengaja di bawa ke Dewan Rakyat, kedua dalam Islam itu adalah perkara yang haram.

"Jadi saya ingatkan Yang Berhormat kalau berpolitik, berpolitiklah di luar sana sewenang-wenangnya. Dalam Dewan ini kita dipandu oleh etika-etika tertentu, jangan oleh kerana kepentingan politik individu menjustifikasikan tindakan dahulu, lepas itu menggunakan wakil rakyat sebagai pelindung," katanya selepas sesi soal jawab berakhir pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.


Terdahulu Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) bangkit untuk bertanyakan pendirian Pandikar mengenai cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh semalam agar video seks itu ditayangkan di Parlimen memandangkan anggota Parlimen mempunyai imuniti yang melindungi mereka daripada sebarang liabiliti jenayah.
- Bernama

SATU MELAYU:
SM menyokong penuh tindakan Speaker Dewan Rakyat yang tidak membenarkan tayangan video yang heboh diperkatakan masa kini. Tindakannya betul dan bertanggungjawab. Bukan itu urusan dewan yang mulia diwujudkan.

Namanya pun Dewan Rakyat. Segala perkara yang dibincangkan adalah mengenai kepentingan rakyat dan negara. Bukan kepentingan politik gara-gara video yang tidak bermoral itu.

Jangan cemarkan nama baik Dewan Rakyat dengan isu yang tidak memberi faedah kepada rakyat. Dewan yang muia itu bukan tempatnya. Berperang dan bersilatlah di luar dewan.

Bagaimanapun, janganlah para ahli parlimen terjebak dengan isu tidak bermoral seorang insan munafik yang sedang menuju jalan jahanam, sehingga dilihat rakyat dan negara luar seolah-olah wakil rakyat negara ini tidak ada kerja lain selain membincangkan soal salahlaku moral seorang yang bercita-cita jadi Perdana Menteri itu.

Yang penting dan harus dilakukan oleh para wakil rakyat ialah membetulkan persepsi rakyat di kawasan masing-masing mengenai isu video seks berkenaan, sekiranya itulah yang sangat diperlukan oleh rakyat di kawasan masing-masing.

Rakyat negara ini sedang berkecamuk fikirannya kerana isu ini jadi topik utama perbincangan dengan pelbagai pendapat dan pandangan yang pro dan kontra.

Khamis, 31 Mac 2011

Parlimen: Skim Rumah Pertamaku Hanya Untuk Pekerja Swasta


SKIM 'Rumah Pertamaku' bagi membantu golongan muda berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan memiliki rumah pertama adalah khusus untuk pekerja swasta, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Beliau berkata penjawat awam tidak layak memohon kerana mereka mempunyai kemudahan pinjaman perumahan bagi kakitangan kerajaan.

"Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada 8 Mac lalu adalah bagi membolehkan pekerja swasta yang berusia 35 tahun ke bawah memohon pinjaman tersebut dengan tempoh maksimum pembiayaan selama 30 tahun," katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Khamis.

Awang Adek berkata pembeli yang layak boleh memohon pinjaman menerusi 25 buah bank termasuk institusi kewangan Islam bagi membeli rumah yang berharga dalam lingkungan RM100,000 hingga RM220,000.

Skim tersebut menawarkan 100 peratus pembiayaan oleh bank komersil untuk mereka yang berpendapatan tidak lebih RM3,000 sebulan, katanya.

Kepada pertanyaan Datuk Idris Harun (BN-Tangga Batu), Awang Adek memaklumkan ia mula dilaksanakan pada 8 Mac lalu.
- Bernama

SATU MELAYU:
Rakyat didahulukan, kecapaian diutamakan.

Selasa, 29 Mac 2011

Gaji dan elaun ketua pegawai eksekutif Tabung Haji RM82,000 sebulan?


AHLI Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa gaji dan elaun yang diperolehi Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji adalah RM82,000 sebulan.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ekoran daripada soalannya ketika sesi perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempunyai satu garis panduan supaya gaji yang dibayar kepada peneraju-peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) sama ada ketua pegawai eksekutif atau pegawai-pegawai kanan adalah pada kadar yang munasabah dan bukannya dengan jumlah terlalu tinggi.

"Gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak setinggi seperti mana ketua pegawai eksekutif terbabit sedangkan tanggungjawab mereka lebih besar kerana terpaksa menguruskan sebuah negara.

"Berbanding dengan tanggungjawab seorang ketua pegawai eksekutif bagi sebuah GLC mereka hanya menguruskan sebuah syarikat. Tambahan pula mereka dibantu ramai kakitangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ibrahim turut mempersoalkan kewajaran mereka mendapat imbuhan sebegitu besar walaupun hanya setakat menguruskan sebuah syarikat.

Beliau berkata, sebagai seorang ketua pegawai eksekutif sepatutnya mereka hanya berhak mendapat satu gaji serta satu elaun sahaja.

"Ini tidak, bila memegang jawatan ketua pegawai eksekutif sebagai contoh, di Tabung Haji, beliau juga akan menjadi pengerusi anak syarikat serta pengarah anak-anak syarikat yang lain.

"Beliau sepatutnya tidak layak menerima elaun tambahan tetapi cukup hanya satu gaji dan elaun sahaja," katanya.
- Utusan

SATU MELAYU:
Mak Datuk! Banyaknya gaji dan elaun CEO ni yerrr!
Kenapa boleh jadi macam tu? Siapa yang luluskan? Tentulah Lembaga Pengarah, yerrr tak?

Bayangkan wang sebanyak 82 ribu itu jika diambilkira bayaran sesesorang jemaah yang menunaikan haji ke tanah suci. Berapa orang boleh pergi dengan wang sebanyak itu.

Tak tahu lerrr... pulak kalau elaun dibayar kurang dari itu, prestasi Tabung Haji akan merosot atau akan mengalami kerugian.

Dan kalau CEO Tabung Haji dibayar elaun setinggi itu, bagaimana pula dengan CEO-CEO lain dalam GLC yang seangkatan dengannya?

Elok juga ada seorang Ahli Parlimen bebas macam Tok Him ni!
Dia bukan hentam puak pembangkang sahaja, puak-puak yang ada dalam kerajaan pun dia dok sapu kalau ada yang dia fikir bertentangan dengan kepentingan rakyat.

Tahniah Tok Hom! Rakyat Didahulukan!

Isnin, 14 Mac 2011

Parlimen: ‘Tambang Murah’ Air Asia tidak semurah yang didakwa – Bung Mokhtar


SEORANG wakil rakyat penyokong kerajaan pada Isnin membangkitkan isu kadar tambang murah syarikat penerbangan AirAsia yang didakwanya tidak murah seperti dicanangkan syarikat itu, pada persidangan Dewan Rakyat di perlimen.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata AsiaAsia mencanangkan bahawa ia menawarkan kadar tambang murah, tetapi sebenarnya kadar tambang itu bukannya murah seperti sangkaan orang ramai.


"Dia cakap murah...semalam saya balik (Sandakan-Kuala Lumpur), tambang sehala ialah RM1,100. Adakah ini kira murah?

"Saya minta kerajaan melihat perkara ini sebab saya banyak menerima aduan tentang AirAsia," katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Isnin.

Beliau berkata caj perkhidmatan yang dikenakan seperti caj bagasi juga semakin mahal dan membebankan rakyat.

Sehubungan itu beliau meminta pegawai Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat operasi AirAsia terutama dari segi pematuhan syarat dalam lesen yang dikeluarkan sebagai pengangkutan udara tambang murah.


Sementara itu, Bung Moktar juga menggesa kerajaan menyiasat Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) kerana didakwa menjual maklumat kewangan peribadi individu tanpa pengetahuan dan kebenaran individu berkenaan.

"Saya minta kerajaan siasat siapa di belakang CTOS. Saya minta SPRM siasat mengapa ia boleh menjual maklumat peribadi rakyat," katanya yang mendakwa operasi CTOS melanggar Akta Pelindungan Data Peribadi.
- Bernama.

Jumaat, 11 Mac 2011

Premium insurans tak masuk akal. Tahniah atas kesepakatan para wakil rakyat menyuarakan masalah rakyat....


KALAU beginilah cara para wakil rakyat di Parlimen berbincang mengenai sesuatu isu demi kepentingan rakyat, alangkah bagus dan menggembirakan semua orang.

Ada yang berpendapat, keadaan itu terjadi setelah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak berada di dalam dewan kerana digantung selama enam bulan. Tanpa Anwar, semua mereka rasa lega dan tidak takut ditekan atau dimarah kerana bersatu dengan penyokong kerajaan dalam membincangkan masalah rakyat.

Entahlah..... Mungkin benar dan mungkin juga tidak. Bagaimanapun segalanya terjadi ketika Anwar Ibrahim tidak berada di Dewan Rakyat. Serba kemungkinan boleh berlaku...

Pada sidang dewan rakyat semalam – Khamis, penyokong kerajaan dan pembangkang 'bersatu' menyelar syarikat-syarikat insurans kerana mengenakan premium yang tidak masuk akal terhadap kenderaan lama berusia lebih 10 tahun dan insurans pihak ketiga sejak dua tahun lalu.

Sambil menyifatkan dua langkah itu sebagai tidak munasabah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, peraturan baru tersebut telah menyusahkan rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula kadar dikenakan itu sejak dua tahun lalu kerana jelas membebankan rakyat ekoran harga premium insurans yang terlalu tinggi.

''Ini isu serius. Oleh itu Kementerian Kewangan dan BNM perlu melihat masalah ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada rakyat di kampung-kampung. Kebanyakan kenderaan mereka adalah kenderaan lama. Peraturan ini langsung tidak munasabah.

''Munasabah ke premium insurans kereta lama lebih tinggi daripada kereta baru. Begitu juga dengan pembelian insurans pihak ketiga, mengapa kadarnya terlalu tinggi?'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Isu mengenakan premium insurans pihak ketiga yang terlalu tinggi pernah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula operasi syarikat-syarikat insurans kerana perjalanan perniagaan mereka adalah secara menipu.

''Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah perniagaan insurans. Berlaku sahaja kes kemalangan berpuluh tahun baru selesai. Saya minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau operasi mereka kerana mereka ini adalah penipu paling besar di negara ini," katanya.

Mohamed dalam pada itu turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu syarikat insurans yang baru sebagai alternatif bagi syarikat insurans sedia ada.

''Kalau masalah ini tidak selesai, apa kata Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans baru yang boleh menjual insurans dengan harga berpatutan. Namakan sahaja insurans ini, insurans 1Malaysia. Jangan terima lagi syarikat-syarikat insurans yang sedia ada sekarang," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee ketika mencelah telah meminta isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu meliputi pembelian insurans hayat.

Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) di dalam perbahasannya juga bersetuju supaya kadar premium insurans pihak ketiga diturunkan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bagaimana syarikat-syarikat insurans ketika ini memaksa pelanggan membeli polisi insurans kemalangan peribadi sebelum dikeluarkan polisi insurans pihak ketiga walaupun kerajaan tidak membenarkan ia berlaku.

''Itu belum dikira caj tambahan (loading) yang turut dikenakan kepada pelanggan. Apabila dicampur kedua-duanya dan ditambahkan dengan bayaran premium insurans pihak ketiga sudah tentu harganya tinggi dan membebankan.

''Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini," katanya.

Akibatnya beliau berkata, harga premium insurans pihak ketiga yang dahulu dibayar sekitar RM70 sehingga RM80 tetapi sekarang harganya antara RM100 hingga RM200.

''Bank Negara ini butakah, takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Mengapa kerajaan tidak ada penyelesaian sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka," katanya.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat trak penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk caj tambahan.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa Bank Negara dalam mengawal syarikat-syarikat berkenaan.

Meskipun katanya, telah ada arahan supaya syarikat-syarikat insurans tidak boleh memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan namun perkara itu masih berleluasa.
- Utusan

SATU MELAYU:
Inilah baru menepati slogan ‘Rakyat Didahulukan’ sebagaimana yang dikehendaki oleh kepimpinan DS Najib.
Rakyat tentu berasa senang hati dan gembira apabila wakil rakyat mereka bersatu dalam membincangkan isu yang menyusah dan membebankan rakyat selaku pengguna.

Kalaulah Dewan Rakyat kita pada setiap persidangannya menimbulkan isu-isu membela nasib rakyat seperti ini, InsyaAllah, persepsi rakyat terhadap wakil-wakil rakyat dan Parlimen akan bertambah padu.
Rakyat akan rasa berbaloi mengundi wakil untuk ditempatkan sebagai wakil mereka di Dewan yang mulia itu.

Itulah maksud persidangan sebenarnya.
Bukannya hanya untuk pemimpin pembangkang dan kerajaan bertegang urat demi kepentingan politik semata-mata.
Namanya pun Dewan Rakyat.
Maka sewajarnyalah semua perbincangan, perdebatan dan usul serta cadangan yang dikemukakan adalah demi kepentingan rakyat yang mengundi wakilnya ke Dewan yang mulia itu.
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog