Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Skandal PKFZ/Tun didakwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Skandal PKFZ/Tun didakwa. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Oktober 2011

Skandal PKFZ: Tiada aduan Dr Ling menipu berhubung ‘Projek PKFZ’ - Mohd Effendi

BEKAS Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang aduan menyatakan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik menipu berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Mohd Effendi, yang pernah menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri berhubung projek itu, turut memberitahu beliau juga tidak pernah membuat aduan polis berkenaan dakwaan Dr Ling menipu. Beliau juga tidak pernah memberi sebarang kenyataan bahawa Dr Ling menipu ketika disoal siasat pihak polis bulan lepas.

Mohd Effendi berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

Selain itu, beliau berkata menerusi dua ringkasan nota yang dihantar Kementerian Pengangkutan kepada Jemaah Menteri, jelas dinyatakan bahawa kadar faedah diletakkan di dalam terma berasingan daripada harga asal.

Mohd Effendi berkata kebiasaannya, sebelum mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung, setiap menteri akan diberikan draf minit mesyuarat, dan ketika ditanya Wong adakah beliau mempunyai kuasa untuk mempersoalkan sebarang maklumat, Mohd Effendi berkata: "Ya."

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, Mohd Effendi memberitahu beliau tidak tahu bahawa pada 12 November, 2002 pihak Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) telah menandatangani perjanjian jual beli tanah.

Mohd Effendi. yang merupakan saksi ke-16 pendakwaan bagi kes Dr Ling, turut memberitahu beliau tidak pernah melihat atau ditunjukkan surat penilaian pembelian tanah daripada Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH) yang disediakan Ketua Pengarahnya ketika itu, Datuk Sahari Mahadi.

Surat JPPH yang bertarikh 29 September, 2000, itu tidak menyatakan tentang kadar sebanyak 7.5 peratus, dan ketika ditanya Manoj adakah beliau tahu mengenai perkara itu (7.5 peratus), Mohd Effendi menjawab: "Tidak."

Mohd Effendi berkata pada 6 November, 2002, beliau tidak menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan tidak mengetahui bahawa Kabinet memutuskan untuk membeli tanah seluas 400 hektar di Pulau Indah sepertimana dipersetujui dengan terma pembayaran sehingga 15 tahun dan harga tanah adalah RM25 sekaki persegi.

Menerusi keputusan Jemaah Menteri itu juga, tiada dinyatakan mengenai kadar faedah sebanyak 7.5 peratus.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalahtambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yangberasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November, 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung 10 November.
- Laporan: BernamaOnline

Khamis, 11 Ogos 2011

Dr Ling Tidak Buat Keputusan Beli Tanah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu diberitahu bahawa keputusan membeli tanah di Pulau Indah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah keputusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), dan bukannya bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata mesyuarat LPK pada 24 Jan, 2002 memutuskan supaya tanah seluas 1,000 ekar (400 hektar) di Pulau Indah diperoleh dengan cara pembelian dan bukannya pengambilan balik.

Katanya berdasarkan minit mesyuarat LPK, keputusan pembelian tanah dibuat sebagai alternatif berikutan wujudnya beberapa masalah, iaitu tindakan Kementerian Kewangan yang mengambil masa agak lama iaitu tiga tahun sejak keputusan Jemaah Menteri dan masih belum berhasil dengan pendekatan pengambilan tanah oleh kerajaan.

Selain itu, katanya, ia juga disebabkan hasil kajian LPK dengan Jebel Ali Free Zone International (JAFZI) yang mendapati masa untuk menjayakan projek PKFZ adalah kritikal.

Abdul Rahman turut memberitahu bahawa mesyuarat peringkat Kementerian Pengangkutan pada 23 Jan, 2002 membincangkan cadangan pembelian terus tanah tersebut seperti yang dicadangkan oleh kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM450 juta menerusi bawah Rancangan Malaysia Kelapan.

Tambah beliau, turut dibangkitkan pada mesyuarat itu ialah isu penekanan terhadap hak milik tanah dan pembayaran tunai serta menolak bayaran tertangguh.

Abdul Rahman berkata LPK membuat penilaian pada tanah tersebut menggunakan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Beliau yang terlibat sejak awal projek PKFZ dirancang, turut memberitahu bahawa tidak pernah memberi apa-apa memo kepada Dr Ling bagi membetulkan terma persetujuan bersama Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang memasukkan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sedia maklum mengenai kadar faedah 7.5 peratus dan tahu mengenai keputusan membeli dan bukannya pengambilan balik tanah.

Di awal prosiding, Abdul Rahman berkata dalam urusan projek PKFZ, Dr Ling bertindak mengikut saranan pegawai di kementeriannya dan Dr Ling tidak pernah menolak pandangan dan keputusan pegawai terlibat.

Abdul Rahman berkata Dr Ling juga tidak membantah arahan pengambilan tanah oleh Kementerian Kewangan dan bertindak mengadakan mesyuarat untuk proses tersebut.

Dr Ling dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas menteri itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas presiden MCA itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov, 2002.

Pada prosiding sesi petang, Abdul Rahman memberitahu bahawa tiada bantahan daripada wakil Kementerian Kewangan dibuat berhubung urusan perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian daripada JPPH.

"Berdasarkan minit mesyuarat bertarikh 15 Nov, 2002, wakil Kementerian Kewangan tidak bantah," kata Abdul Rahman ketika disoal peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

Beliau turut memaklumkan sepanjang perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di Kementerian Pengangkutan, tiada sebarang nota diberikan berhubung urusan tersebut. (Perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian JPPH).

Menjawab soalan Wong sama ada beliau ada menerima sebarang aduan daripada Kabinet bahawa perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian JPPH, saksi keempat pendakwaan itu berkata "tidak"

Abdul Rahman memberikan jawapan sama ketika disoal Wong sama ada beliau ada menerima aduan daripada Kementerian Kewangan dan JPPH berhubung urusan yang dibuat oleh KDSB dan LPK tidak menurut penilaian JPPH.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Khamis.
- Laporan: BernamaOnline

Kes PKFZ: Chan Mahu Kes Beliau Ditangguhkan Sementara Menunggu Penyelesaian Kes Dr Ling

BEKAS Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy hadir pada sebutan kes di Mahkamah Sesyen, Putrajaya, Rabu.
BEKAS Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy, yang menghadapi pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), mahu supaya kesnya ditangguhkan sementara menunggu perbicaraan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik diselesaikan.

Salah seorang peguam Chan, Arthur Wang memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rabu, beliau telah pun memfailkan permohonan penangguhan prosiding sementara menunggu perbicaraan kes Dr Ling di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diselesaikan, tengah hari ini.

Perbicaraan kes Dr Ling didengar di Mahkamah Tinggi dari 1 hingga 12 Ogos.

Hakim Azhaniz Teh Azman menetapkan 12 Sept untuk mendengar permohonan Chan.

Beliau turut mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan selama dua minggu dari 20 hingga 30 Sept meskipun Wang memohon supaya tarikh itu dipinda memandangkan pasukan pembelaan tidak mempunyai kelapangan pada tempoh berkenaan.

Azhaniz berkata beliau akan mendengar dahulu permohonan itu dan menetapkan kemudian tarikh perbicaraan, namun buat masa ini, katanya, tarikh perbicaraan itu dikekalkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan telah mengemukakan 50 dokumen bersabit kes itu kepada pasukan pembelaan.

Beliau berkata pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan 200 lagi dokumen, tetapi beliau berkata pendakwaan perlu meneliti dokumen berkenaan dan kemudian menentukan dokumen yang mesti disediakan kepada pasukan pembelaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pendakwaan akan menyediakan dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Antara dokumen itu termasuk minit mesyuarat Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dari 1998 hingga 2008, dan minit mesyuarat-mesyuarat Teknikal Kabinet dan Jemaah Menteri.

Chan, 55, mengaku tidak bersalah pada 28 Feb tahun ini terhadap tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan pembangunan projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006.

Chan didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat bekas Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

- Laporan: BernamaOnline

Rabu, 10 Ogos 2011

LPK Keluar Surat Pembelian Sebelum Surat Rasmi Jemaah Menteri Dikeluarkan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa diberitahu bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat urusan pembelian tanah di Pulau Indah sebelum surat rasmi keputusan Jemaah Menteri dikeluarkan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, memberitahu mahkamah bahawa surat rasmi dikeluarkan pada 20 Nov 2002 iaitu 14 hari selepas Jemaah Menteri membuat keputusan manakala LPK membuat surat urusan pembelian pada 6 Nov 2002.

Katanya surat kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) itu dikeluarkan pada hari yang sama dengan mesyuarat Jemaah Menteri iaitu pada 6 Nov 2002 dan KDSB membalasnya sehari selepas itu (7 Nov 2002).

Abdul Rahman berkata kebiasaannya surat rasmi mengenai keputusan Jemaah Menteri akan dikeluarkan seminggu selepas mesyuarat dan bukannya pada hari yang sama.

Beliau yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah dalam perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik berkata surat rasmi tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Zakaria Bahari.

Surat itu menyatakan keputusan Jemaah Menteri yang mengekalkan keputusan pada 2 Okt 2002 yang bersetuju perolehan tanah dibuat mengikut terma-terma yang dipersetujui antara KDSB dengan LPK, antaranya harga tanah bernilai RM25 sekaki persegi.

Katanya sebelum surat rasmi dikeluarkan, dokumen perjanjian jual beli tanah seluas 1,000 ekar (404.6 hektar) di Pulau Indah juga telah ditandatangani, antara LPK dan KDSB pada 12 Nov 2002.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling, Abdul Rahman berkata penyediaan dua dokumen bertajuk 'nota pengambilan balik Pulau Indah untuk projek mega distribution hub oleh LPK' (disediakan untuk Jemaah Menteri) tidak melibatkan Dr Ling.

Beliau berkata Dr Ling juga tidak meminda pada draf nota tersebut serta ia tidak diserah kepada Dr Ling untuk dibuat ulasan.

Ketika ditanya Wong adakah beliau bertanggungjawap memberitahu Dr Ling sekiranya terdapat percanggahan di dalam dua dokumen tersebut, Abdul Rahman berkata: "Ya."

Abdul Rahman turut memberitahu bahawa keputusan yang dibuat Jemaah Menteri adalah tidak bertentangan dengan dua dokumen tersebut.

Ditanya berhubung tujuan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Abdul Rahman berkata ia dirancang untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama di negara ini dengan menjadikan Jabel Ali Free Zone di Dubai sebagai model.

Dr Ling dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Pada prosiding sesi petang, Abdul Rahman mengakui bahawa tidak ada surat daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang menyatakan bantahan kepada mana-mana minit mesyuarat Kementerian Pengangkutan dari segi ketepatan kementerian tersebut berhubung urusan pembelian tanah di Pulau Indah yang diadili oleh jabatan itu.

Selain itu, saksi itu turut memberitahu beliau bersetuju dengan cadangan Wong bahawa bagi projek pembangunan PKFZ, tiada sebarang kertas kabinet, ringkasan nota dan memo daripada Kementerian Pengangkutan diberikan kepada Jemaah Menteri kecuali dua nota Jemaah Menteri yang dihantar oleh Dr Ling.

Dua nota daripada bekas Menteri Pengangkutan itu kepada Jemaah Menteri itu adalah berhubung "Pengambilan Balik Tanah Pulau Indah Untuk Projek Mega Distribution Hub Oleh Lembaga Pelabuhan Klang".

Sementara itu, ketika disoal Wong sama ada beliau membuat pengiraan terhadap penilaian tanah seluas 830 ekar yang dibuat JPPH, Abdul Rahman berkata beliau tidak membuat pengiraan.

Abdul Rahman turut memberitahu beliau juga tidak mempunyai sebarang pengalaman, kelayakan dan pengetahuan peribadi dalam aspek penilaian tanah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Rabu.

Isnin, 8 Ogos 2011

Kabinet Arah Tangguh Pembelian Tanah Untuk PKFZ: Saksi

PERBICARAAN kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diberitahu hari ini bahawa kabinet membuat keputusan supaya proses pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek itu ditangguhkan kerana terdapat bantahan daripada Kementerian Kewangan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan kekal dengan ketetapannya supaya tanah seluas 1,000 ekar (400 hektar) bagi projek itu diperoleh melalui pengambilan balik.

"Berikutan bantahan daripada Kementerian Kewangan, mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Okt 2002 telah memutuskan untuk menangguhkan dahulu proses pembelian tanah di Pulau Indah," kata saksi keempat pendakwaan itu pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, beliau berkata selepas Jemaah Menteri membuat keputusan itu, satu nota kabinet bagi memberi hujah-hujah mengapa kerajaan harus mengambil tindakan untuk mengambil balik tanah berkenaan telah disediakan oleh pihak Perbendaharaan.

"Jika tidak silap saya, kerajaan juga ada memohon pandangan daripada Peguam Negara berkaitan proses pembelian tanah," katanya.

Ling dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Di awal prosiding hari ini, Abdul Rahman berkata Ling telah memohon kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya kerajaan membeli tanah di Pulau Indah secara pembelian terus.

Katanya surat cadangan Dr Ling mencadangkan supaya pembelian terus tanah seluas 1,000 ekar itu daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dipertimbangkan dengan syarat harga pembelian hendaklah dirundingkan semula antara kerajaan dan KDSB berasaskan penilaian harga tanah yang dibuat oleh kerajaan.

Ling juga mencadangkan supaya KDSB diberi kontrak untuk melaksanakan kerja pembangunan infrastruktur asas di tanah itu dan kos pembangunan infrastruktur itu dirundingkan antara kerajaan dengan KDSB.

"Sekiranya cadangan itu dipersetujui, Kementerian Pengangkutan/LPK akan melaksanakan rundingan tersebut. Hasil rundingan akan dikemukakan kepada Perbendaharaan untuk kelulusan sebelum tawaran rasmi diberi kepada KDSB," kata Abdul Rahman yang dirujuk kepada surat bertarikh 3 April 2002.

Ketika ditanya Tun Abdul Majid mengenai jawapan daripada Dr Mahathir, saksi itu berkata menerusi sepucuk surat bertarikh 8 April 2002, Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu.

Perbicaraan disambung esok.
- Laporan: BernamaOnline

Sabtu, 6 Ogos 2011

SKANDAL PKFZ: Kementerian Kewangan Putuskan Ambil Balik Tanah Di Pulau Indah


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat diberitahu bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tetap mengadakan mesyuarat bagi membeli tanah di Pulau Indah walaupun Kementerian Kewangan memutuskan supaya tanah itu diperoleh melalui pengambilan balik oleh kerajaan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pengangkutan Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata menerusi satu surat bertarikh 27 Dis 2001, LPK didapati bermesyuarat dengan pihak penjual tanah Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan dipengerusikan Pengurus Besar LPK O C Phang.

Katanya, keputusan Kementerian Kewangan supaya pengambilan balik tanah kawasan seluas 400 hektar telah dibuat pada kira-kira enam bulan sebelum itu iaitu pada 12 Jun 2001.

Abdul Rahman yang merupakan saksi keempat pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, berkata berdasarkan surat tersebut didapati terma yang ditawarkan adalah mengikut terma yang berlainan dengan cadangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), antaranya tempoh bayaran balik 15 tahun yang sepatutnya 10 tahun sahaja.

Beliau berkata menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, Kementerian Kewangan membuat keputusan supaya tanah seluas tidak lebih daripada 400 hektar di Pulau Indah diperoleh melalui tindakan pengambilan balik tanah oleh kerajaan dan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, kementerian itu juga memutuskan tanah berkenaan kemudian disewa pajak kepada LPK untuk dibangunkan dan kadar sewa pajakan akan ditentukan kemudian dan kos pembangunan projek ini bolehlah dibiayai melalui terbitan bon jangka panjang oleh LPK yang dijamin oleh kerajaan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Syarat-syarat itu adalah bon itu perlu diterbitkan mengikut keperluan dan hasil terbitan bon dan hasil projek hendaklah dikredit ke dalam satu 'designated account' dengan kerajaan sebagai 'joint signatory', lebihan, akan digunakan bagi membuat bayaran balik awal bon dan jika perlu sewa pajakan.

Sementara itu, kos pembangunan perlu diteliti dengan terperinci dan keperluan keluasan ditetapkan, manakala kontrak kerja-kerja pembangunan hendaklah dibuat secara tender terbuka.

Abdul Rahman berkata keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan itu telah dimaklumkan kepada Dr Ling dan ketika ditanya apakah tujuannya memberitahu, beliau berkata: "Untuk memberitahu keputusan yang dibuat Jemaah Menteri tidak selari dengan Kementerian Kewangan."

"Ia untuk membantu Menteri Pengangkutan dan beri maklum terhadap Jemaah Menteri, tetapi dalam ingatan saya Dr Ling memberi keputusan supaya teruskan mengikut arahan Perbendaharaan. Jadi kita ikut arahan Perbendaharaan (ambil balik tanah). Jadi kita mohon Zaharah memainkan peranan aktif dalam usaha ini."

Ketika ditanya mengenai reaksi KDSB terhadap keputusan Kementerian Kewangan, Abdul Rahman yang merujuk kepada surat daripada KDSB berkata syarikat itu melahirkan perasaan tidak berpuas hati dengan cadangan untuk pengambilan balik tanah dan memohon Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, membantu mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata menerusi beberapa mesyuarat yang dilakukan sekitar awal 2002 didapati usaha pengambilan tanah menemui jalan buntu kerana terdapat beberapa masalah termasuk kerajaan negeri Selangor yang tidak bersetuju dengan menimbulkan masalah kos serta tempoh masa pengambilan yang panjang.

Abdul Rahman berkata pada 8 Januari 2002, O C Phang telah menulis surat kepada Dr Ling bahawa LPK membuat keputusan untuk membeli tanah melalui perbelanjaan LPK sendiri.

Beliau berkata selepas itu, iaitu pada 23 Jan 2002, dalam mesyuarat yang membincangkan pengambilan 400 hektar tanah tersebut, beberapa keputusan telah dibuat iaitu memandangkan LPK memerlukan tanah di Pulau Indah dalam keadaan segera, mesyuarat memutuskan supaya cadangan untuk membeli terus daripada pemilik tanah akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.

Selain itu, turut diputuskan ialah semasa perolehan tanah tersebut ia perlu bebas daripada sebarang 'encumbrances' dan 'title' diperolehi sebelum memulakan pembangunan di atas tanah tersebut serta pembangunan tanah dilaksanakan secara berasingan dan tidak termasuk dengan kos perolehan tanah tersebut.

"Bagi tujuan itu (pembangunan tanah) Kementerian Kewangan akan menilai sama ada melantik pemilik tanah sebagai kontraktor untuk melaksanakan pembinaan kemudahan-kemudahan asas di atas tanah tersebut," katanya.

Terdahulu Abdul Rahman menyatakan bahawa keputusan LPK untuk membeli tanah daripada pemilik sebenarnya melangkaui keputusan Kementerian Kewangan.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov ember2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Isnin.
- Laporan: BernamaOnline

Jumaat, 5 Ogos 2011

LPK didakwa tidak mampu beli tanah KDSB

LEMBAGA Pelabuhan Klang (LPK) didakwa berada dalam keadaan defisit kewangan dan tidak mampu membeli 335.8 hektar tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang walaupun kerajaan memberikan 50 peratus subsidi.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan di Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor, 63, berkata, disebabkan kedudukan kewangan LPK tidak begitu kukuh, kerajaan bercadang membeli tanah tersebut dan menyewakan kembali kepada lembaga berkenaan.

Menurut beliau, KDSB dalam tawaran pertamanya mengesyorkan tanah seluas 161.87 hektar namun tidak diterima kerana ia terlalu kecil untuk dijadikan hub pemindahan kapal utama bagi menjana penambahan lebih 300,000 unit kontena setahun.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, kerajaan hendak menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama negara agar semua kargo dari Malaysia dapat dimuatkan di situ.

''Berdasarkan ingatan saya, ekoran daripada itu pihak Kementerian Pengangkutan telah menerima tawaran daripada KDSB untuk menjual tanah 335.89 hektar.

''Untuk itu, saya telah meminta Bahagian Maritim di kementerian untuk membuat kajian ringkas sama ada tanah seluas itu sesuai dijadikan hub untuk membantu pelabuhan,'' katanya pada perbicaraan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang masuk hari keempat hari ini.

Disoal mengenai harga tanah yang tertera dalam surat bekas Pengurus Besar LPK, O.C. Phang bertarikh 10 Mac 1999, kata saksi, pihak beliau tiada halangan untuk mempertimbangkan penambahan tanah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah bertanya adakah isu pembelian tanah itu dibawa ke Kabinet, jawab saksi:
''Saya rasa ia telah dibawa dan Kabinet membuat keputusan supaya memberi pertimbangan untuk membeli tanah itu.''

Menjawab soalan mengenai surat tersebut, menurut Abdul Rahman, ia disertakan dengan ulasan dan justifikasi (kewajaran) KDSB serta kesan kedudukan kewangan LPK.

Berikutan itu, saksi tersebut menyatakan, beliau telah menghantar memorandum bertarikh 6 November 2000 kepada Liong Sik.

Liong Sik didakwa atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan iaitu menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Jumaat.
- Laporan: UtusanOnline

Khamis, 4 Ogos 2011

Surat Dr Ling Kepada Mahathir Tidak Ikut Penilaian JPPH - Saksi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu diberitahu bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengemuka-
kan surat mengandungi terma persetujuan yang berbeza dengan cadangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Penilaian JPPH, Datuk Mani Usilapan, 61, berkata lampiran mengenai terma-terma persetujuan bersama Kuala Demensi Sdn Bhd (KDSB) yang dihantar pada 29 Jun 2002 menyatakan kadar pembelian tanah di Pulau Indah adalah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) sedangkan JPPH menetapkan nilai sebanyak RM21 skp.

Katanya menerusi surat bertajuk 'Cadangan Pengambilan Balik Tanah Di Pulau Indah Untuk Pembangunan Pusat Distripark Serantau Di Pelabuhan Klang', lampiran itu turut menyatakan keluasan tanah yang akan dibeli adalah seluas 999.5 ekar (kira-kira 404.5 hektar) dan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456,000 tetapi pihak JPPH hanya membuat penilaian ke atas tanah seluas 830 ekar (kira-kira 335.9 hektar) sahaja.

Mani berkata antara terma lain yang dilampirkan bersama surat tersebut adalah tempoh bayaran balik berdasarkan kaedah pembayar tertangguh ialah selama 15 tahun; pendahuluan sebanyak 10 peratus dibayar sebagai "Earnest Money" di dalam dua peringkat (2 peratus setelah mendapat kelulusan dan 8 peratus sebaik sahaja perjanjian ditandatangani); kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun dan moratorium selama empat tahun.

Mani yang disoal ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata kesemua terma tersebut bukan yang dicadangkan oleh JPPH.

Katanya JPPH hanya mempertimbangkan cadangan tempoh bayaran balik selama 10 tahun, bayaran pendahuluan tahun pertama sebanyak 5 peratus dan kadar kupon 6 peratus.

Selain itu Mani berkata berikutan penilaian ke atas 999.5 ekar, jumlah yang diperoleh daripada kadar RM25 skp menyebabkan kos lebihan sebanyak RM720 juta.

Sementara itu ketika disoal balas oleh peguam Wong Kian Kheong, Mani berkata kesemua cadangan yang dipersetujui JPPH telah diberitahu kepada ketuanya iaitu bekas Ketua Pengarah Penilaian JPPH Datuk Sahari Mahadi.

Mengenai nilai RM25skp adalah untuk jumlah faedah bagi tempoh lebih daripada 10 tahun, katanya berkata beliau tidak memaklumkan kepada Sahari.

Mani berkata pada 9 Okt 2000, beliau telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan berhubung cadangan membeli tanah di kawasan yang sama seluas 830 ekar dan memutuskan bahawa kadar nilai tanah untuk maksud pengeluaran kos sekiranya tempoh bayaran balik dipanjangkan kepada 15 tahun, berasaskan terma-terma yang sama seperti untuk tempoh bayaran balik 10 tahun.

"Dengan andaian yang sama kadar yang diperolehi adalah RM25.82 skp," katanya.

Ketika ditanya Wong sama ada JPPH mempunyai statistik atau peratusan ke atas penilaian yang dibuat jabatan itu (diikuti atau tidak) oleh agensi kerajaan, Mani berkata: "Tiada statistik."

Dr Ling didakwa menipu Kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Khamis.
- Laporan: BernamaOnline

Selasa, 2 Ogos 2011

Dr Mahathir Akan Dipanggil Jadi Saksi Pada Perbicaraan Dr Ling Liong Sik

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil sebagai saksi pada perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik membabitkan penipuan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Perkara itu berbangkit selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah yang mengetuai pasukan pendakwaan, menyoal saksi kedua Datuk Shaari Mahadi berkenaan sepucuk surat bertarikh 29 Jun 2002, yang ditulis Dr Ling kepada Dr Mahathir, iaitu Perdana Menteri ketika itu.

Selepas mengemukakan soalan kepada Shaari yang juga bekas Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Shah Alam, Abd Majid memberitahu Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang mendengar perbicaraan, bahawa pihak pendakwaan akan memanggil bekas Perdana Menteri itu sebagai saksi membabitkan surat tersebut.

Surat yang ditulis Dr Ling kepada Dr Mahathir itu adalah untuk memaklumkan rundingan antara Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) telah diadakan berkenaan pembelian tanah berasaskan syarat yang dipersetujui JPPH Shah Alam.

Dr Ling, 68, didakwa dengan tuduhan pindaan (pertuduhan utama) menipu Kerajaan Malaysia dengan secara sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian sekeping tanah yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu bahawa JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telahpun mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa dengan dua tuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan dengan secara sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri berkenaan kadar faedah tambahan itu walaupun mengetahui JPPH Shah Alam telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
- Berita: BernamaOnline


SATU MELAYU:
Menanti bila pulak Tun Dr. M menjadi saksi dalam kes Anwar Ibrahim. Tapi kes aper yerrr? Kes liwat takkan nak panggil Tun jadi saksi, kes lain lerrr kalau aderrr... Kes aperrr?
Oh yerrr! bagaimana dengan kes melarikan wang note 1000 dan 500 seperti yang didakwa N. Gobalakrishnan. Ada cgance kerr isu ini dibawa ke mahkamah? Ada bukti kerrr?
Kalau ada, alangkah bagusnya. Sudah tentu Tun Dr. M akan dipanggil jadi saksi. 

Skandal PKFZ: Harga Tanah Projek PKFZ Naik RM21 Sekaki Persegi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin diberitahu bahawa penilaian kadar tanah di Mukim Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah sebanyak RM18 sekaki persegi sebelum dinaikkan kepada RM21 sekaki persegi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah berkata jumlah tersebut adalah jumlah yang dipersetujui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan (JPPH) setelah mengambilkira infrastruktur asas dan bayaran pendahuluan tahun pertama sebanyak lima peratus.

Tun Abd Majid menerusi ucapan pembukaan di hari pertama perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik berkata penilaian kadar itu (RM18) juga mengambil kira kadar kupon 6 peratus, tempoh bayaran balik 10 hingga 15 tahun, tiada faedah untuk tahun pertama dan kedua serta bayaran faedah sahaja untuk tahun ketiga dan keempat.

"JPPH turut mengambil kira bayaran balik secara tahunan baki termasuk faedah untuk selama enam tahun atau 11 tahun serta tempoh baki 10 atau 15 tahun dengan menggunakan kaedah discounted cash flow di mana sasaran kadar ditetapkan 8.25 peratus, kadar kupon enam peratus dan terma bayaran balik 10 tahun, nilaian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi boleh dipertimbangkan untuk maksud keluaran bon walaupun nilai tanah hanya RM21," katanya.

Tambah Tun Abd Majid ia merupakan kadar yang diperaku dan dipersetujui oleh JPPH dan pihak pendakwaan akan membuktikan kadar nilai faedah sebanyak 7.5 peratus setahun sebenarnya tidak diperaku dan dipersetujui oleh JPPH.

"Sehubungan itu pihak pendakwaan akan menunjukkan bahwa tidak sepatutnya ada kadar nilai 7.5 peratus tambahan kepada harga tanah tersebut. Pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa penilaian ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan oleh JPPH dan seterusnya kepada tertuduh.

"Keterangan akan dibawa untuk menunjukkan bahawa tertuduh (Dr Ling) telah menulis surat kepada Perdana Menteri (ketika itu) yang memaklumkan bahawa rundingan di antara LPK dan KDSB telah diadakan mengenai pembelian tanahtersebut berdasarkan syarat dan terma-terma telah dipersetujui oleh JPPH seperti di lampiran surat berkenaan dan diterima oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK)," katanya.

Tambah Tun Abd Majid, pihak pendakwaan juga akan membawa keterangan yang menunjukkan pada 6 November 2002, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan pembelian tanah tersebut atas dorongan oleh tertuduh yang menyatakan syarat dan terma-terma pembelian tanah tersebut diperaku dan dipersetujui oleh JPPH sedangkan tertuduh tahu dan sedar perkara ini adalah tidak benar dan tertuduh juga tidak mendedahkan atau menjelaskan bahawa kadar faedah 7.5 peratus itu adalah tambahan kepada nilai yang diperaku dan dipersetujui oleh JPPH.

"Pihak pendakwaan akan membuktikan beliau (Dr Ling) bertanggungjawab ke atas LPK yang terletak di bawah seliaan kementeriannya dan beliau terikat di sisi undang-undang untuk melindungi kepentingan Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kadar faedah/kupon tambahan tersebut, telah menipu kerajaan Malaysia dengan sengaja," katanya.

Beliau menambah bukti-bukti akan dikemukakan melalui keterangan lisan dan dokumen bagi menunjukkan kesemua intipati pertuduhan terhadap tertuduh melampaui tahap keraguan munasabah.

Sementara itu, di awal prosiding Dr Ling mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pindaan dan dua pertuduhan pilihan (pindaan).

Bagi tuduhan pindaan (pertuduhan utama) beliau didakwa menipu Kerajaan Malaysia dengan secara sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu bahawa JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telah pun mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dr. Ling menghadirkan diri di mahkamah....
Dr Ling dengan itu mendorong Jemaah Menteri untuk memberi persetujuan kepada LPK untuk membeli tanah tersebut daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang mana sekiranya Jemaah Menteri didedahkan mengenai kadar faedah tambahan itu mereka tidak akan memberi persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana beliau mempunyai pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Manakala bagi tuduhan pilihan pertama (pindaan), Dr Ling didakwa sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telahpun mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau dengan itu dengan curangnya mendorong Jemaah Menteri untuk memberi persetujuan kepada LPK untuk membeli tanah daripada KDSB yang mana sekiranya Jemaah Menteri didedahkan mengenai kadar faedah tambahan itu, mereka tidak akan memberi persetujuan kepada pembelian tanah tersebut.

Bagi tuduhan pilihan kedua (pindaan) Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk mempercayai fakta yang sama berhubung kadar pembelian tanah pajakan yang sama hingga mendorong JemaahMenteri memberi persetujuan kepada pembelian tanah tersebut oleh LPK daripada KDSB.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Bagi kedua-dua tuduhan tersebut, Dr Ling didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Laporan: BernamaOnline

Sabtu, 30 Julai 2011

Perbicaraan Kes Dr Ling Liong Sik Bermula Isnin Ini

PERBICARAAN kes penipuan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin ini.

Kes itu akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmadi Asnawi dan dijangka 40 saksi akan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.

Pada 29 Julai 2010, Dr Ling didakwa atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan menipu kerajaan Malaysia dengan mengelirukan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah.

Bekas menteri Kabinet itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Mengikut pertuduhan utama, Dr Ling didakwa menipu Kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa beliau (Dr Ling) boleh menyebabkan kehilangan kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya di dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu, beliau terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, Dr Ling didakwa menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dr Ling mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Kes PKFZ itu turut mengheret bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) O. C. Phang.

Chan didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 28 Feb lalu dan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal projek PKFZ.

Chan, 55, dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006, berjumlah RM1.9 bilion.

Phang pula didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 10 Dis 2009 dan mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan RM254.85 juta.

Phang, 63, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang didakwa dilakukan di tempat sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006.

Perbicaraan bagi kes Chan ditetapkan 20 Sept ini manakala perbicaraan kes Phang ditangguh sehingga selesai perbicaraan Dr Ling.
- BERNAMA

Khamis, 31 Mac 2011

Perbicaraan Kes Penipuan Chan Kong Choy: Tun Abdullah Dijangka Beri Keterangan


MANTAN Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dijangka dipanggil sebagai saksi utama untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes penipuan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berhubung skandal projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad memberitahu Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada Khamis bahawa pihak pendakwaan berhasrat memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Kes Chan disebut pada Khamis di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh yang kemudiannya menetapkan 10 Mei untuk tarikh sebutan lain selepas meluluskan permohonan pihak pembela supaya diberikan lebih masa untuk mengkaji 19 set dokumen yang diberikan kepada mereka oleh pihak pendakwaan, semalam.

"Kami belum dapat teliti dokumen. Saya percaya ada dokumen yang perlu diberi kepada kami dan mungkin akan memohon untuk dokumen lanjutan," kata peguam Arthur Wang yang mewakili Chan.

Beliau memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain dengan menyatakan bahawa sesetengah dokumen mungkin memerlukan pengubahan status.

Sebelum itu, Dzulkifli memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan 19 set dokumen mengikut Seksyen 51(A) Kanun Prosedur Jenayah kepada pihak pembelaan, pada Rabu.

Wang juga membayangkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mungkin akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Bagaimanapun, apabila Azhaniz menanyakan Dzulkifli sama ada terdapat sebarang peluang kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Dzulkifli menjawab tiada keputusan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

 Chan, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Feb atas tiga pertuduhan menipu Abdullah untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006, berjumlah RM1.9 bilion.

Chan yang memakai kot kelabu dan berseluar hitam, tiba di mahkamah pada pukul 2.15 petang diiringi isterinya Puan Sri Ann Chan, dan anak perempuan mereka.

Beliau didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan menipu itu di Tingkat 4, blok utama Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. Dia berdepan hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Chan didakwa menipu Abdullah untuk bersetuju untuk meluluskan KDSD sebagai pemaju siap guna bagi projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah, kawasan seluas 1,000 ekar, menerusi satu fasa sahaja dengan kos pembangunan dianggarkan RM1 bilion.

Chan dituduh mendorong Abdullah untuk bersetuju untuk memberikan kelulusan dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSD menerusi Transshipment Megahub Berhad dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 24 Feb, 2004 dan 25 Feb, 2004.


Bagi pertuduhan kedua, Chan dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan KDSD sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan tiga kerja-kerja pembangunan tambahan di PKFZ.

Kerja pembangunan itu ialah menaik taraf simpang jalan ke PKFZ berjumlah RM285.38 juta, kerja infrastruktur elektrikal berjumlah RM135.0 juta dan pembinaan hotel kelas bisnes berjumlah RM90 juta.

Beliau didakwa mendorong Abdullah untuk bersetuju untuk memberikan kelulusan itu dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSB menerusi Valid Ventures Berhad dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Chan dituduh melakukan kesalahan itu antara 11 Okt, 2005 dan 28 Okt, 2005.
Bagi pertuduhan ketiga, Chan dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan KDSB sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan lima lagi pembangunan tambahan di PKFZ.

Kerja pembangunan itu ialah kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah berjumlah RM140.2 juta, kerja bekalan elektrik 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 berjumlah RM80 juta, kerja infrastruktur PMU bagi PKFZ berjumlah RM30 juta, pembinaan jalan menghubungkan PKFZ ke Pelabuhan Barat berjumlah RM28.1 juta dan pembinaan jalan menghubungkan pintu masuk utama PKFZ dengan Terminal Kargo 4, Pelabuhan Barat berjumlah RM57.5 juta.

Chan dituduh mendorong Abdullah untuk bersetuju memberikan kelulusan dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSD menerusi Capital Berhad dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 28 Mac, 2006 dan 29 Mac, 2006.
- Bernama

SATU MELAYU:
Sesuai sangatlah PM - DS Najib memasukkan ‘rasuah’ sebagai salah satu matlamat NKRA yang diperkenalkannya. Rupa-rupanya terdapat jerung-jerung berzaiz besar ‘menyapu’ wang kerajaan sewenang-wenangnya kerana ketidakcekapan pentadbiran ketika itu.

Biasalah! Bila ada ruang dan peluang serta tidak ada pa yang ditakutkan, maka kucing pun mahu jadi harimau.
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog