Cina India Kaum Pendatang

Rabu, 10 Ogos 2011

LPK Keluar Surat Pembelian Sebelum Surat Rasmi Jemaah Menteri Dikeluarkan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa diberitahu bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat urusan pembelian tanah di Pulau Indah sebelum surat rasmi keputusan Jemaah Menteri dikeluarkan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, memberitahu mahkamah bahawa surat rasmi dikeluarkan pada 20 Nov 2002 iaitu 14 hari selepas Jemaah Menteri membuat keputusan manakala LPK membuat surat urusan pembelian pada 6 Nov 2002.

Katanya surat kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) itu dikeluarkan pada hari yang sama dengan mesyuarat Jemaah Menteri iaitu pada 6 Nov 2002 dan KDSB membalasnya sehari selepas itu (7 Nov 2002).

Abdul Rahman berkata kebiasaannya surat rasmi mengenai keputusan Jemaah Menteri akan dikeluarkan seminggu selepas mesyuarat dan bukannya pada hari yang sama.

Beliau yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah dalam perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik berkata surat rasmi tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Zakaria Bahari.

Surat itu menyatakan keputusan Jemaah Menteri yang mengekalkan keputusan pada 2 Okt 2002 yang bersetuju perolehan tanah dibuat mengikut terma-terma yang dipersetujui antara KDSB dengan LPK, antaranya harga tanah bernilai RM25 sekaki persegi.

Katanya sebelum surat rasmi dikeluarkan, dokumen perjanjian jual beli tanah seluas 1,000 ekar (404.6 hektar) di Pulau Indah juga telah ditandatangani, antara LPK dan KDSB pada 12 Nov 2002.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling, Abdul Rahman berkata penyediaan dua dokumen bertajuk 'nota pengambilan balik Pulau Indah untuk projek mega distribution hub oleh LPK' (disediakan untuk Jemaah Menteri) tidak melibatkan Dr Ling.

Beliau berkata Dr Ling juga tidak meminda pada draf nota tersebut serta ia tidak diserah kepada Dr Ling untuk dibuat ulasan.

Ketika ditanya Wong adakah beliau bertanggungjawap memberitahu Dr Ling sekiranya terdapat percanggahan di dalam dua dokumen tersebut, Abdul Rahman berkata: "Ya."

Abdul Rahman turut memberitahu bahawa keputusan yang dibuat Jemaah Menteri adalah tidak bertentangan dengan dua dokumen tersebut.

Ditanya berhubung tujuan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Abdul Rahman berkata ia dirancang untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama di negara ini dengan menjadikan Jabel Ali Free Zone di Dubai sebagai model.

Dr Ling dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Pada prosiding sesi petang, Abdul Rahman mengakui bahawa tidak ada surat daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang menyatakan bantahan kepada mana-mana minit mesyuarat Kementerian Pengangkutan dari segi ketepatan kementerian tersebut berhubung urusan pembelian tanah di Pulau Indah yang diadili oleh jabatan itu.

Selain itu, saksi itu turut memberitahu beliau bersetuju dengan cadangan Wong bahawa bagi projek pembangunan PKFZ, tiada sebarang kertas kabinet, ringkasan nota dan memo daripada Kementerian Pengangkutan diberikan kepada Jemaah Menteri kecuali dua nota Jemaah Menteri yang dihantar oleh Dr Ling.

Dua nota daripada bekas Menteri Pengangkutan itu kepada Jemaah Menteri itu adalah berhubung "Pengambilan Balik Tanah Pulau Indah Untuk Projek Mega Distribution Hub Oleh Lembaga Pelabuhan Klang".

Sementara itu, ketika disoal Wong sama ada beliau membuat pengiraan terhadap penilaian tanah seluas 830 ekar yang dibuat JPPH, Abdul Rahman berkata beliau tidak membuat pengiraan.

Abdul Rahman turut memberitahu beliau juga tidak mempunyai sebarang pengalaman, kelayakan dan pengetahuan peribadi dalam aspek penilaian tanah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Rabu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog