Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 5 Ogos 2011

LPK didakwa tidak mampu beli tanah KDSB

LEMBAGA Pelabuhan Klang (LPK) didakwa berada dalam keadaan defisit kewangan dan tidak mampu membeli 335.8 hektar tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang walaupun kerajaan memberikan 50 peratus subsidi.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan di Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor, 63, berkata, disebabkan kedudukan kewangan LPK tidak begitu kukuh, kerajaan bercadang membeli tanah tersebut dan menyewakan kembali kepada lembaga berkenaan.

Menurut beliau, KDSB dalam tawaran pertamanya mengesyorkan tanah seluas 161.87 hektar namun tidak diterima kerana ia terlalu kecil untuk dijadikan hub pemindahan kapal utama bagi menjana penambahan lebih 300,000 unit kontena setahun.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, kerajaan hendak menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama negara agar semua kargo dari Malaysia dapat dimuatkan di situ.

''Berdasarkan ingatan saya, ekoran daripada itu pihak Kementerian Pengangkutan telah menerima tawaran daripada KDSB untuk menjual tanah 335.89 hektar.

''Untuk itu, saya telah meminta Bahagian Maritim di kementerian untuk membuat kajian ringkas sama ada tanah seluas itu sesuai dijadikan hub untuk membantu pelabuhan,'' katanya pada perbicaraan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang masuk hari keempat hari ini.

Disoal mengenai harga tanah yang tertera dalam surat bekas Pengurus Besar LPK, O.C. Phang bertarikh 10 Mac 1999, kata saksi, pihak beliau tiada halangan untuk mempertimbangkan penambahan tanah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah bertanya adakah isu pembelian tanah itu dibawa ke Kabinet, jawab saksi:
''Saya rasa ia telah dibawa dan Kabinet membuat keputusan supaya memberi pertimbangan untuk membeli tanah itu.''

Menjawab soalan mengenai surat tersebut, menurut Abdul Rahman, ia disertakan dengan ulasan dan justifikasi (kewajaran) KDSB serta kesan kedudukan kewangan LPK.

Berikutan itu, saksi tersebut menyatakan, beliau telah menghantar memorandum bertarikh 6 November 2000 kepada Liong Sik.

Liong Sik didakwa atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan iaitu menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Jumaat.
- Laporan: UtusanOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog