Cina India Kaum Pendatang

Isnin, 8 Ogos 2011

Kabinet Arah Tangguh Pembelian Tanah Untuk PKFZ: Saksi

PERBICARAAN kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diberitahu hari ini bahawa kabinet membuat keputusan supaya proses pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek itu ditangguhkan kerana terdapat bantahan daripada Kementerian Kewangan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan kekal dengan ketetapannya supaya tanah seluas 1,000 ekar (400 hektar) bagi projek itu diperoleh melalui pengambilan balik.

"Berikutan bantahan daripada Kementerian Kewangan, mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Okt 2002 telah memutuskan untuk menangguhkan dahulu proses pembelian tanah di Pulau Indah," kata saksi keempat pendakwaan itu pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, beliau berkata selepas Jemaah Menteri membuat keputusan itu, satu nota kabinet bagi memberi hujah-hujah mengapa kerajaan harus mengambil tindakan untuk mengambil balik tanah berkenaan telah disediakan oleh pihak Perbendaharaan.

"Jika tidak silap saya, kerajaan juga ada memohon pandangan daripada Peguam Negara berkaitan proses pembelian tanah," katanya.

Ling dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Di awal prosiding hari ini, Abdul Rahman berkata Ling telah memohon kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya kerajaan membeli tanah di Pulau Indah secara pembelian terus.

Katanya surat cadangan Dr Ling mencadangkan supaya pembelian terus tanah seluas 1,000 ekar itu daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dipertimbangkan dengan syarat harga pembelian hendaklah dirundingkan semula antara kerajaan dan KDSB berasaskan penilaian harga tanah yang dibuat oleh kerajaan.

Ling juga mencadangkan supaya KDSB diberi kontrak untuk melaksanakan kerja pembangunan infrastruktur asas di tanah itu dan kos pembangunan infrastruktur itu dirundingkan antara kerajaan dengan KDSB.

"Sekiranya cadangan itu dipersetujui, Kementerian Pengangkutan/LPK akan melaksanakan rundingan tersebut. Hasil rundingan akan dikemukakan kepada Perbendaharaan untuk kelulusan sebelum tawaran rasmi diberi kepada KDSB," kata Abdul Rahman yang dirujuk kepada surat bertarikh 3 April 2002.

Ketika ditanya Tun Abdul Majid mengenai jawapan daripada Dr Mahathir, saksi itu berkata menerusi sepucuk surat bertarikh 8 April 2002, Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu.

Perbicaraan disambung esok.
- Laporan: BernamaOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog