Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 11 Ogos 2011

Kes PKFZ: Chan Mahu Kes Beliau Ditangguhkan Sementara Menunggu Penyelesaian Kes Dr Ling

BEKAS Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy hadir pada sebutan kes di Mahkamah Sesyen, Putrajaya, Rabu.
BEKAS Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy, yang menghadapi pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), mahu supaya kesnya ditangguhkan sementara menunggu perbicaraan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik diselesaikan.

Salah seorang peguam Chan, Arthur Wang memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rabu, beliau telah pun memfailkan permohonan penangguhan prosiding sementara menunggu perbicaraan kes Dr Ling di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diselesaikan, tengah hari ini.

Perbicaraan kes Dr Ling didengar di Mahkamah Tinggi dari 1 hingga 12 Ogos.

Hakim Azhaniz Teh Azman menetapkan 12 Sept untuk mendengar permohonan Chan.

Beliau turut mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan selama dua minggu dari 20 hingga 30 Sept meskipun Wang memohon supaya tarikh itu dipinda memandangkan pasukan pembelaan tidak mempunyai kelapangan pada tempoh berkenaan.

Azhaniz berkata beliau akan mendengar dahulu permohonan itu dan menetapkan kemudian tarikh perbicaraan, namun buat masa ini, katanya, tarikh perbicaraan itu dikekalkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan telah mengemukakan 50 dokumen bersabit kes itu kepada pasukan pembelaan.

Beliau berkata pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan 200 lagi dokumen, tetapi beliau berkata pendakwaan perlu meneliti dokumen berkenaan dan kemudian menentukan dokumen yang mesti disediakan kepada pasukan pembelaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pendakwaan akan menyediakan dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Antara dokumen itu termasuk minit mesyuarat Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dari 1998 hingga 2008, dan minit mesyuarat-mesyuarat Teknikal Kabinet dan Jemaah Menteri.

Chan, 55, mengaku tidak bersalah pada 28 Feb tahun ini terhadap tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan pembangunan projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006.

Chan didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat bekas Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

- Laporan: BernamaOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog