Syed Azidi berkata wang tersebut ialah sebagai pampasan selepas kontraknya sebagai pegawai perhubungan awam di PMBK ditamatkan pada 10 November 2009.
Sambil menafikan laporan beberapa laman web kebelakangan ini bahawa beliau telah dibayar oleh Husam, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan calon naib presiden PAS pada pemilihan parti minggu ini, untuk membantunya berkempen, beliau berkata fakta dan tempoh waktu kejadian telah diputar belit.
"Dakwaan bahawa saya telah bertemu dan menerima wang sejumlah RM300,000 di China daripada Husam baru-baru ini adalah tidak benar," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, Khamis.
"Semenjak 9 Nov 2009, Datuk Husam dan saya tidak pernah bertemu, melainkan berbual di telefon dan bertukar-tukar pesanan rigkas," katanya.
Syed Azidi berkata selepas diberhentikan kerja di PMBK berikutan perselisihan faham dengan Ketua Eksekutif PMBK, pada 18 November 2009, beliau telah bertemu dengan seorang pembantu Husam yang menawarkan RM350,000 dan beliau telah bersetuju.
Beliau menjelaskan wang tersebut telah diberikan sebagai bayaran kos tertunggak bernilai RM50,000 manakala selebihnya sebagai pemberian "ihsan dan simpati", dan bukannya bayaran menutup mulut.
"Wang tersebut telah diberikan secara tunai oleh individu tersebut secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga bulan dari November 2009," katanya sambil enggan menamakan individu tersebut.
Syed Azidi yang menganggap Husam sebagai sahabat istimewa berkata beliau juga tidak tahu sama ada wang tersebut adalah wang peribadi Husam.
Katanya kali terakhir beliau melawat China ialah pada Disember 2009.
"Saya yakin maklumat inilah yang telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu dan diolah menjadi satu cerita hebat...kononnya saya bertemu Husam di China dan tranksaksi dibuat di sana minggu lepas," katanya.
Katanya beliau juga percaya orang yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat ini ialah seorang individu yang juga berkait rapat dengan salah seorang calon naib presiden PAS.
Sementara itu, Husam ketika dihubungi Bernama menafikan beliau memberikan sejumlah wang tersebut kepada Azidi pada 2009.
"Saya menafikannya. Saya juga tidak ada pembantu. Kalau dia diberhentikan oleh PMBK, itu hal dia, mengapa pula saya mahu bagi dia wang pampasan? Saya bukan majikannya," katanya.
Dalam satu kenyataan melalui SMS kepada Bernama beliau juga menafikan ada menpunyai wang sebanyak itu.
"Sampai hari ini saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun saya dan adalah bodoh untuk saya menyedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat saya," katanya.
Husam juga hairan dengan tindakan Azidi yang mengeluarkan dakwaan tersebut menjelang pemilihan esok.
Katanya dakwaan Azidi mengenai perhubungan mereka melalui telefon adalah palsu.
- Bernama
SATU MELAYU:
Biasalah.... Kalau ahli politik dan artis selalu menerima pelbagai gosip, maka blogger-blogger yang hebat juga tidak terkecuali.
Apabila blogger menerima gosip atau tuduhan atau ulasan oleh pemimpin dan masyarakat umum, bermakna blogger itu ‘hebat’.
Justeru itu, kalau ‘kehebatan’ yang dicari oleh para blogger, maka kira berhasillah....
Apapun, Kickdefella telah menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Yang penting beliau mengaku telah menerima bayaran RM350k oleh Husam. Dari mana wang itu datang - sama ada dari kerajaan negeri atau agensinya atau duit peribadi Husam, itulah yang menjadi isu pulak.
Bak kata pepatah, ‘Orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa.’
Penjelasan itu membuktikan bahawa Azidi telah menerima bayaran yang banyak kerana pemecatannya dari jawatan tertentu di agensi kerajaan Kelantan. Husam telah berbudi kepadanya. Kepada Azidi, Husam adalah sahabat dan pembelanya dalam isu pemecatan berkenaan.
Oleh itu, sebagai manusia yang ingin membalas budi atau mengenang jasa orang, adalah menjadi tanggungjawab peribadi Kickdefella membantu semampu mungkin kempen Husam yang akan bertanding jawatan Naib Presiden Pas pada Muktamar ke-57 ini.
Bagaimanapun, apabila Husam sendiri menafikannya, bermakna ada yang tersirat disebalik yang tersurat....
Bagaimanapun, apabila Husam sendiri menafikannya, bermakna ada yang tersirat disebalik yang tersurat....
Begitulah agaknya senario kisah Husam-Kickdefella....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan