Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 10 September 2011

RAKYAT DIDAHULUKAN: Hentikan segera kerakusan syarikat yang tamak....

KETIKA kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha mengurangkan beban rakyat melalui pendekatan ‘rakyat didahulukan’, tiba-tiba ada pula syarikat telekomunikasi yang mahu menambah beban rakyat dengan mengalihkan cukai perkhidmatan sebanyak 6% yang selama ini ditanggung oleh syarikat kepada pengguna.

Kenapa mereka jadi begitu tamak dan rakus? Tidak cukup lagikah untung besar yang mereka telah perolehi selama ini?

Kepada mereka diingatkan supaya jangan mengambil tindakan yang menyebabkan kerajaan dipersalahkan oleh rakyat kerana kerakusan dan ketamakan yang tidak ada hadnya itu.

Ingat! Orang tamak selalunya rugi....


Kaji semula caj 6.0 peratus cukai perkhidmatan - Najib

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus kepada pengguna ke atas produk tambah nilai dan pek permulaan kerana keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat.

Najib berkata, keputusan itu yang diambil sendiri oleh syarikat telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pengguna.

Menurutnya, fokus utama ketika ini sepatutnya untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan untuk menambah beban itu.

"Saya dah dapat banyak reaksi dan maklumat timbal balas daripada orang ramai bahawa langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar diterima oleh rakyat.

"Saya berharap syarikat telekomunikasi dapat kaji semula langkah ini kerana hari ini kita hendak kurangkan beban kepada rakyat.

''Kini rakyat terpaksa menanggung kos perbelanjaan serba-serbi dan ada sesetengah bahan makanan sudah bertambah harga, kita hendak kurangkan bebanan pada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan logo baharu Maybank di Menara Maybank di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6 peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat telekomunikasi sendiri.

"Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri," katanya.

Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, mengulas satu kenyataan bersama syarikat telekomunikasi semalam yang mengumumkan caj berkenaan akan dikenakan kepada produk-produk prabayar bermula Khamis depan.

Menurut kenyataan itu, cukai perkhidmatan bukan sesuatu yang baru, namun sejak perkhidmatan prabayar diperkenalkan pada 1998 cukai berkenaan diserap oleh syarikat telekomunikasi.

Langkah itu diambil bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berikutan kadar panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) prabayar adalah tinggi berbanding pasca bayar.

Dengan cukai perkhidmatan 6.0 peratus terhadap perkhidmatan prabayar, pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, yang mana 60 sen adalah cukai perkhidmatan.

Rais akan bawa ke Kabinet

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan membawa bantahan pengguna terhadap pengenalan cukai perkhidmatan enam peratus yang dikenakan syarikat telekomunikasi seperti diumumkan semalam ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu bagi mencari penyelesaian dan pertimbangan interim yang lain.

"Mengikut undang-undang, cukai berkaitan levi perkhidmatan dikenakan untuk semua sektor dan caj yang dikenakan selama ini ditanggung syarikat telekomunikasi tersebut.

"Pengenalan caj itu terhadap setiap amaun yang terlibat dalam langganan itu menyebabkan syarikat tidak lagi menanggung cukai sebaliknya dilepaskan kepada pengguna," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas rungutan beberapa persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pelajar berhubung pengenalan cukai itu yang dianggap membebankan dan tidak relevan dengan situasi ekonomi semasa dan bersifat menindas pengguna.

Kelmarin, dalam satu kenyataan secara bersama yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat telco terbabit, pengenalan cukai itu akan dimaklumkan akan berkuatkuasa pada 15 September ini.

Rais berkata, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak ada kuasa untuk menahan proses itu di sisi undang-undang cukai perkhidmatan sedia ada.

- Berita: UtusanOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog