Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 30 September 2011

Dewan Baru, Bajet PRU-13 dan ISA Antara Yang Menanti Persidangan Dewan Rakyat

Dewan Parlimen Sementara siap untuk digunakan mulai Isnin ini....
PERSIDANGAN Parlimen yang bermula Isnin ini bakal menjadi tumpuan umum dan lebih menarik kerana selain Dewan Rakyat bersidang di premis baru, ramai mengharapkan berita 'luar biasa' pada sesi pembentangan Bajet 2012.

Persidangan Dewan Rakyat itu dianggap penting kerana cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijangka dibahaskan oleh anggota Parlimen selepas 51 tahun akta itu diguna pakai di negara ini.

Mengikut takwim Parlimen, Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Dewan Rakyat akan bersidang mulai Isnin ini sementara Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Okt ini

Mesyuarat Dewan Rakyat itu sehingga pertengahan Disember ini juga berkemungkinan besar merupakan sesi Parlimen terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Penggunaan bangunan dewan serbaguna sedia ada untuk dijadikan Dewan Rakyat yang baru mencipta sejarah kerana ia merupkan julung kali mesyuarat diadakan di premis lain sejak perasmiam dan penyerahan bangunan itu pada 2 Nov 1963.

Terletak bersebelahan bangunan utama Parlimen, dewan sementara itu dinaik taraf dengan kos RM28 juta bagi menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Projek itu dilaksanakan bagi membolehkan bangunan Parlimen yang sudah berusia hampir lima dekad, melalui pengubahsuaian struktur secara menyeluruh, bagi menyelesaikan masalah kerosakan yang sering berlaku sebelum ini.


Projek naik taraf bangunan Dewan Rakyat sedia ada akan dilaksanakan tahun depan dan dijangka siap pada 2014.

Dewan Rakyat akan terus bersidang menggunakkan premis baru itu secara sementara sahaja sebelum dipindahkan semula ke tempat asal selepas kerja-kerja menaiktaraf itu disiapkan.

Menariknya, dewan sementara itu yang lebih kecil dari Dewan Rakyat telah menyebabkan kedudukan kerusi anggota Parlimen lebih dekat, sekali gus memungkinkan suasana perdebatan lebih gamat, terutamanya jika berlaku perang mulut antara anggota dewan.

Di dewan itu juga, sesi pembentangan Bajet 2012 sudah dikaitkan sebagai 'Bajet Pilihan Raya' kerana ada desas-desus yang mengatakan penjawat awam dijangka sekali lagi akan menikmati kenaikan gaji dan imbuhan bonus.

Dari segi isu, perdebatan berhubung pemansuhan ISA dan dua akta baru untuk menggantikannya serta pembentangan beberapa akta lain diramal menarik minat anggota Dewan Rakyat.

Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat ini dewan masih belum dimaklumkan mengenai urusan pemansuhan Akta ISA, namun ia dijangka akan dikemukakan pada persidangan itu.

"Kerajaan mempunyai masa yang lama iaitu sehingga pertengahan Disember ini untuk memaklumkan sebarang urusan kepada dewan, dan pada pandangan saya ia akan dikemukakan pada persidangan kali ini bersekali dengan beberapa lagi rang undang-undang lain," katanya kepada Bernama.

Mengenai pandangan pemansuhan ISA bakal 'menghangatkan dewan', Wan Junaidi berkata, ia bergantung kepada anggota Parlimen, namun beliau sendiri tidak melihat isu itu perlu disensasikan.

"Pengumuman yang dibuat itu adalah untuk kebaikan semua dan demi imej negara, saya tidak nampak perlunya untuk timbulkan kekecohan dalam isu ini," katanya.

Ekoran pemansuhan ISA, kerajaan sedang merangka dua akta baru untuk menggantikannya yang kini sedang diperincikan oleh Peguam Negara.

Selain ISA, kerajaan juga dijangka akan mengemukakan Rang Undang-Undang untuk memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 dan menghapuskan prinsip pembaharuan tahunan bagi permit pencetakan seperti yang termaktub di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Permit pencetakan akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Selain itu, pindaan ke atas Akta Pekerjaan 1955 juga mungkin mencipta kontroversi, lebih-lebih lagi apabila Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bercadang untuk mengadakan piket di perkarangan bangunan Parlimen pada Isnin ini, jika kerajaan meneruskan rancangan meminda undang-undang pekerjaan itu.

Rang undang-undang berkenaan pertama kali dibentangkan di Parlimen pada 8 Julai 2010, tetapi ditarik balik kemudian selepas menerima pandangan dari pelbagai pihak.
- Bernama: BernamaOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog