Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Perang Libya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perang Libya. Papar semua catatan

Jumaat, 21 Oktober 2011

Gaddafi terbunuh....

Gambar yang diambil dari video merakamkan keadaan Gaddafi berlumuran darah diangkat ke atas trak oleh tentera kerajaan sementara Libya di bandar Sirte, semalam. – REUTERS

BEKAS pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh dalam serangan tentera kerajaan sementara Libya dibantu oleh tentera udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran bandar Sirte, awal hari Khamis – 20 Oktober 2011.

Gaddafi, 69, terbunuh setelah mengalami cedera parah dalam serangan awal subuh itu. Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Mutassim, anak kelima Gaddafi.

Kematiannya menamatkan pemburuannya selama dua bulan sejak beliau melarikan diri setelah kejatuhan Tripoli ke tangan tentera pemberontak pada Ogos lalu.

Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Majid Mlegata, sebelum itu melaporkan Gaddafi berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri secara berkonvoi dalam satu serangan itu. Bekas pemimpin itu mengalami cedera parah di kedua-dua belah kakinya.

“Ketika ditangkap, dia (Gaddafi) turut dikasari dan dipukul di kepala (oleh tentera kerajaan sementara Libya),” kata Mlegata.

Gambar-gambar merakamkan keadaan pakaiannya berlumuran darah tersebar di Internet.

Seorang pegawai NTC, Mohamed Abdel Kafi berkata, jenazah Gaddafi dibawa ke satu lokasi rahsia atas faktor keselamatan.

‘‘Jenazahnya dibawa ke lokasi yang dirahsiakan menggunakan sebuah kenderaan NTC,” kata Mohamed.

Bekas Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Gaddafi, Abu Bakr Younis turut terbunuh dalam serangan tersebut.

Gaddafi menghadapi penentangan daripada rakyatnya sejak Februari lalu sebelum melarikan diri dari Tripoli setelah ibu negara Libya itu jatuh ke tangan pemberontak dengan bantuan NATO pada Ogos lalu.

Sejak kejatuhan Tripoli, Gaddafi melarikan diri dan meneruskan perjuangan untuk kembali berkuasa, manakala sebahagian ahli keluarganya termasuk isteri dan anak perempuannya telah melarikan diri ke Algeria.

Sebelum ini, anak lelakinya, Khamis, 28, terbunuh dalam pertempuran di Tarhouna, selatan Tripoli, Libya pada 29 Ogos lalu.

Khamis merupakan komander Briged Elit ke-32 tentera yang dikatakan berjaya menumpaskan pemberontak di timur Benghazi pada Februari lalu.

Pada 30 April lalu, seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Arab dan tiga cucunya terbunuh dalam pertempuran dengan tentera NATO di Bab al-Aziziya, Tripoli.
REUTERS/UtusanOnline

Ahad, 17 Julai 2011

LIBYA: Barat iktiraf pemberontak. ‘Menitik air liur Anwar mendengarkan sokongan seperti itu’.

Beribu-ribu penyokong Gaddafi mengadakan tunjuk perasaan di bandar Zlitan, 160 kilometer ke timur Tripoli, kelmarin. - REUTERS
AMERIKA Syarikat (AS) dan beberapa negara kuasa dunia lain mengiktiraf pemimpin pemberontak sebagai kerajaan sah Libya, semalam dalam usaha untuk meningkatkan lagi kempen menyingkirkan Muammar Gaddafi.

Barat turut merancang meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Gaddafi bagi menuntut pemimpin Libya itu berundur selepas 41 tahun memerintah negara di Afrika Utara itu.

Pengiktirafan itu diumumkan oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada sidang kumpulan penghubung Libya di Turki, semalam (Jumaat).

Sebelum itu, sidang yang sama telah membuat keputusan mengisytiharkan rejim Gaddafi tidak lagi sah mentadbir Libya.

Pengumuman semalam juga dilihat menjadi langkah diplomatik penting yang akan menarik balik pembekuan berbilion-bilion dolar dana rejim Gaddafi.

Keputusan itu dibuat ketika laporan menyatakan Gaddafi menghantar utusan bagi berunding untuk menamatkan konflik di negara itu, walaupun Gaddafi menafikannya.

Dalam satu ucapan yang disiarkan kepada beribu-ribu penyokong setianya yang berhimpun di jalanan, Gaddafi menolak pengiktirafan antarabangsa terhadap pemberontak Libya itu.

Menurut Gaddafi, beliau menerima sokongan daripada berjuta-juta rakyat Libya yang sanggup mati, mati syahid dan membunuh diri.

Sidang yang diadakan di Istanbul itu yang dihadiri oleh lebih 30 negara dan badan antarabangsa itu turut membuat keputusan menggesa Gaddafi meletak jawatan dan melakukan peralihan kuasa kepada Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC).

Wakil khas bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdul Elah al-Khatib akan diberi tanggungjawab mengemukakan syarat-syarat untuk Gaddafi berundur.

Sementara itu, Menteri Luar Britain, William Hague berkata, tindakan ketenteraan ke atas rejim Gaddafi turut akan ditingkatkan pada masa yang sama.
- REUTERS/MM

SATU MELAYU:
Begitulah kurang ajarnya kuasa Barat terhadap pemimpin dan rakyat negara-negara Islam yang banyak hasil minyak. Pemimpin yang tidak sebulu dengan mereka akan disingkirkan sesuka hati melalui tindakan yang sangat tidak demokratik. Suka-suka hati bapak mereka sahaja nak buat apa....

Setelah gagal menumbangkan Gaddafi melalui serangan senjata berat, kuasa Barat bertindak mengsiytiharkan pertukaran pemimpin kerajaan Libya secara paksa.

Inilah yang cuba diimport oleh Anwar Ibrahim ke negara Malaysia menerusi cubaan terbarunya Sabtu lalu melalui perhimpunan haram Bersih 2.0.

Pada perancangan Anwar, huru-hara dan pemberontakan rakyat terhadap kerajaan sedia ada jika berjaya dilakukan secara berpanjangan, kuasa Barat yang jadi ‘bapak angkat’ beliau akan datang membantu dan membuat pengumuman seperti yang dilakukan terhadap Muammar Gaddafi di Libya.

Kalau kalian suka dengan cara Anwar Ibrahim itu sokonglah dia semahu-mahunya. Tapi kalau kalian tidak suka kuasa Barat mencatur politik, ekonomi dan pentadbiran negara bertuah ini, Anwar Ibrahim mesti dihapuskan segera sokongan politiknya yang sangat kotor dan menderhakai bangsa Melayu.

Sabtu, 21 Mei 2011

NATO bedil kapal perang Libya. Ajak Libya berperang?

KAPAL-kapal perang Libya musnah terbakar di pelabuhan Tripoli selepas dibedil oleh pesawat pejuang NATO pada awal pagi semalam. – AFP
PESAWAT Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membedil lapan kapal perang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi malam tadi di pelabuhan Tripoli, Al Khums dan Sirte, lapor pasukan tentera bersekutu itu dalam satu kenyataan.

“NATO dan aset udara tentera bersekutu malam tadi melancarkan serangan udara ke atas tentera Gaddafi di pelabuhan Tripoli, Al Khums dan Sirte.

“Kami berjaya membedil lapan kapal perang pemimpin Libya itu,” menurut kenyataan tersebut.

Timbalan Komander Operasi Perlindungan Bersatu, Laksamana Muda Russell Harding berkata, NATO hanya melancarkan serangan udara ke atas tentera Libya.

“Mengambil kira penggunaan aset tentera laut oleh Libya, NATO tidak mempunyai pilihan kecuali mengambil langkah tegas untuk melindungi penduduk awam dan tentera laut NATO di laut,” katanya.

Beberapa letupan turut kedengaran di ibu negara Libya, Tripoli awal hari ini beberapa jam selepas serangan udara NATO dilancarkan di pelabuhan yang menyaksikan sebuah kapal terbakar.

Bagaimanapun, wartawan AFP tidak dapat memastikan sama ada yang terbakar itu adalah kapal tentera atau kapal biasa.

NATO dalam kenyataan itu menjelaskan, pihaknya telah menyaksikan penggunaan meluas periuk api serta kekerasan oleh tentera yang setia kepada Gaddafi.

“Ia secara tidak langsung menjejaskan aliran masuk bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan dan meletakkan NATO dalam risiko. Taktik yang digunakan tentera Gaddafi ini juga menunjukkan niat sebenar mereka untuk menyerang tentera NATO,” jelas kenyataan tersebut.
– AFP/Utusan

SATU MELAYU:
Sampai bila Gaddafi boleh bertahan
Tidak syak lagi serangan itu dilakukan sebagai provokai untuk mengajak tentera Libya berperang secara terbuka dengan pihak tentera bersekutu NATO.

Pihak bersekutu NATO memang mahu memusnahkan negara Libya sebagaimana serangan Amerika terhadap Iraq dahulu. Walaupun alasannya mahu menagkap atau membunuh Saddam, tapi serangan yang dilancarkan mahu menghancurkan negara tersebut.

Strategi sama cuba dilaksanakan di Libya. Kerana marahkan Gaddafi kononnya, negara itu mahu diserang habis-habisan dan struktur ekonominya dilumpuhkan.

Oleh kerana pihak tentera Libya tidak melawan atau menyerang balas ke atas tentera bersekutu NATO, mereka tidak dapat melakukan serangan besar-besaran sebagaimana yang dirancangkan.

Pihak tentera Amerika tidak dapat beraksi memusnahkan Libya apabila perang terbuka antara Libya dan tentera bersekutu NATO tidak berlaku. Amerika tidak dapat datang untuk membantu.

Amerika tidak berani lagi menyerang secara terbuka ke atas Libya sebagaimana yang dilakukan ke atas Iraq kerana tidak mahu mendengar kecaman dunia ke atas kepimpinan negara itu.

Oleh kerana negara-negara Islam yang kaya dengan hasil minyak tidak mampu bersatu, sebuah pasukan tentera bersekutu seperti NATO tidak mampu diwujudkan.

Kerana negara Islam asyik bercakaran sesama sendiri dan tidak ada keupayaan memajukan teknologi membuat senjata sendiri, semuanya jadi lemah kerana bergantung nyawa kepada kuasa Barat yang didalangi Zionis/Yahudi.

Isnin, 18 April 2011

AS Cari Tempat Buang Gaddafi: Rantau Afrika mungkin lokasi pilihan....

AMERIKA Syarikat sedang mencari negara sesuai untuk menjadi tempat pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, tinggal dalam buangan, lapor akhbar New York Times (NYT).

Hanya ada beberapa negara berpotensi melindungi Gaddafi selepas didakwa membunuh rakyat sendiri ketika memprotes pemerintahannya baru-baru ini selain isu pengeboman Pan Am 103 pada 1988 selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengemukakan tuduhan jenayah ke atasnya.

Atas sebab itu, tiga pegawai bagi pentadbiran Presiden Barack Obama memberitahu akhbar, mereka menimbang untuk mencari sebuah negara yang tidak menandatangani atau mengesahkan Fasal Rome yang menetapkan sesebuah negara menyerahkan sesiapa yang didakwa bagi perbicaraan ICC.

Pendekatan berkenaan menimbulkan kemungkinan bahawa Gaddafi tinggal dalam buangan di sebuah negara lain di Afrika.

Amerika juga tidak menandatangani fasal itu kerana bimbang bahawa pegawai tentera dan risikannya boleh didakwa.

“Kami belajar dari Iraq. Tanggungjawab menggantikan rejim pemerintah terletak di tangan rakyat Libya, bukan kami,” kata seorang pegawai pentadbiran kanan Obama kepada NYT.

“Apa yang cuba dilakukan kami dengan mudah ialah mencari cara aman untuk jalan keluar, jika ada.”

Laporan itu dikeluarkan beberapa minggu selepas pengeboman sekutu NATO dan tekanan terhadap kedua-dua tentera dan pembantu Gaddafi gagal untuk menyingkirkan pemimpin yang memerintah Libya selama 32 tahun.

Amerika menyokong Britain dan Perancis dalam operasi hampir sebulan menentang Gaddafi, melancarkan amaran bahawa beliau boleh membunuh penduduk awam dan pejuang yang menentang beliau.

Tetapi, Washington menentang desakan diketuai Perancis untuk membekalkan lebih banyak pesawat, dengan menyifatkan ia akan memainkan peranan terhad di tengah komitmen Amerika di Afghanistan dan pembabitan tentera di Iraq.

Amerika dan negara lain menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk awam di Libya, terutama di bandaraya ketiga negara itu, Misrata yang diisytiharkan zon bahaya.
– AFP/BNOnline

SATU MELAYU:
Berita ini adalah dari sumber AFP yang sudah tentu bertindak sebagai agen propaganda US/Zionis. Apa yang diberitakan bukan semuanya betul. Ada yang tersirat disebalik yang tersurat.

Bagaimanapun, apa yang diberitakan itu cukup sekadar bahan untuk kita menilai dan meneliti pergerakan negara ‘Polis Dunia’ itu merencanakan agenda Yahudi.

Isnin, 11 April 2011

PERANG LIBYA: Askar Libya tembak 2 helikopter. Pasukan pro-Gaddafi dakwa tumpaskan jentera AS digunakan pemberontak

PASUKAN pemberontak membawa tenteranya yang tercedera di Ajdabiyah, semalam. - REUTERS
TENTERA kerajaan Libya berkata ia berjaya menembak jatuh dua helikopter buatan Amerika digunakan pemberontak di timur negara itu semalam – Ahad.

Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaim yang mengesahkan kejadian itu bagaimanapun mengecam masyarakat antarabangsa kerana membiarkan pemberontak menggunakan pesawat walaupun zon larangan terbang sudah dikuatkuasakan.

“Pemberontak secara jelas mengingkari Resolusi 1973, membabitkan zon larangan terbang. Mereka menggunakan dua helikopter Chinook dan berjaya ditembak jatuh di Brega.

“Kami mempunyai soalan untuk tentera pakatan. Adakah resolusi ini hanya untuk kerajaan Libya atau untuk semua pihak di Libya?” katanya.

Laporan itu bagaimanapun tidak mendapat pengesahan pemberontak tetapi wartawan di lokasi peperangan melaporkan melihat sekurang-kurangnya sebuah helikopter bertempur bagi pihak mereka, kelmarin manakala rekaannya lebih menyerupai buatan Russia.

Kebanyakan pesawat yang digunakan pemberontak atau kerajaan Libya adalah buatan Russia. Bagaimanapun Direktori Angkatan Udara Dunia 2008, menyatakan Libya mempunyai 20 helikopter Chinook yang digunakan untuk mengangkut jentera berat.

Walaupun tentera kerajaan Libya masih memiliki kebanyakan pesawat tentera di negara itu, sebilangannya berjaya dirampas pemberontak, apabila beberapa unit tentera udara di timur berpaling tadah.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menguatkuasakan zon larangan terbang berkata ketetapan itu adalah untuk kedua-dua belah pihak. Kelmarin, ia memintas sebuah jet pejuang MiG-23 milik pemberontak dan memaksanya kembali ke pangkalan.

Tentera NATO bagaimanapun meneruskan serangan udara ke atas pasukan Gaddafi kelmarin, sebelum memusnahkan 17 kereta kebal dan merosakkan sembilan yang lain.

Kelmarin, pemberontak yang cuba mara ke Brega, bertempur dengan tentera kerajaan dan terpaksa berundur ke Ajdabiya menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh.
– AP/BHOnline

SATU MELAYU:
Demikian sikap dwi standad pihak kuasa Barat yang mahu menjajah Libya. Larangan PBB mengenai ‘larangan terbang’ hanya untuk tentera atau pihak Libya sahaja, sedangkan pihak mereka dan konco mereka dibolehkan.

Inilah akibatnya apabila umat Islam di sesebuah negara tidak bersatu. Mereka mudah diperalat dan tidak dapat berfikir panjang kerana emosi yang diapi-apikan oleh puak penjajah zaman moden.

Sabtu, 2 April 2011

Britain pujuk 10 lagi sekutu Gaddafi, Utusan PBB, ahli majlis pemberontak bincang di Benghazi



KOMBINASI gambar menunjukkan antara orang kanan Libya yang mungkin belot (dari kiri) ketua perisikan luar, Abuzeid Durda; Speaker Kongres, Mohamed Abdul Qasim al-Zwai dan Pengerusi Pertubuhan Minyak Kebangsaan, Shokri Ghanem.
KERAJAAN Britain mengadakan perbincangan sulit dengan kira-kira 10 orang kanan Muammar Gaddafi mengenai kemungkinan mereka berpaling tadah, selepas Menteri Luar, Mussa Kussa berbuat demikian.

Mussa dilaporkan ‘berbincang secara sukarela’ dengan pegawai Britain dan menyatakan pemimpin Libya itu sedang berusaha mengurangkan kesan tindakannya dengan menyifatkan beliau letih dan ada masalah mental.

Bagaimanapun, Gaddafi sukar menghalang lebih ramai pegawai kanan belot dan pegawai Britain kini mengadakan perbincangan dengan kira-kira 10 anggota kanan kerajaan Libya yang mahu berpaling tadah, lapor akhbar The Independent.

Sementara itu, spekulasi makin merebak di Tripoli bahawa ramai lagi pegawai kanan mahu berpaling tadah dan ia disahkan bekas Menteri Luar dan duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ali Abdessalam Treki.

Walaupun pegawai kerajaan menafikannya, laporan stesen televisyen al-Jazeera menyatakan ketua perkhidmatan perisikan luar Mohamed Abdul Qasim al-Zwai dan Timbalan Menteri Luar Abdulati Al Obeidi yang mengiringi yang mengiringi Mussa sehingga ke Tunis berkemungkinan besar akan mengambil tindakan sama.

Pada masa sama, pertempuran sengit dilaporkan terus berlaku di Brega antara tentera kerajaan dan pemberontak yang mahu menguasai semula bandar minyak strategik itu.

Pemberontak menghalang orang awam dan wartawan meninggalkan bandar Ajdabiya untuk menuju ke Brega kira-kira 80 kilometer ke bahagian barat.

Beberapa hari sebelum ini, pasukan pemberontak dihujani bedilan meriam pasukan tentera Gaddafi apabila mereka melancarkan serangan balas di Brega untuk meneruskan kemaraan ke Tripoli.

Tanpa sokongan serangan udara tentera pakatan, tentera pemberontak dengan kelengkapan senjata yang lemah terpaksa berundur kira-kira 200 kilometer dari sebuah lagi bandar minyak Ras Lanuf di timur Brega.
– AFP/Reuters/BH

SATU MELAYU:
Pemberontak yang tidak sedar mereka diperalatkan Zionis
Sejarah politik dunia membuktikan bahawa sebahagian besar punca kejatuhan sesebuah negara atau pemimpin adalah kerana ada antara orang kuat atau rakyat yang belot menyebelahi musuh.

Itulah yang sedang diusahakan oleh zionis dalam usahanya memecahbelahkan perpaduan rakyat dalam negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat, dulu kini dan selamanya.

Tanpa adanya pembelot dan serangan dari dalam, agak susah untuk zionis menguasai dan memecahbelahkan mana-mana kepimpinan negara berdaulat di dunia ini.

Khamis, 31 Mac 2011

PERANG LIBYA: AS belanja RM1.67b operasi tentera....

PERANG LIBYA: Demi demokrasi dan rakyat atau kerana minyak semata-mata?

AMERIKA Syarikat membelanjakan AS$550 juta (RM1.67 bilion) setakat ini untuk operasi ketenteraan di Libya, namun kos dijangka stabil kepada AS$40 juta (RM121.16 juta) sebulan sebaik saja pembabitan tentera Amerika dikurangkan dan NATO mengambil alih kawalan lebih besar.

Jabatan Pertahanan berkata kelmarin kira-kira 60 peratus daripada kos berkenaan adalah untuk peluru berpandu dan bom dengan bakinya untuk memindahkan anggota tentera ke rantau itu dan operasi tempur.

Komander atasan operasi NATO memberitahu senator Amerika bahawa operasi ketenteraan Amerika di Libya, di mana tentera Muammar Gaddafi sedang memerangi pasukan pemberontak yang mahu menyingkirkannya, menelan belanja ratusan juta dollar setakat ini.

“Boleh dikatakan operasi itu menelan belanja ratusan juta dolar,” kata Laksamana James Stavridis, yang juga Komander Tertinggi Sekutu NATO, Eropah dan komander Markas Eropah Amerika, ketika memberi keterangan dalam Senat Amerika.

Jurucakap Pentagon Komander Tentera Laut Kathleen Kesler berkata agak sukar untuk menganggarkan kos akan datang, namun berkata Pentagon menjangka untuk membelanjakan AS$40 juta dalam tempoh tiga minggu akan datang ketika Amerika mengurangkan tenteranya di rantau itu dan NATO mengambil alih banyak tanggungjawab.

“Kos masa depan masih tidak menentu walaupun Pentagon menjangka operasi berterusan di Libya menelan belanja kira-kira AS$40 juta sebulan, jika tenteranya beroperasi pada tahap rendah yang dirancangkan,” katanya.

Anggaran itu tidak termasuk kos jet pejuang F-15 yang terhempas di Libya berikutan kegagalan mekanikal, kata Kesler.

Penganalisis pertahanan Byron Callan dari Capital Alpha Partners, berkata operasi ketenteraan di Libya tidak dijangka memberi kesan material ke atas bekalan pertahanan Amerika, terutama kini jet pejuang diletakkan di pangkalan di Itali, mengurangkan keperluan mengisi minyak dalam penerbangan.
– Reuters/BHOnline

SATU MELAYU:
Begitu banyak sekali US mengeluarkan modal untuk menyelamatkan rakyat Libya? Apa untungnya kepada US dalam perang ini? Wang keluar banyak, sedangkan yang mahu diselamatkan hanya rakyat yang konon dibunuh sesuka hati oleh Gaddafi?

Baik sungguh negara polis dunia itu! Tapi kenapa di Asia Barat sahaja yang US beriya-iya membantu rakyat yang konon teraniaya sedangkan mereka yang dihukum adalah rakyat yang menentang pemerintah atas hasutan kuasa barat.

Kalau setakat ini US telah berbelanja 1.67bilion dalam perang di Libya, berapakah agaknya yang perlu dibayar nanti apabila Gaddafi berjaya ditumbangkan? Dan dengan apakah rakyat Libya mahu membayar kos perang itu nanti, kalau dengan membenarkan US mengaut hasil minyak di Libya?

Kerana ‘emas hitam’ itulah yang menyebabkan US dan sekutunya beriya-iya mahu menghalau Gaddafi dan menggantikannya dengan boneka tajaan yang dicucuk hidung.

Selasa, 29 Mac 2011

Pemberontak Libya terus mara dengan bantuan kuasa asing....



PENENTANG Gaddafi lalu dekat senjata pelancar roket askar kerajaan yang terbakar di Ras Lanuf.
PENENTANG pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mara ke tempat kelahiran pemimpin mereka di Sirte semalam, dengan menaiki trak pikap yang dilengkapi dengan mesingan, selain merancang untuk terus ke ibu negara, Tripoli.

Russia mengkritik serangan udara diketuai Barat yang membawa Libya kepada konflik sambil menyifatkan ia membawa kepada satu perang saudara dan melanggar syarat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Qatar menjadi negara Arab pertama mengiktiraf pemisah yang kini memasuki minggu keenam menentang pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun, sebagai wakil tunggal sah penduduk Libya.

Stesen Al Jazeera kemudian melaporkan, pemisah merampas bandar Nawfaliyah dari tentera yang setia kepada Gaddafi sebelum meneruskan kemaraan ke barat dan menawan Sirte manakala agensi lain melaporkan kota berkenaan masih dalam kawalan tentera.

Dengan bantuan serangan udara tentera Barat terhadap tentera Gaddafi, pemberontak kembali mengawal terminal minyak utama di timur bagi negara anggota OPEC terbabit.

“Kami mahu ke Sirte hari ini. Saya tidak tahu sekiranya ia akan berlaku,” kata seorang pemisah, Marjai Agouri ketika beliau menunggu bersama 100 yang lain di luar Bin Jawad bersama tiga pelbagai pelancar roket, enam senjata anti pesawat udara dan kira-kira sedozen trak pikap dilengkapi dengan mesingan.

Seorang wartawan agensi berita yang berada kira-kira 15 kilometer ke barat Bin Jawad dalam perjalanan ke Nawfaliyah mendengar satu letupan bom di jalan.
 

“Ini adalah barisan depan. Tentera berhenti di hadapan sana, kami berhenti di sini,” kata Mohammed al-Turki, 21, seorang pejuang di satu pusat pemeriksaan pemisah, memberitahu Reuters sambil menunjuk ke arah jalan di mana kedengaran bunyi letupan.

Serangan udara diketuai tentera Barat bermula 19 Mac lalu, kira-kira dua hari selepas Majlis Keselamatan PBB meluluskan ‘semua langkah perlu’ untuk melindungi penduduk awam dari tentera Gaddafi.

Tetapi misi terbabit berhadapan dengan persoalan dari pengkritik mengenai skop dan sasarannya termasuk sejauh mana ia akan memihak kepada pemisah atau sama ada ia mensasarkan Gaddafi sendiri.

Russia yang berkecuali dalam undian PBB berkata, serangan Barat terhadap tentera Gaddafi menambahkan lagi kemaraan pemisah.

“Kami menyifatkan campur tangan NATO sebagai tidak mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB,” kata Menteri Luar, Sergei Lavrov pada sidang media.
– Reuters/Agensi/BH

SATU MELAYU:
Tak tahulah apa akan jadi dengan nasib dan masa depan rakyat Libya jika penentangan mereka berjaya dan Gaddafi pula berjaya digulingkan.

Adakah mereka akan jadi seperti rakyat Iraq yang akhirnya sengsara kerana negara terus huru-hara gara-gara membantu kuasa Barat dan Zionis menumbangkan Sadam Hussein dahulu. Negara terus bergolak, keamanan yang dicari tidak ditemui, malah hasil bumi negara itu dikaut oleh kuasa asing yang memang berhasrat menguasai seluruh negara Islam yang mempunyai hasil minyak.

Perkembangan terbaru di Asia Barat dan Utara Afrika masa kini agak menarik untuk diparhatikan. Rakyat bangun memberontak tetapi yang dapat hasilnya kuasa asing.

Lebih malang lagi, semua negara yang sedang menerima kebangkitan rakyat itu adalah negara Islam dan kaya dengan hasil minyak.

Nak salahkan rakyat pun tak boleh, kerana kebangkitan mereka ada asasnya. Nak salahkan kuasa Barat pun tak boleh juga, kerana orang Islam sendiri terlalu susah untuk bersatu.
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog