ALLAH SWT menciptakan malaikat yang tugasnya hanya manjaga dan melaporkan permintaan orang-orang yang membaca atau menyebut:
‘Ya Arhamarrahimin’ (Wahai Zat yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang). Maka sesiapa yang menyebut atau membaca
‘Ya Arhamarrahimin’ sebanyak tiga kali, malaikat yang bertugas akan berkata: “Sesungguhnya Zat yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah berada di hadapanmu (menghadapmu), maka pintalah apa yang kamu hajati.
Dikhabarkan bahawa kecintaan para malaikat terhadap orang-orang mukmin ialah dengan sentiasa memohon kepada Tuhannya agar mengampuni dosa orang mukmin yang bertaubat dan mengikuti jalanNya.
Hal ini ditegaskan Allah SWT melalui firman, maksudnya: “
(Malaikat-malaikat) yang memikul Arasy dan yang berada dikelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta meminta ampun bagi orang yang beriman (yang mengucapkan): ‘Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala.”
“Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
“Dan peliahralah mereka daripada (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari ini maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar.” – (Ghafir: 7-9).
Permohonan ampun dari Malaikat bukan hanya untuk orang yang beriman sahaja, bahkan untuk semua penghuni bumi ini. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Hampir sahaja langit itu pecah dari sebelah atasnya. (Kerana kebesaran Tuhan) dan malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya dan memohonkan ampun bagi orang yang ada di bumi. Ingatlah, bahawa sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – (Asy-Syuura: 5).
Mengenai parkara sama, Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Apabila imam membaca ‘amin’, sesungguhnya para malaikat dilangit mengucapkan ‘amin’ juga. Maka barangsiapa yang aminnya bersamaan dengan aminnya malaikat, dia akan diampuni segala dosanya.”Sebagaimana juga diriwayatkan oleh Al-Jamaah selain Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Apabila imam mengucapkan ‘Samiallahhu liman hamidah’, maka makmum hendaklah meneruskannya dengan ‘Allahhumma rabbana walakal hamd’. Kerana sesungguhnya barang siapa yang ucapannya bersamaan dengan ucapan para malaikat, dia akan diampuni segala dosanya.”Para malaikat juga mengaminkan doa orang mukmin sebagaimana sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
“ Janganlah engkau berdoa untuk dirimu kecuali yang baik sahaja. Kerana sesungguhnya malaikat mengaminkan apa-apa yang engkau ucapkan (dalam doamu). – Hadis riwayat Bukhari.
Demikian juga apabila seseorang mukmin mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan yang didoakan, malaikat ikut mengaminkan dan berkata: ‘Bagi kamu seperti itu juga.”
“Doa seseorang muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Di hadapannya ada malaikat yang mewakilinya. Setiap kali ia berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, malaikat yang mewakilinya berkata: ‘Amin dan untuk engkau seperti itu juga.” – Hadis riwayat Muslim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan