PEMILIHAN pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), November ini menyaksikan pemimpin atasan parti itu mula mencongak peluang masing-masing. Diberitakan bahawa penyandang jawatan Timbalan Presiden, Syed Husin Ali tidak berminat lagi mempertahankan jawatannya. Kenapa dan mengapa, hanya beliau sahaja yang tahu.
Kekeosongan itu menyababkan persaingan menggantikan tempat Syed Husin Ali jadi menarik. Dan kempen pun agak rancak dikalangan ahli-ahli PKR. Yang disebut-sebut pasti akan bertanding ialah Mohd Azmin Ali dan Khalid Ibrahim. Jika itulah yang berlaku, bererti Ketua PKR Selangor akan berentap dengan MB Selangor. Hebat dan sudah tentu menarik kerana ada banyak cerita di sebaliknya.
Perlantikan Azmin Ali menjadi pemimpin nombor satu PKR Selangor menggantikan Khalid Ibrahim, menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan ahli-ahli PKR sendiri. Perubahan mengejutkan itu tidak terlepas daripada dikaitkan kerana Anwar Ibrahim mahukan Azmin Ali menjadi orang nombor dua kepimpinan PKR.
Senario itu menimbulkan desas-desus bahawa Presiden PKR, Wan Azizah Ismail, kurang senang dengan keberadaan Azmin sebagai timbalannya. Semua orang tahu bahawa Wan Azizah sangat ‘bebulu’ dengan Azmin. Sebabnya pun semua orang dah tahu. Terlalu banyak cerita dan kisah menarik telah dihebahkan kepada umum.
Bagaimana pun, entah apa rasionalnya tetiba Zaid Ibrahim yang dianggap sebagai barisan baru dalam kepimpinan PKR, mengumumkan ada kemungkinan beliau akan bertanding menentang Azmin, sekiranya Khalid Ibrahim tidak berminat merebut jawatan berkenaan.
Penyelaras Pakatan Rakyat itu menukar fikirannya setelah sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak pernah berminat bertanding apa-apa jawatan dalam PKR.
Walaupun Zaid melapik kata dengan mengatakan dia hanya akan bertanding jika Khalid tidak berminat tetapi, apa perlunya Zaid mengeluarkan kenyataan sedemikian kalau beliau sendiri tidak tahu sama ada Khalid Ibrahim akan bertanding atau tidak. Nyatalah pengumuman itu hanya cakap politik.
Logiknya, tentulah ada ura-ura atau penegasan daripada Khalid sendiri bahawa dia tidak akan bertanding jawatan berkenaan. Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Kalau pokok kecil memanglah mudah digoyang oleh sesiapa atau apa pun tetapi, kalau pokok besar masakan ada yang boleh menggoyangnya kalau bukan angin kencang atau ribut. Dan kalau ribu itu bertukar menjadi ‘puting beliung’, jangan katakan pokok besar bergoyang, bungkas pun boleh.
Berdasarkah Khalid Ibrahim bukannya berlatar-belakangkan orang politik, ada kemungkinan pihak tertentu dalam PKR mahu Khalid tidak bertanding untuk menduduki kerusi nombor dua itu. Biarlah mereka yang berpengalaman luas dalam politik sahaja yang merebutnya.
Lagipun, sejak akhir-akhir ini kepimpinan Khalid Ibrahim di Selangor sebagai MB dari PKR, tidaklah begitu menyerlah. Banyak masalah timbul dan secara tidak langsung beliau kini dianggap sebagai penyebab merosotnya sokongan umum terhadap PKR di negeri itu.
Berdasarkan hakikat bahawa Wan Azizah tidak senang dengan Azmin Ali, tidak mustahil Wan Azizah bersama penyokongnya merancang supaya Zaid Ibrahim menjadi calon pengganti Khalid ke jawatan Timbalan Presiden PKR, pada pemilihan yang dijadualkan November ini.
Jika itulah yang berlaku, maka pertembungan antara Zaid dengan Azmin mencerminkan pertarongan antara faktor Wan Azizah dengan Anwar Ibrahim. Zaid orang Wan Azizah, sementara Azmin sudah tentu bertanding atas sokongan dan persetujuan Anwar.
Andaian itu dikuatkan lagi dengan berita yang disiarkan
Malaysiakini yang melaporkan bahawa pihak pemantau perjalanan pemilihan,
PKR Mydemocracy Watch menerima banyak aduan berhubung dakwaan terdapat cubaan menjual nama Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah Ismail.
"Kita terima aduan terdapat pihak yang menggunakan perkataan bahawa beliau direstui Anwar dan Wan Azizah. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," kata penyelaras badan sukarela itu, Yusmadi Yusoff.
Beliau yang juga MP Balik Pulau berkata, ia antara empat aduan yang diterima bagi mempengaruhi keputusan pemilihan PKR di pelbagai peringkat pada November ini. “Tetapi kita dapat tahu, Anwar sendiri tidak pernah secara resmi menunjukkan beliau menaja atau merestui sesiapa,” katanya.
Apapun, semua itu adalah asam garam pemilhan pucuk pimpinan parti politik. Mana-mana parti pun akan atau telah mengalami pergolakan serupa. Kuat atau tidaknya pergolakan itu bergantung kepada sejauh mana parti itu diyakini ahli dan pengikutnya akan berkuasa di peringkat negeri atau pusat.
Semakin tinggi harapan untuk berkuasa, maka semakin hebatlah perebutan jawatan di peringkat pucuk pimpinan sesebuah parti politik. Lumrah dan menjadi kebiasaan.
Yang pasti dan diyakini ramai ialah Wan Azizah Ismail selaku Presiden yang tak mungkin akan turun selagi Anwar Ibrahim masih hidup, tidak berkenan dengan Mohd Azmin Ali. Siapa yang sanggup menggalas tugas menjadi calon mewakili kumpulan Wan Azizah menjadi perhatian pemerhati politik tempatan.
Antara Zaid Ibrahim dan Khalid Ibrahim, siapa agaknya yang menjadi pilihan Wan Azizah?
Pak Sulung: Yakin dan percaya bahawa Dato’ Zaid Ibrahimlah yang akan menjadi calon mewakili Wan Azizah menggagalkan hasrat Azmin Ali menduduki kerusi nombor dua PKR. Kelangsungan kasih dan sayang Anwar Ibrahim terhadap Azmin akan cuba digagalkan oleh Wan Azizah melalui Zaid Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan