Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 23 Ogos 2011

Liwat II: Tiada Kesan Liwat Pada Mohd Saiful - Dr. Mohammad Osman

BEKAS doktor di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bahawa pemeriksaan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapati bahagian dubur bekas pembantu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berada dalam keadaan sihat, normal dan tiada kecederaan.

Dr Mohammad Osman Abdul Hamid, 60, yang merupakan doktor pertama yang memeriksa Mohd Saiful berkata, pemeriksaan tersebut dilakukan pada 28 Jun 2008 dengan menggunakan peralatan protoskop selepas lelaki itu mengadu berasa sakit apabila membuang air besar.

Menjawab soalan peguam utama Anwar, Karpal Singh, saksi kedua pembelaan itu seterusnya memberitahu bahawa Mohd Saiful ada memberitahu beliau bahawa dia telah diliwat oleh seorang VIP dan plastik dimasukkan ke dalam bahagian sulit tersebut.

Tambahnya, Mohd Saiful menyatakan perkara tersebut selepas pemeriksaan dibuat.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Mohammad Osman berkata, beliau tidak bertanyakan siapakah VIP yang dimaksudkan kerana beranggapan Mohd Saiful boleh membuat laporan polis.

Berhubung kemasukan plastik, Mohammad Osman bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh Mohd Yusof bahawa kemasukan plastik tidak dianggap sebagai kejadian liwat.

Saksi seterusnya mempertahankan keterangan bahawa Mohd Saiful ada memberitahunya mengenai kemasukkan plastik, meskipun perkara itu ditulis agak lewat dari masa beliau dimaklumkan.

Sehubungan itu, beliau mengakui Mohd Saiful tidak mempunyai pengetahuan berhubung apa yang ditulisnya pada laporan perubatan itu.

Dr. Mohammad Osman
Laporan itu juga akui saksi, disediakan selepas 28 Jun 2008 selepas diminta oleh seorang kakitangan hospital, yang bukan pegawai atasan kepada Mohammad Osman menjelaskan mengapa Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak mempunyai laporan tersebut.

Berhubung akuan bersumpah yang diikrarkannya, saksi memberitahu beliau menandatangani dokumen tersebut selepas didatangi oleh seorang peguam bernama 'Yusri' dan seorang pesuruhjaya sumpah yang dikenali sebagai 'Anwar'.

"Saya ingatkan mereka adalah wakil kepada Hospital PUSRAWI memandangkan saya bekerja di situ," tambahnya.

Mengambil kira jawapan saksi yang mengatakan beliau menyediakan laporan perubatan dan menandatangani akuan bersumpah selepas disuruh berbuat demikian, Mohd Yusof berkata saksi adalah seseorang yang sanggup membuat apa sahaja untuk seseorang tanpa bertanya.

Mohammad Osman yang berasal daripada Myanmar dan bertutur dalam bahasa Inggeris menafikan dakwaan tersebut.

Prosiding pada Selasa, juga menyaksikan seorang saksi pakar pihak pembelaan, iaitu Dr David Lawrence Noel Wells yang merupakan pakar forensik dari Australia memberi keterangan.

Wells, 51, berkata, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) seharusnya disimpan dalam bekas kedap udara, dibekukan dan dihantar untuk analisa dengan secepat mungkin.

Menjawab soalan peguam Sankara Nair yang mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang bertanyakan apa yang akan berlaku jika sampel tersebut yang disimpan di dalam laci selama 43 jam sebelum dihantar ke analisa, Wells menjawab: "Ia tidak cantik lagi," dan menambah, bakteria boleh merosakkan elemen protin yang terdapat pada sampel DNA berkenaan.

Keterangan pada perbicaraan sebelum ini menyatakan berlaku kelewatan selama 43 jam sebelum Pegawai Penyiasat, Superintendan Jude Blacious Pereira menyerahkan sampel DNA kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisa.

Saksi yang pernah menetap di Malaysia selama tujuh tahun kerana ayahnya pernah bekerja dengan Perdana Menteri pertama,Tunku Abdul Rahman juga memberitahu, menjadi amalannya untuk tidak membuat pemeriksaan terhadap mangsa jenayah seksual dengan kehadiran pihak polis.

Tambahnya, beliau hanya akan dibantu oleh jururawat kerana mangsa terbabit boleh merasa kurang selesa dengan kahadiran pihak ketiga semasa pemeriksaan dibuat.

Selain itu, Wells juga memberitahu bahawa beliau tidak akan menggunakan pelincir semasa melakukan pemeriksaan kepada mangsa yang mendakwa bahan tersebut telah digunakan semasa serangan seksual itu berlaku.

"Saya akan menggunakan air yang telah disteril,"katanya dan menambah ia disebabkan bahan pelincir tersebut juga perlu dihantar untuk dianalisa.

Wells dan Mohammad Osman sedang memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Anwar, 64, yang sedang membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat.

Beliau didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 7 Ogos 2008 sebelum perbicaraan bermula pada 3 Februari 2010 manakala pada 16 Mei lalu, Anwar dipanggil untuk membela diri.

Perbicaraan akan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan bersambung Rabu dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Wells.
- Laporan: mStarOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog