SARJANA berbangsa Portugis yang telah menukar namanya menjadi ‘Hasan Muhammad Said’ setelah memeluk agama Islam, menceritakan perjalanan keIslamannya seperti berikut:
“Aku dilahirkan di kota Pamaliku, Portugal pada 16 Mei 1958. Kedua orang tuaku adalah penganut Kristian Katolik. Aku tidak ingat apakah aku sering ke gereja pada masa kecilku atau tidak. Mungkin juga ada tetapi, hanya beberapa kali sahaja.
“Tidak mahunya aku pergi ke gereja kerana aku gagal menemukan kepuasan hatiku. Apatah lagi para pemuka agama Kristian gagal menyampaikan penjelasan yang logik tentang hakikat wujudnya Tuhan, hakikat kejadian manusia, tentang diri Nabi Isa, apakah dia Tuhan atau manusia? Jika sekiranya dia adalah tuhan, bagaimana terjadinya ia dilahirkan oleh seorang perempuan yang bernama bonda Maryam?
“Di samping itu aku juga melihat ketamakan para pemuka agama Kristian dan para pengamalnya yang mengumpul harta tanpa mempedulikan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Dan dalam hidup seharian mereka, aku melihat mereka sering meninggalkan ajaran Tuhan.
“Hal yang demikian itu membuatkan aku mengarahkan pemikiranku untuk mempelajari falsafah dan agama-agama lain. Dari sanalah aku menemukan agama terbaik untuk diriku, iaiatu agama Islam yang penuh dengan kebenaran dan keluhuran.
“Peristiwa itu terjadi ketika aku bekerja di Arab Saudi sebagai ahli teknik yang menetap selama tiga tahun di sana. Aku bertemu ramai teman yang beragama Islam. Mereka adalah orang-orang yang sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. Di samping itu mereka juga memberikan penjelasan kepadaku sesuatu yang selama ini sangat aku harapkan, iaitu penjelasan tentang Zat Maha Pencipta dan bagaimana hubungan manusia denganNya.
“Selepas itu aku berpindah ke Mesir untuk bekerja di sebuah projek metreologi di kota Cairo. Di sanalah aku dapat meneruskan kajian mengenai Islam. Aku berkesempatan berjumpa dengan teman-teman di kalangan umat Islam yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang Islam serta sangat bertaqwa kepada Allah SWT.
“Merekalah yang mengajarku tentang cara-cara solat, bersuci, berwudhuk serta rukun-rukun ibadah yang lainnya seperti berpuasa pada bulan Ramadhan, zakat dan ibadah Haji untuk orang yang mampu mengerjakannya.
“Kesempatan itu juga kau gunakan untuk berkunjung ke Universiti Al-Azhar. Di situlah dengan disaksikan ramai orang, aku menyatakan keIslamanku dengan mengucap dua kalimah syahadah. Lalu aku mandi sebagaimana yang pernah diajarkan oleh temanku sebelumnya. Dan dengan mandi tersebut aku bagaikan telah lahir semula sebagai manusia baru dengan akidah baruku, iaitu akidah Islam. Begitulah aku difahamkan.
“Setelah memeluk agama Islam, aku memilih namaku sebagai Hasan Muhammad Said. Selepas itu aku pun solat sunat serta berdoa ke hadhrat Allah SWT semoga diampunkan segala dosa yang pernah aku lakukan dan semoga diterima keIslamanku.
“Pada peringkat awalnya, fikiranku belum berasa tenang. Kebahagian belum memenuhi ruang hatiku kecuali setelah aku mendapat tahu daripada salah seorang sahabatku yang mengatakan bahawa Islam menghapuskan apa yang telah terjadi sebelumnya dan aku diibaratkan sebagai manusia yang baru lahir. Yang bersih dari pelbagai macam kotoran.
“Aku mengharapkan agar sisa-sisa hidupku tetap berada dalam kesucian tersebut Kesucian yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada diriku sebagai hambaNya.”
Kisah hidayah ini memaparkan bagaimana seorang insan yang megakui wujudnya Tuhan, sentiasa berfikir mengenai ketuhasnan dan kewujudan manusia di dunia ini. Keberaniannya mencari jawapan kepada segala macam persoalan yang timbul dari fikirannya, membuatkan dia dikurniakan Allah SWT dengan hidayahNya, memeluk agama Islam dengan rela hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan