Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 22 Julai 2011

Perhimpunan 9 Julai: Bersih Tak Menang, BN Tak Rugi, Tapi Rakyat Meluat


BEBERAPA penganalisis politik membuat kesimpulan bahawa setelah berlalunya perhimpunan haram pada 9 Julai, penganjurnya tidak mendapat sebarang keuntungan dan kerajaan Barisan Nasional pula tidak rugi apa-apa.

Mereka berpendapat perhimpunan haram berkenaan gagal memenuhi impian penganjurnya, iaitu satu badan tidak berdaftar dikenali Bersih, untuk melemahkan kedudukan BN atau meningkatkan sokongan terhadap pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS.

Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata asas bagi kesimpulan yang dibuat itu mudah sahaja iaitu biar betapa hebatpun pakatan pembangkang memainkan isu perhimpunan haram berkenaan, pengundi Melayu di luar bandar tetap akan memberi sokongan kepada BN berikutan kejayaan parti gabungan itu membawa kemakmuran, keamanan dan keharmonian kepada negara.

"Begitu juga halnya, biar apa jua label yang diberikan, penyokong tegar Pakatan Rakyat akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, kata beliau, persoalan yang masih wujud ialah sama ada perhimpunan haram 9 Julai itu memberi kesan terhadap pendirian golongan atas pagar memandangkan penyokong Bersih lantang mendakwa mereka meraih kejayaan daripada kegiatan itu.

Sivamurugan berkata di peringkat lapangan pula, kempen politik akan berterusan dengan satu pihak cuba memberi gambaran positif tentang apa yang mereka sifatkan sebagai pencapaian perhimpunan haram itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata majoriti rakyat Malaysia terutama di ibu negara dan Lembah Klang tidak menyokong perhimpunan haram itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula mengkritik perhimpunan haram itu kerana telah mencetuskan kekacauan, manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan haram itu hanya disertai 5,000 atau 6,000 orang, walaupun pembangkang menyifatkannya sebagai suatu kejayaan dengan mendakwa ia disertai 50,000 orang.

Sivamurugan berkata BN berharap sokongan penduduk di luar Lembah Klang terhadapnya tidak terjejas berikutan demonstrasi haram itu, manakala pembangkang pula menaruh harapan agar ia mewujudkan gelombang sebelum barlangsungnya pilihan raya umum akan datang, seperti momentum yang telah mereka raih daripada perhimpunan haram Bersih 2007.

"Secara umumnya, mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan Selangor tidak begitu peduli tentang perhimpunan itu, manakala sejumlah anggota pembangkang yang menyertai perhimpunan haram itu masih tidak pasti mengenainya. Oleh itu, ada orang berkata perhimpunan haram itu akan membawa kepada perubahan selera pengundi dan ada pula yang menolaknya," kata beliau.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berpendapat sesetengah orang bersifat mudah lupa dan sekiranya pilihan raya umum diadakan beberapa bulan akan datang atau tahun depan, semuanya mungkin terhapus daripada ingatan mereka, lebih-lebih lagi sekiranya kerajaan BN mengumumkan pelbagai dasar bersifat mesra rakyat untuk meluputkan kesan daripada perhimpunan haram itu.

Pensyarah, Azli Abdullah berkata walau apapun dakwaan penganjur perhimpunan haram itu, perubahan selera pengundi boleh berlaku secara dua hala lebih-lebih lagi apabila ramai pengundi dapat melihat dengan jelas dan menghargai keberkesanan kerajaan dalam menanganinya.

"Walaupun begitu teruk dicabar, pihak berkuasa tetap bertindak dalam lingkungan bidang kuasa mereka dan berjaya mencegah berlakunya kejadian tidak diingini. Hakikat bahawa polis berjaya mematahkannya menjadi berterusan, amat dihargai oleh majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya.

Azli berkata setelah sekian lama tergolong dalam kalangan berjuta-juta majoriti senyap, kini beliau berasa terpanggil untuk menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau tidak lagi mempunyai sebarang simpati terhadap pembangkang, lebih-lebih lagi kumpulan pengacau, yang dengan jelas telah menghumban sepenuhnya perasaan cintakan negara.

"Rakyat Malaysia jenis apakah mereka ini? Mereka sanggup bersekongkol dengan media asing semata-mata untuk memburuk-burukkan Malaysia dengan memberi gambaran seolah-olah negara bertuah ini akan terjerumus ke lembah kekacauan selepas Mesir dan sebagainya," kata beliau.

Tetapi, yang pasti, pembangkang akan terus melaungkan lapan perkara yang dituntut oleh Bersih dengan harapan ia mengganggu kelancaran rancangan Najib untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pas berkata ia akan mengadakan satu lagi perhimpunan sebelum pilihan raya umum akan datang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan perubahan seperti yang dituntut, walaupun SPR telah memberi penjelasan bahawa sesetengah tuntutan itu hanya boleh dilaksanakan oleh Parlimen.

Ramai pemerhati berpendapat perhimpunan haram 9 Julai itu membawa kerugian ekonomi kepada negara dan golongan tertentu.

"Selain masa dan petrol yang dibazirkan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya, perniagaan kecil dan sederhana di Lembah Klang mengalami kerugian besar. Orang dan barangan dihalang daripada memasuki bandar raya ini, manakala berjuta-juta ringgit menjadi beku dan terhalang daripada memasuki pasaran.

"Kecergasan ekonomi bergantung kepada pengaliran dana. Wang berjuta-juta ringgit yang tersekat itu mungkin mengakibatkan kerugian sekali atau dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlahnya, terutama pada hujung minggu. Kepada siapa peniaga kecil hendak menuntut pampasan?" kata seorang penganalisis dari sebuah syarikat broker saham yang enggan dikenali.

Kerajaan pula terpaksa menanggung kos yang tinggi termasuk untuk mengerahkan anggota polis dari negeri lain ke ibu negara bagi mengawal keadaan dan memelihara ketenteraman awam.

Sekiranya kesemua 1,667 penujuk perasaan yang ditahan semasa perhimpunan haram itu dibawa ke muka pengadilan, mahkamah perlu menggunakan banyak sumber untuk mengendalikannya, dan ini melibatkan kos dan masa.

Pakatan pembangkang menganggarkan mereka membelanjakan RM150,000 untuk mengadakan perhimpunan haram itu, termasuk membayar wang ikat jamin penunjuk perasaan yang ditangkap, manakala kerajaan pula menganggarkan jumlah yang terpaksa ditanggungnya 10 kali lebih tinggi daripada itu.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah berkata ekonomi dunia telah telah menurun dan ini mungkin menyebabkan Eropah mengalami krisis ekonomi, yang akhirnya akan memberi kesan kepada negara lain di seluruh dunia.

"Berikutan keadaan ini, kerajaan yang memerintah sekarang perlu diberi peluang untuk menumpukan terhadap usaha mencergaskan semula ekonomi dan pihak-pihak yang bertelagah perlu mengetepikan perbalahan politik sesama mereka demi kebaikan negara. Masa yang ada sepatutnya digunakan untuk memajukan negara," kata Pheng.

Memang tepat kata-kata beliau itu kerana biar betapa lantang atau berapa kerap sesuatu pihak itu memenuhi jalan raya untuk mengadakan tunjuk perasaan, dalam sistem demokrasi, setiap pemilih hanya mempunyai satu undi.

Oleh Alan Ting
- Bernama

SATU MELAYU:
Seperrata yang rakyat harus ingat ialah untuk apa tujuk perasaan atau perhimpunan itu diadakan. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana dan untuk Anwar Ibrahim yang telah tidak ada cara lain lagi untuk menagih simpati dan sokongan rakyat sepertimana yang pernah diterimanya sejak zaman jadi pemimpin pelajar dulu.

Sebagaimana yang diketahui umum, Anwar Ibrahim hanya tahu menganjurkan tunjuk perasaan dan perhimpunan haram. Itulah satu-satunya kepakaran yang beliau ada.

Justeru, dalam keadaan terdesak kerana merosotnya sokongan rakyat akibat salahlaku seks beliau sendiri, peluang erakhir yang ada bagi Anwar ialah menganjurkan tunjuk perasaan. Malangnya, Bersih 2.0 tidak berhasil dan rakyat umum tahu ianya satu tindakan sia-sia dan menyusahkan ramai orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog