MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Selasa, menerima masuk keterangan yang membawa kepada penemuan barang-barang kes dalam siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan tiga rakannya selepas berpuas hati tiada tekanan dilakukan kepada dua tertuduh yang memberikan maklumat tersebut.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu dalam penghakimannya terhadap prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) yang diadakan bagi menentukan keadaan mental dan kemungkinan berlaku tekanan terhadap dua pekerja ladang, T. Thilaiyalagan dan K. Kathavarayan semasa penyiasatan dilakukan oleh polis.
Prosiding TWT dibuat ekoran keterangan pegawai penyiasat, Cif Inspektor N. Govindan yang memberitahu bahawa dua tertuduh itu telah menunjukkan beberapa lokasi di Banting, dekat sini yang menjadi lokasi pembuangan barang kes secara sukarela, yang dinafikan oleh Thilaiyalagan dan Kathavarayan.
Seramai 19 saksi dipanggil untuk memberi keterangan pada prosiding TWT termasuk Thilaiyalagan dan Kathavarayan.
Antara keterangan Thilaiyalagan adalah dia mendakwa telah didera seperti diberikan satu penutup botol untuk mencebuk air yang bertakung di dalam selnya ke dalam sebuah baldi, dihemburkan kata-kata kesat serta dipaksa untuk makan cili padi apabila mengadu lapar.
Kathavarayan pula mendakwa rambutnya yang panjang melebihi bahu telah dipotong, dipukul dengan menggunakan paip getah pada bahagian tapak kaki serta diacukan pistol.
Semua dakwaan tersebut dinafikan oleh pegawai-pegawai polis yang mengatakan, mereka hanya menggunakan teknik soal dan jawab dalam mendapatkan maklumat, selain pistol tidak dibenarkan dibawa masuk ke kawasan lokap.
Pada penghakimannya, Akhtar berkata beliau mendapati tiada isu timbul berhubung pemberian makanan kepada tertuduh kerana percaya bahawa pihak polis telah memberikan makanan yang sewajarnya pada waktu yang sepatutnya.
Beliau juga menolak dakwaan tertuduh-tertuduh bahawa mereka tidak mendapat rehat yang secukupnya kerana ada penyiasatan yang dilakukan sehingga waktu malam, sedangkan peraturan lokap menyatakan seorang tahanan perlu berada di dalam lokap bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi.
"Pada saya, peraturan tersebut adalah sebagai garis panduan dan bukannya satu undang-undang. Jika siasatan tidak dapat dilakukan pada waktu siang ia perlu diteruskan. Ini bukan satu pekerjaan yang bermula pada pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 5 petang.
"Pihak yang sepatutnya mengadu kurang rehat adalah polis yang menjalankan tugas dan bukannya tertuduh," kata Akhtar dan menambah, tertuduh juga tidak seharusnya memupunyai anggapan boleh mendapatkan layanan yang baik di dalam penjara.
Selain itu, Akhtar juga mempersoalkan dakwaan Thilaiyalagan dan Kathavarayan yang mendakwa didera secara fizikal, tetapi hanya membuat aduan kepada majistret dan doktor sebulan selepas tarikh kejadian didakwa berlaku.
"Begaimanapun, saya bersetuju dengan kata peguam Manjeet Singh Dhillon bahawa pihak polis tidak akan mengaku sekiranya dia ada memukul tahanan, tetapi sukar untuk saya putuskan perkara itu hanya berdasarkan tingkah laku saksi," katanya.
Namun demikian, Akhtar menyifatkan penggunaan pistol jika ada digunakan adalah satu usaha terdesak untuk mendapatkan maklumat.
Dalam kes ini, Thilaiyalagan, 20, dan Kathavarayan, 31, didakwa bersama-sama dengan bekas peguam, N. Pathmanaban, 42, dan seorang pekerja ladang, R. Matan, 21, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, yang didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu kepada Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pada waktu dan hari yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.
Perbicaraan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan akan bersambung pada Khamis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan