PERMOHONAN barisan peguam bela agar pihak pendakwaan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendakwa saksi utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, U. Suresh atas tuduhan memberi keterangan palsu, ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak serta berpuas hati bahawa tindakan itu tidak menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah selain pihak pendakwaan berhak mendakwa mana-mana individu pada bila-bila masa.
Beliau semasa membacakan penghakiman ringkasnya berkata, Timbalan Pendakwa Raya juga telah diberi kuasa penuh untuk memulakan prosiding jenayah dan mereka perlu menurut arahan Pendakwa Raya untuk menjalankan pendakwaan.
Hakim Akhtar bagaimanapun mengarahkan agar prosiding kes terhadap Suresh di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan sehingga perbicaraan kes bunuh Sosilawati selesai didengar.
''Ini bukan salah mereka. Saya juga telah teliti pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan dapati pertuduhan itu berkaitan dengan tuduhan jenayah serta tidak akan menjejaskan keputusan saya. Saya akan buat keputusan atas kredibiliti saksi dan ia adalah dua perkara yang berlainan.
''Bagaimanapun saya dapati tuduhan di Mahkamah Sesyen adalah berkaitan kepada prosiding di Mahkamah Tinggi. Justeru itu, terdapat kemungkinan nota prosiding untuk kes di Mahkamah Tinggi akan ditender (dikemukakan) dan ada kemungkinan ia akan mengganggu perjalanan kes di mahkamah ini,'' katanya.
Sementara itu, perbicaraan yang sepatutnya bersambung hari ini (isnin) ditangguhkan sehingga esok (Selasa) berikutan saksi pendakwaan yang dijadualkan memberi keterangan bercuti sakit.
Pada 11 Ogos lalu, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan memohon agar dua Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani dan Nur Azimul Azami Mohamad Nor dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Permohonan yang turut disokong oleh barisan peguam bela itu dibuat dengan alasan pihak pendakwaan tidak sepatutnya mendakwa Suresh memandangkan perbicaraan masih belum selesai selain permohonan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu masih belum diputuskan.
Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, bekas peguam bersama tiga pekerja ladangnya, T.Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Suresh, 27, yang sebelum ini bekerja di Ladang Gadong, Banting memberikan 22 fakta yang bercanggah semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-29 dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik itu pada akhir Julai lalu.
Dia yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes tersebut.
Suresh yang mengaku tidak bersalah didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Hakim Akhtar dalam perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan di Mahkamah Tinggi 8 di sini antara pukul 9.30 pagi dan 12 tengah hari, 25 hingga 27 Julai lalu.
Sedangkan keterangan itu berbeza dengan kenyataan tertuduh yang diberikan kepada Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 26 Oktober tahun lalu.
Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
- Laporan: UtusanOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan