PERBICARAAN kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada Jumaat, menyaksikan peguam utama mempertikaikan ketepatan dokumen yang dicetak oleh seorang pegawai kanan syarikat komunikasi, DiGi Telecommunication Sdn Bhd.
Peguam Manjeet Singh Dhillon membangkitkan isu tersebut semasa menyoal balas saksi pendakwaan ke-55, Mohd Feisal Zakaria, 43, berhubung kewujudan tanda soal pada satu rekod panggilan bernombor 016-68***78 yang tidak diketahui pemiliknya.
Mohd Feisal juga masih memberikan jawapan yang sama apabila disoal kali kedua oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir dan menambah, tanda soal tersebut dicetak melalui komputer.
Manjeet: Tengok pada rekod panggilan, ia menunjukkan talian tersebut telah diaktifkan sejak tahun 1900. Syarikat kamu dah bermula sejak itu? Akta Syarikat juga masih belum wujud pada masa itu.
Akhtar: Komputer juga masih belum wujud.
Manjeet: Saya tidak menyalahkan kamu. Adakah ia adalah satu kesilapan?
Mohd Feisal: Saya tidak pasti bila kesilapan tersebut berlaku.
Pada keterangannya, saksi juga mengakui bahawa beliau tidak dapat memastikan sekiranya dokumen yang dicetak daripada komputer yang terdapat di tempat kerjanya adalah tepat atau sebaliknya.
Perkara itu dibangkitkan oleh Manjeet yang merujuk kepada dua rekod panggilan yang dicetak menggunakan dua komputer berbeza mempunyai dua nama pemilik berbeza, sedangkan ia adalah satu nombor yang sama.
Manjeet: Mengapa maklumat tersebut tidak sama di kedua-dua komputer?
Mohd Feisal: Saya tidak tahu.
Manjeet: Setuju bahawa kamu tidak tahu jika terdapat kesilapan pada komputer?
Mohd Feisal: Ya.
Manjeet: Jika dokumen yang dicetak salah, kamu juga tidak akan tahu?
Mohd Feisal: Ya.
Terdahulu, saksi memberitahu penglibatannya di dalam siasatan kes bermula apabila beliau menerima permohonan daripada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Ishak Yaakob untuk mencetak rekod panggilan terhadap talian yang digunakan oleh tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azama Muhammad Nor, saksi berkata permohonan tersebut diterima pada 29 Jun lalu dan melibatkan talian 010-24***27 yang menggunakan talian prepaid dan didaftarkan atas nama Thilaiyalagan.
Mohd Feisal sedang memberi keterangan terhadap bekas peguam, N. Pathma-
nabhan, 42, dan tiga pekerja ladang termasuk Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan akan bersambung pada 10 Oktober ini.
- Laporan: mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan