.... perumpamaan paling sesuai untuk dikaitkan dengan Penasihat Ekonomi Selangor yang bergaji RM1 ini ialah ‘lain yang disuruh, lain pula yang dibuat’, harapkan pagar, pagar makan padi....
SETELAH pakatan pembangkang PKR, DAP dan PAS diberi mandat oleh rakyat Selangor, pengagihan kepimpinan telah dilaksanakan dengan jawatan Menteri Besar diberikan kepada PKR, senarai Exco penting diberikan kepada Dap termasuklah Exco yang bertaraf Timbalan Menteri Besar manakala tugas menjaga hal ehwal agama diserahkan kepada Pas sesuai dengan minat mendalam untuk menguasai pengurusan di masjid-masjid di Selangor.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman berkata, dalam pelantikan jawatan tersebut, ada satu lagi kedudukan yang lebih penting khususnya bagi menentukan dan menjana ekonomi Negeri Selangor iaitu Penasihat Ekonomi Negeri yang hanya bergaji RM1.
“Jawatan ini khusus untuk membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik jawatan tersebut dan dicanangkan sendiri oleh Menteri Besarnya dengan kononnya Selangor begitu beruntung kerana tidak perlu menggunakan duit rakyat yang banyak bagi mendapatkan khidmat nasihat ekonomi,” katanya.
Jelas beliau, ramai yang teruja apabila Anwar menjadi penasihat ekonomi Selangor apatah lagi dengan gaji RM1, maka pengalamannya yang pernah menjawat jawatan mantan Timbalan Perdana Menteri, mantan Menteri Kewangan dan macam-macam mantan lagi yang beliau pernah sandang termasuklah mantan penghuni penjara Sungai Buluh akan dikongsi bersama.
“Kempen ‘Kenapa Bayar Lebih?’ ini telah berjaya dipropagandakan ke dalam pemikiran rakyat Selangor melalui pelbagai manipulasi sehinggakan ada diantaranya yang terbuai dengan mimpi indah ibarat manusia yang telah diberikan ubat bius sedangkan dalam keadaan tersebut mereka menjadi penyamun-penyamun tarbus dengan mengaut keuntungan untuk poket sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelasnya, barangkali perumpamaan paling sesuai untuk dikaitkan dengan Penasihat Ekonomi Selangor yang bergaji RM1 ini ialah ‘lain yang disuruh, lain pula yang dibuat’, harapkan pagar, pagar makan padi.
“Sememangnya apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir semasa pelantikan Anwar memang benar iaitu dengan bayaran RM1, khidmat nasihat bernilai RM1 jugalah yang akan diperolehi dari Anwar,” ujarnya.
Beliau yang juga yang juga Ketua UMNO Bahagian Puchong turut ditanya berkaitan khabar angin tentang kisah skandal seks yang didakwa ada kaitan dengan Anwar.
“Saya kurang berminat dengan aksi hebat lakonan beliau dalam video yang didedahkan tetapi Penasihat Ekonomi Selangor adalah jawatan penjawat awam dalam kerajaan negeri, maka beliau bertanggungjawab untuk membersihkan segala kekotoran yang ditimbulkan apatah lagi tuduhan yang terpalit dengan pelbagai skandal seks dan pembohong.
“Jika mereka mempunyai kredibiliti dan maruah, maka sewajarnyanya Menteri Besar perlu mengarahkan Anwar meletakkan jawatan sebagai penasihat ekonomi sehinggalah beliau benar-benar dibersihkan oleh mahkamah tetapi apa yang kita nampak hari ini hanya Anwar sahaja yang boleh dilantik ke jawatan tersebut biar apa pun yang berlaku malah tidak hairan jika suatu hari nanti mungkin Menteri Besar akan mempunyai penasihat ekonomi di sebalik tirai besi Sungai Buluh pula,” ujarnya.
Bidas beliau lagi, pepatah, ‘paku dulang, paku serpih, mengata orang dia yang lebih’ amat sesuai dengan pakatan pembangkang di Selangor yang sering menyalahkan UMNO tetapi akhirnya apabila mereka berkerajaan, keadaan lebih parah.
– MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan