Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 14 Ogos 2010

DIALOG RASULULLAH DENGAN IBLIS: Bahagian 7.

BAHAGIAN ini memaparkan empat dialog mengenai persoalan yang ditanyakan oleh Rasullah kepada Iblis laknatullah. Ianya merangkumi persoalan mengenai keberkatan solat Hari Raya, doa akhir tahun, doa awal tahun dan siapa penyokong Iblis . Semoga apa yang dipaparkan ini menjadi pedoman untuk kita semua. – Satu Melayu.

SOALAN 30.
“Wahai Iblis! Apabila umatku menunaikan solat sunat Hari Raya di masjid, bagaimanakah dengan keadaan diri engkau? Dan Tuhanku yang Maha Besar berfirman yang bermaksud: Wahai sekelian Malaikat! Saksikanlah oleh kamu bahawa sesungguhnya telah Aku ampunkan sekelian dosa umat Muhammad sama ada lelaki atau perempuan, maka apabila telah selesai daripada mereka menunaikan solat (Hari Raya) dan membaca khutbah, Aku berfirman kepada mereka: Wahai umat Muhammad! Pulanglah kamu ke rumah masing-masing, sesungguhnya telah Aku ampunkan dosa-dosa kamu yang dahulu dan yang kemudian dan sesungguhnya Aku gantikan dosa-dosa kamu dengan kebajikan.”

Iblis menjawab:
“Wahai Rasulullah, apabila umat engkau pergi menunaikan solat Hari Raya, nescaya hamba sangat menanggung azab dukacita dan menyesal. Lantas hamba pun bertempik atau meraung-raung dengan suara yang amat kuat hingga datanglah segala bala tentera hamba sambil mereka bertanya: ‘Wahai raja kami! Siapakah yang tuanku murkakan? Adakah dia datang dari langit atau dari bumi?’

Kemudian hamba pun menjawab: ‘Wahai bala tenteraku, apakah yang menyebabkan aku menanggung dukacita adalah kerana Allah telah mengampuni dosa-dosa umat Nabi Muhammad pada hari raya ini, iaitu dosa-dosa yang dahulu dan dosa-dosa kemudiannya.’

Hamba berkata lagi: ‘Wahai bala tenteraku, tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah telah menerima atau mengabulkan puasa umat Muhammad? Dan Tuhan sangat kasih dan sayang kepada mereka. Dan Tuhan mengasihi mereka dengan rahmatNya serta memperkenankan doa segala sesuatu yang diminta dan juga mengampuni segala kesalahan mereka.’

“Wahai Rasulullah! Setelah itu hamba arahkan bala tentera hamba pergi kepada umatmu untuk menghasut, menggoda dan mengacau mereka supaya mereka malas menunaikan amal ibadat serta menimbulkan rasa bimbang untuk pergi ke sana sini.

“Di semping itu, hamba menyuruh bala tentera hamba menghasut umatmu untuk melakukan maksiat dan dosa serta derhaka kepada Allah. Lalaikan mereka dengan pelbagai kesukaan, permainan judi, minum arak dan berzina. Biarkanlah mereka memuaskan nafsu dengan melakukan pelbagai maksiat hingga datang kemurkaan Allah terhadap mereka dengan didatangkan bala oleh Allah. Dengan turunnya bela bencana itu menimbulkan kesukaan di hatiku yang gundah gulana sekarang ini.”

SOALAN 31.
“Wahai Iblis! Jika umatku membaca doa akhir tahun, bagaimanakah dengan keadaan diri engkau?

Iblis menjawab:
“Wahai Rasulullah, jika umat tuan hamba membaca doa akhir tahun dalam masa yang berbaki begitu sedikit, sedangkan hamba bersusah-payah menggoda dan menghasut mereka sepanjang tahun, maka hamba menjadi lemah dan hamba akan mengambil tanah lalu menyapu muka sambil berkata: ‘Aduhai! Celaka dan malangnya diriku dengan kerugian yang amat besar dan kemudian hamba akan pergi jauh meninggalkannya.’

SOALAN 32.
“Wahai Iblis! Jika umatku membaca doa awal tahun, bagaimanakah pula dengan keadaan diri engkau?

Jawab Iblis:
“Wahai Rasulullah, jika umatmu membaca doa awal tahun dengan penuh hati dan pasrah kepada Allah, maka putuslah harapan hamba kerana barang siapa yang membaca doa awal tahun, Allah akan memerintahkan dua malaikatNya supaya membakar buku catatannya pada tahun itu dan dituliskan padanya kebajikan dan pahala disebabkan keberkatan doa tersebut. Dan hamba juga akan lari meninggalkannya.”

SOALAN 33.
“Wahai Iblis! Siapakah yang menjadi penyokong engkau?”

Iblis menjawab:
“ Iaitu orang-orang yang tidak bertaubat daripada dosa yang dilakukannya malah mereka suka ketawa dan gembira ketika melakukan dosa. Wahai Rasulullah, sesungguhnya telah hamba binasakan sekelian manusia dengan mengerjakan dosa daripada berbagai-bagai maksiat. Maka pada waktu itu, hamba tersangatlah gembira. Tetapi, jika secara tiba-tiba mereka yang melakukan dosa dan maksiat itu mengucapkan ‘Lailahhaillallah’ dan ‘Astaghfirullahhalazim’, maka binasalah hamba dengan sebab keberkatan ucapan itu.

“Dan amal perbuatan yang menjadi keuntungan besar kepada hamba ialah orang-orang tua dan anak-anak muda yang bersiul, kerana mereka itulah anak buah hamba. Amalan bersiul-siul ini adalah perbuatan hamba semasa dihalau keluar oleh Allah ke dunia sambil mengembara. Dan ketahuilah bahawa orang-orang yang bersiul itu adalah penghibur kepada Iblis dan syaitan.

“Manakala orang-orang yang melaungkan azan itu adalah penghambat Iblis dan syaitan kerana pada waktu itu malaikat-malaikat akan hadhir untuk menunaikan solat bersama-sama dengan mereka.

Bersambung ke Bhg. Akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog