Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 14 Ogos 2010

DIALOG RASULULLAH DENGAN IBLIS: Bahagian Akhir.

ALHAMDULILLAH, sampai kita ke bahagian akhir pedoman yang memaparkan dialog terakhir Rasulullah SAW dengan Iblis laknatullah. Rasulullah bertanyakan mengenai peranan Iblis setelah Nabi Muhammad diutus Allah sebagai penyelamat dan pembawa cahaya kepada umatnya di muka bumi ini . Semoga apa yang dipaparkan ini menjadi pedoman untuk kita semua. – Satu Melayu.

SOALAN 34.
“Wahai Iblis! Sekarang bagaimanakah kesudahan ikhtiar engkau ke atas umatku kerana aku sudah dibangkitkan oleh Allah ke dunia ini bagi menyelamatkan sekelian anak Adam daripada kafir kepada beriman kepada Allah. Dan daripada mereka berada di dalam gelap-gelita tanpa cahaya kepada sinar yang terang-benderang?”

Pertanyaan itu disambut oleh Iblis dengan mengangkat kepalanya ke hadhrat Allah SWT sambil berkata: 'Ya Tuhanku! Demi kemuliaan Engkau, hamba akan sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal jemu, penat dan putus asa dalam menarik, menggoda, menghasut sekelian anak Adam di atas muka bumi ini kepada berbagai-bagai jalan maksiat selagi ada nyawa di dalam tubuh mereka itu. Sesungguhnya hamba akan jadikan pemuda dan pemudi bercampur gaul, berkenal-kenalan supaya senanglah bagi hamba mencelah masuk di antaranya.'

Ketika itu datanglah firman Allah SWT yang maksudnya: Wahai Malaun! Demi Kebesaran-Ku dan Ketinggian-Ku bahawa Aku sentiasa bersedia untuk memberi keampunan kepada umat Muhammad selagi mereka itu memohon keampunan daripada-Ku.

Sesudah itu, Rasulullah berkata: “Apa lagi yang engkau musykilkan?”

Iblis menjawab: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya hamba sangat hairan mengenai dua perkara tentang hamba Allah atau umatmu, iaitu:
Pertama: Mereka itu mengaku kasih dan taat kepada Allah sedangkan dalam masa yang sama mereka itu taat kepada hamba dengan melakukan maksiat dan dosa.
Kedua: Mereka itu sangat marah dan benci kepada hamba sedangkan dalam masa yang sama mereka menurut akan hasutan dan godaan hamba.

Lalu datang lagi firman Allah SWT, bermaksud: Wahai Malaun! Demi Kebesaran dan Ketinggian-Ku, Aku anugerahi ke atas umat Nabi Muhammad dua kebahagian, iaitu:
Pertama: Ketaatan dan kasih mereka itu kepada Aku akan Aku jadikan kifarat (penebus dosa) bagi maksiat dan dosa yang mereka lakukan itu kerana terpedaya dengaan godaan engkau.
Kedua: Mereka itu marah dan benci kepada engkau akan Aku jadikan kifarat (penebus dosa) bagi mereka kerana berbuat maksiat kepada-Ku.

Firman Allah SWT itu menjadikan Iblis tercengang dan terduduk kaku kerana mendengar dan mengetahui bahawa umat Nabi Muhammad sangat dikasihi oleh Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, dengan limpah rahmat-Nya.

Manakala selesai Nabi Muhammad SAW bersoal-jawab dengan Maharaja Iblis itu, Baginda pun menghalaunya dengan berkata: Wahai Iblis laknatullah! Nyahlah engkau dari hadapanku ini.

Maka Iblis pun keluar meninggalkan tempat itu membawa diri dengan perasaan kecewa menyelubunginya. Dia tersangat dukacita dengan apa yang berlaku, namun demikian dia tidak akan berhenti daripada menghasut dan menggoda umat Muhammad. Dia tetap dengan pendirian dan azamnya untuk menyesatkan umat Muhammad yang amat dikasihi oleh Allah walaupun harapannya sangat tipis.
--------------------------------------------

Bagaimana pun, janganlah kita merasa bahawa kita selamat daripada disesatkan oleh Iblis, kerana tidak semudah yang disangka untuk mendapatkan kemuliaan di sisi Allah SWT. Sesungguhnya dunia ini dijadikan Tuhan sebagai tempat ujian untuk manusia. Andai kata kita leka dan lalai daripada mengingati Allah, pasti balasan buruklah yang akan kita terima di akhirat kelak.

Begitulah sebahagian daripada persoalan yang paling jelas lagi terang dan nyata mengenai siapakah sebenarnya makhluk Allah yang dinamakan Iblis. Tidak ada satu pun kebaikan yang akan dilakukan oleh Iblis untuk kita sebagai manusia. Kewujudannya semata-mata untuk merosakkan hidup manusia, sementara godaannya menjadi sebahagian daripada ujian ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Kehadhiran Iblis adalah sebagai penghalang untuk kita menjadi seorang hamba yang taat dan patuh kepada perintah Allah.

Walau bagaimanapun, ianya tidak boleh dijadikan alasan ketika berhadapan dengan Allah di akhirat nanti, kerana kita sudah dimaklumkan bahawa Iblis dan syaitan itu adalah perosak dan pengkhianat anak Adam sejak dulu lagi.

Iblis dan syaitan adalah musuh kita dan kita mesti menjauhinya serta mesti menghindarkan diri daripada menjadi sahabat dan pengikutnya berdasarkan cara dan kesukaannya menggoda dan menyesatkan manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog