Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 16 Ogos 2011

Pengawal Keselamatan Didakwa Bunuh Timbalan Pengarah Veterinar Perak

SEORANG pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, Selasa, atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, di sebuah pangsapuri di Ulu Kinta, 3 Ogos lepas.

Syahmie Hassan, 20, hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Syahmie didakwa membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak Dr Rohani Kasim, 38, di sebuah pangsapuri beralamat Blok F, Tingkat 1, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View di Ulu Kinta antara 6 petang dan 7.30 malam pada 3 Ogos lepas.

Bagi kesalahan itu, pengawal keselamatan terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat mangsa.

Di mahkamah yang sama, seorang bekas tentera didakwa terhadap pertuduhan melupuskan harta curi berupa gelang emas berbentuk sembilan urat rantai yang bernilai RM6,000 milik Dr Rohani.

Nuur Hisyam Shukor, 22, dituduh melakukan kesalahan itu di kedai jam tangan Kam Seng yang beralamat No. 55, Jalan Besar di Tanjung Malim antara 3 dan 6 petang pada 4 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal menetapkan 17 Okt ini sebagai sebutan semula kes.
- Laporan: BernamaOnline


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog