Cina India Kaum Pendatang

Ahad, 14 Ogos 2011

ISU MURTAD GMDU: Mungkinkah ada hikmah disebalik kemelut ini?

KRISIS persepsi yang tercetus dari kisah ‘memurtadkan’ umat Islam di Gereja Methodist Damansara Utama (GDMU) minggu lalu mampu menggugat keharmonian hubungan antara agama di Malaysia. Pihak yang mempertahankan tindakan puak Kristian dan yang menentangnya atas nama ‘akidah umat Islam’ boleh mencetuskan perbalahan agama yang serius di negara bertuah ini jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Masing-masing mendakwa tindakan mereka berasaskan hak. Puak yang ‘memurtadkan’ umat Islam mendakwa ianya satu kebebasan beragama seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Sementara puak yang menentangnya (orang Islam) berpegang kepada ketentuan Perlembagaan yang sama di mana ianya menentukan bahawa agama lain tidak boleh memurtadkan umat Islam atau menganggu-gugat ajaran Islam.

Kepada puak bukan Islam, apa yang terlintas difikiran mereka yang tidak faham apa itu ‘kontrak sosial’ dan juga maksud Perlembagaan, berpegang kepada anggapan mudah, itu kalau orang bukan Islam boleh memeluk Islam tanpa ada bantahaan dan gangguan, kenapa apabila orang Islam mahu memeluk agama lain ‘tidak boleh’?

Apakah ini menandakan terdapat krisis pamahaman yang serius dari segi memahami Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial?

Isu ini boleh dianggap sebagai isu lama yang berlarutan sejak lama dulu secara senyap dan tersembunyi tanpa diheboh dan dijadikan isu besar.

Bagaimanapun, setelah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak menyiasat dan mengambil keterangan daripada satu majlis yang didakwa ‘majlis makan malam’ majlis di GDMU, ianya jadi isu panas gara-gara MB Selangor selaku Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri meminta maaf kepada pihak gereja dan penganjurnya atas tindakan kakitangan jabatan di bawah pentadbirannya.

Kenyataan MB Selangor itu seolah-olah menyalahkan tindakan anak buahnya sendiri.

Bangunan GMDU....
Lebih memanskan lagi keadaan, insiden itu turut dibela oleh pihak pemimpin PAS yang tidak mahu menerima penjelasan Exco Agama Negeri Selangor – Datuk Hasan Ali, yang jadi Exco atas tiket ADUN Pas. Kepimpinan Pas mahu menyiasat sendiri insiden itu, kononnya.

Kerana tekanan politik, kecelaruan timbul. Tekanan orang Melayu/Islam terhadap MB Selangor dan kepimpinan Pas pusat menjadikan isu itu semakin panas dan beberapa tunjuk perasaan dianjurkan bagi menentang apa yang disifatkan sebagai ‘gerakan memurtadkan umat Islam’ yang serius, yang tidak ada tolak ansur untuknya. Ianya dianggap mencabar kewibawaan umat Islam serta kesucian agama Islam di negara ini.

Sebagaimana yang diyakini dan diimani oleh umat Islam bahawa sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan dan kehendak Allah swt.

Justeru, berkemungkinan besar isu yang tercetus ini adalah petunjuk daripada Yang Maha Esa di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk pemimpin dan pihak yang bertanggungjawb mengenai agama Islam di negara ini supaya melihatnya dari sudut sebab dan musabab kegiatan ‘memurtadkan’ umat Islam itu begitu mudah dilakukan tanpa dakwa dakwi, walaupun peraturan dan undang-undang telah diadakan.

Berdasarkan keterangan dan soal selidik yang dilakukan oleh banyak pihak, antara masalah utama yang menjadi punca mudahnya seseorang umat Islam itu menjadi murtad ialah kerana desakan hidup – kemiskinan, atau berasa dipinggirkan.

Penderitaan mereka seolah-olah tidak dihiraukan oleh pihak yang bertanggungjawab ketikamana negara kini dilihat begitu bermurah hati dengan rakyat melalui pelbagai pengumuman bantuan. Bantuan ini, bantuan itu. Golongan ini dan golongan itu.

Dalam banyak-banyak bantuan yang dihulur dan diuar-uarkan, rupa-rupanya terdapat satu golongan yang semacam dilupakan atau dipinggirkan. Mereka ialah golongan miskin yang berada di bandar-bandar. Yang hidupnya terkontang-kanteng tanpa pembelaan khas.

Kebanyakan mereka adalah golongan mualaf yang terpinggir kerana diceraikan suami dengan beban menanggung beberapa orang anak yang masih bersekolah.

Kerana desakan hidup golongan inilah yang mudah didekati oleh pendakwah Kristian yang pada awalnya menghulurkan pelbagai bantuan. Setelah mereka dapat dijinakkan dengan bantuan pihak gereja, akhirnya mudahlah mereka ditarik untuk ‘murtad’.

Tambahan pula untuk mencari atau mengenali mereka yang kesempitan hidup itu, mereka yang membawanya ke gereja akan mendapat habuan. Macam perniagaan MLM (jualan langsung).

Walaupun ini cuma salah satu contoh dan mungkin boleh dikira sebagai isu terpencil, tetapi melalui perkhabaran dari mulut ke mulut dan kempen senyap yang bersistematik, golongan lain yang berada dalam ketegori sama – kemiskinan yang mendesak, turut terpengaruh dan bersedia dimurtadkan.

Justeru itu, tepatlah seperti apa yang disarankan oleh sejumlah 22 badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Dewan Pemuda PAS pusat yang mengadakan persidangan meja bulat mengambil pendirian bahawa umat Islam yang terpinggir dan tercicir perlu dibela sebagai langkah memperkukuh akidah mereka.

Pengerusi sidang, Presiden Ikatan Ilmuan Nasional, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata badan berkaitan harta amanah umat Islam seperti pusat atau lembaga zakat perlu cekap bertindak membantu umat Islam yang terpinggir dan tercicir agar kehidupan mereka lebih terbela.

"Kami mendokong dan menyokong usaha mana-mana pihak untuk memperkukuh akidah umat Islam melalui program-program pendidikan dan kebajikan serta menuntut diperkasakan program-program tersebut, termasuklah dengan mengembalikan semula bantuan yang secukupnya kepada sekolah agama rakyat," katanya semasa membacakan resolusi sidang itu.

Mereka juga sepakat untuk mempertahankan pegangan akidah umat Islam daripada diceroboh selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk menguatkuasakan undang-undang murtad bagi menghalang orang Islam meninggalkan agamanya.

Semoga apa yang ditakdirkan oleh Allah swt ini akan menjadi titik tolak kepada kemantapan agama suci Islam di negara ini.

Biasanya, disebalik sesuatu musibah itu terdapat hikmah tersembunyi....
InsyaAllah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog