Itulah pertanyaan yang Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin lontarkan dalam ucapan ringkas di perhimpunan umat Islam yang berlangsung di Masjid Negeri Shah Alam selepas solat Jumaat kelmarin.
Zul turut menyatakan kesedihannya kerana Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menerima tekanan daripada pucuk pimpinan dan ahli-ahli partinya sendiri ekoran sokongannya terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa gereja Methodist di Damansara Utama baru-baru ini.
Turut menerima tekanan berhubung isu tersebut ialah Datuk Dr. Hassan Ali, anggota Exco Bagi Hal Ehwal Agama Negeri Selangor.
Hamba lazimnya mengelakkan diri daripada menyebut nama, tetapi kali ini keperluan mendesak demi kebenaran. Maka izinkan hamba menyebut nama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menjadi sasaran utama perhimpunan anti-murtad dan menyokong tindakan JAIS itu.
Dilaporkan bahawa JAIS telah menjalankan pemeriksaan mengejut ke sebuah premis gereja yang terpampang di luarnya papan tanda Dream Centre DUMC where dream comes alive yang terjemahannya bermaksud ‘‘Pusat Impian DUMC di mana impian menjadi kenyataan.”
JAIS membuat pemeriksaan selepas menerima aduan mengenai orang-orang Melayu diundang ke majlis berbuka puasa di premis itu. Rupa-rupanya majlis tersebut ialah ‘thanks giving’ atau majlis kesyukuran orang Kristian yang turut dihadiri oleh 12 lelaki dan wanita Melayu. Turut ditemui ialah Bible dalam Bahasa Melayu dan borang soal selidik mengenai Islam.
Maka benarlah sangkaan masyarakat Islam selama ini yang menentang penyebaran Bible dalam Bahasa Melayu berjudul Al Kitab, khususnya di Semenanjung. Di dalam Al Kitab ini kalimah Allah digunakan sewenang-wenangnya. Apa yang dikhuatiri ialah Al Kitab akan digunakan bagi menyebarkan dakyah di kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam.
Ternyata kebimbangan itu benar-benar menjadi kenyataan. Apa yang berlaku di premis gereja itu juga membuktikan bahawa usaha ‘memurtadkan’ umat Islam di Malaysia bukanlah satu dongeng politik.
Zul dalam ucapannya turut mendedahkan betapa beliau sebagai peguam telah terlibat lama dalam usaha menentang kegiatan memurtadkan orang-orang Melayu oleh pihak gereja-gereja Kristian di negara ini.
Di dalam tulisan terbaru blognya, Zul melakarkan apa yang telah berlaku kepada Aishah Bukhori yang mengisytiharkan dirinya murtad kepada ayahnya Haji Bukhori melalui telefon pada 19 Oktober 1997 ketika sedang berada di sebuah gereja di Panchor Jaya, Rasah, Negeri Sembilan.
Apabila Haji Bukhori dan keluarganya pergi ke gereja tersebut, berlaku pertengkaran kerana mereka tidak benarkan Aishah diambil oleh keluarganya. Keluarga Aishah terpaksa balik hampa kerana tidak mampu berbuat apa-apa.
Menurut Zul, kes Aishah Bukhori membabitkan penglibatan secara langsung seorang peguam ahli Malaysian Bar yang membuat permohonan ke mahkamah untuk perintah habeas corpus bagi membebaskan Aishah daripada jagaan keluarga beliau.
Inilah antara episod-episod yang menyebabkan Zul menyuarakan kebimbangan dengan melontarkan soalan ‘‘apa nak jadi kepada umat Islam (di Malaysia) hari ini?” Kebimbangan beliau wajib dikongsi oleh seluruh umat Islam jika mereka mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sekadar bimbang juga tidak memadai. Yang pentingnya apakah tindakan yang perlu diambil bagi menyekat usaha memurtadkan lebih ramai orang Melayu. Isu memelihara keutuhan akidah umat Islam di Malaysia adalah soal yang sangat mendesak dan tidak boleh lagi dipandang ringan.
Janganlah umat Islam sahaja yang dituntut supaya memelihara keharmonian sedangkan hak mereka diganggu gugat oleh pihak-pihak lain. Seluruh rakyat Malaysia sepatutnya sudah amat memaklumi kontrak sosial yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kekhuatiran umat Islam mengenai asakan terhadap akidah mereka memerlukan kesepaduan suara dan tindakan seluruh ummah, tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Malangnya perbezaan politiklah yang telah menyumbang parah kepada isu ini.
Dalam mencari pengaruh untuk mendapatkan undi pilihan raya, masyarakat Islam yang berpecah belah telah merelakan diri mereka bersahabat karib dan tunduk kepada tuntutan bukan Islam, khususnya orang-orang Kristian.
Maka apabila kalimah Allah digunakan oleh gereja dengan agenda tersembunyi, pendirian tegas kerajaan yang melarang telah ditentang pula oleh segolongan pemimpin politik Islam. Mereka adalah oportunis yang sanggup menggadaikan agama demi memperoleh sokongan bukan Islam.
Wahai orang-orang yang beriman, mereka inilah yang patut ditentang kerana mereka terang-terang telah melanggar perintah Allah.
Sila baca surah Al Maaidah yang sarat dengan peringatan mengenai perkara ini. Antaranya ialah: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman kepada setengah yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapat, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. - Al Maaidah 5: 51 (Tafsir Ar Rahman)
Dalam ayat seterusnya (52) Allah berfirman yang bermaksud: Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata ‘‘kami takut kami akan ditimpa bencana. (Yang memaksa kami akan meminta pertolongan mereka).
Adakah bencana yang mereka takuti sekadar kekalahan dalam pilihan raya dan tidak dapat membentuk kerajaan yang memerintah sama ada di peringkat negeri atau persekutuan? Jika inilah percaturan ahli-ahli politik yang kononnya beragama Islam ini, maka wajiblah mereka ini ditentang. Mereka telah mempertuhankan politik.
Tentanglah mereka tanpa mengira sama ada mereka adalah dari parti politik anda sendiri. Benar bahawa dalam mempertahankan akidah dan kepentingan agama, kita umat Islam mestilah bersatu padu tanpa batas politik.
Maka pendirian Zulkifli Noordin adalah benar, pendirian Nasrudin Hassan dan Hassan Ali juga benar. Janganlah takutkan manusia, takutlah kepada azab Allah yang tidak terperi seksanya. Jika Allah murka, negara kita Malaysia akan menanggung padah buruknya kelak.
Sokong dan tegakkanlah kebenaran demi keimanan, sekalipun ia amat pedih dan pahit.
Renungilah firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 42 yang bermaksud: Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahuinya.
Pemeriksaan juga dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tahun 1995 iaitu ‘Menghina atau Mempersendakan Ibadat Agama Islam di Kalangan Penganut Agama Islam Sendiri’. Siasatan juga akan dibuat mengikut peruntukan Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor Tahun 1988 yang berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam dan orang Islam.
- Rencana: UtusanOnline
SATU MELAYU:
Siapa yang berani menafikan bahawa ‘musibah’ yang menimpa umat di Malayia kini adalah gara-gara politik peribadi dan tabiat songsang Anwar bin Ibrahim?
Dan siapa pula yang boleh menafikan bahawa kehancuran perjuangan Islam PAS sekarang, juga kerana politik peribadi dan tabiat songsang Anwar bin Ibrahim?
Jika perkara ini dibiarkan terus berlaku, sama-samalah kita semu tunggukan ‘bala bencana’ dari Allah swt terhadap negara dan bangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan