KETERUJAAN untuk menonton video rakaman percakapan saksi utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakan, tahun lalu terbantut selepas video itu tidak dikemukakan ekoran bantahan daripada pihak pembelaan.
Pada pagi Isnin, beberapa kakitangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dilihat sibuk membuat persiapan untuk memainkan video tersebut, seperti memasang projektor dan membuat ujian pembesar suara menyebabkan beberapa wartawan mencari posisi kedudukan terbaik.
Bagaimanapun, ia menjadi anti klimaks selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya tidak berhasrat untuk mengemukakan video rakaman percakapan U. Suresh, 27, selepas satu persatu wakil pembelaan bangun membantah kemasukkan video berkenaan.
Peguam Manjeet Singh Dhillon menjadi individu pertama membantah kemasukkan video itu, diikuti peguam-peguam Gurbachan Singh dan Amer Hamzah Arshad atas alasan video itu tidak lengkap kerana audio yang tidak begitu jelas kerana keadaan bilik yang menjadi lokasi rakaman percakapan dibuat besar.
Timbalan Pendakwaa Raya, Saiful Edris Zainudin masih berusaha untuk mengemukakan video terbabit dengan berkata, video itu boleh ditayangkan terlebih dahulu.
Namun begitu, apabila disoal oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir sekiranya beliau ada mempunyai nas undang-undang yang dapat menyokong permohonan itu, Saiful Edris menjawab tidak, tetapi boleh berbuat demikian jika diberikan masa.
Mendengar jawapan itu, Akhtar berkata: "Pihak pendakwaan seharusnya bersedia dengan nas undang-undang. Jika tidak, mahkamah terpaksa tanguh setiap kali mahu mencari nas undang-undang."
Akhtar memutuskan untuk menerima bantahan tersebut menyebabkan video itu tidak dikemukakan di mahkamah.
Video rakaman percakapan Suresh dirakamkan pada 26 Oktober 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, iaitu tempat dia kini menjalani hukuman penjara selama 20 tahun kerana membuang abu mayat semua mangsa dalam pembunuhan tersebut.
Proses rakaman dibuat oleh Penyelia Jurufoto, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka, Detektif Sarjan Abdul Hadi Ismail yang menggunakan kamera perakam jenis Canon yang diletakkan kira-kira tiga meter dihadapan Suresh.
"Rakaman dibuat sebaik sahaja Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan (ASP) Ong Seng Keong mula merakamkan percakapan saksi," kata Abdul Hadi dan menambah proses itu bermula pada pukul 7 petang dan tamat pada pukul 11.45 malam, hari yang sama.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat (IO) ASP Mohd Ishak Yaakob memberitahu, rakaman percakapan tersebut dibuat atas inisiatifnya apabila mengetahui Suresh akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan yang menggemparkan negara itu.
Rakaman itu merupakan rakaman kedua Suresh memandangkan kali pertama ia dibuat atas kedudukan Suresh sebagai salah seorang suspek.
Peguam Manjeet Singh.... |
Suresh dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-29 pada perbicaraan terhadap bekas peguam, N.Pathmanabhan, 42, T.Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Oktober 2010.
Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 348; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pada waktu yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Selain itu, Mohd Ishak menambah, beliau telah menulis surat kepada Ibu Pejabat Penjara Kajang untuk mendapatkan kebenaran membuat rakaman percakapan itu pada pagi 25 Oktober 2010 dan memperoleh kebenaran pada sebelah petang, hari yang sama.
"Usaha untuk mendapatkan juruvideo dibuat pada 26 Oktober 2010 kerana saya berpendapat ia perlu dilakukan untuk mengelakkan tohmahan," tambahnya.
Ujar saksi lagi, beliau mengarahkan Ong untuk membuat rakaman percakapan itu kerana proses itu perlu dilakukan oleh seorang pegawai polis yang bebas dan tidak mempunyai kaitan secara langsung dalam kes yang sedang disiasat.
Mohd Ishak yang telah berkhidmat dengan PDRM sejak sembilan tahun lalu semasa disoal oleh Manjeet gagal mengingati tarikh pertama rakaman percakapan Suresh diambil menyebabkan dia diminta untuk merujuk diari siasatannya.
Bagaimanapun, Mohd Ishak mengakui dia tidak membawa diari tersebut yang berada di dalam keretanya.
"Saya boleh lari sekejap ke kereta untuk ambil," tambahnya.
Akhtar kemudiannya berkata: "Lain kali bawa semua dokumen naik ke mahkamah. Jangan tinggalkan di kereta. Kita tidak buat bicara di dalam kereta."
Sebaik sahaja Mohd Ishak selesai memberi keterangan, Ishak memberitahu pihaknya menutup kes pendakwaan bicara dalam perbicaraan (TWT) yang sedang dijalankan bagi mengesahkan kesahihan rakaman percakapan yang dikatakan diberikan oleh Suresh.
Suresh menafikan kenyataan tersebut dikeluarkan olehnya dan mendakwa berlaku unsur paksaan dan dia juga diugut semasa proses rakaman berlangsung.
Rakaman percakapan itu terlebih dahulu mahu dikemukakan di mahkamah bagi mencabar kebolehpercayaan saksi yang didakwa telah berpaling tadah kerana memberikan 22 keterangan yang berbeza di mahkamah.
Manjeet berkata, pihaknya akan mengemukakan hujahan bahawa Suresh tidak mempunyai kes untuk dijawab ekoran pihak pendakwaan didakwa gagal untuk membuktikan kes tersebut.
Akhtar menetapkan hujahan tersebut didengar pada Selasa.
- Laporan: mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan