Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 4 Ogos 2011

Ramadhan sebagai bulan pengampunan dosa....

PADA bulan yang mulia ini, Allah swt membukakan pintu taubat dan keampunan. Sebanyak mana pun dosa kita, sama ada disedari atau tidak pada bulan-bulan lain, maka di bulan Ramadhan inilah waktunya segala dosa itu dicuci dan dibersihkan.

Sebagaimana yang diajarkan Rasulullah saw, sepuluh malam terakhir Ramadhan adalah untuk keampunan daripada Allah swt.

Bagaimanapun, ada syaratnya iaitu kita hendaklah bertaubat terlebih dahulu iaitu menyedari dan menyesali segala perbuatan dosa yang telah kita lakukan itu serta berjanji bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi.

Bagaimanapun, itu bukannya satu kebenaran atau peluang terbuka untuk kita berbuat dosa pada bulan lainnya dan nanti di bulan Ramadhan dosa-dosa itu akan diampun atau dihapuskan. Soalnya, apakah kita boleh menjamin bahawa hayat kita boleh sampai untuk bulan mulia itu? Bagaimana kalau Allah swt menjemput kita kembali sebelum Ramadhan menjelang?

Dan dosa-dosa itu pula tidak semestinya yang besar seperti zina atau membunuh, sebaliknya dosa-dosa kecil juga dianggap dosa.

Justeru, kita hendaklah memperbanyakkan istighfar di bulan yang suci ini. Selain itu kita juga perlu memperbanyakkan sujud memohon keampunan di malam hari.

Jika sebelum ini kita sanggup bersengkang mata untuk menonton siaran bola sepak piala dunia, kenapa kita tidak sanggup bersengkang mata untuk mendekatkan diri dengan Allah swt dengan memohon keampunan daripada-Nya? Dan peluang ini hanya datang setahun sekali dengan tempoh selama sebulan sahaja.

Sesungguhnya telah terlalu banyak kita mendengar kebaikan mengenai amalan malam atau solat malam yang kita dengar dan baca melalui pelbagai media sebelum ini.

Justeru itu, dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini kuatkanlah hati dan semangat untuk melakukan amalan di malam hari yang dikatakan tersangat banyak kebaikannya untuk dunia dan akhirat. Bukannya untuk orang lain, tapi untuk diri kita sendiri.

Siapa lagi yang harus kita harapkan untuk memelihara diri kita di dunia dan akhirat kalau tidak kita sendiri? Dan sebagaimana yang kita sedia maklum, apa yang ada di dunia ini hanya sementara. Tidak kekal dan tidak mampu membantu kita di alam akhirat kecuali beberapa perkara yang sering diajarkan oleh para tok guru kepada kita.
Wallahhualam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog