Cina India Kaum Pendatang

Isnin, 10 Oktober 2011

Kes Sosilawati: Pathmanabhan Ialah Pemilik Ladang Gadong

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam diberitahu bahawa Ladang Gadong di Tanjung Sepat, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain adalah milik tertuduh pertama, N Pathmanabhan yang dibeli tidak lama sebelum kejadian.

Saksi ke-58 pendakwaan, K. Sree Ganashan, 39, seorang jurutera berkata hartanah seluas 0.12 hektar itu dijual oleh ibu saudaranya yang bernama Dhanam kepada bekas peguam itu pada Ogos tahun lepas.

Beliau yang bertanggujawab ke atas urusan pembelian hartanah itu berkata Pathmanabhan membeli ladang berkenaan dengan harga RM300,000.

"Selepas makcik beritahu nak jual tanah, saya telah beritahu kawan-kawan. Mungkin ada kawan yang beritahu Pathmanabhan dan dia (Pathmanabhan) kemudian hubungi saya bertanyakan perkara itu serta ingin melihat tanah itu.

"Saya tunjukkan tanah itu kepada Pathmanabhan pada bulan Ogos tahun lepas dan dia kemudian bersetuju nak beli. Pathmanabhan bayar deposit RM100,000 seminggu selepas itu dan dua minggu seterusnya dia bayar baki RM200,000. Kesemua bayaran dibuat melalui cek," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Sree Ganashan memberi keterangan pada perbicaraan Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan serta R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Saksi itu berkata sepanjang menguruskan pembelian tanah itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pathmanabhan sebanyak empat kali iaitu di kedai makan, pejabat tertuduh dan ladang berkenaan.

"Ada buat perjanjian jual beli dengan tertuduh?" soal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan Sree Ganashan menjawab "ya".

"Saya menjadi saksi ketika perjanjian ditandatangani oleh makcik saya dan Pathmanabhan. Bagaimanapun salinan perjanjian itu sudah hilang," katanya sambil menambah kata tertuduh tidak memberitahu beliau apa yang ingin dilakukan ke atas tanah itu.

Saksi ke-59 pendakwaan, K Sarawanan, 19, diasak soalan bertubi-tubi oleh Saiful Edris dan Ishak selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi mereka sendiri.

Ketika disoal Saiful Edris, saksi itu menafikan bahawa dia ada melihat Kathavarayan menggunakan parang dan mengugut kesemua mangsa supaya mereka menyerahkan telefon bimbit, jam tangan, dompet, serta membuka baju dan seluar masing-masing ketika berada di ladang itu pada 30 Ogos tahun lepas.

Sarawanan yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya itu bahawa beliau ada melihat Matan mengikat tangan keempat-empat mangsa dari belakang menggunakan dawai.

"Saya katakan kepada kamu bahawa Ravi (Kathavarayan) ada minta abang lawyer (peguam) (Pathmanabhan) untuk beritahu keempat-empat mangsa supaya call family (menghubungi keluarga) dan beritahu bahawa mereka akan pulang selepas tiga hari kerana ada urusan di Genting," kata Saiful Edris dan saksi itu menjawab tidak setuju.

"Saya katakan keempat-empat mangsa enggan menghubungi keluarga menyebabkan kemarahan pada abang lawyer," kata Saiful Edris dan Sarawanan menjawab tidak setuju.

"Saya katakan abang lawyer kemudian tanya pada Sosilawati siapa antara tiga lelaki yang ditangkap disukainya dan Sosilawati cakap banker (pegawai bank). Sekali lagi ditanya pada Sosilawati dan kali ini Sosilawati tunjuk ke arah pemandunya," kata Saiful Edris dan saksi itu menjawab tidak setuju.

Sarawanan yang mengaku mengenali Pathmanabhan sejak dua tahun lepas seterusnya menafikan cadangan timbalan pendakwa raya itu bahawa dia kemudian diarahkan oleh Pathmanabhan untuk memukul pemandu Sosilawati menggunakan kayu kriket di kedua-dua kakinya sebanyak tiga kali.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Saiful Edris bahawa dia telah diarahkan oleh bekas peguam itu untuk 'menghabiskan' atau bunuh semua mangsa.

"Saya katakan pada kamu bahawa keempat-empat mangsa telah dibunuh oleh Thilaiyalagan dengan kerjasama kamu, U Suresh (saksi pendakwaan yang juga dipenjarakan 20 tahun bersama Sarawanan), Matan dan Pathmanabhan," kata Saiful Edris.

Pada peringkat itu, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan mengemukakan bantahan atas alasan kesemua soalan yang ditanyakan oleh pihak pendakwaan sangat memprejudiskan kesemua tertuduh.

"Kami lihat pihak pendakwaan mempunyai objektif dan tujuan untuk menyoal balas saksi ini dan ia adalah salah serta sangat memprejudiskan tertuduh. Saya ingin berhujah berhubung skop soal balas oleh pihak pendakwaan ini," katanya.

Saiful Edris berkata soal balas dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan berikutan terdapat percanggahan pada keterangan Sarawanan.

Hakim Akhtar kemudian menetapkan esok untuk mendengar hujahan lanjut daripada kedua-dua pihak berhubung kaedah soal balas yang sepatutnya dibuat pihak pendakwaan terhadap saksi mereka sendiri seperti yang diperuntukkan mengikut seksyen itu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-40 bersambung esok.
- BernamaOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog