Gambar hiasan.... |
Bagaikan tidak ada noktah ketika bercerita mengenai pengalamannya dan rahmat yang tidak terhitung yang ditemui di sini, beliau menganggap Malaysia sebagai negara bertuah yang menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka yang jujur mahu mencari rezeki.
"Malah dengan majikan yang sangat memahami, bertimbang rasa, saya rasa seperti tinggal di kampung halaman sendiri," kata Normalia dalam satu temubual dengan Bernama ketika ditemui di rumah majikannya di Shah Alam.
Berasal dari Medan Tembung, Medan, Normalia sudah lima tahun bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan Syahrul Izwan Abdul Wahab, 36, dan Azwa Ismail, 36, dan sangat memanjai tiga anak majikannya Aqif, 4, Ahmad Dhani, 6, dan Nordina Sufiya, 10.
Beliau yang mempunyai dua anak dewasa iaitu Alimuddin Hasibuan, 19, dan Maslina, 26, nekad mencari kerja di Malaysia untuk menanggung keluarga apabila suaminya meninggal dunia akibat kanser leher enam tahun lepas.
"Kami hilang tempat berlindung selepas kematian suami saya. Saya cuba bekerja sebagai pencuci botol di sebuah kilang membuat air minuman.
"Tetapi mencuci 10 guni botol dengan gaji RP10,000 (RM4) sehari, saya tidak mampu menanggung Alimuddin yang semasa itu sedang bersekolah dan belanja yang tinggi. Bagi Maslina pula, tidak mengapa kerana sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak ketika itu," katanya
Pendapatan RM4 sehari itu tidak cukup untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan perbelanjaan dapur, yang menyebabkan beliau sering berdoa supaya Allah menunjukkan hidayah tempat terbaik untuk dia bekerja.
Katanya walaupun kerap mendengar pelbagai khabar tidak elok menerusi media massa di Indonesia mengenai Malaysia, beliau bertawakal datang ke negara ini secara sah melalui ejen.
Pada mulanya beliau bekerja di Sitiawan, Perak, menjaga nenek kepada Azwa namun selepas hanya dua bulan, nenek berusia 80 tahun itu meninggal dunia.
"Majikan saya sekarang ini, ketika itu kebetulan sedang mencari seorang pembantu rumah, jadi kami pun membuat urusan dengan imigresen untuk membolehkan saya bekerja dengan mereka di Shah Alam pula," katanya.
Mengulangi kata-kata bahawa Malaysia merupakan negara yang membawa rahmat besar baginya, Normalia menganggap majikannya sebagai keluarga sendiri kerana perhatian yang diberikan kepada segala keperluannya melebihi jangkaannya.
"Bukan sahaja mereka sangat memahami malah dalam hal yang tidak perlu membantu pun mereka sedia membantu. Kalau mereka pergi bercuti ke mana-mana pun, mereka akan tanya saya sama ada mahu ikut atau tidak," katanya yang sudah ke Langkawi dan Melaka.
Kebanyakan kes pembantu rumah dari Indonesia yang didera majikan adalah mereka yang berkhidmat dengan majikan bukan Melayu/Islam.... |
Keprihatinan majikannya juga menjadi rahmat buat anak lelakinya, Alimuddin, kerana pasangan majikan yang bekerja di sektor swasta itu membantu Alimuddin datang ke Malaysia, mengirimkan wang tambang dan menguruskan permit sehingga Alimmuddin dapat bekerja secara sah di Cheras sekarang.
Kini rindu Normalia kepada saudara mara juga terubat apabila kakaknya juga berpindah dan bekerja sebagai pencuci di Klang.
"Pada hujung minggu sekali sebulan, majikan akan menghantar saya ke Klang ataupun berjumpa anak saya, sekaligus memberi hari kelepasan kepada saya," katanya, yang menambah bahawa dalam tempoh lima tahun ini juga beliau sudah dua kali dihantar pulang bercuti ke Medan, selain sekali lagi Disember ini.
Normalia, yang juga dikhaskan bilik sendiri di dalam rumah empat bilik itu yang lengkap dengan bilik air, mengakui tidak tahu bagaimana harus mengucapkan kesyukuran dan juga terima kasih kepada majikannya selain daripada dengan memberikan khidmat bakti sebaik termampu dan melayani mereka seperti keluarga.
Bagi beliau tugasnya sangat mudah dan tidak berat kerana melayani keperluan anak-anak majikan termasuk menyiapkan mereka untuk ke sekolah dan menyambut mereka pulang selain melakukan kerja rumah dianggapnya kerja yang memang biasa baginya.
"Saya nak balik tak lama lagi," katanya, dalam nada agak terharu, sambil mengelap air mata, mengakui bahawa hatinya terasa berat berpisah dengan anak-anak dan majikannya.
Perasaan Normalia itu turut dirasakan majikannya, yang lantaran sangat puas hati di atas khidmat bakti pembantu rumah itu, juga kalau boleh mahu terus beliau tinggal bersama mereka.
"Adat manusia hidup mestilah ada salah silap yang tak dapat dielakkan dan saya serta isteri sentiasa menegur dengan baik. Normalia menerima teguran itu dengan hati yang ikhlas dan berusaha memperbaikinya," kata Syahrul Izwan.
Malahan, Syahrul Izwan, pengarah projek sebuah syarikat teknologi maklumat, berkata gaji Normalia sudah dinaikkan selama dua kali dalam tempoh lima tahun itu, dengan kenaikan sebanyak RM50, bermula dengan RM450 kepada RM550 pada masa ini sesuai standard umum.
"Kita akan ikut apa yang ditetapkan oleh Kedutaan Indonesia dan gajinya mungkin dinaikkan kepada RM600 tidak lama lagi," katanya, yang enggan menyebut pelbagai bantuan lain yang dihulurkan dari semasa ke semasa kerana menganggapnya sebagai pemberian ikhlas.
Normalia mungkin hanya seorang pembantu rumah yang berpeluang menceritakan pengalaman manisnya menemui rahmat yang besar di bumi asing, namun di luar sana terdapat puluhan ribu lagi 'Normalia' lain yang turut menikmati layanan majikan yang baik dan bertimbang rasa tetapi tidak mendapat pendedahan media.
Syahrul Izwan dan isterinya juga adalah antara ribuan rakyat Malaysia yang beruntung mendapat pembantu rumah dari Indonesia menjadi sebahagian kehidupan dan keluarga mereka dan banyak meringankan tugas pasangan bekerja itu menguruskan anak-anak dan rumah tangga mereka.
- BernamaOnline
SATU MELAYU:
Apapun yang mahu diperkatakan mengenai pembantu rumah dari negara jiran Indonesia, keikhlasan kedua-dua pihak – majikan dan pembantu, adalah kunci utama keselesaan bersama.
Selain keikhlasan, sentiasa ingatkan Allah swt sebagai pencipta dan pengatur utama kehidupan manusia di dunia ini lalu redha dengan ketentuannya sangat mengesankan kesejahteraan hubungan atas dasar kepentingan bersama – saling memerlukan.
Kisah onar dan buruk hanya berlaku apabila salah satu pihak atau kedua-dua pihak – majikan dan pembantu, tidak ikhlas dengan tugas dan tanggungjawab serta ada agenda tersembunyi yang tidak baik.
Biasanya, kalau sesama Islam antara majikan dan pembantu serta kematangan umur menjadi punca wujudnya keselesaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan