Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 18 Mac 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Teoh hanya saksi berkepentingan, bukan subahat


SURUHANJAYA untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock pada Khamis diberitahu bahawa Teoh hanyalah saksi berkepentingan yang mungkin membantu ketuanya dalam melakukan sesuatu kesalahan.

Pemangku Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hairul Ilham Hamzah, berkata walaupun terdapat empat dokumen yang mencurigakan diperoleh daripada komputer riba Teoh, status beliau sebagai saksi berkepentingan tidak berubah kepada saksi bersubahat.

Katanya saksi berkepentingan adalah mereka yang biasanya bekerja untuk majikan mereka dan beliau membuat kesalahan itu kerana mengikut arahan dan ada juga yang mendapat habuan daripada kerja-kerja berkenaan.

"Dalam kes ini iaitu pada 15 dan 16 Julai 2009, status Teoh hanya sebagai saksi berkepentingan dan bukannya saksi bersubahat," katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk Seri Mohammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM dalam prosiding suruhanjaya siasatan itu.

Isu sama ada Teoh adalah saksi subahat atau saksi berkepentingan itu timbul selepas Hairul Ilham memberitahu bahawa hasil siasatan pegawai bawahannya, mendapati tiada rekod menunjukkan empat dokumen mencurigakan di hantar ke e-mel Teoh.

Hairul Ilham berkata beliau dan pegawai SPRM lain mengesyaki dokumen mencurigakan itu adalah draf dan ia dibuat oleh Teoh sendiri.

Pengerusi suruhanjaya itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan seorang lagi anggota suruhanjaya iaitu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman kemudiannya menimbulkan persoalan adakah berikutan keadaan tersebut, Teoh berstatus suspek atau saksi subahat.

Abdul Kadir: "Jadi dia (Teoh) suspek?"
Hairul Ilham: "Tidak."

Abdul Kadir: "Ia boleh dikatakan rakan sepenjenayah."
Hairul Ilham: "Ia boleh dikatakan."

Foong: "Kamu nak pergi pada sasaran sahaja (sasaran pada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah)."
Hairul Ilham: "Tidak. SPRM juga macam mahkamah. Kami ingin mencari keadilan bukan tuju pada Ean sahaja."

Foong: "Tapi ia boleh juga kata Teoh berpakat dengan bos dia. Mungkin Teoh juga bersalah. Ean sasaran tetapi dalam siasatan kamu dapati Teoh adalah kroni dia, jadi Teoh adalah partner of crime. Jadi kalau begitu bukankah kamu boleh paksa Teoh memberi keterangan terhadap Ean."
Hairul Ilham: "Kita tidak boleh paksa."

Abdul Kadir: "Kamu boleh dorong dia untuk salahkan Ean."
Hairul Ilham: "Tidak."



Hairul Ilham adalah saksi ke-22 yang dipanggil memberi keterangan dalam suruhanjaya ini berkata penyiasatan ke atas Yong adalah berhubung dengan aduan yang menyatakan semua ADUN pakatan pembangkang salah guna kuasa dan nama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta Exco negeri Selangor, Ronnie Liu turut dilaporkan.

Empat dokumen mencurigakan itu adalah empat invois dari empat syarikat yang dicetak daripada komputer riba milik Teoh dan terdapat tiga kesalahan ejaan yang sama bagi tiga invois syarikat berlainan.

Berikutan itu, pegawai SPRM yang menyiasat Teoh mendapati ia mencurigakan malah menurut Hairul Ilham terdapat beberapa dokumen yang tidak lengkap termasuk tiada tandatangan, kuantiti serta sebut harga.

Susulan perolehan maklumat dokumen mencurigakan itu, Hairul Ilham berkata beliau telah mengarahkan beberapa pegawai SPRM melakukan siasatan.

"Beberapa anggota SPRM ke Seremban bertujuan mendapatkan dokumen dari seorang kontraktor Lee Wye Weng yang dikatakan melakukan tuntutan kerja bagi semua kerja ADUN Seri Kembangan dan Adun Kampung Tunku.

"Mereka ke rumah Lee dan memperoleh beberapa cek dan catatan tangan yang masukkan wang pada DAP dan penerima lain," katanya.

Tambah Hairul Ilham siasatan tersebut juga mendapati pemilik asal (empat syarikat) menafikan telah membuat projek seperti yang didakwa dalam penyata tuntutan.

"Keempat-empat syarikat berkenaan wujud dan pengurus yang disebut di dalam dokumen adalah betul, cuma mereka menafikan melakukan projek itu," katanya.

Selain Foong dan Abdul Kadir, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lalu, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka'' berhubung kes itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Yong, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding disambung Isnin.
- Bernama

1 ulasan:

AJAI62 berkata...

Assalam Bro

Nampak sangat cina ni mati kerana ketakutan sebab rahsia boss dia pecah. Bila lagi nak bawa boss dia kemuka pengadilan?

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog